Sunday, 8 September 2019

Enjoy your life here! Smoke! Sex! Drugs!

Bismillahirrahmanirrahim.

Hari keempat di Regensburg. Kami berkumpul seawal jam 10 pagi di Bismarckplatz, satu kawasan di tengah kota Regensburg. Saya sebenarnya tak tahu apa aktiviti pagi ini, rupanya City Ralley yang ada di dalam tentatif tu merupakan satu explorace sekitar kawasan bandar Regensburg. Kami dibahagikan kepada lima kumpulan. Dalam kumpulan saya ada pelajar dari Sepanyol, Itali, Corsova, Turki, Czech Republic dan sekitar Eropah. Saya seorang saja dari Asia dalam kumpulan tu. Kami menamakan kumpulan kami Orange is The New Pack. Sepanjang explorace hari ini, saya sempat berkawan dengan pelajar dari Corsova yang turut tinggal di Haus Hemma tapi bangunan lain. Cantik orangnya, nama Ariana. Juga sempat berkenalan dengan Ali dari Turki. Dia juga merupakan seorang Muslim.


Di checkpoint pertama, tugasan kami senang saja. Perlu mencari restoran Itali dan Asia dan mengambil kad bisnes kedai tersebut dalam masa 15 minit. Cabaran yang terlalu senang sebab tak jauh dari lokasi kami dah jumpa kedai Ha Tien, mungkin dari Taiwan atau China. Di checkpoint kedua, kami berjalan ke bawah Stone Bridge, salah satu jambatan yang terkenal di Regensburg. Tutor kami menunggu di bawah jambatan. Waktu itu masih lagi hujan, dan sepanjang explorace kami terpaksa menggunakan payung. Bayangkanlah betapa sejuknya ketika itu, dengan kasut saya yang serap air. Di checkpoint kedua, kami disuruh menghasilkan pakaian tradisional Jerman yang dipanggil ‘dirndl’, banyak dipakai di area saya. Mungkin saya lupa maklum dalam entry sebelum ini, tapi Regensburg merupakan satu bandar dalam area Bavaria. Dirdnl ni banyak dipakai di Bavaria dan Austria, tapi cuma pada musim perayaan. Saya dah tengok dirndl ni semalam dalam kedai H&M yang dicuba oleh Felia. Kalau untuk lelaki dipanggil Lederhosen. Macam kita di Malaysia, baju kurung dan baju melayu. Di sini dirndl dan lederhosen.

Tutor kami dah sediakan kertas warna, tali dan selotep dan kami disuruh untuk hasilkan dirndl sekreatif yang mungkin. Jadi kami pilih seorang model dan ada seorang lelaki ni rasanya memang ada bakat fesyen. Senang saja dia atur, gunting dan hasilkan dirndl untuk kumpulan kami. Serius cantik hasilnya. It was fun. Setelah itu, kami kena ambil gambar kumpulan yang kreatif atas jambatan. Lawak juga semasa proses jana idea. Akhirnya, kami buat satu scene seorang perempuan yang dilamar atas jambatan. Saya lampirkan foto untuk anda lihat hasilnya. Jangan terkejut sebab LGBT bukan benda yang diharamkan di Bavaria.


Di checkpoint ketiga pula, kami ada tiga tugasan. Yang pertama, cari tahun penubuhan kedai Hutmacher, satu kedai yang menghasilkan topi macam topi dalam cerita Harry Potter. Kedua, cari ketinggian salah satu gereja di situ dengan tanya orang awam dan ketiga kena buat video ‘yoddle’. Alah, yang nyanyi-nyanyi pelik tu. Mungkin itu juga sebahagian dari tradisi Bavaria. Kami berpecah kepada kumpulan kecil. Saya dan dua orang lagi masuk ke kedai Hutmacher dan selepas bertanya kepada petugas kedai, kami mendapat jawapan kami. Setelah itu saya dan kumpulan berkumpul semula dan membuat video yoddle, yang saya tak ingin kongsikan kerana buruknya yoddle kami semua. Eheh.

Di checkpoint keempat, kami disuruh untuk mencari satu vending machine lama dan bergambar di hadapannya. Juga tak ada masalah sebab salah seorang dari kami bertanya kepada seorang yang lalu lalang dan dia terus membawa kami ke tempat tersebut. Ia merupakan satu vending machine yang menjual bir rasanya, tapi kami tak masuk dalam. Orang Jerman yang kami tanya soalan tadi sangat sporting, tapi terlebih sporting sampai saya rasa awkward. Dia tanya saya boleh cakap English atau tidak. Rasa terhina pula di situ. Haha. Tapi saya tahu niatnya baik nak bagi semua orang faham. Macam-macam yang dia pesan bila tahu kami international students di sini. Dia juga sempat menjerit, “Enjoy your life here! Smoke! Sex! Drugs! But no weeds. No ecstasy!” dan rakan-rakan sekumpulan yang lain pun apa lagi, hyperlah mendengar pesanan tu. Benda-benda ni bukan satu benda yang asing bagi negara non-muslim, tapi sudah tentulah saya janggal di situ. Kalau dengar pesanan macam ni di Malaysia, mesti kena kecam teruk. Tapi takkanlah tiba-tiba saya nak berceramah di situ, “Haram! Haram!” Silap-silap kena tendang keluar dari Jerman nanti. Jadi saya diam sajalah.

Kemudian kami bergerak di checkpoint kelima. Kami perlu bertanyakan sesuatu di galeri muzium. Saya tak faham sangat tugasan kelima, tapi yang saya tahu dah selesai. Dan kami juga perlu merakam video kreatif di kawasan berhampiran muzium, jadi kumpulan kami buat mannequin challenge di situ. Setelah selesai kelima-lima checkpoint, kami bergerak semula ke kawasan berkumpul tadi. Ada beberapa kumpulan yang sudah tiba awal lagi daripada kami. Saya yakin kumpulan kami dah kalah. Sementara menunggu kumpulan lain tiba, Imran, pelajar dari Malaysia menghampiri saya dan kami sempat berbual. Dia junior, dua tahun lagi muda. Sebaya adik saya Afza yang sedang berseronok di Jogjakarta.

Setelah semua kumpulan sampai, masa yang dinanti-nantikan pun telah tiba. Pengumuman pemenang. Saya masih lagi berbual dengan Imran, kumpulan dia yang pertama sampai. Dia dengan yakinnya dah menang. Tiba-tiba, kumpulan Orange is The New Pack yang dinobatkan sebagai pemenang. Wah, seronok habis saya masa tu. Rasanya saya ni memang beruntung orangnya. Tak banyak menyumbang, tiba-tiba menang. Setiap ahli kumpulan kami diberi hadiah bekas air yang mempunyai logo universiti. Bukan senang nak dapat.

Saya rasa seronok sepanjang explorace sebab dapat berkenalan dengan orang baru yang baik-baik, sporting dan dapat menjelajah sekitar bandar Regensburg. Tak adalah sempat sangat nak berhenti bergambar di setiap tempat yang cantik, tapi ada masih ada banyak masa di sini jadi tak risau sangat. Saya suka kota Regensburg. Tempatnya cantik dan tenang. Tapi baru hari-hari awal di sini. Buddy saya kata nanti lama-lama bosanlah tu. Mungkin sebab dia dah tinggal dari kecil di sini.

Selesai aktiviti pagi ini, kami semua dibenarkan pulang. Dah hampir pukul 1 petang rasanya masa tu. Imran mengajak saya ke sebuah market halal, alang-alang kami naik bas yang sama untuk balik. Sewaktu kami sedang menunggu di perhentian bas, seorang lelaki international student menghampiri kami untuk berbual. Dia memperkenalkan dirinya dan menghulurkan tangan untuk berjabat dengan saya. Saya cuma tarik kedua-dua tapak tangan ke dada (tiru gaya Yohanes). Masa tu rasa bersalah pun ada sebab rasa macam malukan dia. Tapi kalau sekali dah tersalam jabat tangan, tak mustahil lepas ni benda-benda tu akan jadi biasa. Jadi lebih baik saya menghindar. Selepas itu, dia berbual dengan orang lain di bus stop dan kami pun naik bas kami.

Alhamdulillah, lega rasanya bila dapat jumpa market halal yang ada ayam dan semua bahan halal. Namanya Al-Medina Markt. Di situ, barulah saya nampak ramai orang Muslim Jerman yang membeli bahan makanan. Cuma saya tak beli lagi barang sebab tinggal 20 Euro saja dalam dompet masa tu. Saya bercadang nak cari rice cooker dulu baru mula memasak. Imran juga offer kalau nak pes atau nak nasi lebih nanti bagitahu saja, katanya dia selalu termasak nasi lebih. But me being me, mungkin saya masak nasi sendiri saja nanti daripada nak kena jalan naik bas ambil di rumah orang. Dia juga mengajak saya untuk makan tengahari esok di rumah seorang akak dari Malaysia yang mengikut suaminya bekerja di Jerman. Katanya akak tu seronok kalau jumpa orang Malaysia sebab dah lama tak nampak.


Selepas menjenguk Al-Medina Markt, saya pulang ke haus. Kami sepatutnya berkumpul semula jam 5 petang di Arnulfsplatz untuk pesta DULT malam ni. Kalau lambat, tak ada meja untuk kami. Saya tak tahu DULT ni apa sebenarnya, tapi Paula kata di area funfair dan orang minum-minum bir. Jadi bila mereka kata tempah meja, saya tahu mesti untuk minum bir. Dan Asar juga masuk jam 4.47 petang, memang akan lambatlah saya ke sana. Tak mungkinlah kalau dah sampai sana nak cari tempat untuk solat Asar. Jadi saya pun buat jadual sendiri macam biasa.

Saya bagitahu Paula yang saya akan lambat dan tak nak duduk di meja. Nasiblah Paula ni pun faham dan hormat agama saya. Asalnya Paula nak datang perkenalkan boyfriend dia Alex pada saya tapi Alex tak sihat hari ni, jadi saya jalan dengan Paula saja. Saya menyuruh Paula untuk tunggu saya di perhentian bas Arnulfsplatz. Hujan sudah berhenti waktu itu jadi saya tinggalkan payung di haus. Sebenarnya bila turun tingkat bawah baru teringat tapi malas naik ambil. Dalam 5.30 lebih, saya sampai dan Paula membawa saya ke tapak pesta.




Memang tempat tu merupakan satu funfair dan sangat meriah. Saya pun tak ingat kali terakhir saya pergi funfair di Malaysia. Biasalah, benda-benda lagha. Tapi saya rasa bila dah duduk di Bavaria ni, takkanlah tak nak ambil peluang untuk kenal budayanya. Paula bawa saya masuk ke bawah khemah di mana semua orang berkumpul bersama keluarga dan rakan-rakan untuk minum bir.


Makanan luar boleh dibawa masuk tetapi dengan syarat perlu membeli bir di situ. Saya cuma masuk tengok sepintas lalu saja. Suasana di dalam khemah yang besar itu sangat meriah. Ada beberapa orang menyanyi dan bermain muzik. Ada juga seorang wanita yang sedang memanjat tiang untuk membunyikan loceng. Kalau dapat bunyikan loceng, dia akan dapat minum bir dengan percuma. Saya tak nampak mereka yang lain, tapi saya juga tak berniat nak cari. Takut dipanggil ajak duduk sekali pula.



Paula ada tanya kalau saya nak cuba ‘alcohol free bir’. Katanya minuman tu tak ada kandungan alkohol dan bir, jadi saya boleh minum. Memang taklah saya nak minum. Kalau tak ada alcohol, jangan letak nama ‘alcohol free bir’. Letak nama tap water ke apa. Sepanjang pesta tu saya tak beli sebarang makanan atau minuman, cuma melawat kawasan. Saya bawa bekalan minuman sendiri untuk diminum. Banyak yang saya belajar tentang budaya Bavaria dan Regensburg daripada Paula. Paula juga mengajak saya untuk menaiki ferris wheel di situ. Bila dia cakap, “I want to invite you to ride on this,” dengan penuh teruja, siapa yang boleh menolak? Harga naik ferris wheel adalah sebanyak 5 Euro, tapi Paula yang bayarkan untuk saya. Jimatlah RM23 saya. Dari puncak atas, saya dapat melihat seluruh kawasan Regensburg. Memang cantik. Waktu itu, saya rasa bersyukur sebab dapat menjejakkan kaki di kawasan ini. Paula menunjukkan tempat-tempat di Regensburg dari atas tu. Rasanya ada banyak lagi tempat yang perlu saya teroka walaupun hari ni dah berpusing area city Regensburg. Ada banyak lagi tempat lain.

Selesai pusing kawasan funfair, Paula bawa saya ke area jualan pula. Ada banyak barang khususnya barang keperluan dapur dan candy, sweets dijual. Saya pun tak tahu kenapa barangan dapur dijual di pesta. Tapi harganya lebih mahal berbanding di kedai biasa. Di Regensburg juga, orang bawa anjing jalan itu perkara normal sampai masuk kedai, pasaraya, dan juga di pesta. Sempatlah juga saya terkejut nak elak bila anjing muncul entah dari mana. Tapi selalunya anjing akan diikat oleh tuannya. Tak pernah lagi saya nampak anjing yang berkeliaran sendiri jadi tak adalah rasa takut sangat bila jalan sendiri. Setakat ini, saya belum pernah lagi nampak kucing di sini.

Kemudian, saya ternampak seorang lelaki yang memakai dirndl. Paula cakap, itu adalah tradisi apabila seorang lelaki yang dah nak berkahwin, dia akan disuruh untuk buat perkara yang memalukan di pesta sebagai tanda ikhlas nak kahwin dengan pengantin perempuan. Paula menyuruh saya untuk bergambar dengannya. Mula-mula saya menolak tapi sebab Paula macam teruja nak suruh saya bergambar, saya ikutkan saja. Orang yang memakai dirndl itu sedang ditemani oleh dua orang lelaki, mungkin dari keluarga pengantin perempuan. Kedua-dua rakannya itu sangat sporting dan bila Paula minta untuk bergambar, mereka langsung mengusik dan bersetuju. Orang yang pakai dirndl tu yang nampak macam malu-malu tapi dia layankan saja. Semasa bergambar, rakannya menyuruh kami untuk bergambar rapat. Dia siap menyuruh lelaki itu untuk merangkul saya. Terus saya reject, cakap tak perlu. Nasiblah bakal pengantin tu faham. Nanti tak pasal-pasal bakal isteri dia cari saya pula.


Selepas itu, hujan mula turun. Saya dan Paula terpaksa membatalkan rancangan untuk pergi ke kedai lain. Lagipun saya memang bercadang nak balik cepat untuk Maghrib. Waktu Maghrib di sini panjang sikit dari Malaysia. Isyak masuk dalam 9.15 malam. Sewaktu berjalan pulang, hujan mula turun dengan lebat dan kami berdua basah lencun juga masa balik. Jadi pepatah kita hari ini, sediakanlah payung sebelum hujan ya. Bercakap pasal payung, kalau ada MPD yang baca, saya guna payung biru MPD di sini. Okay. Side note saja.

Aktiviti hari ni memang sangat seronok, dari explorace, jumpa market halal dan juga DULT. Oh ya, sebenarnya saya baru tahu yang DULT tu merupakan singkatan untuk Bavarian Beer Festival. Lepas dah tahu adalah rasa serba salah juga sebab join pesta bir, tapi situasinya adalah seperti yang saya ceritakan di atas. Saya tak minum bir, melagha dan sebagainya. Dan saya pun balik awal. Side note kalau ada yang bising nanti. Haha. Tapi insyaAllah saya tahu kawan-kawan yang baca blog saya ni bukan jenis yang kecam-mengecam. Sebab tu saya boleh ceritakan kisah saya di sini. Belum masuk kelas lagi bolehlah cerita banyak benda. Bila dah mula kelas, rasanya sama saja macam situasi di USM nanti. Eheh. Ok, rasanya dah cukup panjang tulisan hari ni. Kita sambung lain kali pula ya.

Sampai bertemu lagi dalam penulisan seterusnya.


Regensburg 6:30 am 8 Sept
Malaysia 12:30 pm 8 Sept

No comments:

Post a Comment