Thursday, 19 September 2019

Dipelawa untuk Minum Wain | Trip to Wurzburg Part 2

Selepas melawat gereja, kami dibawa ke Residenz Wurzburg yang merupakan bekas tempat kediaman prince-bishop. Bila saya tengok tempat kediaman orang kaya-kaya ni, saya tak tahulah macam mana mereka ni boleh kaya sangat. Melawat garden saja pun dah luas dan banyak pecahan. Terdapat hampir 300 bilik dalam Residenz tersebut. Kami tak dibenarkan untuk mengambil gambar dan membawa beg di dalam, jadi tak dapatlah nak kongsikan gambar bahagian dalam Residenz. Saya tak pasti sama ada bayaran dikenakan atau tidak, sebab macam yang saya sebelum ni, saya cuma membayar tiket tren untuk lawatan ini. Apa yang saya tahu, kalau nak masuk dalam Residenz ni adalah melalui lawatan yang dibimbing oleh tour guide, mengikut masa-masa tertentu.

Selepas selesai lawatan di Residenz, akhirnya barulah kami diberikan masa bebas untuk meneroka bandar Wurzburg. Saya, Anja, Felia, Mia, Yohanes (Indonesia) dan Yan (Czech Republic) memutuskan untuk gerak bersama. Saya baru berkenalan dengan Yan hari ini. Dia mengambil kursus Cyber apa entah, yang saya lupa nama penuhnya, tapi ada kaitan dengan robotik. Di OTH ada dalam 100 lebih fakulti, jadi tak hairanlah ada banyak sangat fakulti yang saya tak pernah dengar di USM, wujud di sini. Yan sempat bertanya pada saya, kenapa orang di Malaysia lebih banyak memakai tudung berbanding dengan orang di Indonesia. Pertama kali juga saya mendapat soalan cepumas sebegini. Saya pun tak tahu fakta itu betul atau salah, tapi saya cakap ramai juga orang Indonesia yang bukan muslim macam Felia dan Anja, jadi mereka tak pakai tudung. Tapi kalau orang Melayu di Malaysia memang majoriti muslim, sebab itulah pakai tudung. Yan mengangguk faham. Harap-harap dia fahamlah jawapan-jawapan yang saya goreng tu.



Misi kami yang pertama mestilah nak mencari makan tengah hari. Anja teringin nak beli crepe tapi Yan teringin nak makan kebab. Jadi kami singgah di kedai jual crepe. Apa yang bagus ialah saya dapat melihat sendiri cara pembuatan crepe di situ, cuma saya tak tahu nak baca pilihan jenis crepe yang ada. Felia menterjemahkan menu kepada saya. Saya memilih crepe pisang dan madu, sebab yang itu paling saya yakin tak mengandungi bahan pelik-pelik. Dan menu selebihnya saya malas nak suruh Felia terjemah sebab banyak sangat. Saya membeli crepe dengan harga 4,50 Euro. Rasanya lebih kurang macam roti canai Subaidah USM yang mengandungi inti pisang tetapi ditambah madu. Kalau di Subaidah, harganya dalam RM 2.20 kalau tak salah saya. Disebabkan saya bukan penggemar madu, rasanya boleh tahanlah. Kalau diganti dengan susu mungkin lebih sedap. Saya, Anja dan Mia membeli crepe pilihan masing-masing.


Selepas itu, kami bergerak ke kedai kebab untuk mencari kebab Yan. Portion kebab di sini sangat besar dan boleh didapati dengan harga sekitar 5 Euro lebih. Yohanes, Yan dan Felia membeli kebab pilihan mereka. Mereka sendiri pun tak tahu kebab apa yang mereka order, main order saja. Rupa-rupanya, kebab kambing. Kalau saya, memang confirm dah tak makan. Abang Ahmad (rujuk entry hari kelima) pernah cakap, hampir semua kebab di sini halal sebab disediakan oleh orang Turki. Kalau bukan orang Turki yang jual pun, supplier mereka sama. Jadi boleh kalau nak makan. Kami duduk selama beberapa minit di kedai kebab sampai semua selesai makan. Misi yang seterusnya, Mia pula ingin mencari onion cake jadi kami pergi ke tempat yang menjualnya. Saya pelik juga macam manalah rupa onion cake yang dia nak makan tu, rupa-rupanya macam pizza yang ada bawang. Katanya, rasa onion cake tu biasa-biasa saja.



Kemudian, kami berhenti rehat di tepi Stone Bridge untuk menghayati pemandangan tepi sungai dan mengambil gambar. Di situ, kami makan snek yang dibawa masing-masing dan bersantai. Stone Bridge di Wurzburg ni hampir sama dengan Stone Bridge di Regensburg. Bahkan struktur binaan bangunan yang lain pun tak banyak beza dengan Regensburg. Kadang-kadang boleh buat saya terlupa saya berada di Wurzburg, bukan Regensburg. Kedua-dua bandar ni mengaku yang Stone Bridge masing-masing adalah jambatan yang paling lama dibina, tapi saya tak tahu mana satu fakta yang betul. Sambil bersantai, saya nampak sebuah kapal cruise lalu di hadapan kami. Kapalnya begitu panjang, rasanya kalah kepanjangan kapal-kapal yang ada di Malaysia. Dan saya dapat melihat orang mengintai serta melambai dari bilik masing-masing di dalam cruise tersebut. Agaknya berapalah bayaran naik cruise itu.




Setelah puas menghayati pemandangan dan bergambar, kami naik ke atas jambatan yang sesak dengan kerumunan manusia, sebab ketika itu sedang berlangsung Weinfest (Pesta Wain). Juga sesak dengan pelancong yang datang untuk melawat secara berkumpulan. Ada orang yang bernyanyi, ada yang membuat persembahan, ada yang mempromosi sesuatu dan selebihnya rancak menghayati wain di atas jambatan. Anja dan Mia memang dari pagi dah cakap teringin nak minum wain. Yang lain-lain mengaku bukan heavy drinker. Kami pergi ke sebuah warung yang menjual wain. Anja dan Mia masing-masing membeli segelas wain yang berharga 3 Euro lebih. Kami cuma menunggu sementara mereka membuat pembayaran. 

Sesudah mendapatkan gelasnya, Mia menghampiri saya dan menghulurkan gelasnya, offer jika saya nak rasa sikit. Dia tak tahu yang saya tak minum alkohol, jadi saya segera menolak dengan baik. “I don’t drink alcohol or wine.” Kalau di Malaysia, orang offer minum air selalunya saya minum saja. Nasiblah sedar juga, kalau tak sedar tu silap-silap boleh terus teguk dah. Selepas membeli wain, kami naik ke atas castle sebab masih ada beberapa jam sebelum waktu berkumpul. Castle Wurzburg terletak tinggi di atas bukit, jadi kami perlu mendaki tangga untuk naik ke atas. Tapi pendakian ke atas memang agak berbaloi, kerana kami dapat melihat pemandangan Wurzburg dari atas bukit. Kami tak boleh masuk ke dalam castle, tapi boleh berjalan atau berkeliaran di kawasan sekitarnya. Tiada bayaran dikenakan untuk masuk ke kawasan castle. Tandas di situ juga percuma, tak kena bayaran. Saya boleh memuji tindakan pihak berkenaan yang tidak mengenakan bayaran untuk melawat kawasan castle, kalau di Malaysia nak masuk tempat-tempat lebih kurang macam tu selalunya dah kena bayar. Tapi tak hairanlah sebab Jerman merupakan sebuah negara yang kaya.

Pemandangan dari atas bukit sangat menarik. Dah macam enam sekawan tengah mengembara di bumi asing pula. Kawasan castle tu memang nampak macam dalam filem-filem perang dan saya boleh bayangkan situasi askar atau pengawal yang mengawal keliling kawasan istana. Kalau zaman dulu, nampak rakyat jelata macam kami berkeliaran di situ, silap-silap dah kena tembak sebab menceroboh. Kami menghabiskan masa berbual dan menghayati pemandangan. Dari atas bukit, saya jadi teringat pula Malaysia. It feels weird being at the top of some part of the world, far away from your homeland. 


Kami melihat pemandangan dari banyak posisi sebab kawasan castle tu luas. Pemandangan dari tepi dan bahagian belakang bukit tak sama. Di bahagian belakang, temboknya tinggi sikit dari bahagian tepi kalau nak panjat untuk duduk. Yan panjat ke atas diikuti Felia dan Mia. Felia tu memang atlet, panjat pokok pun dia boleh rasanya. Anja tak nak panjat sebab takut lukakan kaki masa panjat. Yohanes pun tak panjat sebab takut ketinggian. Saya kalau ikutkan boleh saja panjat, tapi sebab ada Yan dan Yohanes macam tak sopanlah pula, jadi saya tak panjat. Yan punyalah suruh panjat juga. Katanya dia boleh tolong angkat kalau tak sampai. Haha memang taklah. Saya, Anja dan Yohanes kemudian mencari posisi lain yang lebih rendah jauh sikit dari kawasan tu untuk tengok pemandangan.



Selepas semua dah puas menghayati pemandangan, saya mengajak yang lain untuk singgah di kedai souvenir sebab saya nak tengok harga souvenir di situ. Rata-ratanya dalam 4 Euro ke atas, itu pun yang magnet saiz kecil. Jadi saya tak beli sebarang souvenir di Wurzburg sebab kalau di Regensburg, harga souvenir yang lebih kurang sama boleh dapat dalam 1 Euro.  Beza banyak tu 1 Euro dengan 4 Euro kalau tukar ke Ringgit Malaysia. Akhirnya, kami berkumpul pada masa dan tempat yang dijanjikan, platform nombor 7 untuk mengambil tren pulang. 


Buat hari ini, saya terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada Wurzburg. Jika ada ruang dan peluang lagi, mungkin kami boleh datang lagi untuk menghayati pemandangan dan bersantai di atas bukit. Selepas tamat kembara kami di Wurzburg, masing-masing pun pulang dan rasanya kami tidur dengan nyenyak sekali.

No comments:

Post a Comment