Bismillahirrahmanirrahim.
Hari ini, sudah genap seminggu saya berada di Regensburg.
Saya boleh katakan hari ini adalah permulaan fasa baru buat saya kerana kelas
pertama saya di Jerman bermula hari ini. Hari ini juga sekolah di Jerman sudah
kembali dibuka, jadi kami di Haus Hemma boleh mendapatkan sarapan kami setiap
pagi bermula hari ini. Pagi saya bermula seawal jam 7.30. Saya dan Zira, salah
seorang penghuni Haus Hemma yang baru pulang dari bercuti di London turun
bersama untuk mendapatkan sarapan. Saya baru berkenalan dengannya semalam. Alhamdulillah,
mudahlah urusan saya bila kenal dengan orang Melayu yang duduk serumah.
Saya
terkejut melihat sarapan yang disediakan, dah rasa macam duduk di hotel pula.
Ada roti, jem dan toaster, cereal, buah-buahan, telur masin, yogurt, air panas
dan jus oren yang disediakan. Mula-mula saya ingatkan telur masin tu buah
tomato sebab warna merah. Rupa-rupanya telur masin di sini memang berwarna-warni.
Ceria betul. Kata Zira, tukang masak hanya akan menyediakan sarapan yang sama
setiap hari. Jadi hari ini saya makan cereal sahaja. Yang lain-lain boleh
tunggu. Tidak lama kemudian, Felia dan Anja pun turun bersarapan. Waktu sarapan
hanya dari jam 6 pagi hingga 8 pagi, jadi kalau nak sarapan memang kena turun
awal semua.
Selesai bersarapan, saya dan Zira bergerak dulu ke OTH. Zira
ni boleh dikatakan senior yang ambil Master di OTH. Tapi pesannya jangan
panggil Akak. Jadi kami panggil Zira saja. Seperti biasa, kami menaiki bas dan
Zira menunjukkan bangunan dan lokasi kelas intensif Bahasa Jerman saya. Felia
dan Anja mengikuti kelas lain, tak sama dengan saya. Saya beruntung dapat kenal
dengan Zira, senang urusan saya nak cari kelas. Kami tiba sangat awal dalam jam
8.25 pagi. Kelas bermula jam 9 pagi. Memang saya manusia terawal yang sampai.
Tak lama kemudian barulah seorang demi seorang muncul di muka pintu hadapan
kelas. Sebelum jam 9, Zira mengundur diri untuk ke kelas intensif Bahasa Jermannya
di bangunan lain. Tahap bahasa Jermannya sudah tentulah lebih tinggi daripada
saya. Walaupun saya dah pernah ambil bahasa Jerman sebelum ini, saya meminta
untuk dimasukkan ke kelas Beginner sebab perlu ulangkaji semula. Kelas intensif
Jerman kami tidak dikenakan sebarang bayaran, begitu juga dengan kelas-kelas
lain yang bakal kami ikuti bulan depan.
Tak sampai 10 orang yang berada dalam kelas pagi ini.
Sepatutnya ada lagi pelajar lain kalau ikut senarai nama, tapi tak tahulah
kenapa yang lain tak muncul. Kemungkinan mereka sesat pun tinggi juga. Di
sebelah kanan saya, seorang pelajar perempuan dari Columbia yang bernama
Kamila. Di sebelah kiri saya pula, Ozzy dari Croatia. Pensyarah kami namanya
Frau Irina. Saya terkejut juga kerana pensyarah memang bertutur dalam Deutch
(bahasa Jerman) sepenuhnya. Nasiblah saya dah ambil bahasa Jerman di USM dulu,
tahulah juga sikit-sikit asasnya. Tapi banyak juga terkial-kial nak kejar apa
yang pensyarah ajar. Kamila di sebelah saya macam dah pakar sikit. Dia faham
semua yang diajar dan boleh terangkan pada saya.
Sepanjang kelas hari ini,
banyak juga saya dipuji oleh Kamila dan Ozzy. Kata Kamila “You’re such a fast
learner,” setelah melihat saya dapat tangkap dengan cepat selepas terkial-kial
awalnya. Saya senyum saja acah humble. Ozzy pula memuji tulisan saya yang
cantik. Padahal saya rasa itulah antara tulisan buruk versi nak cepat saya. Sebenarnya
rasa seronok juga sebab orang-orang dari negara lain puji saya. Agak-agak, dah
level harumkan nama Malaysia tak?
Dalam jam 10.15 pagi, pensyarah menamatkan kelas dan
menyuruh kami untuk memuat turun satu aplikasi untuk belajar Deutch. Usai
kelas, saya masih lagi berbual dengan Ozzy. Banyak cakap juga orangnya. Sampai
dah nak keluar pintu bangunan pun, ada saja benda yang Ozzy nak cakap pada
saya. Disebabkan saya rasa Ozzy ni macam orang yang tengah free, saya terus
tanya jika dia nak join saya untuk ke kedai Euro Shop di area Stadt (city). Dan
tekaan saya memang betul, dia memang bosan dan tak ada sebarang rancangan
selepas kelas. Ozzy pantas bersetuju. Dia pun pernah ke Euro Shop, jadi dia
akan membantu saya menunjukkan jalan.
Sebelum ke Stadt, Ozzy menyuruh saya untuk meminjam buku bahasa
Jerman di perpustakaan saja. Jadi, tak perlulah saya bersusah-payah untuk
membeli buku yang baru kerana saya boleh meminjamnya untuk tempoh sebulan.
Alhamdulillah, jimat duit. Ozzy menunjukkan perpustakaan dan menyuruh saya
bertanya pada petugas kaunter sementara dia pulang menghantar barang ke
rumahnya yang terletak sangat hampir dengan OTH. Petugas di kaunter
perpustakaan itu sangat mesra dan membantu saya untuk proses pinjaman buku.
Setiap pelajar perlu mempunyai kad perpustakaan OTH untuk meminjam buku, jadi
saya perlu mengisi borang dan mendaftar untuk membuat kad. Maka, secara rasmi
dan tak dirancang, saya sudah memiliki kad perpustakaan merangkap kad pertama
yang membuktikan saya merupakan pelajar OTH. Kad pelajar masih belum siap, ada
kad perpustakaan pun jadilah. Bangga juga. Proses pinjaman buku langsung tidak
mengambil masa yang lama.
Selepas berjumpa Ozzy semula, kami pun berjalan ke
area Stadt kerana Ozzy lebih suka berjalan kaki dan tidak ada pas bas lagi.
Perjalanan ke Stadt tidak mengambil masa yang lama, rasanya tak lebih setengah
jam. Sepanjang perjalanan, terlalu banyak benda yang kami bualkan tentang
negara masing-masing. Mostly Ozzy yang bercakap, ada saja benda nak diceritakan
tentang hometownnya.
Lalu di depan Arcaden, saya mengikut Ozzy masuk ke dalam.
Arcaden ni merupakan satu pusat beli-belah yang rakyat Regensburg wajib kenal. Saya
pelik kerana lokasi Euro Shop tu bukan di Arcaden, jadi saya maklumkan pada
Ozzy selepas kami duduk di salah satu tempat duduk di situ. “Yes, it’s not around
here. But you said you were cold just now so we sit here to get you warm up
first.” Lebih kurang macam itulah dialognya. Saya cuma mengadu sejuk saja-saja
untuk menggambarkan cuaca sejuk hari ini dan masih boleh teruskan perjalanan
macam biasa. Tapi bila dia dah cakap macam tu, saya diam sajalah. Jadi kami
ambil beberapa minit rehat di Arcaden sebelum teruskan perjalanan hanya
disebabkan saya cakap saya sejuk. Haha.
Tidak lama kemudian, saya dan Ozzy pun sampai di Euro Shop.
Memang benar seperti yang dikatakan, semua barang di dalam kedai itu berharga 1
Euro. Saya membeli selipar rumah, bateri, cermin dan beberapa barangan keperluan
dengan harga 1 Euro setiap satu.
Setelah itu, kami singgah makan di sebuah kedai bakeri dan masih tak berhenti berbual. Ozzy menceritakan banyak kisah termasuk kisah ISIS dan pelarian Syria yang masuk ke Croatia. Dia siap menunjukkan saya lokasi negara-negara tertentu dalam Google Maps jika saya tak tahu. Cuaca hari ini juga menyebelahi kami pada tengah hari itu. Selalunya akan hujan sepanjang hari tapi hari ini tidak.
Setelah itu, kami singgah makan di sebuah kedai bakeri dan masih tak berhenti berbual. Ozzy menceritakan banyak kisah termasuk kisah ISIS dan pelarian Syria yang masuk ke Croatia. Dia siap menunjukkan saya lokasi negara-negara tertentu dalam Google Maps jika saya tak tahu. Cuaca hari ini juga menyebelahi kami pada tengah hari itu. Selalunya akan hujan sepanjang hari tapi hari ini tidak.
Tapi bila matahari mula panas menggila dan membakar posisi
duduk kami di kedai bakeri itu, saya akhirnya mengajak Ozzy untuk pulang. Saya
memilih untuk naik bas sebab lebih senang. Ozzy menunggu saya sehingga bas
sampai dan kemudian pulang sendiri berjalan. Rasa macam jahat pula datang
sekali balik asing-asing. Eheh.
Sewaktu dalam bas, saya membuka WhatsApp untuk
membaca sebarang pesanan. Pesanan dari Zira yang ajak berjumpa di Stadt,
pesanan dari Paula yang ajak keluar petang itu dan pesanan dari Imran yang ajak
pergi ke Euro Shop. Terasa popular pula tiba-tiba. Pesanan yang terakhir tu
terpaksa diabaikan sebab saya baru saja ke Euro Shop tadi. Rancangan dengan
Paula juga terpaksa ditunda ke esok hari. Saya pulang ke haus untuk solat Zohor
dan keluar semula ke Stadt untuk berjumpa dengan Zira.
Zira membawa saya ke pasaraya Norma untuk menunjukkan ayam
halal. Kemudian, kami ke sebuah kedai bernama DM yang menjual pelbagai pilihan
produk seperti sabun badan, syampu dan sebagainya. Harga barangan di DM juga
jauh lebih murah. Terlalu banyak pilihan sampai saya pun tak tahu nak beli
sabun yang mana. Kata Zira, kalau beli jenama DM sendiri pun boleh dapat lebih
murah. Wangi pun wangi. Kalau di Malaysia, mungkin lebih kurang macam Watsons
tapi jauh lebih besar dan banyak pilihan. Pelanggan Watsons mesti akan teruja
kalau dapat masuk kedai DM ni. Zira juga sempat menunjukkan beberapa kedai
pakaian yang menjadi pilihannya untuk membeli baju.
Selepas itu, kami masuk ke Kaufland dan dia menunjukkan saya
mana nak beli beras, garam, telur, ayam halal dan macam-macam lagi. Hanya satu
jenama saja yang menjual ayam halal di situ, yang saya lupa namanya. Tapi mula
huruf W dan ada logo halal. Jadi kalau saya nak cari ayam lepas ni, saya boleh
cari di Al-Medina Markt, Norma dan Kaufland. Mungkin saya lebih selesa memilih
untuk beli di Al-Medina sebab di situ saya boleh ambil semua bahan tanpa
was-was, semuanya halal. Selepas keliling kawasan, banyak info baru yang saya
peroleh hari ini. Lepas ini saya dah tahu dah nak beli barangan di mana.
Sepatutnya, malam ini kami ada sesi Stammtisch (get
together) lagi tapi di bar. Jadi macam biasa, saya buat jadual sendiri dengan
ponteng. Kami sepatutnya berpiknik di taman, tapi mungkin sebab cuaca yang
sering hujan jadi lokasinya diubah. Kalau piknik, saya pasti dah ikut serta. Anja dan Felia pun tak join malam ni, jadi ada geng. Side note saja, hari ini Anja puji saya cantik pakai tudung pink katanya. Sebab pagi ni saya dah pinjam seterika daripada Zira, jadi dah dapat seterika tudung. Eheh. Apa
pun hari ini, saya rasa macam plot cerita saya di Regensburg ni dah berkembang
sikit sebab dapat jumpa orang-orang yang banyak bantu saya untuk menyesuaikan
diri di sini. Saya masih perlu menggunakan Google Maps untuk tengok lokasi bas
ke tempat-tempat tertentu, sebab ada banyak bus stop dan nombor bas. Lama-lama nanti
oklah tu. Baiklah, itu saja rasanya buat hari ini.
Sampai bertemu lagi dalam penulisan seterusnya.
Regensburg 5:06 am 11 Sept
Malaysia 11:06 am 11 Sept
No comments:
Post a Comment