Friday 31 December 2010

Contest: Malu Betul: Kenangan 2010

Salam berhijrah, salam teristimewa buat pengunjung blog ini. Salam berhijrah untuk tahun baru, yang pastinya bakal menggamit memori-memori dan kenangan-kenangan indah juga yang pahit. Namun, yang pahit biarlah berlalu, yang manis simpanlah. Fikirkan masa hadapan.

Berdasarkan tajuk juga, mesti anda pelik. Contest? Sebenarnya saya sudah jarang masuk contest-contest sebegini, lebih-lebih lagi jika disuruh menceritakan pengalaman sendiri. Tetapi demi rakan baik alam maya saya yang tidak dikenali, iaitu PENDEKAR BERKUDA, saya menggagahkan jua untuk post entry ini sebagai mendukung usaha beliau.


"Kebaikannya?? Anda dapat mengenang kembali insiden tersebut di masa akan datang. anda juga dapat berkongsi dengan rakan-rakan lain untuk memeriahkan gelak-ketawa anda di sini..ketawa itu pengubat duka...betul kan kan kan?? hehe...selain itu apa? banyak lagi yang anda akan dapat... nak tahu apa dia?

Meh sini...baca ya... dengannya anda dapat komen-komen yang menarik dari rakan anda... hehe...mungkin komen-komen yang tidak pernah anda terima sebelum ini...juga anda dapat trafik....pendekar akan update sesiapa saja yang join segmen ini dari semasa ke semasa..."
-Petikan daripada blog beliau

***

Kisahnya bermula begini. Waktu itu waktu perhimpunan di sekolah. Ya, saya memang pelajar sekolah! Jangan pelik. Setelah tamat waktu perhimpunan, rakan-rakan semuanya berpusu-pusu untuk pulang ke kelas masing-masing, tetapi tidak pula saya. Saya bangun daripada duduk perlahan-lahan, dan tanpa disedari teman saya terpijak kasut saya.

Mula-mula saya ingat tidak ada apa yang terjadi, tetapi bila pandang bawah, kasut kulit hitam saya itu telah tercabut besinya. Wah, malu benar! Saat itu, saya tahu kasut saya telah rosak, hancur dan tidak berguna lagi. Saya dengan wajah selamba berjalan terengsot-engsot untuk beratur. Teman saya menyedari tindakan saya, dan segera memohon maaf serta rasa bersalah yang amat. Telah saya pesan padanya, jangan minta maaf. Ini takdir, bukan salahnya.

Dan saya juga masih ingat kata-kata yang saya lontarkan padanya, "Biar malu di dunia jangan malu di akhirat." Dia masih ingat kata-kata itu sehingga sekarang. Baiklah, setelah itu teman saya tersebut berjalan mengikuti saya dan membuntuti saya ke kelas untuk 'cover' saya.

Sampai di kelas, saya tanya ada double sided-tape atau tidak. Dia yang penuh rasa bersalah cuba mencari keperluan saya di merata tempat, tetapi tidak menjumpainya. Maka, pada hari itu saya berjalan di lorong-lorong yang tersorok dan menyusahkan teman-teman. Maafkan saya, ya teman-teman? Jangan gelak.

Kemudian kami ada subjek Pendidikan Islam di kelas, dan perlu bergerak ke bilik unjuran, yang memerlukan saya membuka kasut. Kebetulan kelas saya bergabung dengan kelas sebelah. Untung ustaz belum tiba, teman-teman berusaha meminta pada guru-guru gam uhu. Ah, ada yang menanyakan untuk apa. Lantas mereka menjawab kasut saya tercabut. Malunya.

Alhamdulillah, tidak lama kemudian teman saya Hafizah pulang dengan membawa double-sided tape. Susah juga saya hendak membaiki kasut di situ, tambahan pula para ikhwan juga ada. Malu juga, hampir satu kelas saya tahu. Terpaksa.

Mula-mula lekat, dan akhirnya tertanggal. Saya harus juga meneruskan perjalanan ke surau, untuk solat Asar. Alhamdulillah, ada teman kelas lain yang memiliki gam uhu. Dia siap bantu gamkan lagi. Yang benar-benar memalukan, di hadapan surau dia melakukannya. Di hadapan orang ramai! Saya dengan muka selambanya masuk ke dalam surau.

Pengajaran yang saya hargai daripada insiden tersebut, kita memang memerlukan teman. Teman yang baik akan dapat kita ketahui saat susah, bukannya saat senang. Dan setiap peristiwa itu ada hikmahnya. Cuma, lambat atau cepat, kita tidak tahu. Itulah kenangan termanis juga termalu yang tidak mungkin saya lupakan. Insya-Allah.

* FARAH
* NANI

Single Unavailable : Nurina Izzati



Special One: Thanks to Akh Syihab

Entry kali ini saya tujukan khusus buat seorang qudwah saya, Akh SYIHABUDDIN AHMAD. Saya pun tidak berapa pasti apakah ini nama sebenar beliau atau tidak, tetapi yang pasti saya tertarik dengan mujahid islam yang satu ini.

Saya cuma berkenalan dengan beliau melalui blog dan Facebook. Biarlah saya menceritakan serba ringkas tentang beliau. Baru berumur 21 tahun, sedang menuntut di Mesir dan memegang amanah dakwah yang besar dalam mencari resolusi permasalahan ummah. Beliau suka menghasilkan artikel-artikel islami yang menarik juga menghasilkan design-design sebagai medium dakwah.

Saya sempat memetik kata-kata beliau,

Akh Syihab (saya menggelarnya) pernah juga meluangkan waktu untuk menghasilkan design buat saya, yang sangat menarik. Mahu lihat hasilnya? Nah!

Saya paling suka yang ini. Beliau siap tolong edit lagi puisi saya.


Puisi Melodi Cinta yang pernah saya hasilkan dulu.

Yang ini status saya di Facebook dulu, simple but nice.




Dan yang paling saya suka...

Puisi kegemaran saya.






Jadi jika anda semua hendak tahu apa istimewanya qudwah saya ini, bolehlah klik sendiri pada blog SUFI JUNDI. Tetapi apa yang mengharukan saya, beliau masih sempat mempromosikan novel saya di blog beliau. Sungguh saya terharu. Siap buat video YouTube lagi.

SINGLE UNAVAILABLE

Apa yang saya mampu lakukan, cuma mendoakan pengajian beliau di sana dan selamat pulang ke tanah air agar dapat menyambung dakwah kepada ummat Muhammad di Malaysia pula. Syukran ya Akh Syihab!

Thursday 30 December 2010

Cerpen: Cinta Muda

Air mata merembes perlahan dari kelopak mata gadis itu. Wajahnya sesekali ditiup angin dingin, menyebabkan tudungnya yang lembut berubah bentuk. Wajah yang dahulunya ceria dan sentiasa tersenyum itu disulami keredupan dan diiringi kelesuan.

Izzah. Seorang gadis berusia tiga belas tahun yang berkulit sawo matang. Wajahnya manis dan tuturnya lembut. Tingkahnya sopan serta pandangannya menenangkan. Entah kenapa, di suatu sudut, gadis itu terduduk di bawah pohon yang redup, sesuai dengan kondisi hatinya.

Sesekali Izzah menguis-nguis tanah dengan kaki kanannya. Sesekali dia menyeka air mata yang lembut berlinangan. Namun semua tindakannya itu tetap sahaja, tidak mampu mengurangkan walau sedikit pun kedukaan hatinya.

“Izzah …” suara itu lembut memanggil. Izzah mendongak. Segera diseka air matanya lagi. Abdul Fattah. Izzah kembali menunduk ke tanah.

“Apa yang kau lakukan di sini?”

Izzah menggeleng. Pandangan matanya menyoroti tingkah teman-teman persekolahan yang lalu-lalang.

“Kenapa kau menangis?”

Sekali lagi persoalan lelaki itu dibiarkannya tergantung. Biarlah dia tidak mengetahui apa-apa. Biarlah dia tertanya-tanya!

“Hoi!” Sapaan dalam sapaan. Suara ganas itu meninggi. Kamil dan teman-temannya muncul. Izzah tetap dengan keredupannya, tidak mempedulikan.

“Apa yang kau lakukan hingga Izzah menjadi begini?” bentak anak muda itu keras pada Abdul Fattah yang kebuntuan. Abdul Fattah membetulkan anak rambut yang terjuntai di dahinya yang membuatkan dia kelihatan bersahaja.

“Aku tidak lakukan apa-apa! Sungguh!”

“Ah, kau berdusta!” Kamil membuka langkah pertamanya dan menyerang Abdul Fattah. Kamil memang seorang yang panas baran, sering bertindak terburu-buru tanpa mengetahui pokok pangkal sesuatu perkara. Tendangan Kamil, jaguh silat itu hinggap tepat di perut Abdul Fattah. Abdul Fattah mengerekot ke tanah sambil memegang perutnya. Dia perlahan-lahan bangkit dan cuba menjelaskan.

“Mil, aku tidak mahu bergaduh dengan kau. Sungguh aku tidak tahu apa-apa! Aku juga tidak tahu mengapa Izzah bersedih begini!”

Izzah rasa bersalah. Wajahnya sedikit terdongak, terkejut dengan tindakan spontan Kamil tadi. Dia masih belum bersuara. Dia sudah tidak percaya lagi dengan sandiwara atau apa sahaja yang berlaku di hadapannya kini. Dia tidak terkata-kata.

Kamil menghampiri Izzah. Wajahnya yang dahulunya sentiasa diulit senyuman itulah yang membuatkan Kamil dan Abdul Fattah jatuh hati padanya. Dia tidak meminta semua itu, dan dia juga tidak memerlukan kasih daripada mana-mana lelaki, walaupun kadang-kadang naluri remajanya memberontak.

Kamil. Lelaki pertama yang dia kenal di sekolah rendah. Izzah memang agak pemalu dahulu, tetapi Kamil yang peramah sentiasa membantunya tidak kira masa. Dia tidak tahu pertolongan Kamil itu adalah semata-mata kerana perasaan terlanjur yang terbuku di hatinya. Abdul Fattah. Ketua pelajar di sekolah rendah waktu tahun enam dahulu. Mereka bertiga belajar di sekolah yang sama, tetapi Abdul Fattah agak jauh berbeza perangai daripada Kamil. Penyabar, bersopan dan rajin.

Kamil dan Abdul Fattah sebenarnya berkawan rapat, namun atas konflik percintaan kosong yang cuba direbuti masing-masing, sebuah persahabatan bertukar menjadi kebencian, dan lama-kelamaan bertukar menjadi musuh. Kamil yang mengisytiharkan.

Izzah sama sekali tidak menyangka yang mereka bertiga akhirnya akan bersekolah di sekolah yang sama. Persekolahan di sekolah menengah baru itu baru sahaja berjalan tidak hampir sebulan, dan Izzah telah pun kecewa.

Mungkin kerana Kamil atau Abdul Fattah, tetapi lebih kepada orang tuanya sendiri. Sungguh dia tidak menyangka dia terlepas dengar bicara mereka siang tadi. Sesuatu yang benar-benar memeranjatkan dan merobek hatinya.

“Abang, kita sudah berlakon di hadapan Izzah sudah hampir setahun. Cukuplah! Liza sudah tidak tahan lagi!”

“Liza, awak sudah setuju untuk terus melakukannya.”

“Abang, cukuplah! Abang ada isteri lain dan Liza ada kekasih lain. Kenapa kita mesti teruskan juga?”

“Lupakan sahaja kekasih gelap awak itu. Dulu waktu sekolah bukan siap janji setialah, sanggup berkorbanlah. Alih-alih, simpan lelaki lain.”

“Kalau begitu katakan sahaja pada Izzah yang sebenarnya.”

“Dia kan ada barah hati. Awak sudah gila?”

“Dia perlu tahu yang kita tidak perlukan dia lagi. Kita sudah ada kehidupan masing-masing. Dia cuma menghitung masa untuk mati.”

Praap! Satu tamparan dilepaskan pada pipi mama. Mama memegang pipinya sambil menatap wajah papa yang marah.

“Awak memang tidak sayang anakkah, Liza?”

“Dia cuma menyusahkan Liza. Liza tidak tahan lagi berlakon sehingga dia mati. Cukup! Perkahwinan kita memang tidak bahagia. Bukan salah kita jika hasrat hatinya untuk melihat kita bahagia tidak tercapai!”

Pintu bilik dibuka. Izzah menangis teresak-esak. Mama bungkam. Ayah terkejut. Izzah pantas berlari menuju ke arah pemandu dan mengerahkannya untuk menghantarnya ke sekolah. Dia mahu lari daripada semua ini. Dia ingin bebas.

“Tengok apa yang awak telah lakukan?”

“Liza pula! Abang pun sama. Diam-diam beristeri dua.”

“Izzah, kau dengar tidak apa yang aku katakan tadi? Abdul Fattah ini mengganggu kau, ya?” Kamil terus menyoal, mengharapkan jawapan. Izzah sekali lagi menggeleng.

“Kalau begitu, kenapa?”

Sepi.

“Ya Izzah, kenapa?”

Abdul Fattah dan Kamil berebut-rebut untuk bertanya. Izzah kekok dengan situasi sebegitu, lebih-lebih lagi dengan dua orang lelaki yang bukan mahramnya. Pandangannya terus menghala ke bawah. Melihatkan Izzah yang masih tidak bersuara, Kamil cuba mengubah topik lain.

“Izzah, bagaimana dengan pertanyaan aku tempoh hari? Kau pilih untuk bersama aku atau Abdul Fattah?”

Akhirnya Izzah terpaksa mengalah. Dia tidak mahu pisang berbuah dua kali. Jika kesilapan dalam memilih pasangan hidup yang terbaik telah dilakukan orang tuanya, dia tidak mahu perkara tersebut terjadi padanya juga.

“Kamil, Abdul Fattah … aku tidak akan memilih salah satu daripada kalian.”

“Kenapa Izzah?” Kamil mengangkat keningnya hairan.

“Apa kau sudah ada teman yang lain?” Abdul Fattah bersuara yang sedari tadi mendiam.

“Aku pilih untuk serahkan diri aku dulu pada Allah, kerana hanya Dia pemilik cinta yang sejati. Aku belum selayaknya untuk menerima kasih daripada mana-mana lelaki. Aku masih muda, dan aku tidak mahu membazirkan usia mudaku dengan hal-hal yang tidak bermanfaat begini.”

“Izzah, waktu mudalah kita perlu mengenal hati budi masing-masing.”

“Aku cuma takut aku tidak punya banyak waktu untuk mengenal pencipta hati budi itu sendiri.”

“Kenapa dengan kau sebenarnya?”

“Pengalaman mengajarku. Orang tuaku telah menghabiskan masa muda mereka dengan keseronokan bercinta, hingga akhirnya tidak menyedari hakikat cinta sejati. Aku kesal.”

“Jadi kau perlu buat pilihan yang tepat. Di sekolah menengah ini masih ramai yang sibuk mencari aku untuk dijadikan pasangan,” jelas Kamil tanpa berselindung.

“Aku bukan mereka.”

“Izzah, hidup berteman ini bahagia. Aku mampu memberikan kau apa sahaja yang kau mahukan,” Abdul Fattah bersuara lembut, tidak memaksa.

“Apakah kau mampu memberikan aku syurga?”

“Maksud kau?”

“Seandainya kita bercinta, adakah boleh memasuki syurga?”

“Kalau bercinta kerana Allah, insya-Allah boleh.” Abdul Fattah meyakinkan.

“Kau yakin ini cinta kerana Allah? Bukannya nafsu?”

Kamil menelan liur. Abdul Fattah juga begitu. Sebenarnya naluri lelaki mereka kadangkala memberontak untuk mendapatkan teman wanita persis pelajar lelaki yang lain. Mereka terdesak. Langsung tidak memikirkan tentang kemurkaan Allah.

“Teman-temanku, aku yakin kelak kalian akan bahagia bila tiba waktunya. Allah sudah menjanjikan jodoh yang terbaik untuk kalian.” Izzah perlahan-lahan meninggalkan Kamil dan Abdul Fattah, berfikir. Dia menuju ke surau. Dia perlu memantapkan imannya dengan menambahkan amal ibadah. Dia ingin menemui cinta sejatinya.

***

“Izzah!” Diana memanggil nama itu. Sedari tadi penat dicarinya gadis sopan itu tetapi belum ditemui. Diana yakin temannya itu ada di surau.

“Oh, sedang solat rupanya,” ujar Dania sebaik sahaja melihat Izzah sedang bersujud. Dania duduk bersandar di tepi dinding sambil menunggu Izzah selesai bersolat. Sepuluh minit kemudian, Izzah masih belum bangkit daripada sujudnya. Diana tersenyum sendiri. Pasti temannya itu tertidur.

“Izzah, bangun Zah …” Dania menolak lembut bahu Izzah tetapi tubuh bertelekung itu terjatuh di atas lantai. Dania panik seketika.

“IZZAH!”

***

Abdul Fattah mengambil diarinya dan mula menulis sesuatu. Otaknya ligat berfikir.

“Ya Allah, Ya Rabb, Ya Ilah …

Hari ini setelah kuhitung-hitung, genaplah dua puluh tahun pemergian almarhumah Izzah menemui-Mu. Tetapi dia tidak meninggalkan dunia ini dengan sia-sia, dia mengajarku sesuatu pengajaran yang sangat bermakna. Dia mengajarku erti cinta sejati, dia mengajarku tentang cinta-Mu. Aku sedar, jika Izzah menerima ajakanku dulu untuk menjadi temanku, hidupku pasti tunggang-langgang sekarang. Mungkin saat ini aku sedang bosan memadu hidup dengannya, kerana telah lama mengenalinya. Atau mungkin jika aku bersamanya aku kini telah curang padanya kerana aku jatuh cinta pada wanita lain. Kau memang Maha Penyayang, tuhanku. Kau mengambil Izzah dalam kondisi dia sedang bersujud pada-Mu, mengagungkan kasih-Mu. Aku sampai sekarang masih belum mampu melupakan senyuman Izzah yang menyenangkan itu. Ternyata, cinta waktu masih muda itu ada banyak cacatnya, dan aku salah. Alhamdulillah Kau tunjukkan aku yang sebenarnya.

-Abdul Fattah

Tepian Sungai Nil, Mesir

15 Safar 1432 M

“La, di sini rupanya abang! Puas Dania cari abang!” Seorang muslimah menyentuh lembut bahu suaminya itu. Dania sempat menangkap isi kandungan diari Abdul Fattah, kemudiannya yakin. Mudah-mudahan Allah menempatkan Izzah di kalangan orang-orang yang beriman.

Video Promosi Single Unavailable

Istimewa untuk anda,

VIDEO PROMOSI SINGLE UNAVAILABLE

Kali pertamanya saya muncul dalam bentuk video. Video ini merupakan hasil kerja keras warga Galeri Ilmu Sdn Bhd. Klik pada link dan anda akan dibawa ke blog editor saya, Encik Amir. Nampak macam 'keras' sahaja saya bercakap, tetapi kita belajar daripada pengalaman. Nanti ada perkembangan terbaru saya update, insya-Allah.

Monday 27 December 2010

Cerpen: Gelap

Sarah menekup mulutnya dengan kedua-dua belah tangannya, menguap. Dia terpisat-pisat. Aida menghampirinya dengan wajah yang ceria beserta senyuman.
“Sarah, kau tidak keluar rehat?”
“Malas.”
“Boleh aku tanya?”
“Em.”
“Rambut kau memang warna coklat asli atau diwarnakan?”
Sarah cuma menjawab dengan menjungkit kedua-dua bahunya. Dia memang malas diajak berbicara, terutamanya apabila disoal tentang rambutnya. Sarah Safina. Gadis berwajah putih melepak persis keturunan orang British, tetapi darahnya tidak ada kena-mengena dengan British setahunya. Tubuhnya sederhana tinggi dan wajahnya cukup menyenangkan sesiapa yang melihat, cuma jarang sekali ada senyuman yang terukir di situ.
Aida melangkah pergi dari situ. Kini tinggal Sarah bersendirian di dalam kelas, tatkala pelajar-pelajar lain sedang enak menjamu selera atau bercanda dan bermain di padang. Kini tinggal Sarah bersendirian tanpa teman, hanyut dalam kegelapan.

***
“Mama, bukan Sarah yang buat!” Sarah merayu semahu-mahunya, namun jeritannya tidak diambil peduli sama sekali oleh mamanya. Sarah yang terduduk longlai mencapai kedua-dua kaki mamanya dan memaut erat mengharapkan simpati.
“Dasar anak tidak mengenang budi! Aku didik kau untuk belajar, bukannya mencuri!”
“Mama, bukan Sarah yang buat! Bukan Sarah yang curi!”
Tangan mamanya hinggap di pipinya. Perit. Sakit. Sarah memegang pipi kanannya, sungguh tidak menduga tindakan mama.
“Sarah Safina, setelah tiga belas tahun aku besarkan kau, begini caranya kau balas aku? Kau curi rantai emas aku?”
“Mama, Sarah tidak bersalah!” Kaki wanita empat puluhan itu dipeluk semakin kemas. Mama menarik dan menendang Sarah sehingga tersungkur. Kemarahannya sudah tidak tertanggung lagi. Mama terus keluar rumah dengan wajah yang marah. Sarah yang tidak berdaya itu bangun perlahan-lahan mengejar langkah mama.
“Mama …”
Mama memang marah sehingga tidak peduli lagi orang yang lalu-lalang di sekitarnya, termasuk juga kenderaan yang sedang bergerak di atas jalan. Mama tidak menoleh kiri dan kanan sebelum melintas. Sarah memandang tidak percaya, lantas menjerit memanggil mamanya. Wanita itu menoleh sedikit dan sangat terkejut kerana ada sebuah lori besar menghampiri. Dekat. Semakin mendekat.
Waktu berlalu begitu kencang sekali. Mama terperosok ke bawah lori dan dilanggar lari. Air mata Sarah Safina sudah tidak tertanggung lagi. Dia menangis. Menangis dan terus menangis.
“Tuhan … berdosakah aku? Aku derhaka.” Kata-kata itu yang diungkapkan Sarah. Kata-kata itu juga yang sering dipegangnya sehingga kini. “Aku berdosa.”

***
“Assalamualaikum, Sarah.” Afifah mendekatkan tubuhnya pada gadis itu.
“Em.”
“Kenapa tidak jawab salam? Berdosa, tahu?”
“Berdosa?”
“Aku mendoakan kesejahteraan kau, kau doakan kesejahteraan aku.”
“Kau paksa aku jawab salam, ertinya kau tidak ikhlas?” Afifah rasa terperangkap.
“Aku tidak memaksa kau, tetapi jawab salam memang hukumnya wajib.”
Sarah terus mencuka.
“Sarah, kau memang begini ya?” Sarah memandang Afifah sambil mengangkat keningnya, meminta penjelasan.
“Pesimis.”
“Em.”
“Sarah, kalau kau ada masalah kau boleh ceritakan pada kami,” Aida turut menghampiri.
“Em.”
“Masa lalu?” Aida menebak. Sarah membesarkan sedikit mata, tanda terperanjat. “Ada sesuatu yang buat kau begini.”
Sarah memandang lantai, namun lantai tidak akan membantunya. Dia memandang atas. Adakah yang di atas sana mahu membantunya? Dia kan berdosa.
“Aku berdosa.” Sarah mulai mengalah, menyuarakan jua bisikan-bisikan hatinya. Aida dan Afifah saling berpandangan, lantas merenung mata biru di hadapan mereka itu.
“Aku derhaka pada mama, aku tidak layak mendapat bahagia.”
“Derhaka?” Afifah mengerut kening.
“Aku tidak sempat minta maaf pada dia. Walaupun aku tidak curi rantai emas itu, aku memang derhaka.”
Akhirnya Sarah menceritakan peristiwa tahun lepas yang telah menggelapkan hidupnya. Peristiwa yang menyebabkannya kecewa dan sentiasa berputus asa.
“Aku berdosa dengan mama dan Tuhan di atas. Sebab itu Tuhan tidak sayangkan aku.”
“Sarah, apa yang kau merepek ini?” Afifah menyoal, agak pelik dengan pernyataan itu.
“Sarah …” Aida menyentuh lembut bahu rakannya itu sambil terus memandangnya. Jelas terpancar riak kekesalan pada wajah itu.
“Allah sayangkan kau.”
“Merepek.”
“Peristiwa itu … tanda Dia sayangkan kau. Tanda Dia uji kau.”
“Kenapa aku? Berjuta-juta lagi manusia di Malaysia, kenapa Tuhan pilih aku? Pilihlah orang lain.”
Kedengaran tawa kecil Aida.
“Sarah, setiap orang akan ditimpa ujian masing-masing. Nikmat dan musibah juga merupakan ujian.”
“Betul itu, Sarah.” Afifah mengiakan.
“Huh, merepek.”
“Allah itu Maha Penyayang. Dia menguji keimanan dan ketakwaan hambaNya melalui ujian dan dugaan kehidupan. Kalau kau menyerah dalam ujian ini, selama-lamanya kau akan hidup dalam kehampaan.”
“Aku hidup pun tidak berguna lagi. Lebih baik aku mati.”
“Erm … kau tahu syurga dan neraka?”
“Mestilah aku tahu. Walaupun aku tidak memakai tudung seperti kau dan Ifah, aku tetap tahu.”
“Kau pilih yang mana?”
“Maksud kau?”
“Jawablah.”
“Syurga barangkali. Aku selalu dengar di syurga nanti kita akan disediakan semua yang kita mahukan. Ada sungai, ada pokok, ada taman …”
Aida tersenyum.
“Hendak masuk syurga ada syarat.”
“Huh, syarat?”
“Syaratnya kau kena jadi hamba Allah yang beriman.”
“Kau beriman?” Soalan itu menjebak Aida, namun cuba diatasinya sebaik mungkin.
“Iman itu ada naik dan ada turunnya, dan bergantung pada Allah untuk menilai keimanan seseorang itu.”
“Huh, kalau begitu mana kau tahu kau akan masuk syurga?”
“Aku tidak kata yang aku akan masuk syurga, tetapi kita kena ada DUIT kalau hendak masuk.”
“Masuk syurga pun kena guna duit? Gila!”
“Maksud aku Doa, Usaha, Ikhtiar dan Tawakkal.”
“Aida, apa benda yang kamu merepek ini? Sudahlah!” Sarah membentak lantas berlalu pergi. Aida dan Afifah berpandangan sesama sendiri.

***
“Hei, nak ke mana?” satu suara dari sisi membantutkan perjalanan Sarah. Gadis berambut panjang itu menoleh. Saerah. Kakaknya yang satu itu memang selalu menyakitkan hatinya.
“Duit?” soalnya lagi.
“Kakak pun sama seperti Aida, merepek!”
“Hei budak, jangan kurang ajar ya dengan aku!” Saerah menghampiri Sarah dan memegang dagunya kuat. “Mana duit?”
“Kak, Sarah tidak faham sebenarnya.”
Satu tamparan hinggap di pipi kanannya. Sangat sakit. Warisan mama barangkali. Sarah mengusap pipinya perlahan.
“Mana nak cari doa, usaha, ikhtiar dan tawakkal?”
Saerah menyentuh dahi Sarah. ‘Sudah gila agaknya adik aku ini’ getus hati kecilnya. Sarah menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Semakin tidak mengerti.
“Kakak, kenapa mama meninggal?”
“Sarah, kau sudah gila atau sengaja berpura-pura gila?”
“Siapa yang curi rantai emas mama?”
“Glurp.” Saerah menelan liur. ‘Dia sudah tahu?’
“Kenapa hidup mesti ada ujian?”
“Hei Sarah! Jangan cuba menjerat aku begini. Hendak tahu jawapannya, CARILAH SENDIRI! Ini semua TAKDIR. Masa itu tidak boleh berpatah kembali. AKU CURI RANTAI ITU pun bukannya boleh dapat kembali. Sudah dijual.” Selamba sahaja Saerah bersuara. Dia cuba menutup kesalahan yang telah dibongkarnya dengan sendiri.
“Huh?” Semua persoalannya telah terjawab.

***
“Aida, aku sudah dapat jawapannya, walaupun agak mengelirukan aku!”
“Maksud kau?”
“Aku tidak tahu bagaimana aku berfikir tetapi aku dapat menterjemahkan apa yang hendak kau sampaikan.”
“Kau ajar aku ya bagaimana hendak jadi orang yang beriman dan mencari DUIT.”
“Mula-mula kau kenalah pakai tudung!”
Aida tersenyum. Lengannya merangkul bahu Sarah sambil mengajak gadis itu berjalan pergi.

Sarah Safina. Seorang gadis bermata biru, berambut panjang berwarna coklat, berwajah cerah bak Puteri Salju yang aneh. Gadis ini unik. Mungkin itu sebabnya Allah pilih dia untuk menerima ujianNya. Kini, kegelapan yang melanda hidupnya sudah pergi. Dia mendapat hidayah daripada Allah, meskipun aku sendiri tidak pasti bagaimana. Aku juga kadang-kadang keliru dengan dia, tetapi aku yakin dia berpotensi untuk menjadi pendakwah suatu hari nanti.
-Aida

Saturday 25 December 2010

Special One: Thanks to Pendekar Berkuda

Tadi baru pulang dari City Plaza di Alor Star, ada book fair yang diadakan di sana. Hari ini saya memang penat tetapi alhamdulillah masih diberi kesempatan oleh Allah untuk menulis sebuah lagi entry di blog yang tidak seberapa ini. Baiklah, berbalik kepada tajuk, mungkin ramai yang sudah mengenali 'Pendekar Berkuda' yang dimaksudkan, tetapi jika ada yang belum mengenali Pendekar Berkuda ini, bolehlah klik langsung ke blog beliau.Sesuai dengan namanya, Pendekar Berkuda, sebenarnya agak lama juga saya perhatikan blog ini, dan jujur tertarik pada nama Pendekar Berkuda itu. Kalau anda lawat sendiri blog ini, anda akan dapat memahami keistimewaan blog ini. Action speaks louder than words.

Saya sebenarnya tidak tahu, pendekar ini mencari identiti blog saya, al-maklumlah selalu tukar nama blog, dan alhamdulillah pencarian beliau berhasil atas takdir Ilahi. Saya sudah banyak kali membaca entries di blog beliau tetapi saya bukannya jenis yang suka komentar sangat, dan rasanya mungkin tidak pernah komen di blog tersebut. Tetapi Pendekar suka update blog dan saya suka baca juga.

Maaf ya Pendekar, sebab saya sudah menyebabkan anda berkelana merata-rata. Alhamdulillah, blog Pendekar memang banyak followers, hasil usaha Pendekar juga. Blog saya yang masih picisan inilah sepatutnya mencontohinya. Saya doakan Pendekar akan lebih maju dalam semua bidang yang diceburi, insya-Allah terutamanya dalam dunia blogging dan Financial Consultant anda. Dan salam balas senyuman terima kasih Pendekar kerana mencari, saya sentiasa menyokong Pendekar dunia akhirat, insya-Allah.

Di sini juga saya sertakan karya Pendekar Berkuda, yang boleh dijadikan pedoman semua insya-Allah yang saya petik dari blog beliau. Mohon ya Pendekar? =)

di keheningan alam...
bersila daku di sini...
memikirkan rahsia ILAHI....
yang tercipta sejak azali....
merafak sembah serendah hati...
ku pohonkan maaf...
pada bicara yang tiada pekerti.....
pada khilaf yang tercipta oleh diri....
kerana daku...hanya seorang hamba ILAHI..
yang lemah lagi kerdil....
di dunia yang fana ini....
Jika ada yang terkhilaf...maafkanlah diriku ini...
jika ada yang terluka... daku sedia untuk diadili...
Kerana kasihnya ILAHI...
Daku terdampar di sini....




"Sesungguhnya manusia itu hanya menerima balasan menurut amalnya, jika baik maka baiklah balasannya dan jika buruk maka buruklah balasannya".17 [1]

Friday 17 December 2010

Diari#7: Promo S.U

Tadi ada search kat Google lagi, jumpa pula entry En. Zayu Hisham, salah seorang penulis GISB.

*****
Dua tiga hari yang lepas sempat berjumpa dengan Tuan Zakaria Sungib, Editor Kanan GISB. Apabila berjumpa, saya tidak lepaskan peluang untuk minta pandangan dan tunjuk ajar beliau.


Kebetulan pada masa itu beliau tunjukkan hasil karya terbaru Saudara Hilal Asyraf dan Novelis Muda GISB, Nurina Izzati. Tahniah buat mereka berdua terutama sekali Adik Nurina Izzati yang baru berusia 13 tahun ( kalau tidak silap saya ) sudah mampu menghasilkan novel pertamanya. Berbanding saya, ketika berusia lewat 30an baru mula menulis. Cabaran buat saya juga untuk terus menghasilkan karya-karya yang berkualiti dan digemari oleh pembaca. Ia bukan kerja mudah atau sekelip mata sahaja.


******
Saya copy sikit sebahagian entry beliau. Sebenarnya umur saya bukan 13 tahun. hehe. Alhamdulillah, ada juga sokongan dan ucapan tahniah daripada beliau.


Hari Selasa ni kena pergi syarikat GISB, nak sign dokumen, sekali ngan temu bual tentang novel Single Unavailable tu. Rasa seram sejuk pun ada, sebab ni first time kena temu bual. Tapi mak n ayah tak boleh hantar, semua sibuk jadi saya naik bas la pergi Shah Alam. Dari Kulim ke Shah Alam mungkin lima enam jam kot sampai.

Semata-mata demi novel tu. Hehe. Sebenarnya promosi buku memang penting untuk melariskan penjualan sesuatu buku itu. kalau tak buat promo macam mana orang nak beli buku? Apa2 pun saya nak ucapkan setinggi-tinggi terima kasih pada semua warga GISB tu yang dah tolong saya untuk terbitkan novel S.U terutamanya encik amir, encik zakaria, kak aini, pak cik bad, puan suraiya dan semualah! memang respek la dengan semua orang2 ni sebab komited dalam kerja masing2.

Dan satu lagi, saya masih tak pandai guna continue reading, tu yang blog serabut tu. Apa2 pun, we learn from mistakes. semua benda yang terjadi di atas muka planet bumi ini telah ditentukan Allah SWT dan ada hikmah di baliknya, insya Allah.

Special One: Thanks to Ukhti As-Sakinah

Tadi saya ada search di Google, and then terjumpa satu post dari ukhti as-Sakinah. Masya Allah, tak sangka. Ni saya copy dari linknya. SHOUTUL SHABAB.

*****
i'm single but unavailable until the halal status comes
bismillahirrahim .
WAH! I'm gonna get this novel for sure .


Subhanallah, praise to Allah for such a gift from You to Ukht Nurina Izzati.

Ukht Nurina, even though it is your first novel, I think it is good enough :)

Keep writing such storyline, i'm sure many shabab wa fatayat out there like it verrrrry much
Especially those who are craving and thirsty for tarbiyyah :)

Ukhwah fillah, May Allah bless us :)

*****
bismillahirrahmanirrahim

syukran atas sokongan anti untuk novel ni. sangat bermakna.

sebenarnya ana baru cuba menghasilkan novel, dan sedang tunggu sambutannya, harap menggalakkan. insya Allah.

ana cuba membetulkan sedikit pemahaman para remaja sekarang tentang 'couple'. tetapi, ana cuma berusaha. Allah yang memberikan hidayah dan petunjukNya kepada sesiapa yang dikehendaki.

nanti lepas anti baca jangan segan-segan komentar pula. =)

syukran jazilan. semuanya hanya Allah yang layak membalas.


Wednesday 8 December 2010

Cerpen: Kerana Anisah

Bulan yang dipagari bintang-bintang di langit malam semakin terang memancarkan sinarnya. Aku berteleku di jendela kamar, merenung keindahan ciptaan Tuhan. Bunyi cengkerik yang kuat sesekali mendamaikan pendengaranku. Ah, alangkah indahnya ciptaan Allah.

Namun kedamaianku terhenti tatkala mendengar tangisan adik kecilku, Anisah yang berusia lima tahun menangis di atas katil. Aku segera mendapatkannya. Aneh sekali. Selalunya malam-malam begini budak itu telah tidur dengan nyenyak sekali. Apa sebenarnya yang mengganggu tidurnya?

Aku mendodoikan adikku sehingga dia benar-benar terlelap. Masya Allah, comel sekali wajahnya ketika sedang tidur. Wajahnya sedikit mirip dengan ibu. Dia memiliki sepasang mata yang cantik persis ibu.

Tidak lama kemudian hidungku menangkap bau sesuatu yang kurang menyenangkan. Aku jadi terbatuk-batuk dibuatnya. Ah, bau asap! Siapa yang membakar sampah malam-malam buta begini? Bau asap tersebut semakin lama semakin kuat. Sepertinya datang dari dalam rumah. Aku perlahan-lahan mengatur langkah membuka pintu bilik untuk keluar.

“Prang!” Zink rumahku jatuh benar-benar di hadapanku. Astaghfirullah! Rumahku terbakar! Aku segera mendapatkan Anisah di atas katil, tanpa mempedulikan lagi kondisi rumahku itu. Aku kemudiannya mencapai sehelai tudung biru yang telah disangkut berhampiran almariku.

“Rizal! Shamsiah!” Nama orang tuaku dipanggil berulang kali dari luar. Aku sudah tidak tahu hendak berbuat apa lagi, lantas aku memutuskan untuk keluar melalui tingkap. Anisah berada dalam pelukanku, kemas. Aku tidak akan melepaskannya. Alhamdulillah tingkap rumahku bukan daripada jenis besi, jadi senang sekali untuk aku melepaskan diri.

Jiran-jiranku semuanya berkumpul di luar rumah. Api semakin marak. Aku sempat menangkap kelibat Pak Cik Man mendail telefon bimbitnya, pasti sekali menghubungi pihak berkuasa. Tiba-tiba aku teringat sesuatu. Ibu? Ayah? Adakah mereka masih di dalam? Mataku liar mencari kelibat ibu dan ayah di situ, tetapi tidak ada.

“Ibu! Ayah!” Aku menjerit semahu-mahunya. Aku ingin masuk ke dalam kembali untuk menyelamatkan mereka, tetapi dihalang oleh jiran tetangga. Anisah masih berada erat dalam pelukanku. Anak kecil itu masih tertidur lena, tidak menyedari orang tuanya sedang berada di dalam bahaya.

“IBU! AYAAAHHHH!”

Aku cuma mampu memerhatikan rumahku yang sedang hangus dijilat api. Sebuah insiden yang meragut nyawa ibu bapaku. Dan pada malam itu, terjadilah sebuah malam yang sangat tragis padaku.

***
“Nisa! Turun cepat!”

“Ya, sekejap!” Tidak lama kemudian seorang gadis manis berusia sebelas tahun mengatur langkahnya perlahan-lahan menuruni tangga.

“Cepat sarapan. Hari ini kan hari pertama ke sekolah. Nanti lambat pula.” Aku membetulkan tudung adikku yang selekeh. Alhamdulillah, aku bersyukur kerana adikku telah membesar dengan sempurna dan tetap comel seperti dahulu.

“Ala, Kak Rina ni. Baru pukul enam setengah. Nisa kena masuk sekolah pukul tujuh,” suara comel itu memberitahu. Aku tersenyum lantas menuangkan secawan susu untuknya.

“Kak Rina, boleh Nisa tanya satu soalan?” Aku mengangguk.

“Ibu dan ayah pergi mana? Kenapa Nisa lama tak jumpa ibu dan ayah?” Aku sudah menduga soalan ini akan keluar juga akhirnya dari mulut Anisah. Aku sudah tidak mampu mencari alasan lagi. Anisah sudah besar, dia pasti akan memahami.

“Nisa sayang, ibu dan ayah sebenarnya … dah lama meninggal dunia …” ujarku dengan suara yang tersekat-sekat.

Anisah kehairanan. Tidak lama kemudian aku dapat menangkap titisan jernih yang mengalir dari tubir mata adikku itu. Dia kelihatan sangat kecewa, kecewa denganku barangkali.

“Me … meninggal?” Aku mengangguk seraya memeluk tubuh kecil itu. Aku mencium dahi Anisah lembut.

“Kenapa Kak Rina tak beritahu Nisa sebelum ni? Nisa berhak tahu, kak!”

“Sayang, Kak Rina bukannya sembunyikan perkara ni daripada Nisa, cuma dulu Nisa masih kecil dan tak akan faham,” aku berterus-terang, mengharapkan pengertiannya.

“Sampai hati Kak Rina!” Anisah terus keluar dari rumah dan berjalan ke sekolahnya. Aku menjadi serba salah lantas membuntutinya.

***

Berita jam lapan sedang ke udara. Aku tidak berani sama sekali mendekati lelaki yang sedang asyik menumpukan perhatiannya ke skrin kaca itu. Sejujurnya aku sangat ingin menonton berita, aku ingin tahu khabar rakyat Malaysia di luar sana, tetapi lelaki itu telah membunuh hasratku.

Pak San. Nama sebenarnya Hassan. Dia bapa saudaraku sebelah ibu, dan dia juga yang menanggung aku dan Anisah selama hampir enam tahun ini. Cuma mimpi ngeriku yang aku takuti selama ini telah bangkit. Dulu Pak San kaki botol, pemabuk. Tidak lama kemudian Pak San sudah menghentikan tabiatnya itu. Dia sebenarnya seorang yang baik sekali.

Selepas kematian ibu, dia memberikan kami makan minum, pakaian yang cukup. Walaupun rumahnya kecil dan tidak sebesar rumahku dulu aku tetap bersyukur kerana dikurniakan seorang bapa saudara sepertinya, yang kuanggap seperti ayahku juga. Namun tiga tahun yang lepas, sewaktu aku berusia tujuh belas tahun, isterinya meninggal dunia. Semenjak itu Pak San kecewa dan mengulangi kembali tabiat buruknya itu.

Aku kesal. Hanya kerana sebuah kehilangan, dia mengatakan dirinya tidak berguna lagi. Pak San juga malas bekerja sekarang, duitnya selalu dihabiskan untuk membeli air kencing syaitan.

Alhamdulillah aku mendapat biasiswa untuk universitiku. Aku juga mengambil upah menjahit untuk membantu persekolahan Anisah. Kadang-kadang aku terpaksa ponteng kuliah untuk bekerja.

Mataku cuma menatap Pak San dari bilik. Jika dia mabuk pelbagai perkara yang boleh sahaja dilakukannya. Lazimnya Pak San akan mengamuk atau membentak tentang duit atau arwah isterinya. Dia mengerutkan dahinya dan sesekali mendengus. Aku tidak mampu menangkap sari berita itu.

“AAAAAAAHHHHHHHH!” Pak San membentak sekeras-kerasnya. Botol berjenama Tiger digenggam erat di tangannya. Entah dari mana dia dapat duit untuk membelinya aku tidak tahu. Alat kawalan jauh ditekan dan televisyen padam serta merta. Aku segera mengunci pintu bilik.

Anisah sedang membuat ulang kaji di satu sudut ruangan bilik. Mungkin juga masih marah padaku tentang kejadian tempoh hari. Ah, biarkanlah. Lambat laun juga hatinya akan lembut semula. Aku dapat mendengar suara Pak San menjerit-jerit di luar, dan aku pasti Anisah juga begitu. Namun ini sudah menjadi kebiasaan bagi kami, dan aku terpaksa akur. Walaupun hatiku kadang-kadang membenci Pak San, aku tahu aku salah. Dia bapa saudaraku.

***
“ARINA!” Namaku dipanggil dari dapur. Aku segera meninggalkan buku-buku falsafahku dan menuju ke arah dapur. Pak San sedang mengambil sebotol arak dari peti sejuk. Aku terkejut. Dia menyimpan arak di dalam peti sejuk?

“Pergi rumah Tuan Haji minta beras!” bentaknya kasar.

“Pak San, masuk kali ni, sudah banyak kali kita minta beras pada Tuan Haji,” aku bersuara minta pengertian. Aku jadi segan disuruh ke rumah Tuan Haji untuk kesekian kalinya.

“Pergi rumah Wak Saga.”

“Wak Saga? Rumahnya kan jauh di pedalaman? Rina dah janji nak jemput Nisa pulang dan bawa dia ziarah kubur ibu dan ayah.”

“Aku kata pergi, pergilah! Kau tercegat di sini lagi buat apa?” Tubuhku jadi bergetar. Aku harus ikut arahannya, nanti aku dikatakan anak tidak kenang budi. Tetapi Anisah bagaimana? Aku sudah berjanji. Kata itu kota.

“Pergilah cepat! Lembab betul!” Pak San menolakku keluar dari rumah.

“Pak San memang ego. Asyik fikirkan diri sendiri sahaja. Yang dah pergi tu biarkanlah pergi, kita tak akan mampu mengundurkan masa kembali. Ibu dan Mak Lah pun mesti kecewa tengok perangai Pak San sekarang ni! Allah itu Maha Penyayang, belum terlambat untuk Pak San bertaubat,” aku sendiri tidak tahu bagaimana kata-kata itu boleh keluar dari mulutku. Aku menangis sambil mengatur langkah ke rumah Wak Saga.

Setelah mendapatkan beras, aku terus pulang ke rumah. Aku mendapati Pak San dan Anisah tidak ada di rumah. Pak San mungkin sekali keluar dengan rakan-rakannya, tetapi Anisah? Aku jadi cemas. Anisah tahu jalan pulang ke rumah, tetapi dia tidak ada! Aku memeriksa bilik dan menemui sekeping nota. Tulisannya tidak sama besar. Itu tulisan Anisah, aku pasti. Aku membacanya.

Kak Rina,
Nisa tak suka Kak Rina. Kak Rina tipu Nisa. Nisa nak pergi sendiri ke kubur ibu dan ayah. Jangan cari Nisa.

Masya Allah, Anisah! Mana kau hendak cari kubur ibu dan ayah? Pasti kau tersesat. Saat itu, hati aku dilanda resah yang berbaur gelisah. Aku jadi panik. Pelbagai kemungkinan datang bertandang di hatiku. Anak itu jalan sendirian di luar tanpa teman. Ah Nisa, kenapa kau buat Kak Rina begini?

Aku segera menuju ke kubur ibu dan ayah yang terletak agak jauh dari rumah, tetapi Anisah tiada di kawasan perkuburan islam itu. Aku mencari di seluruh kawasan, hingga aku buntu di mana lagi harus mencarinya.

Awan mula menjatuhkan bebanan di dalamnya yang ditanggung sekian lama. Hujan turun dengan lebat sekali. Di mana Anisah? Oh, anak itu pasti sedang kedinginan sekali. Aku terus mencari Anisah sambil bertarung dengan hujan yang lebat. Air mataku turut mengiringi hujan.

“NISAAAAAA!”

Hujan yang turun sedang mendera diriku. Anisah sedang mendera kakaknya. Ya Allah, kuatkanlah hatiku menerima ujian-Mu ini. Aku menangis dan terus menangis hingga akhirnya aku tersungkur jatuh. Aku memeluk kedua-dua lututku erat. Oh Anisah, di mana kau sekarang? Maafkan Kak Rina, sayang. Pulanglah, Kak Rina merinduimu!

***
Aku membuka mataku. Aku memandang ke sebelah. Kosong. Nisa, mana Nisa? Pulanglah sayang, maafkan Kak Rina. Kepalaku terasa berat sekali. Ah! Sepertinya aku berada di dalam bilik. Siapa yang membawaku ke sini?

Bunyi ketukan di pintu kedengaran. Mataku samar-samar menangkap kelibat seorang lelaki dan anak kecil. Nisa, itu Nisa? Aku cuba bangun.

“Kak Rina, rehat dulu.” Aku kenal suara itu, memang benar suara Anisah. Aku memeluk erat tubuh itu. Anisah berada dalam pelukanku, kemas. Aku tidak akan melepaskannya.

“Kak Rina sayangkan Nisa, jangan tinggalkan Kak Rina lagi, sayang!”

“Kak Rina, maafkan Nisa sebab buat Kak Rina sakit,” suara itu teresak-esak. Aku menyeka air mata yang mula berguguran dari pipi Anisah.

“Nisa pergi mana tadi, sayang? Risau Kak Rina.”

“Nisa nak pergi kubur ibu dan ayah, tapi Nisa tersesat. Pak San jumpa Nisa, dia bawa Nisa balik. Kak Rina, Pak San dah tak suka marah-marah seperti dulu. Pak San dah lain,” ada sinar kegembiraan pada wajah comel itu. Aku memerhatikan Pak San yang sedang berdiri di belakang Anisah.

“Rina, kau betul. Mak Lah kau sudah lama pergi. Mesti dia tak nak tengok Pak San macam ni, kan?”

Aku tersenyum. Ternyata hati Pak Man terketuk dengan kata-kataku tadi. Sekiranya Allah hendak menyampaikan hidayah kepada seseorang itu, Dia akan mampu memberikannya bila-bila masa sahaja. Jadi maka jadilah.

“Rina, tolong Pak San ya?” Aku mengangguk. Air mata kelelakiannya jatuh bergenang jua dari kelopak matanya. Pak San memeluk aku dan Anisah.

“Kak Rina, maafkan Nisa. Nisa sayang Kak Rina.”

“Tak sayang. Nisa tak salah. Kak Rina sanggup buat apa sahaja untuk Nisa.”

Ya Allah, aku bahagia. Terima kasih Ya Allah. Aku bersyukur pada-Mu.

~I know your eyes in the morning sun
I feel you touch me in the pouring rain
And the moment that you wander far from me
I wanna feel you in my arms again

Then you come to me on a summer breeze
Keep me warm in your love
Then you softly leave
And it's me you need to show
How deep is your love

How deep is your love, how deep is your love
I really mean to learn
Cause we're living in a world of fools
Breaking us down
When they all should let us be
We belong to you and me

I believe in you
You know the door to my very soul
You're the light in my deepest darkest hour
You're my saviour when I fall
And you may not think I care for you
When you know down inside that I really do
And it's me you need to show
How deep is your love~

Sunday 5 December 2010

Cerpen: Dia Mahirah


Dia Mahirah

Tengah hari itu cuaca tenang sekali, tidak mendung dan tidak terlalu panas di SMK Sultan Badlishah. Burung-burung berkicauan riang, bebas dari segala masalah yang membebankan.

Aku mengatur langkah perlahan-lahan ke perhimpunan dan mengambil posisi duduk di hadapan sekali. Dari posisiku itu, aku dapat melihat seorang gadis bercermin mata. Wajahnya agak cerah. Dia termenung sendirian, menunggu perhimpunan bermula barangkali. Aku kenal dia. Namanya Mahirah, seorang pelajar di kelasku.

Mahirah. Aku tahu ada sesuatu yang istimewa pada gadis di hadapanku ini. Tekaanku pasti dia mempunyai kemahiran yang tertentu, yang aku tidak tahu. Sesuai dengan erti namanya, yang mahir. Aku menghabiskan waktu menunggu di perhimpunan itu dengan membuat pelbagai andaian tentang gadis istimewa ini. Hah, aku yakin aku akan tahu nanti.

Perhimpunan sudah bermula. Semuanya berjalan seperti sedia kala. Menurut aku, tiada yang lain daripada yang lain terjadi padaku hari ini. Hari ini hari Ahad, hari yang cukup membosankan. Sudahlah perhimpunan rasmi, harus berdiri sepanjang waktu. Tetapi aku sedar semua ini adalah untuk kebaikan para pelajar juga. Huh, aku harus kuat. Satu jam lebih perhimpunan berlangsung, akhirnya ditamatkan juga. Alhamdulillah. Aku memang sudah tidak kuat lagi untuk berdiri lama-lama di perhimpunan.

Setelah mengambil beg aku di hadapan bilik unjuran, yang terletak berhampiran bilik guru, aku terus menunggu temanku Syafiqah atau lebih mesranya dipanggil Ika di hadapan bilik wuduk pula. Kebetulan Mahirah juga ada di situ. Aku menyapanya. Sengaja tidak mahu menyapa di perhimpunan tadi. Mahirah membalas salamku sambil tersenyum manis sekali.

Aku, Ika, Mahirah dan Nurul, seorang lagi teman sekelasku, mengambil pilihan Perdagangan dan Keusahawanan (PK) bagi mata pelajaran Kemahiran Hidup. Hanya kami berempat yang merupakan pelajar melayu perempuan mengambil pilihan tersebut. Aku paling rapat dengan Ika, dan aku jarang menegur Mahirah.

Mungkin aku segan. Dia seorang yang pemalu, dan perwatakannya jauh berbeza dengan aku. Kalau hendak berbual dengannya, aku tidak tahu topik apa yang hendak diutarakan. Tidak mungkin cuma sekadar berbual kosong.

Aku, Ika dan Mahirah kemudiannya menuju ke bengkel bersama-sama. Setiap kali subjek Kemahiran Hidup berlangsung, memang kami telah ditetapkan untuk belajar di situ. Meskipun perjalanannya agak lama, tetapi aku rasa berbaloi. Di bengkel ada peralatan-peralatan yang diperlukan untuk menyiapkan tugasan kayu atau elektrik.

Ika memutuskan untuk singgah di water-cooler, di mana para pelajar selalu minum atau mendapatkan air segar dan panas di sana. Aku dan Mahirah cuma mengikut. Ternyata SMKSB memang luas dan ada banyak tempat yang boleh dijadikan persinggahan, contohnya di pondok water-cooler atau di astaka. Setibanya di sana, aku melihat ada seorang lelaki dan seorang perempuan duduk di meja yang sama. Ah, tidak lain tidak bukan untuk dating.

Kadang-kadang aku kesal juga, SMKSB seharusnya merupakan sebuah singgahan untuk menuntut ilmu, bukannya melakukan maksiat. Meskipun pada tanggapan mereka tidak salah, tetapi perbuatan mereka itu sebenarnya menghampiri zina. Ika singgah untuk menyegarkan tekaknya sebentar.

“Astaghfirullahalazim.” Aku dapat mendengar Mahirah beristighfar panjang. Aku juga turut mengikuti tingkahnya.

“Tidak habis-habis buat maksiat!” Ika bersuara dengan nada agak tinggi, sejurus sahaja kami melepasi kawasan tersebut.

“Sampai bila mereka nak sedar!” Aku juga ikut emosional, tetapi aku cuma boleh mencegah di dalam hati.

“Sabarlah, kita tidak boleh terus menghukum orang begitu sahaja,” Mahirah bersuara mengetuk aku.

“Ertinya?”

“Memang perbuatan yang mereka lakukan itu sebenarnya salah, tetapi kita tidak boleh tuduh melulu. Sebagai contoh, para dai’e akan mengambil pendekatan yang berbeza. Mungkin ibu bapa tidak mendidik mereka dengan betul, atau mungkin juga kerana pengaruh rakan. Bukan salah mereka total, kan?”

Ya, benar. Aku sangat tidak menduga seorang gadis yang pendiam, tidak banyak bicaranya, ternyata mempunyai pemikiran yang matang. Caranya berfikir tidak sama dengan cara pemikiran orang lain. Aku jadi kagum.

“Tapi kita mesti cegah dengan hati, kan?” Ika menyoal.

“Ya, betul. Selemah-lemah iman adalah mencegah dengan hati. Oleh itu perlukah kita mengutuk mereka? Boleh jadi kita salah. Mungkin mereka ada urusan penting, walaupun itu sangat mustahil. Tetapi kita tak berhak mengata mereka, boleh timbulkan fitnah.”

Aku cuba berfikir secara rasional. Sukar hendak menyelami isi hati dan pemikiran gadis di sebelahku ini. Dia membuatkan aku tertarik pada personalitinya.

Sepanjang perjalanan ke bengkel, aku dan Ika mendengar pendapat unik gadis itu. Hatinya memang sudah ditarbiah dan dididik. Andai sahaja aku boleh jadi sepertinya. Aku mendengar teliti setiap patah perkataan yang keluar dari mulutnya. Maka pada hari itu, barulah aku tahu keistimewaan seorang Mahirah. Aku mula sayang padanya.

***

“Aku akan berpindah ke Johor, hujung tahun ni. Doakan aku.”

Terkejut aku mendapat berita sebegitu daripadanya. Waktu itu aku sedang membuka Facebook di internet, dan aku menggunakan aplikasi chat yang disediakan untuk berbual dengannya.

“Tipu.” Cuma itu yang mampu aku tulis. Aku sudah tidak terkata-kata.

“Betullah.”

“Tapi kenapa?”

“Aku terpaksa ikut ayahku berpindah ke sana. Nanti aku juga harus sekolah di sana.”

“Bagaimana dengan PMR?”

“Akanku ambil di sana.”

“Bila kau pergi?”

“Bulan dua belas nanti, insya Allah. Doakan aku.”

“Aku sentiasa doakan sahabat-sahabat aku.”

“Terima kasih.”

“Mahirah, aku cuma ingin kau tahu yang aku bertuah ada sahabat seperti kau.”

“Aku pun sama.”

“Aku doakan kejayaan akan mengiringi kau selalu.”

“Ameen.”

“Allahumma ameen.”

Peristiwa itu cuma terjadi sebentar, tetapi sangat menyedihkan hatiku. Aku bakal mengalami sebuah kehilangan kelak. Aku tidak mahu seorang sahabat yang baik sepertinya meninggalkanku. Nampaknya, aku cuma mampu berserah pada takdir. Benar dugaanku Mahiarh itu seorang yang mahir. Mahir menambat hati seseorang dengan bicaranya, akhlaknya dan agamanya. Aku mencipta sebuah puisi untuk Mahirah, yang aku ingin sekali dia membacanya. Aku berharap dia akan sabar menempuhi perjalanan hidupnya yang sudah diaturkan oleh Rabb.

Melangkah gagah ke alam realiti
Tanda terhapusnya alam fantasi
Pilihan yang menguasai pemikiran
Antara takdir dan harapan

Tidak akan pernah tamat sebuah permulaan
Andai itu hasrat tersimpan
Duri dan ranjau sudah sebati
Saat itu jangan pernah ditangisi
Masa tidak mungkin dicapai kembali

Semalam adalah sejarah
Esok adalah misteri
Hari ini adalah realiti
Persoalan yang menggugah hati

Inilah perjalanan yang perlu ketabahan
Inilah perjalanan yang perlu kesabaran


“Mahirah, aku cuma ingin kau tahu yang aku bertuah ada sahabat seperti kau.”
-Seorang sahabat

p/s: Cerpen ini saya dedikasikan untuk seorang sahabat yang istimewa, Mahirah. Semoga sentiasa success dalam kehidupanmu dunia dan akhirat.

Frekuensi Part 8

Awan berambal-ambalan di langit biru. Burung sedang berkicauan riang di langit. Angin dingin menyapu lembut wajah Nurul Fatini. Gadis itu sengaja membiarkan tingkap bilik terbuka. Nurul Fatini lantas mencapai diarinya dan mula menulis sesuatu.

Burung berkicauan riang
Menyanyi merdu di langit biru
Hati aku tidak begitu
Bagai ombak yang sedang bergelora

Ya Rabb,
Apakah ini ujian-Mu untukku? Aku sering menunggu frekuensi Imzad, yang aku tahu mustahil akan datang lagi. Dia lebih selayaknya untuk-Mu. Aku cuma seorang hamba yang hina, yang terlanjur menyukai seorang pendekar yang Kau ciptakan untuk memenuhi ruang hidupku. Aku mengharapkan seorang imam yang dapat membimbing aku ke syurga kelak. Tetapi, takdir jua yang menentukan segalanya. Aku tahu aku harus redha, tetapi hati aku masih teringat padanya. Ya Allah, berdosakah aku kerana mengharapkan frekuensi yang sudah terhapus?

Nurul Fatini
1 Oktober 2010

Diari ditutup rapi dan disimpan ke dalam laci. Nurul Fatini meleraikan segugus nafas tenat dari dadanya. Hari itu hari cuti. Gadis itu lantas memutuskan untuk memasak sahaja di dapur.

Cerpen: Kau Milikku


Kau Milikku

Angin berdesir-desir menampar wajahku di kota asing itu. Aku meneruskan langkah tanpa mempedulikan orang-orang yang lalu-lalang di sekitarku. Cuma MP4 yang aku bawa menjadi penemanku saat ini. Aku di sini membawa hati yang lara, jiwa yang remuk. Aku sedang berpijak di bumi Scotland, United Kingdom.

Suatu negara yang sangat asing buatku, tetapi sekurang-kurangnya dapat mengubati kekecewaan hatiku. Di suatu sudut mataku, aku dapat melihat ada seorang wanita sedang menangis di atas bangku panjang taman permainan. Mungkin cuma khayalanku, kata orang bila hati sudah hancur pelbagai khayalan akan datang bertandang.

Aku memerhatikan papan tanda berhampiran. Kini aku berada di sebuah daerah yang bernama Rutherglen. Aku sudah jauh sekali meninggalkan Malaysia, dan wanita yang membuatku patah hati itu. Ah, lupakan dia.

Langkahku terasa berat, maka aku memutuskan untuk duduk sebentar di atas bangku yang disediakan di situ. Alhamdulillah, akhirnya dapat juga aku duduk setelah seharian bermusafir di negeri orang. Aku baru tiba di sini pagi tadi. Perbezaan masa antara United Kingdom dan Malaysia adalah sembilan jam. Aku malas mengira waktu di Malaysia. Malaysia cuma mengingatkan aku pada wanita kejam bernama Mastura.

Tiba-tiba pandangan mataku menangkap kelibat wanita menangis di sebelahku. Aku tidak menyedari bahawa aku benar-benar melihat dia menangis tadi, dan akhirnya telah duduk di sebelah dia. Aku harus benar-benar memastikan tekaanku. Aku mencabut earphone yang disumbat pada telingaku.

“Malaysian?” soal aku pada wanita itu tanpa berbasa-basi. Dia kelihatannya agak terkejut dan segera menyeka air mata di wajahnya. Ternyata benar dugaanku, dia seorang rakan yang aku kenal, bahkan sangat kenal. Aku mengukir senyum apabila melihat dia mengangguk. Wanita itu sepertinya berusaha mengingati sesuatu.

“Khairul Anuar?”

Aku mengangguk.

“Masya Allah. Tak sangka kita akan bertemu kembali di sini. Ifa tak percaya Khai ada di sebelah Ifa,” ujarnya lemah lembut. Sesuai dengan namanya, Latifah.

“How are you?” Aku cuba mengukir senyum palsu. Senyum yang tidak ikhlas kerana hatiku yang telah retak.

“I’m great.”

“Tipu. Yang menangis tadi kenapa?” Aku menduganya. Latifah kelihatan serba salah untuk bercerita padaku, tetapi aku juga yakin dia tidak akan membohongiku.

“Khai masih ingat Rafie?” Rafie? Tentu sekali. Dulu wanita di sebelahku ini pernah menjadi teman akrabku, dan Rafie sering menjadikan aku perantara untuk memikat Latifah. Sungguh keanak-anakan lelaki itu. Aku mengangguk seraya tersenyum.

“Ifa dengan Rafie baru putus tunang. Rafie ada wanita lain.”

Aku dapat mengesan ada yang aneh pada suara itu. Latifah cuba menahan air di tubir matanya daripada bergenang. Aku juga terkejut dengan pernyataannya.

“Well, we’re same.”

“Maksud Khai? Khai baru putus tunang?”

“Dia bukan tunang Khai. Dan sebab itu Khai salah sebab terlanjur suka padanya. Waktu Khai luahkan perasaan Khai, katanya dia sudah ada lelaki lain yang lebih kaya dari Khai. Khai tersalah menilai dia,” luahku tanpa malu.

“Khai buat apa di UK ni?”

“Mengubat hati yang lara.”

***

“Ini, minuman untuk kau. Terkenal di kawasan ini,” Arif meletakkan cawan berisi coklat panas di hadapanku. Aku segera menghirup air itu. Hangat.

“Jadi bagaimana kau boleh tersesat sehingga ke Scotland tanpa hala tuju?” lelaki yang hampir sebaya dengan aku itu menyoalku.

“Aku putus cinta, terus lari ke sini. Aku tak terfikir untuk cari tempat menginap langsung,” beritahuku tanpa selindung. “Nasib baik aku terjumpa Latifah, dia berikan alamat kau pada aku.”

“Putus cinta? Sebab itu kau tinggalkan Malaysia? Kau biar betul!” Arif tidak percaya kata-kataku. Aku cuma mengangguk, malas memanjangkan cerita.

Arif merupakan rakan satu universiti Latifah, yang tinggal dekat dengan rumahnya. Tidak mungkin Latifah menumpangkan aku, jadi dia memberikan alamat Arif padaku. Katanya Arif seorang yang peramah dan suka membantu. Tepat sekali kata-katanya. Meskipun aku baru tiba di sini, seolah-olah aku telah lama berkawan dengan Arif.

Bangunan pangsapuri tempat aku menumpang sekarang cuma bertentangan dengan bangunan pangsapuri Latifah. Di luar aku dapat melihat banyak bangunan menarik yang juga merupakan destinasi pelancongan terkenal di Scotland. Secara tidak sedar, sudah dua hari aku tinggal di pangsapuri ini.

Aku mengalihkan pandanganku ke bawah, sengaja mahu memerhatikan keramaian penduduk di sini. MP4 milikku mendendangkan lagu-lagu nasyid Zain Bikha yang cukup aku minati. Sekarang aku sedang mendengar lagu Allah Knows. Aku suka lagu ini. Entah kenapa, tiba-tiba aku teringat kembali kenangan aku dan Latifah di sekolah menengah dulu.

Latifah memang seorang yang pemalu, cuma aku tidak tahu mengapa, dia boleh serasi dengan aku. Aku dan dia ada banyak persamaan, misalnya lagu, warna dan makanan yang diminati. Dia suka mencipta puisi dan lirik lagu.

Wajahnya cerah, langsung tidak menggambarkan dia seorang gadis melayu. Pernah sekali aku melihatnya duduk bersendirian di bawah sebuah pohon. Waktu itu aku menyangka bahawa dia sedang bersedih, tetapi ternyata dugaanku meleset sama sekali. Dia sedang mencipta lirik lagu. Aku masih ingat lagunya.

~I saw the blue sky
Keep waving on me
As I wake up
Hope it is still there

I believe in fate
I believe in love
I believe in God

I keep on wondering about life
Which I know I shouldn’t

When I open my eyes
I finally know the reality
Love is fate
And you are mine~

Lamunanku terhenti tatkala sepasang mataku menangkap kelibat Latifah sedang bergaduh dengan seorang lelaki di tingkat bawah. Aku cukup yakin lelaki itu adalah Rafie. Tidak lama kemudian, Rafie meninggalkan Latifah menangis. Entah kenapa, hatiku juga ditusuk pilu. Aku segera turun ke bawah untuk mendapatkan wanita itu.

Kebetulan Latifah sedang bermuram di hadapan sebuah kedai patung-patung dan perhiasan. Langkah kakiku gagah menghampirinya.

“Kenapa Ifa muram? Apa lagi yang dia nak?” Aku terus mengajukan persoalan itu padanya. Latifah mangangkat wajahnya lantas menyeka air matanya. Tiba-tiba dia tertawa. Aneh. Ada yang lucukah pada soalan aku?

“Pelik kan? Setiap kali Khai jumpa Ifa, mesti Ifa tengah menangis.” Oh, baru aku mengerti.

“Ifa, just continue with your life. I’m also trying my best to forget her.”

“Love cannot be forced.”

“If you still love him, fight for him.”

“Tidak manis kan seorang wanita yang berjuang untuk seorang lelaki?” Persoalan itu mengetuk benakku.

“Bukankah dulu Saidatina Khadijah yang masuk meminang Rasulullah?” Aku cuba juga untuk berbahas.

“I’m trying to move on, but it is very difficult.”

“Maybe you need someone to help you.”

“Siapa?”

“Allah. Khai pun tengah minta pertolongan pada Dia.” Kemudian aku dan dia sama-sama tersenyum. Senyuman wanita ini menyinarkan cahaya untuk aku. Cahaya pudar yang kini telah aku dapatkan kembali.

***

“Aku terima nikahnya Latifah binti Mohamad Yusof dengan mas kahwin sebanyak lima ratus ringgit dibayar tunai.”

“Sah?”

“Sah.”

Doa kesyukuran dibacakan. Alhamdulillah, aku kini sudah bergelar suami orang. Ternyata Tuhan mendatangkan hikmah di sebalik setiap ujian yang diberikan-Nya. Aku baru sedar, sebenarnya aku suka pada Latifah semenjak aku bertemu dengannya di United Kingdom dahulu. Alhamdulillah perasaan aku kali ini disambut dan kami berdua disatukan di Malaysia. Aku menjeling sekilas pengantin permpuan dan aku tersenyum.

“Ifa, kau milikku.”

Aku yakin, cinta selepas nikah itu akan menjadi lebih manis dan diberkati. Aku berazam untuk menjadi suami yang terbaik untuk seorang isteri yang solehah, insya Allah. Doakan aku.

~Jika kau mampu melihat
Siapa aku yang menunggumu
Kan kamu tahu
Kau sepatutnya bersamaku

Menunggu kamu dari dahulu
Selama ini tidakkah kau tahu
Kau sepatutnya bersamaku
Oh bersamaku
Oh bersamaku

Selama ini kamu tak tahu
Kau sepatutnya bersamaku
Oh bersamaku~


“Just continue with your life. I’m also trying my best to forget her.”

-Khairul Anuar

p/s: Anda milik siapa?