Wednesday 8 April 2020

Apa Kecoh-Kecoh Isu Doraemon Ni??

Bismillahirrahmanirrahim.

Sekali lagi, saya terdetik untuk bersuara tentang isu yang semakin diketengahkan di tengah-tengah krisis COVID-19 ini. Mungkin umum sudah pun tahu tentang isu ‘Doraemon’ yang viral sehingga banyak juga parodi yang dibuat tentangnya. Kalau yang tidak faham, baru-baru ini pihak Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat ada mengeluarkan poster tentang aktiviti yang boleh dilakukan di rumah semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Poster tersebut menyeru kaum wanita untuk meniru suara Doraemon dan memfokuskan tentang perhiasan diri wanita di rumah. 

Mungkin kalau saya tengok poster tu tanpa fikir panjang, saya tak rasa apa-apa. Tapi kalau fikir panjang, wajar sajalah banyak pihak terbangkit amarah mereka melihatnya. Bagi saya, bahagian yang paling kurang sedap adalah poster tersebut dikeluarkan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, di mana objektifnya membangunkan wanita. Tapi ayatnya seolah-olah meletakkan wanita pada tahap kelayakan suri rumah sahaja. Tapi saya tak rasa cuma segelintir pihak saja yang beranggapan ‘wanita = kerja rumah’. Saya rasa sebahagian besar rakyat Malaysia masih mempunyai mentaliti sedemikian.

Kes ni mungkin dah selesai atau patutnya dah semakin senyap.  Bukanlah sengaja saya nak bangkitkan semula, cuma kalau bukan sebab isu Doraemon ni pun, saya rasa lambat-laun saya akan menulis juga tentang isu hak-hak wanita dalam masyarakat. Saya banyak belajar daripada pengalaman saya belajar di Jerman baru-baru ini. Saya bukanlah seorang yang berilmu, cuma nak suarakan pendapat sendiri sahaja. Kalau di negara Eropah, ada banyak gerakan Feminisme (gerakan yang memperjuangkan hak wanita) yang diwujudkan dan golongan artis Barat juga turut memainkan peranan besar dalam menyokong gerakan tersebut. Kalau di Malaysia pun ada pejuang-pejuang Feminisme, contoh macam Marina Mahathir. 

Cuma pendapat peribadi saya, saya nampak gerakan Feminisme di Eropah jauh lebih besar dari Malaysia. Sebab apa? Bagi saya, Malaysia sudah pun mempraktikkan sama rata lelaki dan perempuan dalam sektor pekerjaan, tapi tidaklah secara total. Wanita boleh jadi menteri. Itu salah satu simbol kita mempraktikkan ‘equality’. Jadi secara umum, kita dilihat sebagai negara yang praktikkan sama rata hak jantina. Hakikatnya, masih banyak lagi sektor perniagaan di negara ini yang masih membandingkan jantina dalam pengambilan pekerja. Ya, mungkin saya faham kalau bidang kerja yang perlu angkat barang. Tapi macam mana pula dengan bidang seperti kejuruteraan, misalnya? 

Contoh terdekat saya, saya mengenali seseorang yang mempunyai ijazah yang cemerlang dalam bidang kejuruteraan. Tapi semasa sesi temuduga, dia memakai baju kurung dan pihak penemu duga menyatakan dalam pekerjaan itu ramai lelaki jadi mungkin akan menyebabkan dia tidak selesa. Dan mungkin daripada perwatakannya yang dilihat lembut, dia tidak diterima bekerja. Beberapa syarikat yang lain pun tidak menerimanya bekerja dan hari ini dia bekerja dalam bidang yang lain. Saya tidak pasti sama ada banyak faktor lain yang menyebabkan dia tidak diterima bekerja, tapi tidak mustahil juga dia ditolak kerana dilihat lembut. Selain contoh ni, saya rasa kita memang tak dapat nafikan banyak majikan yang mencari pekerja mengikut jantina, walaupun pekerjaan itu tidak semestinya dilakukan oleh orang lelaki. Apa pun, semuanya terpulang kepada syarikat masing-masing. Boleh jadi ada yang selesa bekerja dengan lelaki, ada yang selesa bekerja dengan wanita. Point saya ialah perbezaan pemilihan jantina dalam sektor pekerjaan ini wujud di Malaysia.

Saya juga tak dapat nak katakan negara kita merupakan negara yang praktikkan ‘equality’ disebabkan mentaliti ‘wanita = kerja rumah” yang saya katakan awal-awal tadi. Saya rasa, budaya Malaysia banyak didedahkan dengan perempuan perlu memasak, basuh pinggan, kemas rumah dan sebagainya. Budaya Indonesia juga sama setahu saya, sebab saya pernah tinggal bersama rakan-rakan Indonesia dan melihat budaya kita yang tidak jauh lari bezanya. Tak perlu lihat jauh, saya sendiri sewaktu kecil sudah mempunyai mindset bahawa perempuan perlu basuh pinggan, mungkin sebab banyak melihat kaum isteri yang selalu basuhkan pinggan suami lepas makan, serta banyak lagi faktor dan senario lain. Jadi secara automatik pun contoh kalau ada situasi saya makan bersama rakan-rakan dan ada rakan lelaki, kaum perempuan yang automatik akan jadi lebih sibuk. Bahkan saya pun anggap tolong hidang makanan, basuh pinggan, satu benda yang natural.


Saya mula nampak sikit kepentingan equality ini selepas tinggal di Jerman. Contoh situasi, ada rakan lelaki yang datang di dormitori kami di Jerman. Dormitori kami ada ruang rehat yang cukup luas jadi selalu kami ajak rakan-rakan datang melepak di situ. Dah tentulah di Jerman rakan-rakan saya ramai bukan Melayu dan nak tak nak saya kena bergaul juga dengan rakan lelaki disebabkan lifestyle Barat. Kalau di Malaysia bawa lelaki masuk dormitori memang buang tebiat dah. Saya bukannya jenis  yang berkawan dengan lelaki sangat, saya tradisional dalam modern. Gitu. Kalau berkawan, selalunya untuk kepentingan persatuan atau politik. Lepas habis projek, habislah. Jadi mungkin banyak aspek juga yang saya terlepas pandang daripada sudut pandangan lelaki sebab selalunya bergaul dengan rakan perempuan saja. Tapi di Jerman, saya perlu blend in dengan rakan-rakan lelaki untuk kepentingan sosial di sana. 

Berbalik kepada cerita rakan lelaki tadi, saya offer secawan minuman coklat panas dan lepas dah habis minum dan dia nak balik, saya kata tak perlu basuh cawan. Nanti saya basuhkan. Memang itu kan adat kita Melayu? Memuliakan tetamu gitu. Padahal kalau dapat tetamu yang basuh juga pinggan di dapur, dalam hati lega. Rakan kami tu kemudian insist juga nak basuh. Saya pun insist juga nak basuh. Automatik kan? Saya cakap, “It’s okay, just leave it.” Dia tanya, “Why?” Saya jawab, “We are girls.” Kononnya macam kerja basuh pingan ni dah sebati la dengan perempuan. Kemudian dia balas, “So?” Dan basuh juga cawan tu. Perkataan “So?” dia itulah yang banyak membuatkan saya berfikir selepas itu. Sebab, saya tak ada jawapannya.

Contoh lain, saya dan rakan-rakan (campur lelaki perempuan) duduk semeja sewaktu event makan malam yang dianjurkan oleh universiti kami. Saya duduk bersama rakan dari Indonesia dan beberapa rakan Jerman. Makanan kami dihidangkan secara buffet pada malam itu, jadi satu demi satu kumpulan meja perlu bangun ambil mengikut giliran. Setelah selesai giliran kami, Matt (Jerman) bertanya pada rakan Indonesia saya. Di mana dia ambil garfu sebab dia terlepas pandang. Felia secara automatik terus bangun tolong ambilkan. Kemudian, hampir setengah jam selepas itu saya dengar mereka berdebat tentang isu equality. Matt sangat terkejut sebab Felia tolong ambilkan garfu untuk dia. Katanya, kalau dengan girlfriend dia, tak mungkin akan buat macam tu. 

Bagi saya, rasa terkejut Matt tu logik sebab saya dah biasa mendengar cerita rakan Jerman saya, Paula tentang cara hidup orang Jerman. Mereka sangat direct. Matt cakap, kalau girlfriend dia, mesti dah suruh ambil sendiri garfu. Matt juga tambah terkejut apabila Felia cerita selalunya dia yang akan tolong ayahnya untuk hal-hal kecil berbanding adik-beradik lelaki yang lain (bagi kita benda biasa). Terus dilabelkan tak adil layanan keluarga terhadap anak perempuan.  Felia pun cuba menjelaskan dari sudut pandang budaya kita, tapi mungkin sampai sekarang Matt masih tak dapat terima. Rupa-rupanya di Eropah, sekecil-kecil hal yang perempuan buat pun boleh dikatakan sebagai layanan tak adil kepada wanita.

Walaupun ramai golongan lelaki yang mengiktiraf golongan wanita di negara Eropah, hakikatnya terdapat juga negara yang masih enggan mengiktiraf golongan ini dalam bidang kepimpinan. Saya pernah bersembang dengan rakan saya dari Croatia, yang menceritakan susahnya wanita untuk jadi menteri di negaranya. Bagi saya, kerajaan negara tu memainkan peranan yang penting. Kalau kerajaan sendiri tidak mengiktiraf golongan wanita, anggap wanita lemah, susahlah masyarakatnya untuk maju. Di Jerman, Perdana Menterinya merupakan seorang wanita, Angela Merkel. Sampai ke tahap itulah mereka mengiktiraf wanita. Walaupun perkara ni dilihat sebagai satu benda yang baik, secara peribadi saya akan tidak bersetuju sekiranya Perdana Menteri Malaysia seorang wanita. Eh, kontra pula? 


Walaupun sekarang saya lebih menyebelahi hak sama rata wanita dan lelaki dalam beberapa aspek, saya tetap menyokong golongan lelaki sebagai pemimpin negara. Jadi menteri tak ada masalah, cuma jadi ketua negara, seeloknya lelaki daripada sudut pandang saya. Sebab kita ada garis panduan agama. Saya dari dulu berpegang dengan lelaki adalah selayaknya yang menjadi khalifah. Bukanlah saya kata wanita tak boleh jadi ketua negara dan merendahkan status wanita. Cuma peribadinya saya yakin Tuhan ciptakan karakter lelaki dan perempuan berbeza, perempuan jauh lebih lembut hatinya, lemah tu saya akui (dari aspek angkat barang berat) cuma bukan lemah mental. Tapi dari aspek angkat barang berat tu pun ada juga wanita yang mengatasi kekuatan lelaki. Yang tu anugerah Tuhan bagi. Dan kaum lelaki, boleh berfikiran tak terlalu mengikut emosi. Bukan semualah. Ada juga lelaki yang sensitif emosinya.

Bercakap tentang equality ni, saya tak adalah nak membangkang wanita jangan berlebihan dalam buat kerja rumah. Terpulang pada individu. Kalau tak ada masalah nak bantu ahli keluarga lain, buat sajalah. Tanggungjawab semua kan. Saya pun bukannya jenis rajin buat kerja rumah, cuma kalau disuruh tu insyaAllah buatlah. Cepat lambatlah bezanya. Tak adalah nak merungut pun ni kerja ayah patut buat, abang patut buat. Kalau kita sengaja suruh kadang-kadang, dia buat tu, alhamdulillah. Haha.

Susah nak cakap, tapi saya tak rasa kita terlepas daripada persepsi wanita kena buat kerja rumah ni. Cuma kalau mungkin satu hari saya berkeluarga nanti, kalau sajalah… saya rasa saya akan layan anak perempuan dan anak lelaki secara sama rata. Marah sama rata. Cuma adalah aspek sikit-sikit yang membezakan tu. Tapi rasanya dalam beberapa tahun terdekat ni tak nampak pun masa depan nak berkeluarga. Haha.

Mungkin ada aspek dalam entry saya yang anda setuju, mungkin ada yang anda tidak setuju. Semua ini hanya pendapat peribadi semata-mata. Kepada yang membaca entry saya sampai habis, ya, anda, bolehlah berkongsi pendapat anda tentang isu equality ni. Macam mana persepsi anda dan sejauh mana anda rasa kedudukan yang patut wanita ada dalam masyarakat. Jika ada sebarang isu sensitif yang tidak sengaja saya tulis dalam entry ini bolehlah maklumkan pada saya. Kadang risau juga dalam dunia media sosial ni kalau orang tersalah tafsir atau kita tersilap tulis, boleh terus jadi viral.

Apa pun, terima kasih kerana membaca!

Thursday 2 April 2020

Pendapat saya tentang isu selebriti dan netizen...


Bismillahirrahmanirrahim.

Hari ke-16 PKP. It’s crazy how staying at home can even create a lot of social media fights. Anda tahu apa yang saya maksudkan. Sejak arahan PKP dikeluarkan, saya mula aktif kembali di laman Twitter. Saya tak pasti sudah berapa lamanya saya tidak aktif di laman sosial tersebut. Menurut saya, Twitter merupakan laman paling pantas untuk mengetahui isu-isu semasa. Dan ya, seperti yang saya jangkakan, pengguna-pengguna Twitter memang sangat pantas dalam perkongsian maklumat. Sudah tentu ada juga maklumat yang tak betul dikongsikan, jadi saya selalu pastikan dulu kesahihan info-info yang saya baca sebelum retweet.


Agak menjengkelkan apabila wujud banyak golongan yang suka mencipta berita palsu, membuat fitnah dan mengambil kesempatan di tengah-tengah isu COVID-19 yang berleluasa hari ni. Saya tidak faham kenapa wujudnya golongan yang menganggap perbuatan ini boleh mendatangkan kepuasan buat mereka. Serius saya tak faham. Like what are you even thinking? Berita fitnah terakhir yang saya baca mengenai seorang ‘imam kedamaian’ yang membuat fitnah kepada Permaisuri Agong kita. Tak sanggup saya cerita kenyataan yang dikeluarkannya. Saya langsung melapor akaun Twitter miliknya dan alhamdulillah ramai juga yang melakukan hal yang sama.

Saya tak tahu jika pihak berkuasa sudah mengambil tindakan terhadap pihak-pihak yang menyebarkan berita palsu di tengah musim COVID-19 ini. Walaupun kerajaan sedang berusaha sehabis baik untuk tangani isu COVID-19, saya harap pihak sekuriti siber dan kementerian berkaitan turut lebih aktif mengambil tindakan sewajarnya kepada pesalah. We don’t know how scary fake news can affect people. Mungkin ada orang yang abaikan, tapi banyak juga golongan yang percaya. Apa jadi sekiranya berita-berita palsu ini mendatangkan ‘panic anxiety’ kepada segelintir pihak? Kita tak tahu.

Isu berita palsu COVID-19 satu hal. Isu selebriti berperang dengan netizen juga turut sedikit-sebanyak memberi kesan kepada saya. Seperti yang saya nyatakan, saya aktif kembali di Twitter untuk mengetahui perkembangan semasa. Tapi peperangan media sosial antara selebriti dan netizen semakin menjadi-jadi dan membimbangkan buat saya. It’s crazy how a lot of hatred words can come from people. Bagi saya, tak salah kita nak tegakkan pendirian masing-masing. Selebriti berhak untuk membela diri. Netizen juga berhak untuk bersuara. But please just don’t use harsh words. It’s depressingly negative. It is just stressing me out how people choose to use harsh and mean words to give advice to others.

Apa sebenarnya definisi ‘netizen’?  Netizen ni gabungan perkataan ‘internet’ dan ‘citizen’. Atau maksud lain warganet, pengguna internet. Terma netizen ni belum diiktiraf lagi dalam kamus (betulkan jika saya salah), jadi siapa sebenarnya yang boleh dipanggil sebagai netizen? Saya melihat segelintir golongan selebriti membezakan diri mereka dan netizen. Jadi, golongan selebriti, bukannya warganet? Bukankah mereka juga pengguna internet? If celebrities are the same as netizen, it is just a bit confusing for me when I see a lot of celebrities referring netizen as another party. Atau adakah golongan netizen ni merupakan golongan seperti ‘keyboard warriors’, iaitu mereka yang sangat aktif dalam penggunaan internet? Jika istilah netizen dimaksudkan seperti itu, maka barulah saya boleh hadam logik perbezaan selebriti dan netizen.

Secara peribadi, saya tak ada apa-apa isu atau tidak puas hati dengan selebriti tempatan. Saya sangat jarang menonton televisyen, jadi tak adil untuk saya menghakimi sesiapa dalam industri seni. Ada selebriti yang saya suka. Ada juga yang saya kritik dalam hati kalau tengok lakonan kaku tu. Memang tipulah kalau kita tak ada ‘preference’ kita sendiri. Tapi saya tahu, perjalanan untuk nak jadi selebriti bukannya satu perjalanan yang mudah dan saya hormat mereka yang memberikan sumbangan dalam industri hiburan. Sebagai manusia, kita memang perlukan hiburan dalam hidup.  Tapi, bukan cuma golongan selebriti yang memberi sumbangan. Bagi saya, majoriti rakyat Malaysia menyumbang dengan cara masing-masing. Setiap orang ada pekerjaan masing-masing. Semua pekerjaan penting, termasuklah pelajar. Sedangkan pelajar pun sedang menyumbang dengan caranya tersendiri. Walaupun selama ini saya tertanya-tanya apa yang saya belajar, apa yang saya sumbang, saya tahu, I did contribute something, somehow, sepanjang perjalanan hidup saya. Dan akan menyumbang untuk masa depan juga jika diizinkan. You see, every life matters.

Selain wujudnya perbezaan masyarakat disebabkan bangsa, agama atau status sosial, masyarakat tak perlu dibezakan daripada aspek insaniah. Bagi saya, kemewahan tak semestinya melambangkan seseorang tu lebih bagus daripada orang lain. Walaupun betul kemewahan tu mungkin datang daripada hasil kegigihan, kerajinan, kepintaran, tak bermakna dia lebih baik daripada yang lain. Dan meskipun seseorang itu berpendapatan rendah, tapi sangat rajin, gigih, juga tak melambangkan dia lebih baik daripada golongan berpendapatan tinggi. What matters the most is how big a person’s heart. Dan betapa ‘open-minded’nya seseorang itu. Saya maksudkan open-minded itu bila seseorang itu berusaha untuk melihat situasi daripada sudut pandang orang lain. Tak perlu jadi perfect pun, cuma tak perlulah berminda sangat tertutup. Kalau anda seorang selebriti, cuba letakkan diri dalam posisi yang dikatakan golongan ‘netizen’ dan jika anda rasa anda ‘netizen’ cuba letakkan diri dalam posisi selebriti. Sebenarnya boleh jadi juga kedua-dua pihak betul, cuma terdapat salah faham di mana-mana. Boleh jadi ada pihak yang memang salah, tapi situasi tu tak memberikan kita hak untuk langsung menghakimi.

‘Public figure’, atau orang-orang terkenal patut lebih berhati-hati dalam mengeluarkan sebarang kenyataan. Ada sebab kenapa pepatah “Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya” diwujudkan dari dulu lagi. Saya pernah menjadi pemimpin yang menjaga lebih 1000 penghuni di universiti. Saya tahu kepentingan membuat kenyataan dengan penuh berhati-hati. Itu baru seribu orang, bayangkan berapa banyak jumlah rakyat Malaysia yang mengenali artis seni atau jutawan tempatan? Dah tentulah lebih banyak perlu berjaga-jaga dalam pertuturan. Tapi entahlah, saya bukan public figure, bukan selebriti dan sekarang bukannya sesiapa. Maka hanya jauhari yang mengenal manikam.

Berbalik kepada isu Twitter tadi, saya tahu laman sosial tersebut digunakan untuk meluahkan pendapat masing-masing. Saya sendiri pun menggunakan Twitter untuk update benda-benda yang tak penting atau luahan hati. Tapi saya rasa kes tu dah jadi lain kalau luahan hati kita ada bersangkut-paut dengan pihak lain. It’s probably still okay if it’s indirect. Tapi ayat yang direct sebut nama, dengan perkataan-perkataan penuh kemarahan, tak kisahlah betul atau tidak, I just don’t think it’s a right thing to do. No, that should not be right. Don’t even put the term ‘right’ on anything negative. Ada juga segelintir pihak yang membuat senarai nama-nama selebriti yang perlu di‘cancel’kan. What does that even mean? Cancel dari ikuti perkembangan, cancel dari sokong atau cancel dari life?  

Sekali lagi saya katakan, ya, itu memang hak individu untuk mempunyai pendapat. But making a list like that is just inviting people to cancel and hate everyone in that list. Most of us do not even know these people in real life and without knowing, we just cancel them because someone said so. If you want to make these statements, please make your Twitter account private and just among your friends. Di satu tahap, mungkin saya tak tahu apa yang betul dan apa yang salah, tapi saya tahu orang lebih gemar percaya dengan status yang ada banyak retweet. Dan kepada yang retweet semata-mata, please do not cancel people without reasons. EVERY LIFE MATTERS. Kita boleh tak suka kepada mana-mana individu, itu hak kita, tapi tengok jugalah sebab musababnya. Jangan main ikut kata orang saja.

Saya juga ada menonton video permohonan maaf beberapa individu di media sosial. Ada respon yang positif, tapi masih banyak juga respon yang negatif. Terpulang jika kita tak terasa nak memaafkan, tapi cukup di situ saja rasanya. Tak perlu makin keruhkan keadaan dan terus-menerus mengundang kebencian orang ramai kepada individu-individu tersebut.

Entahlah. Itu cuma pendapat saya. Boleh jadi saya salah dalam memberi pendapat dan sudah tentu anda juga mempunyai hak untuk menyatakan pendapat anda kepada saya. Saya tak terasa nak menulis tentang isu ini, tapi bila terlalu banyak mean comments spreading around, saya cuma terkilan. Saya ingatkan waktu-waktu macam ni, masyarakat patut membantu antara satu sama lain, bukannya saling menjatuhkan. Atau setidaknya, duduk diam-diam di rumah.

It’s a good thing that many people are doing their best for our country right now. We should not spread more hatred to the world. Love, and peace.