Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum.
Alhamdulillah, sewaktu post ini dibaca oleh anda, saya
sedang berada di Regensburg, Germany untuk program pertukaran pelajar selama
satu semester. Bahu saya masih sakit hasil membawa dua beg hand luggage, beg
tangan dan beg luggage seberat 29 kilogram. Saya tidak berpeluang untuk
mengambil banyak gambar sepanjang perjalanan kerana sibuk berjalan dan mencari
destinasi. Saya menaiki pesawat Qatar Airways, transit di Doha selama hampir dua
jam sebelum meneruskan perjalanan ke Munich.
Sewaktu perjalanan ke Doha, tempat duduk bersebelahan saya
kosong jadi senang untuk letak barang. Makanan yang dihidangkan agak sikit tapi
disebabkan kelaparan, semua ditelan. Sempat juga saya melayan anime Mirai
melalui skrin pesawat di hadapan tempat duduk saya. Perjalanan ke Doha
mengambil masa hampir 7 jam, tapi perubahan waktu ini membuatkan saya sedikit
keliru sebab saya masa perjalanan yang panjang nampak singkat. Waktu di
Malaysia baru Maghrib ketika saya tiba. Rasa macam dah tinggal solat Asar dan
Maghrib, tapi hakikatnya di Regensburg baru waktu Zohor. Alhamdulillah, saya
tiada masalah mencari jalan di Lapangan Terbang Hamad, Doha. Cuma airport tu
terlalu panjang sehinggakan ada LRT dalam airport dan kereta macam kereta golf
yang bawa penumpang warga emas. Terasa ketara kemajuannya dengan Malaysia. Saya
mengambil wuduk siap-siap untuk solat di atas flight.
Sewaktu naik flight ke Munich, barulah terasa memang saya
hendak menuju ke negara orang putih. Hampir majoriti penumpang pesawat
merupakan orang Eropah dan yang duduk di sebelah saya pun orang Jerman. Apa
yang saya dapat lihat sewaktu pesawat hampir mendarat di Munich adalah
kehijauan kawasan Munich yang meliputi majoriti tempat. Tak pasti sawah padi ke
apa (rasanya bukan), atau mungkin rumput, tapi hampir kesemua kawasan berwarna
hijau. Kalau mendarat di Kuala Lumpur, mungkin kita boleh lihat bangunan tinggi
mencucuk langit kan? Kalau di Munich, saya nampak hijau menyelubungi alam.
Lapangan terbang Munich kelihatan kosong sewaktu saya
mendarat. Mungkin kerana flight kami mendarat jam 7 pagi dan tak ada pesawat
lain yang beroperasi sangat ketika itu. Saya sepatutnya berjumpa dengan Paula
(buddy) sekitar jam 8 lebih selepas menaiki bas dan tren. Tapi barisan yang
panjang di kaunter pemeriksaan pasport membuatkan saya agak lewat. Tambah nak
cari tempat beli tiket bas lagi. Saya mendarat di Terminal 1. Kaunter tiket bas
terletak hujung di Terminal 2. Paula pernah pesan untuk beli tiket bas dan
kereta api secara online, tapi agak susah bagi saya kerana bahasa Jerman dan
saya masih belum ada bank Jerman jadi macam menyusahkan jika beli online. Saya
ternampak kaunter skrin sentuh yang jual tiket dan ada bahasa Inggeris di situ.
Tapi option yang ada agak mengelirukan bagi saya. Akhirnya saya baru terjumpa
kaunter manual dan beli tiket yang berharga 2 Euro lebih ke Freising Station
dahulu. Saya fikir di stesyen sana nanti baru nak beli tiket kereta api.
Saya perlu menunggu di luar untuk bas bernombor 635 ke
Freising. Keluar saja dari airport, terasa udara dingin Regensburg menyapa
saya. Suhu di sini sekitar 20 darjah selsius. Mataharinya terik membakar, cuma
udaranya dingin. Kalau tak disebabkan dingin udara tu, rasanya dah sama macam
Malaysia panasnya. Apa yang menjadi kesukaran saya ketika itu adalah terpaksa
menyeret bag 29 kilo ke luar. Saya guna troli tetapi di luar saya turunkan
siap-siap untuk angkut naik ke dalam bas. Tak sangka pula nak seret pun susah.
Haha.
Akhirnya selama beberapa minit menunggu, saya nampak bas 635
dari jauh. Ada dua orang yang beratur tidak jauh dari saya. Saya fikir mereka
mesti nak naik bas yang sama. Bas tersebut tiba betul-betul di depan orang yang
beratur tadi. Belum sempat saya nak heret beg saya ke arah bas, pintu bas sudah
ditutup dan bas bergerak pergi. Satu saat pun tak tunggu! Bas seterusnya dalam
10-15 minit kemudian. Jadi di tengah-tengah terik mentari tu, saya menunggu di
tempat orang tadi beratur dan berazam untuk lompat naik ke bas seterusnya.
Nasiblah ada beberapa orang juga yang membawa luggage ikut berkumpul.
Alhamdulillah, setelah belajar dari kegagalan pertama, saya berjaya mengangkut
beg tersebut masuk ke dalam bas. Ketika saya melihat papan tanda Freising dan
orang ramai turun, maka saya pun turun.
Dari Freising, saya membeli tiket kereta api berharga 23 Euro. Nasiblah ada lif untuk saya naik ke tingkat atas.
Masuk sahaja dalam tren,
saya landing kepala atas beg, tapi tak tidur takut terlepas bas. Tak sempat nak
menghayati pemandangan tepi tingkap, sebab yang ada cuma rumput-rumput hijau.
Oh ya, sepanjang turun dari Munich tadi, bateri fon saya mati dan saya tak
dapat berhubung dengan sebarang akses internet (biasalah fon nazak). Rasa
bersalah pula pada Paula sebab waktu saya tiba di stesyen Regensburg tu 10.45
pagi. Paula tak ada di stesyen tersebut ketika saya sampai dan saya pun buntu
macam mana nak hubungi dia.
Ditakdirkan Tuhan, saya nampak satu booth Hotspot
yang ada public phone. Maka setelah berkurun abad tidak pernah guna telefon
awam, saya gunakannya pada waktu itu. Saya tak tahu berapa syiling yang perlu
saya masukkan, maka saya masukkan saja 1 Euro syiling. Alhamdulillah, Paula
angkat telefon dan katanya selepas menunggu 2 tren, dia balik rumah (tren tiba
sejam sekali). Regensburg merupakan satu bandar kecil, pusing-pusing dalam tu
juga. Kalau di Malaysia mungkin ibarat Perlis? Agak susah juga pada awalnya
Paula nak cari saya dan saya nak cari Paula. Akhirnya saya tunggu di satu
tempat dan Paula yang menemui saya dulu.
Nak dipermudahkan urusan tu, dapat juga si Paula bawa kereta
parents kepada boyfriend dia untuk menjemput saya. Kalau kena naik bas dan
sebagainya, saya mungkin dah menyerah masa tu. Oh ya, saya juga baru tahu yang
Uber diharamkan di Germany. Paula pun cakap dia tak faham kenapa peraturan tu
diwujudkan. Paula masuk ke dalam kereta, tempat duduk sebelah kiri. Waktu tu
saya dah pelik, dia ni nak suruh aku drive ke. Rupa-rupanya stereng pemandu
adalah di sebelah kiri. Sepanjang menaiki kereta, apa yang saya dapat simpulkan
bandar Regensburg ni adalah satu bandar kecil yang sunyi, nampak tenang. Saya
tak nampak ada motosikal di jalan tetapi lebih banyak penunggang basikal dan
pemandu kereta. Bangunan-bangunan di sini pun nampak plain dan kosong. Kami
pergi ke OTH (universiti saya) untuk pendaftaran. Sekejap saja pendaftaran dan
kemudian keluar dari OTH menuju ke tempat kediaman saya, Haus Hemma.
Haus Hemma di macam satu rumah besar yang ada banyak bilik.
Di bangunan saya ni sepatutnya ada 6 pelajar international student dan masing-masing
ada bilik single sendiri. Alhamdulillah, keadaan bilik ni nampak cantik dan
memuaskan. Saya expect bilik kecil sahaja dengan satu tilam. Haha. Sebab tak
nak high expectation. Di Haus Hemma ni kami boleh memasak, basuh baju, tonton
televisyen, guna wifi dan sebagainya tetapi berlandaskan peraturan tertentu.
Satu lagi peraturan Jerman yang saya baru belajar ialah merokok adalah dilarang
di dalam mana-mana bangunan. Di Haus Hemma pun sama, di garden belakang pun tak
dibenarkan merokok. Antara soalan-soalan yang Paula ajukan pada saya ialah “Do
you eat pork?” “Do you smoke?” yang saya rasa orang di sini tak tahu tentang
kita. Saya boleh nampak wanita-wanita merokok di jalanan dan benda tu kalau
orang buat di Malaysia mesti kena kecam. Mungkin bila dah kenal mereka nanti,
saya boleh perkenalkan budaya Malaysia dan Islam di sini. Memanglah Paula kata
ada ayam juga di mensa (kantin) tapi saya tak yakin orang mensa tu sembelih
dulu ayamnya.
Setelah uruskan apa yang patut di sini, Paula pun balik dan
saya pun akhirnya dapat berehat di bilik. Cuma Haus Hemma ni agak sunyi sebab
yang lain belum sampai lagi. Saya yang merupakan orang pertama sampai. Oh ya,
mungkin tak berapa sunyi sebab setiap jam saya akan dengar bunyi loceng gereja
sebelah haus ni. Rasa janggal juga sebab selalu dengar orang Azan, di sini
dengar bunyi loceng sepanjang masa. Rindu pula dengar azan masjid. Saya masih
belum unpack barang-barang saya sebab masih sakit-sakit badan sikit. Mungkin
esok saya sambung. Jadual untuk esok, saya perlu ke OTH jam 10 pagi. Saya pun
tak tahu lagi jalan ke sana atau bas apa yang perlu saya naik. Mungkin saya
akan keluar awal sikit, kalau-kalau tersesat. Jadi, saya rasa itulah serba
sedikit ringkasan saya untuk hari pertama di Regensburg. InsyaAllah, jika ada kelapangan
lagi, saya akan update lagi kisah-kisah saya di Regensburg jika ada pembaca
blog Nafas Baru yang berminat membacanya.
Buat masa sekarang, saya rasa saya perlu berehat dulu
memandangkan ada banyak taklimat esok hari. Oh ya, terima kasih juga kepada
keluarga dan rakan-rakan yang mendoakan perjalanan saya di sini. InsyaAllah,
saya pasti akan jaga diri di negara orang ini.
Sampai bertemu lagi di penulisan seterusnya.
Regensburg 2:19 am 5 Sept
Malaysia 8:19 am 5 Sept
No comments:
Post a Comment