Monday, 9 September 2019

Pertemuan yang Ditakdirkan

Bismillahirrahmanirrahim.

Hari kelima di Regensburg. Cuaca di Regensburg sekarang musim hujan. Hari ini saja dah 15 darjah selsius, ditambah dengan hujan maka bertambah sejuk lagi. Saya tak tahu macam mana saya nak hadapi musim sejuk di sini. Tapi lagi mencabar sesuatu, lagi saya suka. Semoga saya dapat sesuaikan diri dengan cuaca di sini. Sepatutnya pagi ini saya berhasrat untuk ke flea market di area berhampiran Stone Bridge bersama Anja dan Felia, tapi mereka bangun lambat pagi tadi. Mungkin disebabkan pulang lewat selepas pesta DULT malam tadi.

Saya sudah sarapan awal tetapi saja duduk sekali di meja makan ketika kedua-duanya sedang bersarapan.  Langsung mereka hulurkan jus, roti, biskut dan mochi green tea yang katanya dibeli di sebuah Asian store. Saya menjamah jus buah-buahan dan biskut yang saya yakini halal, tetapi ragu-ragu untuk menjamah mochi sebab saya tak pernah makan mochi dan tak tahu kandungannya. Untuk menjaga adab, saya tak adalah nak periksa dengan terperinci kandungan semua makanan yang dihulurkan mereka jadi saya tolak dengan alasan tak suka green tea, yang memang betul pun. Hari Ahad di Regensburg berbeza dengan Ahad di Malaysia. Ahad di sini sunyi, dan semua kedai ditutup. Kalau di Malaysia, hari Ahadlah semua orang nak keluar membeli-belah di semua kedai.

Sejak dari pagi lagi saya mendengar bunyi loceng gereja yang dibunyikan berkali ganda daripada biasa. Haus saya memang terletak sebelah gereja. Jadi mungkin anda boleh membayangkan betapa pagi yang indah saya digegarkan dengan bunyi loceng gereja. Saya tak adalah nak bersikap pesimis terhadap loceng gereja, saya boleh terima itu cara mereka nak panggil orang datang. Cuma saya memang sensitif dan cepat rasa annoyed dengan bunyi asing yang konsisten. Misalnya bunyi alarm yang tak tutup untuk tempoh lama. Dan alarm housemate di depan bilik saya ini pun sangat mengganggu saya. Dari jam 5 pagi sampai 8 pagi baru alarmnya mati. Saya boleh terima lagi kalau tak tutup alarm sampai 6.30 tapi sampai jam 8 tu memang menguji kesabaran juga. Untunglah saya penyabar orangnya. Eheh. Konon. Housemate di depan bilik saya ni saya tak kenal. Jenis yang memang duduk dalam bilik dan tak bertegur. Setakat ini sudah ada 4 orang dalam Haus Hemma. Bilik-bilik lain mungkin masih kosong kerana dihuni oleh pelajar sepenuh masa yang masih belum memulakan semester.

Berbalik kepada situasi di meja makan tadi. Felia menceritakan pengalamannya di pesta DULT malam tadi. Ada salah seorang buddy yang memanjat tiang untuk mendapatkan bir percuma. Dia menunjukkan rakamannya kepada saya. Saya terkejut juga tengok sebab ingatkan orang yang betul-betul ekstrem saja akan panjat tiang tu. Rupa-rupanya buddy pun sama. Selepas itu, dia menceritakan situasi ada yang sampai bercium-ciuman setelah mabuk. Waktu dia menceritakan situasi tu, saya bersyukur sebab saya tidak skema dan menempah meja di bawah khemah. Saya tak sanggup nak tengok situasi-situasi pelik yang terjadi selepas saya balik semalam. Selepas bersembang panjang, Anja mengajak kami untuk bermain UNO yang disediakan di ruang santai sebelah meja makan dapur kami. 


Saya yakin saya boleh menang tapi akhirnya kalah teruk juga dalam dua pusingan pertama. Bila sampai pusingan ketiga, Felia menang dan cuma tinggal saya dan Anja. Main punya main, Anja kalah dan saya menang. Tapi Anja menjerit gembira sebab katanya akhirnya saya menang (padahal tempat kedua). Saya tak tahu kenapa Tuhan aturkan untuk saya berjumpa orang baik macam dia. Kalah UNO pun boleh tumpang gembira untuk orang lain. Daripada rasa nak berlagak terus tak jadi sebab pointless. Dan kami pun bermain sehingga beberapa pusingan lagi sampai berasa bosan.

Selepas solat Zohor, saya menaiki bas menuju ke stesyen Haupbahnhof setelah berjanji untuk berjumpa Imran di sana. Kami dah berjanji dengan Kak Amirah atau dipanggil Kak Amy, yang kebetulan terjumpa dengan Imran jumpa di sebuah market. Bukan senang nak jumpa orang Melayu yang menetap di Regensburg. Sebelum jam 2 petang seperti yang dijanjikan, saya menunggu Imran di Burger King tetapi dia terlewat sebab tersesat. 


Selepas sampai, Imran membawa saya ke tingkat atas stesyen dan di situlah tempat tinggal Kak Amy. Kami disambut oleh Kak Amy, suaminya Abang Ahmad dan anak mereka Adrian yang berumur tiga tahun. Mereka merupakan pasangan dalam usia 30-an yang baru 5 tahun berkahwin dan sekitar 12 tahun sudah menetap di Regensburg. Kak Amy dan Abang Ahmad sangat peramah dan mengalu-alukan kedatangan kami. Kami makan nasi dan lauk Malaysia yang dimasak oleh Abang Ahmad. Maka secara rasminya, hari inilah hari pertama saya berjumpa nasi di Regensburg.

Terlalu banyak yang kami bualkan sehingga Asar. Menurut cerita mereka, merekalah satu-satunya keluarga Melayu yang menetap di Regensburg. Abang Ahmad bekerja di luar Regensburg tapi masih di dalam Bavaria. Saya lupa nama tempatnya. Kak Amy bekas pelajar master yang kini menjadi suri rumah tangga. Mana-mana orang Melayu yang belajar di Regensburg selalunya akan datang melepak di rumah Kak Amy, tapi sudah tidak ada lagi yang belajar kerana ramai dah balik Malaysia. Mungkin ada seorang lagi yang sedang belajar di OTH, tapi tak rapat dengan mereka. Kiranya, mana-mana orang Melayu yang datang, selalunya akan datang melapor diri kepada mereka. Bersyukur jugalah sebab ditakdirkan Imran terjumpa Kak Amy ni. Kalau tak jumpa, tak adalah kami jumpa mana-mana orang Melayu yang lain. Regensburg ini bukannya satu tempat yang popular untuk dipilih oleh orang Melayu atau orang Malaysia. Dan Regensburg pun bukan pilihan saya yang pertama untuk program pertukaran pelajar. Kalau ikutkan saya nak pilih Konstanz tapi disebabkan tak ada subjek yang sesuai semester ini, saya memilih OTH yang ada menawarkannya.

Kami berbual panjang tentang kehidupan di sini, makanan, kedai, lokasi menarik, sistem pendidikan dan sebagainya. Belajar di Jerman memang banyak manfaat. Kos pengajian percuma, diskaun bas, kereta api dan sebagainya. Cuma sistem pendidikannya agak susah dan gagal adalah perkara yang normal di sini, khususnya untuk pelajar Malaysia. Sistem di sini tak sama dengan Malaysia. Kalau di Malaysia, pensyarah akan bagi slide, buku, nota dan sebagainya tapi di sini tidak. Mereka cuma akan bagi soalan dan kita perlu mencari jawapan sendiri. Maka perpustakaanlah yang bakal menjadi tumpuan semua. Abang Ahmad menceritakan tentang pelajar-pelajar Melayu yang gagal dan akhirnya pulang ke Malaysia. Itu menjelaskan kenapa tak ramai pelajar Malaysia di Regensburg. Saya pun tak tahu macam mana nak survive nanti. Di Malaysia pun dah susah apatah lagi dengan sistem di sini.

Tentang makanan pula, Kak Amy ada menyebut satu dua market halal. Antaranya Al-Medina yang saya pergi semalam. Ada juga Asian store yang boleh kita beli barangannya. Saya rasa sama saja dengan Asian store yang diceritakan oleh housemates saya pagi tadi, sebab cuma ada satu di sini. Kalau nak cari restoran halal, memang susah nak jumpa. Makanan yang paling halal di sini adalah kebab, cuma rata-ratanya kebab daging atau ayam belanda (turkey).  Kebanyakan yang menjual kebab adalah orang Turki dan dijamin halal. Kalau ada kedai Jerman yang menjual kebab pun, selalunya halal kerana berasal dari supplier orang Turki juga. Mereka juga memberitahu jenama ayam yang boleh juga dibeli di tempat selain market halal. Apa yang pasti, ayam tersebut disembelih mengikut standard Jakim Malaysia dan mempunyai tanda halal. Alhamdulillah, tak adalah risau sangat dah tentang makanan ni. Masalah saya sekarang cuma saya belum beli rice cooker dan saya malas nak naik bas untuk ambil nasi dari Imran. Mungkin esok atau lusa saya cuba cari lagi yang murah. Jangan kecam juga kalau selalu nampak saya pakai shawl hitam, sebabnya di haus saya tak disediakan seterika dan saya belum beli seterika. Jadi shawl yang sama menjadi pilihan saya buat beberapa hari ini.

Bar pula adalah lokasi biasa untuk networking. Pesan Abang Ahmad, networking ni penting dan masa-masa awal di Regensburg inilah kita perlu mengumpul kenalan. Kalau masuk ke bar, boleh pesan Coke, Sprite atau Spezi (campuran Fanta dan Coke). Dan pernah juga ada pelajar perempuan Melayu yang tamatkan tesis Master di sini diraikan dalam bar. Orangnya alim tapi dia terpaksa masuk ke disko sebab semua orang sedang meraikannya tamat belajar. Nak tak nak dia terpaksa ikut serta. Saya tak tahu tentang konsep masuk bar ni, tapi rasanya saya akan cuba elak sebaik mungkin untuk masuk walaupun Stammtisch (get together) kami selalunya akan diadakan di bar. Ini merupakan satu struggle juga, sebab bir dan bar adalah sebahagian daripada masyarakat Jerman dan mungkin kita akan terlepas banyak benda jika tak join mereka. Dah dua kali saya dikira skip sebenarnya. Tapi mungkin saya akan cuba cari peluang lain untuk berkenalan dengan rakan-rakan lain. Misi saya sekarang adalah untuk mengelak dari masuk bar sedaya upaya.

Kak Amy juga menceritakan tentang cuaca, musim dan perayaan di sini. Katanya kami beruntung tak datang waktu musim panas, sebab summer di Regensburg adalah lebih panas dari Malaysia. Malam ini adalah malam terakhir untuk perayaan DULT. Sekitar hujung September, akan bermula October Fest selama dua minggu. Dia menyarankan kami untuk melihat October Fest untuk melihat budaya orang Jerman. Pada awalnya saya tidak berminat dengan October Fest, tapi bila dah disarankan begini, saya akan cuba ikuti nanti.

Kak Amy berpesan untuk jaga-jaga dengan tarikh 27 Oktober, sebab masa di Jerman akan berubah hari itu. Kalau buat masa sekarang, Jerman hanya lewat 6 jam dari Malaysia tapi akan lewat 7 jam hujung bermula hujung Oktober nanti. Musim sejuk selalunya siang akan menjadi pendek dan sekitar 4 petang pun hari dah mulai gelap. Pesannya lagi, kalau nak ganti puasa, musim winter adalah masa yang terbaik sebab tempoh berpuasa yang singkat. Dan berjaga-jagalah sebab sejuknya bukan kepalang nanti. Kak Amy dan Abang Ahmad juga memberikan tips pakaian musim sejuk. Kak Amy sarankan juga untuk kami melawati Christmas Market pada musim perayaan nanti. Tapi dalam jadual kami memang dah ada tentatif untuk ke Christmas Market. Kami beruntung sebab lawatan-lawatan yang diatur oleh pihak OTH adalah murah berbanding jika bayar sendiri.

Banyak lagi perkara yang sempat kami bualkan dan rasanya pertemuan saya dengan Kak Amy dan suaminya ini akan banyak membantu kehidupan saya di Regensburg. Banyak juga persoalan yang telah terjawab. Walaupun penting untuk berinteraksi dan berhubungan dengan orang tempatan di sini, kita perlu juga ada interaksi dengan orang Muslim, dan lebih untung lagi yang faham akan budaya Melayu.

Hari ini lebih kepada hari santai saja. Selepas bersembang lama dengan mereka, saya dan Imran meminta izin untuk pulang. InsyaAllah saya akan ke sana lagi jika ada kelapangan. Kami juga sempat singgah di market Norma yang terletak di tingkat bawah stesyen. Hanya di stesyen Haupbahnhof itu sajalah satu-satunya tempat yang kedainya buka pada hari Ahad. Kalau nak cari market lain yang buka sekitar Regensburg pada hari Ahad, memang tak akan jumpa. Dan akhirnya, kami pun pulang ke haus masing-masing.

Maka, tamatlah perkongsian saya untuk hari ini. Semoga ada juga info-info yang berguna kepada pembaca Nafas Baru. 

Sampai bertemu lagi insyaAllah, jika anda masih berminat untuk mengikuti cerita saya. Eheh.

Regensburg 5:03 am 9 Sept
Malaysia 11:03 am 9 Sept

No comments:

Post a Comment