Thursday, 12 September 2019

Ariana Seorang Muslim?


Bismilllahirrahmanirrahim.

Hari kelapan di Regensburg. Hari ini saya akan kongsikan tentang Ariana dari Kosovo dan Ali dari Turki yang pernah saya ceritakan dalam entry hari keempat saya di sini, semasa sesi City Ralley. Seperti biasa pagi ini, saya turun ke bawah untuk bersarapan. Saya jumpa Felia, Anja dan Zira di ruang makan. Beberapa minit selepas saya masuk, saya melihat Ariana dan seorang rakannya juga masuk untuk bersarapan. Terujalah juga saya sebab kali terakhir nampak dia masa City Ralley hari tu. Selepas bersarapan, saya, Zira, Felia, Anja, Ariana dan rakannya Vesa bergerak sekali ke OTH. 

Ariana juga merupakan penghuni Haus Hemma tapi di bangunan sebelah. Haus Hemma ni macam ada tiga bangunan. Bangunan sebelah kanan yang menempatkan hampir majoriti orang Asia, bangunan tengah untuk receptionist, kemudahan fasiliti dan ruang sarapan, serta bangunan sebelah kiri yang belum pernah saya masuk. Rasanya bangunan itu menempatkan majoriti pelajar dari Eropah. Secara jujurnya, saya tak tahu macam mana mereka bahagikan bilik kami, tapi kalau bahagi ikut Asia dan Eropah, saya tak rasa itu perkara yang sihat.

Dalam perjalanan, saya, Ariana dan Vesa berbual banyak benda. Dalam bas pula, kami bertemu dengan seorang lagi rakan Ariana dari Kosovo yang bernama Albiona. Selepas turun bas, saya berpisah dengan Felia, Anja dan Zira kerana kelas mereka di bangunan lain. Manakala Ariana dan Vesa sepatutnya mengambil kelas Jerman Intermediate juga tapi mereka nak tukar kelas Beginner macam saya dan Albiona sebab kali terakhir mereka belajar bahasa Jerman adalah semasa sekolah dulu. Ariana dan rakan-rakannya dari Kosovo memang baik. Ada sesetengah orang Eropah yang saya rasa awkward kalau nak berkawan, macam ada satu vibe yang menjarakkan. If you know what I mean. Tapi dengan Ariana, tak rasa wujud vibe tu. Rasa macam boleh kawan-kawan macam kawan Melayu. Cuma bezanya kena speaking English. Masalah bila speaking ni, kalau dengan orang Malaysia, kadang-kadang kalau kita tak tahu apa perkataan tu dalam English, kita boleh selitkan perkataan Melayu. Tapi kalau di sini tiba-tiba blur nak terangkan perkataan tu, orang tak akan faham apa yang nak disampaikan. Akhirnya saya akan cakap, “Never mind”.

Vesa ada bertanya saya kalau saya ada jumpa masjid di sini. Saya cakap, masjid tu ada tapi saya tak pernah pergi lagi. Masa tu saya ingat Vesa ni cuma salah seorang yang considerate macam Anja. Tak lama lepas tu, tiba-tiba Ariana cakap, “We are Muslims.” Masa tu saya terberhenti jalan sebab terkejut. “Wait. You’re a Muslim? All three of you?” Albiona mengukuhkan hujah dengan memberitahu hampir 90% lebih rakyat di Kosovo beragama Muslim. Saya langsung tak jangka fakta itu sebab saya baru pertama kali dengar tentang negara Kosovo masa jumpa Ariana. Kosovo ni merupakan satu negara yang mengisythiharkan kemerdekaan sendiri sekitar tahun 2008, kira baru juga merdeka. Asalnya Kosovo merupakan sebahagian dari Serbia, kemudian keluar dari Serbia. Kalau sebut Serbia, pernahlah juga saya dengar. 

Bukan apa, satu faktor yang membuatkan saya tak sangka mereka Muslim tu sebab saya tak pernah dengar tentang Kosovo, dan satu lagi sebab tak pakai tudung. Disebabkan curious, saya tanya saja mereka tu solat atau tidak. Ariana kata sometimes. Saya tanya lagi tentang pemakanan mereka. Katanya mereka tak minum bir atau pork. Tapi saya rasa cara pemakanan mereka taklah macam yang Melayu Islam titikberatkan. Rasanya mereka makan saja semua benda selain pork dan tak minum bir. Tapi tak tahulah juga. Mungkin nanti saya akan bertanya lebih lanjut pada mereka. Bila dapat tahu ada kawan-kawan Islam ni, saya gembira tapi tak adalah segembira mana yang sepatutnya. Sebab saya tak dapat sangat mencari titik persamaan kami lagi dalam beragama. Apa pun, agama dan bangsa bukan sebab utama saya berkawan, jadi benda tu tak adalah jadi satu masalah.

Sampai di kelas, Ariana dan Vesa masuk ke kelas Albiona untuk bertanya pada pensyarah atau di sini panggilannya semua professor, walaupun ada yang bukan ‘professor’ jika mereka boleh pindah ke kelas Beginner. Saya masuk ke kelas saya di sebelah. Untuk Beginner, kami dibahagikan kepada dua kelas. Tak lama selepas kelas bermula, saya nampak Ariana dan Vesa masuk ke dalam kelas saya. Rupa-rupanya kelas sebelah dah penuh jadi mereka perlu sertai kelas saya. Seronoklah juga sebab dapat kelas sama. Pelajaran hari ni sangat interaktif dan seronok walaupun banyak juga yang saya tak faham professor tu cakap. Tapi bila belajar pasal nombor, saya laju sebab dah belajar dulu.

Selesai kelas, saya, Ozzy, Ariana, Vesa berbual-bual di luar sambil menunggu Albiona habis kelas. Tak lama kemudian, Albiona pun muncul bersama Ali. Mula-mula saya tak cam Ali sebab masa City Ralley hari tu, dia pakai sweater yang menutup kepalanya masa kami bersembang. Bila tak pakai sweater nampak lainlah pula. Kelas Albiona dan Ali masih belum habis sebenarnya. Mereka ada setengah jam rehat sebelum sambung balik. Jam 12.30 baru habis. Waktu tu baru jam 10.30 pagi. Saya pun pelik kenapa jadual kami tak sama, tapi tak kisah sangat janji kelas kami habis awal. Ariana nak cari buku bahasa Jerman, tapi tak tahu boleh dapatkan di mana. Memandangkan semalam Ozzy dah tolong saya, saya offer nak tunjuk mereka cara pinjam buku di perpustakaan. Maka kami berenam pun bergerak ke perpustakaan bersama. Ali dan Ozzy tu rasanya bosan tak tahu nak buat apa, jadi mereka pun ikut saja kami. Sayangnya, buku tersebut dah habis dipinjam dari perpustakaan.


Ali kemudian offer nak tunjukkan mereka kedai buku tempat dia beli buku. Jadi kami terpaksa berpisah di situ memandangkan saya sepatutnya ada janji untuk berjumpa Paula di haus jam 2 petang. Cara bersalaman orang Eropah ni cium pipi. Bukanlah cium tapi macam langgar-langgar pipi tu. Jadi kami pun bercium pipi sebelum berpisah. Dengan Ali taklah.

Sebelum pulang ke rumah, saya singgah di Al-Medina Markt untuk membeli barang dapur. Walaupun jauh sikit dari Kaufland, tapi di situlah saya boleh ambil macam-macam benda tanpa perlu meragukan halalnya. Tapi saya tengok jugalah logo halal just in case. Sampai di rumah dah jam 12.30 tengah hari. Kemudian, Paula WhatsApp maklumkan untuk berjumpa di OTH sebab katanya dia sempat temankan kalau saya nak jumpa professor Business Studies. Saya sepatutnya jumpa professor untuk daftar subjek sama ada hari ini atau esok. Mula-mula ingat nak daftar esok tapi dah Paula kata sempat, saya bergerak semula ke OTH selepas Zohor. Perjalanan ke OTH naik bas campur jalan kaki adalah dalam 20 minit.

Alhamdulillah, saya berjaya mendaftar dua subjek iaitu International Marketing dan Economic Ethics. Satu lagi subjek Human Resource Management saya perlu daftar atas talian. Jadual kelas saya setakat ini cuma hari Isnin dan Jumaat, belum masuk jadual kelas Jerman lagi. Saya boleh saja kalau nak tambah subjek untuk suka-suka belajar dan tak perlu ambil peperiksaan. Tapi saya masih pertimbangkan. Sebab jadual kosong sangat. Di sini pun bukan ada kelas tutorial macam di USM. Nanti tak pasal-pasal mereput kebosanan. Selepas mendaftar subjek, Paula membawa saya tour sekeliling OTH dan menunjukkan tempat-tempat yang penting.


Paula menunjukkan sistem di mensa (cafeteria). Bagi saya sistem di sini agak maju. Bila ada kad pelajar nanti, kad tu ibarat kad Touch N Go kita di Malaysia. Boleh juga digunakan untuk naik bas nanti. Bulan depan baru kami dapat kad tersebut. Ada satu mesin yang kita boleh masukkan tunai untuk tambah nilai dalam kad pelajar. Terujalah juga tengok. Dan bayar makanan di mensa semua guna kad pelajar. Kalau nak guna tunai boleh, tapi mahal. Guna kad ada diskaun. Di mensa juga, ada skrin yang memaparkan menu makanan setiap hari. Tapi pelajar juga boleh memuat turun satu aplikasi yang boleh melihat menu untuk seminggu untuk senang buat pilihan. Paula menunjukkan saya aplikasi tersebut. Bahkan, kita juga boleh melihat menu di mensa University Regensburg yang terletak tidak jauh dari OTH. Sampai menu mensa lain pun boleh tengok. Dahsyat juga aplikasi ni. Menu tersebut dikategorikan kepada pork, chicken, vegetarian dan vegan. Jadi kalau nak betul-betul selamat, saya boleh pilih menu vegetarian atau vegan yang memang tidak mengandungi sebarang bahan dari haiwan. Paula kata sedap. But me being me, tengoklah nanti macam mana. Zira pun pernah cerita menu yang boleh saya makan di sini.

Selepas itu, Paula menunjukkan saya sistem di perpustakaan pula. Dari sistem scan dan fotostet. Mesin fotostet tu pun cuma perlu guna kad pelajar untuk bayar. Saya pernah buat proposal kumpulan tentang mesin fotostet automatik dalam salah satu subjek semester lepas, tak sangka di OTH memang dah ada. Cuma tak boleh guna tunai.



Selepas melawat perpustakaan, Paula juga sempat menunjukkan ruangan kelas Business Studies dan tempat untuk saya solat. Di OTH, ada satu Raum Der Stille (Room of Silence) untuk sesiapa sahaja nak solat, tenangkan diri atau buat yoga. Waktu pergi tadi kosonglah sebab belum buka semester lagi, tapi tak tahulah bila dah ramai orang nanti.


Ada juga microwave yang disediakan kalau sesiapa nak panaskan makanan. Ada bilik untuk keluarga bermain, bilik untuk salin lampin bayi dan sebagainya. Saya rasa semua benda wujud di OTH ni. OTH ni dah lama ditubuhkan, tapi kampus utama yang jadi pusat pentadbiran ni baru dibina dalam 15 tahun yang lepas. Jadi dikira baru lagi. Patutlah bangunannya memang semua nampak baru. Dan mereka juga sedang dalam proses untuk memindahkan kampus di area Prufenger ke situ. Sebab itu banyak penyelenggaraan yang masih berjalan sekarang.


Selepas melawat banyak tempat, Paula membawa saya ke bilik komputer untuk mengakses internet. Di situ dia menunjukkan website untuk saya mendaftar subjek dan cara buat bank akaun online. Cuma bila dia telefon pihak bank, katanya saya kena pergi ke bank untuk temu janji. Jadi kami akan ke bank hari Selasa minggu depan. Selepas jam 4 petang, kami pun akhirnya pulang ke rumah masing-masing.

Hari ini, saya rasa teruja melihat kemajuan di Jerman. Mungkin di Malaysia memang dah ada juga, tapi tak dipraktikkan di USM. Mungkin. Rasa tak sabar pula nak dapat kad pelajar dan gunakan kemudahan di Regensburg ni. Rasanya itu sahaja cerita saya untuk hari ini.

Sampai bertemu lagi.

Regensburg 6:06 am 12 Sept
Malaysia 12:06 am 12 Sept

No comments:

Post a Comment