Friday, 13 September 2019

Saya Diketawakan Sebab Islam


Bismillahirrahmanirrahim.

Hari kesembilan di Regensburg. Pagi ini berjalan macam biasa. Saya siap seawal jam 7.30 pagi, turun bersarapan dan menaiki bas ke OTH bersama Zira, Felia, Anja, Ariana dan Vesa. Turun bas, saya, Ariana dan Vesa berpisah dari yang lain untuk menuju ke kelas kami. Dan macam biasa, kami awal sebab terus pergi ke OTH selepas bersarapan. Kami masuk ke dalam kelas yang kosong dan berborak biasa. Tak lama kemudian, seorang rakan sekelas perempuan juga datang awal dan duduk di sebelah saya. Namanya Sofia, berasal dari Latvia. Satu lagi negara yang saya tak tahu muncul dalam kamus saya hari ini. Latvia terletak berhampiran Lithuania dalam peta dunia. Kalau sebut Lithuania tu pernahlah juga saya dengar. Tapi seronok juga bila dapat belajar negara-negara baru ni. Mesti orang Eropah rasa pelik setiap kali saya kebingungan mendengar nama negara mereka. Maaflah saya orang Asia. Eheh. Mereka pun bukannya tahu sangat Malaysia di mana jadi sama sajalah kita. Sofia ni cantik orangnya. Kalau datang Malaysia ni rasanya dah boleh jadi pelakon terkenal.

Tepat jam 9 pagi, Frau Irina masuk dan kelas dimulakan untuk mengulangkaji nombor dalam bahasa Jerman. Cara pengajarannya kreatif dan interaktif jadi kami tak berasa bosan dalam kelas. Selesai kelas, kami diberi tugasan berkumpulan dan perlu bentangkan minggu hadapan. Kami perlu membuat pembentangan tentang tempat-tempat di Regensburg atau negara masing-masing. Maksimum 4 orang dalam satu kumpulan. Disebabkan dalam baris yang kami duduk itu ada lima orang; saya, Ariana, Vesa, Sofia, dan Ozzy, jadi kami pecahkan kepada tiga-dua. Saya kumpulan dengan Ariana dan Vesa, Sofia berkumpulan dengan Ozzy. Kami boleh membuat pembentangan menggunakan kertas atau laptop, tapi saya tak pasti kalau laptop saya boleh bersambung dengan televisyen besar dalam kelas itu. Saya bercadang untuk cuba dulu nanti kalau boleh disambungkan. Kalau tak dapat, mungkin kami bentang guna kertas saja.

Selesai kelas, kami berlima masih lagi berbual. Rasa seronok pula dapat kenal dengan Sofia, dah dapat tambah kenalan baru hari ini. Kami berbual dengan Brewery Tour yang akan dijalankan pada petang ini. Lawatan ke kilang membuat bir. Seperti biasa, saya tak akan sertainya. Kemudian kami berbual tentang Bowling Stammtisch (get together) yang akan diadakan minggu hadapan. Kami ceritakan pada Sofia dan Ozzy tentang bowling alley yang ada di Haus Hemma. Terdapat fasiliti untuk bermain bowling, cuma kami belum pernah tengok lagi. Dan boleh main bila-bila masa saja tanpa bayaran (atau mungkin dah termasuk sekali dalam sewa bulanan). Tapi sewa bulanan kami masih boleh dikira murah kalau kami bandingkan dengan tempat-tempat lain di Regensburg yang mungkin mencecah 300 Euro ke atas. Setakat ini saya rasa Haus Hemma yang paling untung sebab ada banyak fasiliti yang disediakan seperti sarapan dan bilik-bilik kemudahan yang lain. Kalau tanya dormitori pelajar yang lain, mana ada sarapan dan tempat main bowling. Lalu saya ajak saja Sofia dan Ozzy untuk bermain bowling sekali, alang-alang berlatih untuk Bowling Stammtisch nanti. Jadi, begitulah pakatan bowling kami terbentuk.

Tak lama kemudian, saya nampak Ali muncul entah dari mana. Sepatutnya dia tak ada kelas hari ini. Dia menghampiri kami dan bertanya lokasi bangunan S untuk mendaftar subjek. Memandangkan saya dah pergi dengan Paula semalam, saya offer untuk menunjukkan bilik professor tersebut. Rupa-rupanya Ali pun mengambil major yang sama macam saya, International Business. Tapi mungkin satu kelas saja yang sama sebab saya tak ambil banyak subjek pun di sini. Yang lain semua ikut saya untuk tunjukkan bilik pada Ali. Dah macam dayang-dayang pula nak temankan orang yang tengah sesat. Setelah sampai di depan bilik professor, maka misi kami pun selesai. Saya, Ariana dan Vesa berpecah dari yang lain dan mengambil jalan pulang.

Abaikan yang kiri, fokuskan yang tengah (Vesa) dan kanan (Ariana)

Sebelum pulang, kami bercadang untuk singgah di Aldi dulu yang terletak berhampiran Haus Hemma. Tapi masih perlu ambil bas dari Aldi ke haus. Nak jalan pun boleh tapi lebih baik ambil bas. Saya sedang cuba memanfaatkan 48 Euro pas bas sebulan. Kalau ditukar ke duit Malaysia adalah dalam RM200 juga. Jadi marilah gunakannya sebaik mungkin untuk bulan ini. Sepanjang perjalanan, Ariana mula bercerita tentang sejarah Kosovo. Dia triggered sebab saya cakap Kosovo tu sebahagian dari Serbia. Saya cakap, itu fakta yang saya Google. Jadi Ariana jelaskan semuanya kepada saya.
Katanya, Kosovo memang merupakan satu negara yang ada bendera dan kerajaan sendiri. Tapi, negara Serbia selalu mengaku yang Kosovo pernah ada dalam jajahan takluknya, padahal fakta tu tak betul. Termasuklah fakta dalam Google yang menipu. 

Serbia nak tawan Kosovo sebab sumber alam yang ada dalam negara tu. Maka peperangan pun terjadi antara Serbia dan Kosovo. Sebab itu Ariana dan Vesa dilahirkan di Jerman. Mula-mula saya pelik juga kenapa mereka lahir di Jerman tapi merupakan orang Kosovo dan tinggal di Kosovo. Keluarga mereka diusir dari Kosovo. Ramai juga yang mati terbunuh dalam peperangan, ramai yang terpaksa jadi pelarian. Kalau ditanya rakan-rakan Ariana, ramai yang dah kehilangan ibu atau ayah dalam peperangan. Kosovo merdeka pada tahun 2008 jadi peperangan mereka boleh dikira segar juga sebab mereka lahir dalam tahun 90-an. Selepas merdeka, pelarian dapat balik ke negara Kosovo semula dan hidup dengan aman. Ariana kata, nasiblah dalam keluarga dia tak ada yang terbunuh. Tapi ramai keluarga rakan-rakannya yang terkorban.

Dia juga cerita tentang salah seorang pelajar OTH yang bertanya tentang asal-usul negaranya. Dan bila dia cakap Kosovo, lelaki itu terus cakap yang Kosovo adalah sebahagian daripada Serbia. Kata Ariana, dia macam sengaja nak tekankan fakta itu sebab dia tahu sejarah Kosovo. “It hurts when they said that,” kata Ariana. Masa tu, rasa simpati dan menyesal pula sebab saya cakap Kosovo adalah sebahagian daripada Serbia. Sebab fakta palsu itu cuma kedengaran perit bagi mereka yang tinggal di Kosovo kerana sejarah mereka dengan Serbia adalah sejarah yang berdarah. Saya terus meminta maaf tapi kata mereka kes saya tak apa sebab Google yang menipu, bukan saya sengaja. Selepas mendengar banyak sejarah tentang Kosovo, terasa banyak benda sangat yang saya tak cakna dalam dunia ni. Baru seminggu saya di Jerman tapi dah ada banyak benda yang membuka mata saya. Cerita yang sama juga terjadi pada Croatia (negara Ozzy) dan Bosnia.  Mungkin saya akan bertanya lebih lanjut nanti pada Ozzy tentang sejarah Croatia pula. Saya dah ragu-ragu sekarang untuk percayakan fakta dari Google.

Masuk dalam Aldi pun, kami masih rancak berbual. Saya membeli roti dan Ariana membeli beberapa bahan makanan. Kami mendapat mainan kecil emoji dari Aldi sebagai freegift. Selesai membeli roti, kami naik bas sehingga ke Wolfgangskirche. Sewaktu kami hendak melintas jalan, kami melihat seorang lelaki tua yang sedang mengayuh basikal lalu di hadapan kami. Jalan di Regensburg memang sunyi macam biasa, jadi kami dapat mendengar lelaki tua itu mula bercakap sesuatu dalam Jerman. Memang tak ada orang lain di situ. Dia ketawa sambil mengomel panjang dan menyebut perkataan Islam. Perkataan Islam itu sajalah yang dapat saya tangkap. Saya tahu, dia sedang bercakap buruk tentang saya atau tentang Islam sebab saya satu-satunya orang yang bertudung di situ. Dia terus ketawa dan kayuh melintasi kami, terus membebel sehingga kami tak dengar lagi dari kejauhan. Kami cuma menghantarnya dengan pandangan sambil terdiam. Ariana dan Vesa juga diam saja masa tu. Dah lama selepas tak nampak lagi kelibatnya, saya tanya pada yang lain. “Was he talking about Islam?” Sengaja tanya kalau-kalau saya yang tersalah dengar. Ariana mengangguk. Mereka berdua pun nampak macam masih terkejut dengan situasi tadi. Mungkin mereka pun terasa sebab mereka pun Muslim. “What is your problem, man?” Ariana menggeleng kepala.

Kami tak berbual panjang tentang situasi tu dan terus pulang ke haus. Sampai di haus, kami meminta petugas untuk menunjukkan kami bilik bowling. Masa tu saya dah terlupa tentang kena ketawa tadi, sebab teruja tengok bilik bowling di Haus Hemma. Memang cantik. Mana nak jumpa dormitori lain yang ada fasiliti canggih macam di Haus Hemma? Serius saya bersyukur ditempatkan di haus ini. Petugas haus pun sangat mesra melayan kami dan menunjukkan cara untuk menggunakan mesin bowling. Sempat juga kami cuba-cuba melontar bola tadi. Rasa tak sabar pula nak tunjukkan pada Sofia dan Ozzy nanti. Selepas menjenguk bowling alley, kami pun pulang ke bilik masing-masing.

Bila duduk sendiri, mulalah saya terfikir semula tentang lelaki tua yang ketawakan saya tadi. Selama seminggu saya di Jerman, sekali pun saya tak terasa macam didiskriminasi sebab agama kerana majoriti pelajar pertukaran yang lain melayan saya sama saja dengan orang lain. Mungkin juga sebab pelajar exchange ni lain, kami dah sedia untuk terima budaya lain dan bersikap terbuka. Sifat yang kami mesti ada bila nak tinggal di negara orang. 

Situasi tadi membuatkan saya mula berpijak atas realiti bahawa tak semua orang Jerman boleh menerima Islam. Ada juga yang anti-Islam. Maka saya perlu bersedia dari sekarang jika dipandang serong oleh sesiapa. Tapi saya tak nak fikir lebih-lebih. Itu masalah mereka kalau nak anti-Islam. Ramai saja rakan-rakan baru saya yang bukan Islam tapi boleh berkawan dengan gadis bertudung macam saya tanpa sebarang diskriminasi. Walaupun kadang saya rasa ramai pelajar lelaki ragu-ragu untuk dekat dengan saya atau ada juga yang memilih untuk tak menegur. Tapi saya rasa sebab mereka hormat dan tak tahu cara nak approach, bukan sebab anti-Islam.  Ataupun sebab mereka rasa tak berbaloi pun nak tegur saya, itu saya tak tahulah. Siapalah diriku ini. Hahaha.

Apa pun, jangan risau. Saya datang ke Jerman dengan dah tanam mindset tentang kemungkinan situasi-situasi ini akan berlaku. Saya cuma harap tak ada tindakan agresif daripada sesiapa yang anti-Islam terhadap saya. Kalau setakat naik basikal membebel dalam bahasa Jerman tu, bukanlah perkara yang besar sangat. Bukannya saya faham pun apa yang dibebelkan.

Let’s just leave the negative thoughts and surround ourselves in positive vibes.

Sampai bertemu lagi dalam entry seterusnya.

Regensburg 9:55 pm 12 Sept

Malaysia 3:55 am 13 Sept

No comments:

Post a Comment