Saturday 26 September 2015

Tentang Asal Usul, Kampung dan Bandar



Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamualaikum. Salam Aidiladha.

Alhamdulillah, saya telah selamat sampai ke Kedah semalam. Tahun ini kami menyambut Hari Raya Aidiladha di Batu Pahat, Johor dan Sungai Buloh, Selangor. Boleh dikatakan, minggu ini, setiap hari kami travel dari satu lokasi ke lokasi yang lain. Selalunya perjalanan kami sama ada ke Selangor ataupun Johor akan memakan masa sekitar lima hingga enam jam, termasuk berhenti rehat di RNR dan sebagainya.

Selalunya, kita mesti akan mendapat pertanyaan “Asal mana?” dari rakan-rakan atau orang yang baru dikenali. It’s a bit complicated for me to answer the question. Seperti yang diketahui oleh sebahagian besar anda (sebab majoriti yang membaca blog ini adalah mereka yang mengenali saya), saya dilahirkan di Scotland. Sampai umur saya sekitar tiga tahun, kami pulang ke Malaysia. Ibu saya orang Selangor dan ayah saya orang Johor. Kami tinggal di TTDI Jaya, Shah Alam. Ketika saya berusia sekitar empat tahun rasanya, kami pindah ke Kedah kerana ayah saya ditukarkan kerja di sini. Walaupun telah menetap agak lama di Kedah, saya tak berapa pandai bertutur dialek Kedah kerana sudah terbiasa dengan dialek KL yang sering dituturkan oleh ibu bapa saya. But still, saya cuba. Sis cuba. Sebab itulah orang akan pelik kalau saya kata saya orang Kedah.

Bertahun-tahun lamanya di Kedah, akhirnya ketika saya berada di tingkatan empat saya mendapat tawaran belajar di sebuah sekolah berasrama penuh di Kuala Selangor selama hampir dua tahun. Jadi setiap kali hujung minggu, saya akan menginap di rumah ibu saudara saya di Kelana Jaya, berhampiran dengan Paradigm Mall. Setelah tamat SPM, saya sambung belajar di Kedah semula.

Apa yang boleh saya kata, setiap lokasi yang telah saya nyatakan sebentar tadi masing-masing memainkan peranan penting dalam hidup saya. Semuanya ada nilai sentimental yang tersendiri. Ada perbezaan yang jelas ketara antara kehidupan di Kedah, Selangor dan kampung di Johor.

Batu Pahat, Johor

Saya paling suka setiap kali pulang kampung di Johor. Bagi saya, zaman kanak-kanak setiap kali pulang ke kampung adalah yang terindah. Ramai sanak-saudara dan sepupu-sepapat. Banyak aktiviti yang dilakukan bersama. Di Johor juga ada banyak tradisi yang tersendiri. Tradisi perkahwinan dan tradisi menjelang perayaan. Saya boleh katakan, berdasarkan apa yang saya amati, semangat kejiranan di sini adalah lebih tinggi berbanding dengan tempat-tempat lain yang biasa saya pergi. Setiap kali ada kenduri kahwin, masing-masing secara automatik sudah tahu tugasan mereka. Kehidupan di sini seperti keluarga besar yang saling melengkapi antara satu sama lain.

Pada waktu subuh, memang kedengaran jelas bunyi kokokan ayam. Udaranya dingin, segar. Ada dusun, ada haiwan ternakan. Dulu, mandi pun menggunakan air kolah. Sekarang sudah renovate menjadi bilik air moden di dalam rumah. Pada musim perayaan pula, ada kumpulan marhaban yang bertandang dari satu rumah ke rumah yang lain. Saya tak pasti negeri mana yang masih mengamalkan adat ini. Mungkin ada juga di Kedah, tapi tidak di kawasan perumahan saya.

Batu Pahat, Johor


Apa yang paling penting, makanannya. Macam-macam jenis makanan. Terbaru, saya baru tahu resipi Ingkong. Bahkan ini kali pertama saya mendengarnya. Ingkong adalah ayam kari. Sebelum masak, seperti biasa kita perlu cuci ayam, buang usus segala tetapi semua organ dalaman yang lain akan diikat dan dimasukkan semula ke dalam perut ayam. Kemudian masak dalam kari. Beres. Pokok pangkalnya, saya tak akan pernah rasa rugi pulang ke kampung kerana ketenangannya dan makanannya.

Kelana Jaya

Keadaan di sana memang sibuk. Kenderaan lalu lalang, bangunan tinggi mencakar langit, manusia yang sentiasa sibuk. Tapi saya suka. Sebab kehidupan di sana banyak mengajar saya erti berdikari. Pertama sekali, dari SM Sains Kuala Selangor (KUSESS) saya akan menumpang mana-mana kenderaan rakan untuk ke stesyen bas berdekatan. Kemudian, tunggu bas. Kalau terlambat sampai di stesyen bas, mungkin terpaksa tunggu lebih lama untuk naik bas. Saya bersyukur kerana ada seorang rakan, Diana Esmellia yang banyak mengajar saya tentang KL Sentral, KTM dan LRT. Dapatlah saya pulang dengan selamat dan pantas. Saran saya, lebih baik kita memiliki kad Touch N Go jika mahu menggunakan perkhidmatan kenderaan awam di sini termasuklah bas. Lebih mudah dan tak perlu beratur untuk membeli tiket.

Di sana juga banyak program yang diadakan terutamanya seperti pesta-pesta buku dan forum. Jadi, memandangkan saya tinggal di sana, saya berpeluang untuk ke Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur dan berjumpa dengan penulis-penulis tanah air. Sekarang, dah tak dapat dah peluang seperti itu. Dan di KL juga ada banyak pusat beli-belah terkemuka dan restoran yang menarik. So yeah, memang bagus tinggal di bandar metropolitan ni. Tapi kehidupan di sana mungkin tak berapa tenang kerana persaingan dan kesibukan yang melanda. Entahlah. Mungkin kalau saya rasa sendiri bekerja di KL baru saya akan tahu perasannya.

Kulim, Kedah

Alhamdulillah, saya bersyukur dengan tempat tinggal sekarang. Walaupun kelihatan agak kosong, tetapi saya nampak perubahan di sini. Pusat beli-belah seperti Landmark Kulim dan Tesco telah didirikan. Dan mungkin, sekitar empat, lima tahun akan datang sebuah lapangan terbang akan dibina di sini. Kalau jadilah. Tak lama lagi mulalah orang ramai akan mencari peluang pekerjaan di Kulim dan mungkin kepadatan penduduk akan bertambah. Entahlah. Saya tak mampu meramal masa depan di sini. 

Apa yang saya tahu, banyak nostalgia dari saya tadika, sekolah rendah, sekolah menengah di Kulim. Jadi secara tak langsung, memang bandar ini ada nilai sentimentalnya yang tersendiri pada saya. Kalau di kampung ada ketenangan, di bandar metropolitan ada kesibukan, bagi saya di sini 50-50. Tenang dalam sibuk. 



Setakat itu sahajalah ulasan pagi ini. Walau di mana pun kita berada sebenarnya, bersyukurlah selagi ada bumbung untuk berteduh dan ada makan minum yang cukup. Alhamdulillah. Asalkan kita pandai jaga diri, insya-Allah semuanya akan baik-baik sahaja. Oh ya, kepada rakan-rakan saya yang baru mendaftar di universiti, jaga diri baik-baik. Hargai tanah yang kita pijak, ya?

p/s: Mohon tembakan doa kalian untuk peperiksaan saya pada minggu hadapan. Hanya Allah yang selayaknya membalas kebaikan kalian.


Monday 14 September 2015

Diari#58: Hard Work Does Pay Off



Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamualaikum.

Alhamdulillah, rezeki hari ini dalam sejarah. Pagi tadi telah berlangsungnya majlis penutupan sempena sambutan bulan kemerdekaan. Banyak aktiviti yang telah dijalankan sekitar dua, tiga minggu yang lalu. Nak dipendekkan cerita, alhamdulillah, rasa puas hati sebab tak sia-sia juga effort yang telah dicurahkan sebelum ini. Saya puas hati sebab sekurang-kurangnya adalah juga sesuatu yang dapat dicapai dalam hidup ni, walaupun pencapaian yang tak seberapa. Pencapaian hari ini ialah:

Tempat Ketiga
* Mengarang Esei
* Pertandingan Fotografi (Selfie Merdeka)

Naib Johan
* Melukis Poster

Johan
* Penghasilan Montaj Video
* Mengarang Sajak

Saya agak terkejut sebab tak expect boleh menang dalam semua pertandingan yang disertai (ayat klise). Tapi saya percaya, rezeki Allah ni, boleh hadir pada bila-bila masa sahaja.

1. Mengarang Esei

Yang ni memang langsung tak jangka boleh menang sebab karya yang dihasilkan bukannya 100% asli penulisan saya. Banyak diambil dari buku rujukan dan sedikit pengolahan ayat sendiri. Kemudian terus hantar pada pensyarah yang berkenaan, semata-mata ingin mendapatkan sijil penyertaan. Rasa macam tak layak menang sebenarnya, tapi orang dah bagi, kita ambillah. Ehem. Dapatlah satu paket wafer sebagai hadiah.

2. Pertandingan Fotografi

Untuk selfie merdeka, saya dan rakan-rakan serumah yang lain telah membuat perancangan sebelum kami bergambar. Bayangkan, hendak selfie pun perlukan perancangan. Syarat yang dikenakan perlu ada latar mana-mana kawasan dalam kampus dan bertemakan kemerdekaan. Jadi lokasi yang kami pilih adalah kawasan yang mempunyai latar bendera. Kami pun telah bersepakat untuk memakai tudung berwarna biru dan merah disebabkan kesukaran mencari tudung putih dan kuning (warna Jalur Gemilang). Monopod pula terpaksa dipinjam dari seorang rakan yang lain memandangkan kami tujuh-tujuh orang tidak memilikinya. Kemudian, tetapkan masa yang sesuai untuk bergambar dan sebagainya. Foto pula langsung tidak diedit kerana kami mahu mengekalkan keaslian pada foto tersebut. Lagipun, saya lebih suka foto asli daripada foto yang diedit. Alhamdulillah, nak dijadikan rezeki dapat tempat ketiga.  Dapatlah kami hamper yang dipenuhi dengan snek dan gula-gula. Bahagilah kami tujuh-tujuh orang.

3. Melukis Poster

Seperti yang pernah saya ceritakan sebelum ini, saya langsung tidak ada niat untuk sertai pertandingan poster. Tapi salah seorang rakan telah memasukkan nama saya dan keesokan harinya itu kami pun bertanding. Tanpa ada sebarang perancangan langsung mahu lukis apa. Sewaktu orang lain telah mula melukis, saya dan rakan-rakan sibuk mencari idea mahu menghasilkan lukisan. Masing-masing pula memang bukan orang seni. Jadi itulah masalah yang perlu kami atasi walau bagaimanapun caranya.

Saya memang tak reti melukis orang, jadi atas persetujuan bersama, saya pun memilih satu rekaan simple tapi bagi saya ada maksud yang tersirat. Dah lama rasanya saya tak melukis, dan rasa janggal pula bila melukis poster. Hikmah yang saya dapat daripada aktiviti ini ialah saya dapat mengembalikan semula keyakinan untuk melukis. Dan bagi saya, kerjasama pasukan memang sangat penting untuk kita realisasikan sesuatu perkara. Sungguh. Rakan-rakanlah yang menjadi pendorong untuk melengkapkan poster. Percayalah, tanpa kerjasama dan komitmen, memang sukar nak capai something dalam hidup ni. Alhamdulillah, cuba-cuba nasib pun boleh dapat naib johan. Dan dapatlah lagi satu hamper berisi snek dan gula-gula.


Carilah lukisan kami yang bernombor K2


4. Penghasilan Montaj Video

Bagi montaj video, saya cuma hantar semula montaj video yang pernah saya hasilkan kira-kira sebulan yang lalu. Penghasilan video ini adalah yang paling mencabar berbanding yang lain. Memang perlukan bantuan dan kerjasama orang lain. Lagi mencabar sebab saya cuba bawakan konsep yang berbeza daripada video-video yang pernah saya hasilkan sebelum ini. Dan proses rakaman memang mengambil masa berjam-jam sehinggalah dapat memuaskan hati saya sendiri.

Alhamdulillah, dapat satu paket wafer sebagai hadiah kemenangan.



5. Mengarang Sajak

Hari terakhir pertandingan barulah saya hantar karya kepada juri. Minggu itu memang teramat padat dengan jadual aktiviti lain. Saya cari masa kosong, duduk dalam bilik kuliah kosong, kosongkan fikiran yang serabut, dan cuba berkarya. Alhamdulillah, karya minit-minit terakhir ini pun mampu dapat tempat pertama. Maka, dapatlah satu lagi paket wafer.

Sajak tersebut boleh dibaca di SINI.


Kadang, kita rasa kita tak mampu nak libatkan diri dalam sesuatu. Takut tak menang. Takut tak layak. But let me tell you something. Kalah menang belakang cerita. Tapi kalau menang tu kira bonuslah. Apa yang penting, dalam setiap benda yang kita buat tu, kena buat sungguh-sungguh. Sebab setiap benda yang kita buat dengan niat yang baik, pasti ada hikmahnya. Percayalah.

So yeah basically, saya rasa program-program sebegini patut dianjurkan lagi. Tapi harap bolehlah sediakan hadiah selain snek dan makanan. Sebab makanan ni sekejap sahaja boleh hilang. Tapi kalau bagi item yang solid, bolehlah disimpan sebagai kenang-kenangan atau memberikan manfaat kepada si penerimanya.

Wednesday 9 September 2015

Di Sebalik Tabir



Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum.

Sekadar berkongsi, untuk meluahkan apa yang terbuku di hati.

Hari ini merupakan hari terakhir Cikgu Noor Sidi berkhidmat. Tapi bagi saya, seorang guru, akan tetap selamanya bergelar guru selagi hayatnya masih ada. Beliau tidak mengajar saya, jadi saya tidak berapa mengenali karakter beliau. Hal ini menjadi satu kesukaran kepada saya apabila ditugaskan untuk menghasilkan video montaj untuk ditayangkan pada majlis sambutan persaraan beliau, iaitu hari ini. Pada awalnya, memang saya agak keberatan kerana kebetulan pada minggu itu saya agak sibuk dengan kerja kursus, pembentangan, dan beberapa video lain yang perlu disiapkan. Dan saya tahu, ramai lagi yang boleh membuat video. Tapi bila orang minta bantuan kita, mestilah kita kena bantu, kan? Tanpa mengharapkan sebarang balasan.

Jadi berbekalkan pengetahuan saya yang kosong tentang beliau, saya mula mencari ilham untuk menghasilkan video. Saya dimaklumkan supaya mendapatkan biodata dan gambar beliau. Itu sahaja. Dan ada pensyarah yang request supaya hasilkan video yang panjang. Durasi biasa sebuah video hanya sekitar 2-3 minit. Jadi saya terfikir, bagaimana caranya untuk hasilkan sebuah video yang lebih panjang dari biasa? Dan saya ingin hasilkan sebuah video yang mampu meninggalkan kesan penghayatan terhadap penonton.

Lama jugalah proses saya mencari ilham. Ilham ni kadangkala datang sendiri, kadang berdasarkan pengalaman yang pernah kita alami, dan kadang memang kita perlu cari sendiri. Perkara pertama yang terlintas dalam fikiran saya adalah sesi temu ramah, seperti yang pernah saya lakukan ketika majlis sambutan hari guru dulu. Tapi kalau saya buat temu ramah, saya rasa itu cuma sesuatu yang biasa. Tidak lama kemudian terlintas dalam fikiran saya untuk menghasilkan video yang berkonsepkan berita, seperti Buletin Utama. Ada pemberita yang melaporkan kejadian yang berlaku. Saya dah boleh bayangkan konsep video tersebut pada ketika itu.

Fikir punya fikir, akhirnya saya rancang nak selitkan sajak dalam montaj. Cuma itu yang mampu saya fikirkan sesuai dimasukkan. Saya mula melayari YouTube untuk membantu mendapatkan idea. Dan saya teringat Cikgu Ishak pernah menayangkan beberapa klip video sajak. Saya membuka sajak-sajak A.Samad Said, dan saya sangat tertarik dengan klip video beliau berjudul Hidup Bersama. Saya muat turun video tersebut dan menontonnya berulang kali. Dan serta merta saya mendapat gambaran untuk menghasilkan satu video persis video tersebut. Saya boleh bayangkan Bilik Muzik sebagai latar untuk sajak itu. Cuma masalahnya, mana nak dapatkan sajak? Takkan nak tiru atau ciplak sajak orang lain. Bagi saya, originaliti dan kekreatifan itu lebih banyak meninggalkan kesan estetika berbanding saya mengambil sajak orang lain. Maka, saya mengambil masa selama satu dua hari untuk hasilkan sajak. Sudah tentulah karya saya lemah, jadi saya meminta Cikgu Ishak melakukan penyuntingan. Beliau pun tidak pernah keberatan membantu.

Gambaran video sudah ada. Kemudian, proses mencari pelakon-pelakon dan kru untuk membikin video. Sebenarnya saya agak mempunyai keyakinan untuk berlakon sendiri sebagai pemberita, tetapi siapalah saya pada Cikgu Sidi. Bukannya beliau kenal pun saya. Jadi sasaran saya, untuk merekrut pelajar-pelajar yang diajar oleh beliau. Sudah tentulah, ramai daripada Kelab PRS yang merupakan anak murid Cikgu Sidi. Setelah berunding dengan insan-insan yang terpilih, mereka pun bersetuju untuk hadir ke rakaman pada masa yang ditetapkan. Cuma, salah seorang pemberita iaitu Umi pula kehilangan suara pada saat-saat akhir. Terpaksalah cari pemberita yang baru. Alhamdulillah, Umairah menawarkan diri untuk menggantikan posisi pelakon saya yang kehilangan suaranya. Pada awalnya saya memang agak meraguinya (sorry Maira kalau baca) tetapi setelah melakukan uji bakat, saya rasa dia sangat sesuai untuk memegang watak tersebut.


Masalah dan cabaran buat saya ialah hendak menyesuaikan masa lapang saya dengan masa lapang para pelakon dan kru. Kebetulan, sekolah pula sedang sibuk mengadakan aktiviti-aktiviti sambutan kemerdekaan pada waktu itu dan terdapat beberapa pertandingan yang saya masuk semata-mata untuk mendapatkan sijil. Dan entah macam mana saya boleh termasuk pertandingan melukis poster disebabkan Umi mendaftarkan nama saya. Dari situ juga sebenarnya saya mula mencungkil bakat saya melukis. Konon. Back to the story, sebenarnya rakaman video mengambil masa hampir seminggu. Minggu itu jugalah kena submit kerja kursus dan siapkan lukisan poster. Dan ada satu hari yang saya janji nak rakam babak penting pemberita, hari itu jugalah Mukmin, salah seorang pemberita ada perlawanan bola dan Najihah, pembaca sajak saya tidak hadir ke sekolah kerana tidak sihat. Dan kebetulan juga saya hampir terlupa janji lain dengan rakan-rakan serumah.

Disebabkan saya tidak mahu bertangguh dan membatalkan rakaman, saya tetap meneruskan perancangan. Panjang jika hendak diceritakan, tetapi alhamdulillah semuanya berjalan dengan bagus walaupun tidak berapa lancar. Nak pinjam tripod stand dan kamera sekolah pun bukan boleh bawa balik. Nak tak nak, terpaksa guna inisiatif kamera sendiri walaupun sebenarnya kamera itu lensnya kotor dari dalam dan meninggalkan kesan habuk. Nak setup Bilik Muzik pun agak memakan masa.

Itu salah satu kekangan dari segi rakaman. Belum lagi kekangan ketika sesi temu bual dan sebagainya. Nak siapkan rakaman audio sajak pun mengambil masa hampir seminggu kerana saya perlu pastikan Najihah dapat membaca sajak dalam intonasi yang saya inginkan. Alhamdulillah dia memang cepat belajar dan komited dengan saya.

Apa yang paling mencabar buat saya, tentulah proses editing itu sendiri. Video dah jadi terlalu panjang disebabkan temu bual dan sajak. Kalau video terlalu panjang, sudah tentulah penonton akan berasa bosan. Maka terpaksalah saya memotong ucapan-ucapan yang terlalu panjang. Sajak pun terpaksa dibuang beberapa rangkap. Software yang saya gunakan, Corel VideoStudio Pro X7 pun banyak menimbulkan masalah. Mungkin disebabkan versinya yang tidak bersesuaian dengan laptop saya. Saya tak tahu kenapa, tapi saya rasa inilah projek yang paling saya komited dengannya. Ada satu malam tu, jam 3 pagi baru saya tidur. Itupun tak lena. Bila tarikh majlis semakin mendekat, maka ramai yang mula bertanya tentang video. Bukannya petik jari boleh siap. Eheh. Saya abaikan sahaja pertanyaan-pertanyaan mereka.

Bagi saya, perasaan bila dah render video, memang cukup puas hati. Alhamdulillah. Adalah tersilap sikit sebenarnya, tapi saya tak mahu betulkan lagi. Perfect sangat pun masalah.

Alhamdulillah, setelah segala macam cobaan yang dialami, hari ini, video montaj saya telah ditayangkan dalam Balai Budi. Tetapi agak mengecewakan sebab mereka buka video sikit-sikit sebelum mula majlis untuk testing. Bila nak tayang pun ada masalah sikit. Tapi tak apalah, itu semua cabaran. Yang penting, satu kepuasan buat saya bila apa yang saya usahakan dihayati oleh penonton. Ada kawan yang bertanya, tak penatkah buat video, bukannya dapat sebarang ganjaran pun?

Mungkin, mereka yang menonton, satu atau dua minit kemudian akan lupa. Tapi bagi saya, proses pembikinan video ni sendiri adalah satu ganjaran buat saya. Saya dapat pengalaman baru. Saya dapat mengeratkan hubungan silaturahim dengan rakan-rakan. Saya belajar, cara untuk menangani pelbagai situasi dan konflik. Saya belajar untuk bersabar. Belajar urus masa. Dan saya banyak mendapat bantuan fizikal dan moral daripada rakan-rakan. Saya tak tahu macam mana nak ungkap perasaan saya bila mereka kata “Tak sabar nak tengok video Nurina.” Itu satu penghargaan buat saya. Dan saya akan berasa lagi puas jika Cikgu Sidi menghayati video tersebut. Yang itu, saya tak tahu.

Walaupun dah banyak kali saya katakannya, saya tetap nak ucapkan terima kasih kepada semua yang membantu saya dari segala aspek sepanjang penghasilan video ini. Bantuan kalian, adalah satu penghargaan buat saya. Lain kali, bantulah lagi.

Harapan saya, kalau boleh dalam masa terdekat ni, janganlah ada orang minta buat video lagi sebab exam pun dah makin hampir. Saya percaya, ada ramai generasi baru yang mampu menghasilkan kerja buat yang lebih mantap dan berkesan. Mungkin, para pensyarah perlu menggembleng tenaga untuk mencungkil potensi yang ada pada mereka pula.

p/s: Dah macam teks ucapan pula ada harapan dan cadangan segala.