Hari ini, seawal 7.30 pagi saya dah bersiap untuk ke
Prufeninger. Hari ini kami pelajar exchange perlu ke kampus OTH di Prufeninger
untuk membuat kad pelajar. Selepas sarapan, Ariana tertinggal passportnya di
bilik, jadi kami semua tunggu Ariana untuk naik atas dan terlambat beberapa
minit daripada masa yang dijadualkan. Bas di Regensburg memang sangat mematuhi
masa, jadi kami memang perlu bergerak pantas untuk sampai tepat pada masanya.
Disebabkan terlewat, maka pagi saya, Anja, Felia, Ariana dan Vesa bermula
dengan begitu aktif. Dengan suhu serendah 2 darjah selsius itu, kami berlari
menuju ke perhentian bas untuk sampai tepat pada masanya. Dah lama saya tak
berlari selaju pagi ini. Sampai di perhentian bas, memang rasanya bas kami dah
berlalu pergi. Masing-masing tercungap kepenatan. Jadi kami terpaksa menunggu
bas yang seterusnya.
Sampai di Prufeninger, sama saja kalau kami tak berlari pun.
Semua terpaksa berbaris dalam barisan yang panjang dan menunggu giliran
masing-masing mengikut abjad nama pertama. Waktu saya sampai tu baru huruf A,
jadi Anja dengan Ariana siap paling awal. Setelah sabar menunggu, akhirnya
giliran saya pun tiba. Prosesnya cepat sahaja. Cuma duduk, ambil gambar dan
semak nama. Lepas tu boleh balik. Lepas selesai giliran saya tu baru jam 10
pagi. Jam 11 pagi, saya perlu menyertai Interncultural Training Workshop di
kampus induk OTH. Kawan-kawan yang lain jadual mereka tak sama dengan sama
sebab kami dibahagikan kepada tiga sesi. Khamis, Jumaat dan Sabtu. Ariana dan
Vesa sudah lepas semalam manakala Anja dan Felia perlu datang esok. Ada yang
kata workshop tu bosan, ada yang kata menarik untuk orang yang aktif macam
Ariana. Saya sedang berfikir untuk buat peraturan sendiri dan datang workshop
esok atau pergi saja workshop hari ini.
Courtney (Malaysia) mengajak saya untuk pergi ke workshop
hari ini, tapi dia pergi dulu memandangkan dia berjalan kaki dengan J
(Malaysia). Saya duduk di sebelah Felia, termenung nak pergi atau tak workshop
hari ini. Mereka semua sedang menunggu Vesa dan bercadang untuk makan aiskrim
di Haupbahnhof. Disebabkan jiwa memberontak diselangi mood tak nak pergi
workshop, saya ikut saja Felia dan lain-lain. Mana taknya, workshop sampai 6
petang dan review daripada orang lain, katanya bosan. Selepas Vesa selesai
menangkap gambar, kami berjalan keluar untuk ke perhentian bas. Sampai saja di
perhentian bas, Courtney dan J masih lagi menunggu bas di situ. Punyalah lama
bas tak sampai-sampai lagi. Disebabkan Courtney masih ada di situ, maka
terpaksalah saya mengikutnya untuk ke workshop. Selamat tinggal rakan-rakanku
yang lain, semoga berseronok makan aiskrim.
Dipendekkan cerita, rasanya ada dalam dua puluh orang yang
datang workshop hari ini daripada 30 yang dijadualkan. Kami dibimbing oleh dua
pelajar OTH yang bernama Bianca dan seorang lagi yang saya lupa namanya,
maaf. Mereka memberikan pendedahan
kepada kami tentang budaya Jerman. Kemudian, kami disuruh untuk berpecah
mengikut benua masing-masing dan membincangkan tentang budaya negara untuk
dibentangkan kepada semua. Kebetulan memang yang Asia hari ini cuma 4 orang
saja dari Malaysia, termasuk Courtney. Jadi kami pun sama-sama berbincang.
Selepas selesai perbincangan, kami diberi masa rehat dalam 45 minit. Setelah
berkumpul semula, barulah sesi pembentangan diteruskan.
Saya dapat sekumpulan dengan 4 orang lelaki. Bukan saya yang
pilih ya, itu rezeki namanya. Eheh. Gurau saja. Mereka ialah Alberto, B, C dan
D (nama dirahsiakan atas privasi). Kami dah perkenalkan diri masing-masing pada
permulaan workshop tadi jadi dah kenal masing-masing. Kalau tak ingat nama pun,
semua orang dah diberikan pelekat putih untuk tulis nama dan tampal pada baju.
Sesudah berkumpul dengan rakan sekumpulan, kami boleh terus memulakan sesi
ralley kami. Lokasi pertama kami ialah fakulti yang mempunyai kaitan dengan
nombor. Terus saya cakap Fakulti Matematik. Jadi saya, Alberto, B, C dan D pun
terus bergerak ke checkpoint pertama kami yang terletak di bangunan
bertentangan dengan Studhaus, tempat workshop kami. Semasa keluar, saya sempat
beberapa kali juga terkejut dengan pintu kayu Studhaus yang automatik tu. Macam
pintu bilik kita, tapi automatik buka sendiri bila ada orang yang datang dekat.
Di setiap bangunan OTH, hanya akan ada dua jenis pintu. Satu, pintu automatik
dan satu lagi jenis pintu yang berat untuk ditarik. Nasiblah Alberto selalu
tolong tahankan pintu yang berat. Awal-awal lagi lepas keluar dari Studhaus,
Alberto dah cakap pada saya, “I want to win this.” Memang budaya orang Itali
agaknya nak menang.
Tugasan di checkpoint pertama ialah kami perlu memadankan
jenis hidangan dengan tempat di dalam peta Jerman. Saya kurang mahir bab ini,
tapi dengan bantuan yang lain dan juga Google, kami berjaya menyelesaikan misi
pertama kami. Kemudian, checkpoint kedua kami, perlu patah balik ke Studhaus.
Di situ, kami disuruh untuk senaraikan budaya Jerman beserta nilai dalamannya.
Tugasan kedua pun berjaya kami selesaikan tanpa banyak masalah. Rasa seronok
sebab semua orang dalam kumpulan bagi kerjasama yang baik. Setelah itu,
checkpoint ketiga kami di bilik berhampiran komputer. Saya yakin dengan
lokasinya, jadi beria-ia saya bawa semua ke sana. Dulu Paula, buddy saya pernah
bawa saya ke situ. Tapi biliknya berkunci. Jadi kami pun cuba cari bilik-bilik
lain di kawasan sekitar. Rupa-rupanya, checkpoint kami tu ditampal di dinding.
Semua tak perasan sebab memang ada banyak kertas-kertas informasi dan iklan
yang ditampal di dinding. Di situ, kami perlu menjawab soalan kuiz dalam kertas
tentang peraturan-peraturan di Jerman. Walaupun ada juga peraturan yang
mengelirukan, kami cuba untuk menjawabnya dengan baik.
Checkpoint kami yang seterusnya adalah di mensa (kafeteria).
Di mensa, terdapat lima kepingan puzzle yang kami perlu selesaikan. Setiap
seorang daripada kami cuba untuk menyelesaikan satu puzzle. Saya rasa tugasan
ini adalah yang paling susah antara semua, sebab puzzle tu dipotong sangat
kecil. Kepingan puzzle yang saya selesaikan adalah kepelbagaian roti yang
dijual di kedai bakeri. Semasa sibuk mencantumkan kepingan puzzle, saya dengar
nama saya dilaung dari kejauhan. Ariana, Vesa dan Albiona yang mungkin baru
lepas habis kelas melalui kawasan mensa dan memberi galakan kepada saya. Selepas
menyelesaikan kelima-lima puzzle, kami perlu menulis interpretasi terhadap
puzzle tersebut. Saya menulis interpretasi puzzle saya sebagai variasi roti
yang dijual dan sering menjadi kebanggaan di negara Jerman.
Di checkpoint akhir pula, kami perlu menandakan kategori
barangan kitar semula. Sebanyak 20 gambar yang dicetak dan agak mengelirukan
kerana terdapat lima kategori di situ. Itu pun tak termasuk kategori plastik
dan lain-lain yang tiada dalam senarai. Sekarang saya betul-betul tahu yang
negara Jerman ni memang sangat menitikberatkan amalan kitar semula. Setelah
selesai tugasan di checkpoint terakhir, kami berlima masih termenung untuk
fikirkan nama kumpulan. Daripada awal tadi memang tak dapat fikir nama
kumpulan. Nama yang paling kreatif akan mendapat satu markah bonus.
Beberapa minit juga kami terdiam sebab tak ada idea. B
(bukan nama sebenar) cakap, inilah tugasan paling susah untuk hari ini. C
memberi cadangan Confused Traveller tapi semua macam tak menyahut nama tu. Tak
lama kemudian, Alberto bersuara. “Why not we put something in Malay language?
The other teams will never do the same.” “Okay, what do you guys have in mind?
I’ll translate it in Malay,” jawab saya. Masa tu dalam hati saya fikir letak
sajalah apa pun bukannya orang lain akan faham. “How do you say awesome in
Malay.. like we are the awesome team,” Alberto memberi idea. “Hebat, as in
H.E.B.A.T. I’ll just put Hebat Giler as in a crazy good team.” “Yeah, we’ll go
with that.” Maka begitulah terbentuknya pakatan kumpulan Hebat Giler. Saya
memang bantai saja letak nama.
Selepas selesai di checkpoint terakhir, kami semua pulang
semula ke Studhaus. Bianca membincangkan jawapan untuk setiap checkpoint, dan
kami menyemak jawapan masing-masing. Ada yang betul, ada juga yang salah.
Selepas itu, mereka mengumumkan nama kumpulan yang paling kreatif. “The winner
for the most creative group name is… Hebat Giler!” Masa tu macam nak gelak pun ada sebab macam…
seriuslah? Bianca menyuruh saya jelaskan kepada semua maksud nama kumpulan
saya. Terima kasih Alberto atas cadangan yang bernas tu. Kumpulan kami juga
berjaya mendapat tempat kedua dengan perbezaan 0.5 markah saja dari kumpulan
pertama. Sayang, sikit saja lagi nak menang. Tapi kumpulan yang johan pun dapat
candy jelly saja jadi tak adalah rasa rugi sangat tak menang. Bukannya boleh
makan pun jeli tu. Selepas sesi pengumuman pemenang, maka berakhirlah workshop
kami untuk hari ini. Secara keseluruhan saya rasa banyaklah juga
informasi-informasi baru yang saya dapat hari ini.
Sebelum pulang, tiba-tiba C mengajak saya untuk berjalan di
sekitar Regensburg. Waktu itu baru jam 5 petang. Saya bertanya kepada Courtney
dan dia bersetuju untuk jalan sekali. Tapi tak lama kemudian, J mengajak
Courtney untuk pulang. Dormitori mereka terletak agak jauh dari dormitori saya
maka kami pun berpisah. Sedar tak sedar masa tu hari dah gelap dan C menghantar
saya pulang. Waktu tu memang dalam hati nak cepat-cepat balik saja sebab tak
elok jalan dengan lelaki waktu malam kan. Jalan di Regensburg memang selamat
dan ramai orang, tetapi tetap rasa janggal walaupun sepanjang perjalanan kami
berbual tentang perbezaan negara masing-masing. Tambahan pula, waktu malam di
Regensburg dah semakin sejuk. Di pertengahan jalan, C berhenti mengambil jaket
dari dalam begnya dan menghulurkan kepada saya. Walaupun dah pakai sweater,
cuaca masih sejuk. Saya menolak pada mulanya tapi disebabkan dia mendesak, saya
pun pakai sajalah. Saya rasa selepas ni saya memang perlu beli jaket tebal yang
banyak. Kalau suhu macam ni pun dah sejuk, apatah lagi musim sejuk nanti.
Alhamdulillah, sebelum Isyak, saya berjaya pulang berjalan
kaki ke Haus Hemma. Anja dan Felia sedang menikmati makan malam di dapur dan
saya ceritakan pengalaman workshop saya hari ini kepada mereka. Secara
ringkasnya, that’s how I end my day.
Sampai bertemu lagi di penulisan seterusnya.
20 September 2019
Regensburg
No comments:
Post a Comment