Thursday, 26 September 2019

Berpiknik di Walhalla, Regensburg


Bismillahirrahmanirrahim.

Hari Ahad. Ahad di sini memang sunyi. Semua kedai ditutup dan kalau berjalan keluar pun, dah macam kawasan zombie dalam filem thriller. Ok, lebih-lebih pula. Semalam saya membuat carian di Google dan menjumpai flea market di Regensburg yang buka pada hari Ahad. Jadi saya mengajak Zira untuk pergi ke flea market. Kami keluar rumah seawal jam 8 pagi dan saya bawa beg besar untuk mengisi barangan yang bakal dibeli di flea market, sebab dengar cerita semua barangan boleh didapati dengan harga yang murah di situ. Tapi bila sampai ke kawasan tersebut, flea market tu tak ada, tutup. Kalau nak pergi kedai lain pun, semua tutup hari ini jadi kami pun naiklah bas untuk pulang ke haus.

Waktu dalam bas, Anja menghantar pesanan WhatsApp mengajak ke Walhalla. Katanya diajak oleh Ariana dan yang lain-lain. Dah alang-alang naik bas tu, saya dan Zira pun turun di Haupbahnhof (Hbf) dan berjanji untuk bertemu yang lain di situ. Plan nak pergi flea market, tiba-tiba entah macam mana ke Walhalla pula. Dahlah pakai baju biasa-biasa. Eheh. Tak lama kemudian, saya berjumpa dengan Anja, Felia, Ariana, Vesa, Albiona, Ali dan Parag. Kami membeli bekalan makanan siap-siap di Hbf sebab di Walhalla tak ada tempat yang menjual makanan dan minuman. Saya membeli croissant coklat dan wafel di Norma. Kami terpaksa menunggu sehingga satu jam kerana terlepas bas. Bas hari Ahad memang tak banyak, sebab tu kena tunggu lama.

Bila bas sampai, kami berpisah dengan Zira sebab kakinya melecet dari hari tu dan kalau nak naik Walhalla ada banyak tangga, jadi Zira pun balik ke haus. Tinggallah kami berlapan untuk meneruskan perjalanan. Untuk ke Walhalla, kami boleh guna pas tiket bas sebulan kami, sebab Walhalla berada di dalam Regensburg walaupun agak jauh sikit. Tiket kami boleh cover semua tempat dalam Regensburg dan beberapa tempat tertentu di luar Regensburg yang berhampiran kalau tak salah saya. Jadi ringkasnya, tak kena sebarang bayaran pun untuk ke sana. Setelah jauh perjalanan duduk dalam bas, akhirnya kami pun tiba di perhentian bas yang menuju ke destinasi kami.

Kalau nak digambarkan Walhalla ni, dia ibarat sebuah bangunan peringatan yang dibina atas bukit, bertujuan untuk mengikuti tokoh-tokoh terkenal zaman dulu. Hasil carian Google, Walhalla ni nama asalnya Stringer’s Creek tapi pada tahun 1869 ditukar kepada Walhalla. Walhalla ni datang dari perkataan Valhalla yang bermaksud ‘the hall of immortality’ dalam mitos Norse (Utara Jerman) di mana tempat bersemadinya para pejuang yang terkorban dalam peperangan.


Kami mendaki tangga ke atas dan mengambil foto-foto pemandangan yang menarik dari atas. Saya seorang saja yang tidak menggunakan fon sebab dah habis bateri sebelum mula perjalanan lagi. Semenjak sampai ke Jerman, semakin banyak pula fon ni buat hal. Maka terpaksalah saya menumpang IPhone si Anja dan memenuhkan galerinya untuk bergambar. Pemandangan dari atas Walhalla memang menarik dan rugi rasanya kalau tak bergambar setelah penat mendaki tangga yang tinggi tu. Banyak sudut jugalah di Walhalla tu kami bergambar. Kalau nak masuk ke dalam Walhalla dan melihat sculpture, perlu membayar 4,50 Euro per kepala. Lebih kurang RM20 macam tu. Kami semua tak masuk ke dalam, cuma di luar sahaja.



Setelah puas bergambar di keliling Walhalla, kami berpiknik di salah satu spot menarik di atas bukit tu. Maka semua orang pun keluarkan makanan, snek dan wain dari dalam beg masing-masing. Melihat semua orang keluarkan makanan, saya pun keluarkanlah wafel yang dibeli tadi. Follow the flow gitu. Kadang saya terfikir juga, is it okay for me untuk duduk sekali dengan orang yang minum wain. Tapi masalahnya saya seorang saja yang bertudung di situ dan berada dalam komuniti orang Barat. Tak mungkin boleh nak elak daripada gaya hidup mereka. Tapi insyaAllah, saya pandai jaga diri. Eheh.



Parag mengeluarkan kad daun terup dan kami mula bermain game lie or truth. Setiap orang perlu mengeluarkan kad dengan nombor yang sama tapi boleh saja menipu. Kalau ada sesiapa yang dikesan menipu, dia terpaksa mengambil semua kad yang dikeluarkan. Kalau penipuannya tak dikesan sesiapa, maka berkuranglah kad di tangan. Banyak kali jugalah saya menipu dengan muka poker face untuk hilangkan kad di tangan. Tapi pada akhirnya, Parag juga yang menang. Selepas puas bermain kad, mereka mula memasang lagu dan menyanyi. Semasa seronok berpiknik, kami disertai oleh Ana Isabel (Anis) yang baru sampai di Walhalla.


Vesa bangun dan katanya nak berjalan sekejap pusing Walhalla. Saya memutuskan untuk mengikut Vesa. Kami berdua berbual sambil berjalan di keliling Walhalla, melihat pemandangan, bergambar dan akhirnya duduk di tangga Walhalla. Agaknya sudah lama kami menghilang, Parag, Ali, Anis dan Ariana datang mencari kami. Kami duduk di tengah-tengah tangga Walhalla tanpa peduli keramaian orang di situ. Ketika itu, pandangan kami menangkap sebuah situasi yang cukup menarik. Saya melihat seorang lelaki yang sedang memegang belon-belon berwarna merah ditemani oleh seorang lelaki yang botak. Tidak jauh dari situ, dua orang perempuan sedang berbual sambil melihat telefon bimbit, mungkin sedang bercakap tentang gambar yang diambil oleh mereka. Lelaki botak tadi menghampiri arah mereka. Perempuan itu berpaling ke belakang, dan si lelaki itu melutut. Dia melamar perempuan tersebut. Saya tak dapat menangkap perbualan mereka kerana agak jauh, tapi cukup jelas untuk saya lihat. Selepas perempuan itu bersetuju, semua yang menyaksikan kejadian di Walhalla itu bertepuk tangan untuk mereka. Mereka kemudian berpelukan.




Rakan-rakan perempuan saya di sebelah semuanya tiba-tiba kata nak kahwin cepat. “Then ask your boyfriends to propose you guys already,” kata saya kepada mereka. “Okay, maybe not this fast,” Ariana membalas. Kami ketawa terhibur. Tak lama kemudian, seorang tourist yang mungkin ternampak kami berselfie di tangga, offer untuk menangkap gambar kami. Kami berjaya mendapat gambar yang cantik sebagai memori di Walhalla, Regensburg.




Setelah agak lama di situ, kami kembali ke Anja, Felia dan Albiona di tempat piknik yang sedang berehat dan menjaga beg kami. Dari tempat kami berpiknik tu, kami dapat melihat beberapa pasangan yang sedang menari di Walhalla. Semuanya kelihatan gembira. Disebabkan Ariana cemburu, dia memasang lagu Perfect oleh Ed Sheeran dan mula berdansa bersama Vesa. Situasi di Walhalla petang Ahad itu bagi saya adalah situasi yang mungkin hanya pernah saya tonton dalam televisyen atau baca di dalam novel. Piknik, pemandangan cantik, orang melamar, lagu dan dansa serta kawan-kawan. Sangat menenangkan. Saya harap saya dapat video call keluarga atau orang dari Malaysia masa tu tapi fon tak ada bateri pula. Sayang.

Sebelum jam 6 petang, kami akhirnya turun dari bukit untuk mengejar bas. Kalau terlepas, nanti kena tunggu sejam lagi pula. Alhamdulillah, kami semua berjaya naik bas dan pulang ke rumah masing-masing. Bagi saya, saya tak kisah kalau ada peluang lagi untuk ke Walhalla walaupun terpaksa memanjat tangga. Bagi saya tak adalah tinggi sangat tangga di Walhalla tu sebab rasanya saya pernah menaiki tangga yang lebih banyak dari itu. Harapnya satu hari nanti mungkin saya boleh ke sana lagi. InsyaAllah.

Sampai bertemu lagi dalam penulisan seterusnya.

22 September 2019
Regensburg

No comments:

Post a Comment