Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum.
Hari kedua saya di Regensburg. Saya bersiap pada jam 9.20
pagi, memandangkan jarak dari Haus Hemma ke OTH cuma sekitar 20 minit jika diikutkan
Google Maps. Yakinnya kamu kan. Saya tidak tahu lagi cara menaiki bas di
kawasan ini. Demi mengelakkan ‘renyah’ naik bas sebab perlu bertukar bas,
maka saya memilih untuk berjalan sahaja. Saya masih belum membeli kad sim
Jerman, jadi saya hanya dapat mengakses internet di Haus Hemma dan OTH sahaja.
Jadi sebelum berjalan keluar, saya pun catatlah arahan secara manual,
jalan-jalan yang perlu saya tempuhi dengan penuh onak duri ranjau kehidupan.
Apa yang saya simpulkan, catatan jalan secara manual adalah
tak efektif berbanding Maps. Adalah juga tersalah ambil simpang, tapi bila saya
periksa telefon bimbit, Maps saya masih bergerak mengikut arah perjalanan saya
walaupun saya offline pada ketika itu. Kalau saya periksa dari awal, tak adalah
tersalah simpang. Yakin saja nak ikut naluri firasat hati. Alhamdulillah sampai
di universiti pun saya dapat baca papan tanda bangunan yang disediakan dan
akhirnya tiba 10 minit lewat daripada masa yang sepatutnya saya tiba. Taklimat
pagi ini cuma tentang akses internet dan perkara-perkara yang sudah dimaklumkan
oleh OTH menerusi e-mel sebelum ini. Juga terdapat beberapa borang yang perlu
diisi dan pendaftaran untuk lawatan ke tempat-tempat tertentu.
Saya duduk di kerusi paling belakang di sebelah seorang lelaki Sepanyol. Nasiblah dia baik nak jelaskan apa yang saya tertinggal 10 minit tadi, tapi biasalah susah juga saya nak tangkap slang bahasa Inggeris orang Eropah ni. Penjelasan tutor-tutor di hadapan pun boleh tak boleh saja saya tangkap. Tapi saya langsung bertanya pada tutor untuk membantu saya mengakses internet sebab saya masih tak dapat akses ketika itu. Kemudian kami diberikan masa rehat sebelum jam 11. Disebabkan tak nak rasa terlalu janggal menjadi satu-satunya orang berhijab dan tak ada kawan di situ, saya keluar buat-buat basuh tangan di tandas. Di tandas, saya mendengar perbualan dua orang rakan Indonesia.
Saya pun terus menegur mereka yang memperkenalkan diri
sebagai Felia dan Anga (disebut Anya). Rupa-rupanya, kami menetap di haus yang
sama. Mereka sampai malam tadi dan mungkin saya sudah tidur ketika itu. Saya
terus bercakap dalam bahasa Melayu, nak lepas geram. Sebelum ni sama ada speaking
English, orang tenung saya, atau saya tenung orang sebab tak faham bahasa
Jerman. Saya masih belum jumpa sesiapa yang berasal dari Malaysia. Masuk ke
kelas semula, Anya memperkenalkan saya kepada seorang pemuda bernama Yohanes
yang juga berasal dari universiti yang sama di Indonesia. Saya dapat melihat
mereka bertiga sebagai orang yang berbudi. Yohanes bangun dari tempat duduk,
mencantumkan kedua-dua telapak tangan dan membawa ke dadanya, tanda salam
hormat. Saya membalas dengan mencontohi perbuatannya. Mereka bertiga bukan
beragama Islam, tetapi sangat menghormati Islam.
Maka setelah pelajar Eropah dan Asia dipisahkan, saya
berpindah tempat duduk di sebelah Anya. Setelah berkenal-kenalan, saya
memutuskan untuk mengikuti Felia, Anya dan Yohanes ke pasaraya kecil bernama
Aldi yang terletak berhampiran haus. Lebih tepat lagi, saya yang minta nak ikut
sekali sebab memang nak beli bahan untuk makan. Tapi rancangan kami tak menjadi
disebabkan saya terpaksa ke tempat IT untuk membetulkan akaun wifi saya. Saya
menyuruh mereka pergi dulu.
Setelah membetulkan kata laluan saya, saya memutuskan untuk pergi sendiri ke Aldi, dengan harapan dapat mengejar yang lain. Sekali lagi, berbekalkan naluri dan firasat, saya meredah cari Aldi menggunakan Maps yang sudah saya tetapkan di OTH. Alhamdulillah, walaupun ada tersilap simpang lagi masa nak keluar dari OTH, saya berjaya sampai di Aldi. Masuk saja ke dalam, saya sendiri tak pasti apa yang boleh beli, apa yang tak boleh saya beli. The struggle is real. Nasiblah dulu ada belajar sikit-sikit Jerman, bolehlah faham istilah macam Zucker, Milch dan sebagainya. Masa ni baru rasa pengetahuan Jerman tu berguna.
Ramai pekerja tidak menggunakan bahasa Inggeris dan
menganggap kita boleh bertutur dalam Jerman. Petugas di haus juga semuanya
bertutur dalam Jerman. Bagi saya, language barrier adalah cabaran utama untuk
tinggal di sini. Ramai orang akan assume anda pandai berbahasa Jerman dan
bercakap Jerman sahaja.
Berbalik kepada cerita, sewaktu saya dalam keasyikan
merenung barang-barang di Aldi, saya disapa oleh seorang wanita bertudung yang
sedang menolak kereta sorong bayi. Dia memberikan salam kepada saya dan berlalu
pergi. Waktu itu, hati saya melompat seronok kerana itulah salam pertama yang
saya dengar di Regensburg. Rakan-rakan yang lain tak kelihatan pun di Aldi tu. Sedang merenung barang, saya terfikir untuk minta
nasihat wanita Muslim tadi tapi dia sudah beratur untuk keluar. Pada awalnya,
saya ingin keluar kembali untuk mengambil troli tetapi pintu keluar hanya
dibolehkan selepas membuat pembayaran di kaunter. Lalu saya pun mengambil
sebotol syampu jenama Nivea (jenama lain tidak dikenali) dan membuat
pembayaran, ambil troli di luar dan masuk semula ke dalam Aldi. Kali ini saya
membeli sedikit barangan seperti roti, jus oren, buah-buahan dan baju. Saya
tidak membeli banyak kerana plastik tidak disediakan. Mujur saya membawa beg
kain ketika itu.
Keluar dari Aldi, saya tidak ada akses internet untuk pulang
ke haus. Maka sekali lagi bergantung kepada naluri, saya cuba mencari jalan
pulang. Satu perkara yang menghiburkan diri saya iala, setelah beberapa minit
berjalan, saya muncul semula di depan bangunan Aldi tadi. Jadi tahulah saya
yang saya dah tersalah jalan waktu tu. Maka saya berjalan lagi dan mengambil
jalan bertentangan daripada yang saya ambil tadi. Nak dijadikan kisah sedihnya,
hujan mulai turun dan saya tidak membawa payung. Tapi alhamdulillah, hujan tak
lebat dan saya berjaya meredah pulang.
Petang itu, saya mengemaskan bilik sebab tak sempat nak
mengemas semalam. Petugas haus juga ada datang bilik dan menerangkan beberapa
peraturan rumah seperti jadual mengemas dan tempat buang sampah. Di sini,
amalan recycle amat dititikberatkan. Kami perlu mengasingkan sampah mengikut
jenis. Saya juga menandatangani kontrak rumah. Bolehlah juga faham basic
perkataan seperti meja, kerusi, katil dalam bahasa Jerman tu. Apa-apa pun saya
rasa saya perlu meluaskan lagi kosa kata saya sebab masih ada enam bulan untuk
saya survive di Regensburg.
Hampir waktu Maghrib dalam jam 7, Anya mengajak saya untuk
keluar cari makanan sebelum pergi ke bar untuk sesi Stammtisch (get together) kami
pada jam 9. Jangan melatah dulu, dah tentu saya tak pergi sesi malam ni. Saya
cuma keluar makan dan balik. Anya ada ajak ikut ke bar, katanya walaupun saya
tak minum, mungkin saya boleh duduk saja dan berbual. Tapi hasil research saya
di Malaysia dulu, orang Islam adalah diharamkan untuk menjejakkan kaki di
tempat yang 100% menjual arak seperti bar. Kalau restoran yang ada jual arak
tak apa, tapi bukan bar yang memang tujuannya jual arak. Kira saya ponteng sesi
malam ni. Ala, macam tak biasa lari daripada program-program yang kita tak suka
dulu di Malaysia. Uhuk.
Saya meminta Anya dan Felia tunggu sekejap dalam 10 minit
walaupun masa tu kedua-duanya dah siap. Saya cakap saya nak tunggu waktu solat Maghrib
dan kedua-dua mereka tanpa sebarang masalah langsung bersetuju dan suruh saya
solat dulu sambil tersenyum. Waktu itu, saya rasa macam mereka ni antara
manusia kiriman Tuhan sebab kalau non-muslim yang lain mungkin akan
teragak-agak dalam sesaat dua sebelum bersetuju untuk tunggu. Tapi mereka
tidak. Usai solat, kami keluar dari haus dan angin malam menampar keras tubuh
kami. Sejuk! Kalau saya tak pakai sweater, boleh menggigil kedinginan dan
membeku dah depan pintu tu. Suhu malam ini kalau tak silap saya dalam 12 darjah
selsius. Mungkin sebab hujan juga petang tadi.
Sewaktu kami menaiki bas, pemandu itu bertanya “Mau ke mana?”
dalam bahasa Melayu. Kami bertiga terkejut kerana dia tahu bahasa kami. Anya
dan Felia sudah ada pas tiket bas tapi saya masih belum beli. Kami tak tahu
cara pembayaran tunai, tapi harganya dalam 2,40 Euro ke destinasi kami. Bila
tiba saja berhampiran stesyen Regensburg, saya nak buat pembayaran tetapi
pemandu tersebut menolak. Jadi tambang saya dikira percuma. Untungnya saya
berjumpa dengan pemandu bas itu kerana selesai makan, saya menaiki bas yang
sama untuk pulang. Anya dan Felia memang baik, mereka hantarkan saya sampai ke
perhentian bas sebelum patah balik untuk ke bar. Hendak dijadikan cerita lagi,
saya seorang sahaja yang menuju ke Pentling untuk pulang ke haus. Waktu itu
penumpang-penumpang lain sudah turun di perhentian lain. Pemandu bas tersebut
tanya tempat tinggal saya, dan saya cakap di Haus Hemma. Dia nak hantarkan saya
balik.
Saya sempat berbual dengannya. Katanya hampir setahun dia
pernah tinggal di Malaysia dan pergi ke Melaka, Johor, Kuala Lumpur dan Pulau
Pinang. Dia juga terkejut bila tahu saya baru dua hari tinggal di Regensburg
dan menerangkan cara-cara membuat pembayaran bas. Kalau saya ingin membayar
tunai, saya perlu membayar ketika awal-awal naik dan minta untuk beli tiket
pada pemandu bas. Patutlah dia tak nak terima duit saya, sebab katanya waktu
turun pemandu bas tak nak ambil duit. Sepatutnya bayar waktu naik.
Alhamdulillah, dia hantarkan saya di depan lorong menuju ke Haus Hemma dan saya
berjalan terus ke haus. Dia juga tak mengenakan sebarang bayaran. Semoga Allah
permudahkan urusan pemandu bas tersebut. Saya pun pulang ke haus dengan
selamat walaupun seram juga berjalan di lorong gelap yang sunyi tu.
Hari kedua ini, saya dah rasa banyak cabaran tinggal di
sini. Dari segi bahasa, makanan halal, dan kesukaran untuk survive sebagai
Muslim di sini. Saya belum menemui lagi sesiapa yang Islam, dan juga orang
Malaysia. Saya juga ada research tentang komuniti Islam yang tinggal di
Regensburg tapi masih belum jumpa. Tak aktif agaknya komuniti. Kalau saya jumpa
sesiapa yang Islam, saya berazam untuk bertanya banyak soalan padanya nanti.
Buat masa ini saya banyak bergantung kepada internet untuk tentukan kiblat,
waktu solat dan sebagainya.
Saya tak rasa ada ramai orang Islam di Regensburg,
tapi pertemuan sepintas lalu saya dengan wanita Muslim di Aldi tadi membuktikan
bahawa ada orang Islam yang menginap di sini. Orang non-muslim pun bukannya
faham tentang apa yang kita boleh buat, tak boleh buat, tak boleh makan,
sebagai orang Islam. Tak ada orang yang akan tegur benda kita buat tu haram ke
apa. Jadi kena pandai-pandai tahu agama, bezakan mana halal mana haram. Struggle
di sini adalah sangat real. Tapi insyaAllah, saya boleh jaga diri (saja tulis
supaya family tak risau). Mungkin doa daripada keluarga dan rakan-rakan di
Malaysia banyak bantu permudahkan urusan saya di sini.
Sampai bertemu lagi.
Regensburg 4:45 am 6 Sept
Malaysia 10:45 am 6 Sept
No comments:
Post a Comment