Sunday 22 March 2020

Sambutan October Fest (Beer Festival) di Munich, Germany


Bismillahirrahmanirrahim.

28 September 2019. Berbanding dengan nama-nama bandar lain di Jerman, saya yakin ramai yang biasa mendengar nama Munich. Munich merupakan ibu negeri Bavaria, dan orang Jerman lebih senang memanggilnya Munchen. Munich ni terkenal dengan seni bina, budaya dan paling penting, October Fest. October Fest selalunya bermula pada penghujung September dan berlangsung hampir seminggu atau lebih. Selain Berlin, kata orang Munich ni antara tempat wajib melawat kalau anda dah sampai di Jerman. Sesi orientasi kami masih belum habis, jadi Munich ni adalah lokasi trip kami yang terakhir sebelum tamatnya sesi orientasi pelajar exchange OTH Regensburg.

Alhamdulillah, saya teruja kerana berpeluang untuk ke Munich. Seperti biasa, kami perlu mencari lima orang dalam satu kumpulan untuk menggunakan ‘Bayern Ticket’. Tak perlu bayar mahal, jika berkongsi tiket akan jadi murah dan cuma itu sahaja yang diperlukan untuk perbelanjaan trip kami. Makan minum itu terpulang pada diri masing-masing. Kali ini, saya berkumpulan tak sama macam trip ke Wurzburg. Kami bertukar-tukar orang pula. Saya, Felia dan Anja masih gerak sekali sebab dari dormitori yang sama (Haus Hemma). Kami mengajak dua rakan exchange dari Korea Selatan untuk mengikuti kumpulan kami kali ini. Lily dan Claudia.

Perjalanan dari Regensburg ke Munich mengambil masa dalam 1 jam 30 minit atau lebih. Sepanjang perjalanan dalam kereta api, banyak perkara yang kami bualkan. Anja, Lily dan Claudia teruja untuk mencuba ‘minuman’ di October Fest. October Fest merupakan satu festival tahunan (beer festival) yang disambut untuk meraikan perkahwinan putera mahkota Bavaria dengan puteri raja dari Sachsen-Hildburghausen sejak tahun 1810. Kira macam Royal Wedding gitu. Apa yang menarik tentang festival ni, di sinilah orang ramai akan memakai Dirndl dan Lederhosen iaitu pakaian tradisi masyarakat Bavaria, atau lebih tepat lagi Jerman. Cuma banyak sejarah yang bermula di Bavaria, jadi Bavaria boleh dikatakan bandar terpenting juga di sini. Saya bersyukur sebab berpeluang untuk belajar di Bavaria.

Mungkin ramai yang tertanya, kenapa sibuk-sibuk nak pergi festival bir? Ya, terpulang pada individu untuk membuat penilaian masing-masing. Bagi saya, buat apa kembara ke negara orang jauh-jauh, naik pesawat 15 jam kalau hendak duduk rumah semata-mata. Baik duduk di Malaysia saja. Bir adalah aset terpenting di Jerman dan umum mengetahui Jerman dikatakan sebagai antara negara terbaik pengeluar bir. Hidup di Jerman, bergaul dengan masyarakat sana, bir ni dah sebati dengan mereka. Boleh dikatakan macam mana pentingnya kedai mamak dan kedai nasi kandar untuk kita, bar dan bir adalah benda normal buat mereka. Dan satu-satunya tempat lepak waktu malam. Cuma seperti yang saya maklumkan dalam entry sebelumnya, saya akan cuba mengelak daripada masuk bar sahaja. Saya akan cuba ‘open’ tentang budaya lain, cuma saya tak nak masuk bar sahaja.

Jadi, mungkin anda boleh bayangkan serba sedikit betapa pentingnya October Fest ni buat masyarakat Jerman. Dan saya tak akan lepaskan peluang untuk menikmati pengalaman dan suasana budaya mereka. Nanti saya ceritakan lebih lanjut.

Sampai sahaja di Munich, kami bergerak melawat tempat-tempat penting dahulu seperti Marienplatz, English Garden, Hofgarten dan Nymphenburg Palace. Tutor kami yang menjadi ‘tourist guide’ kami.  Saya tak tahu nak gambarkan macam mana, tapi bagi saya tempatnya memang cantik terutamanya di English Garden. Palace pun cantik juga.


Marienplatz ni ditemui oleh Henry the Lion, Duke of Bavaria dalam seribu tahun yang lepas. Dulu dikenali sebagai tempat berkumpulnya petani dan artisans (pekerja kraf) untuk menjual hasil mereka. Selain itu, tempat ini juga dijadikan tempat untuk festival dan pertandingan.

Marienplatz
Patung bergerak jam 12 tengah hari
With Vesa

Hofgarten wujud dari abad ke-17 lagi. Taman ini dihidupkan dengan  Italian-style ala-ala Renaissance. Di tengah-tengah taman ini pengunjung dapat melihat sebuah astaka yang dibina untuk goddess Diana. Ada lapan jalan dalam taman ini tapi semuanya bercantum dengan astaka. Hofgarten juga dijadikan tempat untuk beriadah. Sukan Petanque pun sering diadakan di sini dan kalau ada, memang susahlah nak cari tempat untuk jadi penonton sebab ramai orang. Nasiblah waktu saya berkunjung ke sana, tak ada sebarang event. Cuma di tengah-tengah astaka, ada pemuzik yang membuat persembahan dengan piano. Sofia (Latvia) sempat lagi duduk menghayati pemain itu bermain piano. Bila saya terfikir saat menulis entry ni, baru saya teringat yang Sofia ni main piano. Padanlah waktu orang lain semua dah jalan, dia masih duduk di situ. Yang saya pun sibuk tunggu dengan Sofia sebab tak nak dia berseorangan. Tapi saya masih ingat, suasana pada petang itu damai saja, cuaca sejuk panas, tenang, dan kami cuma diiringi irama merdu dari piano. Kalau bukan disebabkan ikut rombongan, mungkin saya dan Sofia dah tunggu lebih lama di situ.
  
Hofgarten

Nymphenburg Palace, dibina sebagai kediaman musim panas untuk kelahiran putera mahkota Max Emanuel pada 1662


Setelah melawat tempat-tempat ini, kami diberi kebenaran oleh tutor untuk ke October Fest atau merayau, terpulang pada kami. Setiap orang boleh menaiki kereta api ke Regensburg pada bila-bila masa sebelum jam 3 pagi, asalkan bersama kumpulan tiket masing-masing. Untuk nak mudahkan urusan balik, jadi semua orang bergerak dengan kumpulan masing-masing.

Kami langsung menuju ke October Fest, highlight utama kami. Jika anda masih ingat atau pernah membaca entry saya tentang DULT, festival ini boleh dikatakan hampir sama dengan DULT cuma October Fest lebih besar daripada itu. Saya teruja selepas memasuki gerbang utama festival. Senang cerita, suasanya ibarat Pesta Pulau Pinang bulan Disember; walaupun saya tak pernah ikut serta. Atau ibarat funfair yang sangat meriah. Kami teruja nak naik ride yang mana satu. Saya dah pernah naik ferris wheel dengan Paula dulu, jadi mungkin nak cuba sesuatu yang berlainan kali ini. Akhirnya setelah berdebat nak naik permainan yang mana, kami putuskan untuk naik roller coaster. Bayarannya adalah sebanyak 7 Euro per individu. Bila difikirkan mahal juga tapi apa lagi yang perlu dibuat di funfair kalau bukan untuk berhibur? Tapi saya end up naik satu ride sajalah sebab dah jadi berkira lepas tu.

Suasana di sekitar October Fest



Lily gayat, jadi dia cuma tunggu di bawah sahaja. Dah lama saya tak naik roller coaster. Serius tak ingat bila kali terakhir saya naik. Mendebarkan juga ride kami, dua pusingan. Tapi rasanya tak cukup dua pusingan tu, macam nak banyak lagi. Selepas berseronok naik roller coaster, masing-masing pun lapar nak cari makanan. Bab-bab makanan ni, sudah tentulah tak banyak sangat pilihan untuk saya. Kalau ada pilihan pun, saya jadi berkira sebab bab duit. Jadi akhirnya, inilah pilihan saya. Kegemaran saya tak kira di Malaysia atau di Jerman. Strawberry bersalut coklat. Pendek kata kalau ada kombinasi strawberry dan coklat, itulah pilihan saya. Itulah makanan tengah hari bajet saya.


Selepas itu, Anja sudah tak sabar nak masuk ke dalam khemah October Fest. Masuk sahaja ke dalam, memang sesak dengan keramaian manusia. Kami terpaksa mencelah-celah untuk berjalan. Ada orang bernyanyi, bermain muzik dan segala macam suasana pesta yang boleh anda bayangkan. Cuma kami tak berlama di dalam khemah, masuk ikut pintu utama keluar ikut pintu belakang saja. Masing-masing tahu tak ada tempat duduk dan saya sendiri tak akan duduk pun kalau mereka yang lain nak duduk. Dan rasanya semua faham yang saya tak minum bir.

Sepanjang jalan keluar, saya membuntuti Felia dari belakang. Tiba-tiba saja, ada seorang lelaki yang menyentuh bahunya, nak ajak minum sekali. Felia menolak pelawaannya dan sambung jalan ke luar. Susah juga rasanya bila berjalan dengan rakan-rakan yang cantik ni. Berjalan dalam khemah yang dipenuhi orang minum bir, sudah pastilah ada sedikit rasa janggal disebabkan saya seorang yang memakai tudung. Tapi masa tu saya cuma fikir dalam hati, “Tak ada orang yang peduli pun kau pakai tudung.” Semua orang sedang sibuk dengan hiburan masing-masing. Dan selalunya dengan pemikiran begitulah saya ‘survive’ untuk enam bulan di Jerman.

Dalam khemah (tent)

Senyum macam terpaksa

Anja sedikit kesal sebab hari tu tak dapat minum di pesta, tapi minggu depan tu dia datang balik ke Munich untuk tujuan minum. Selepas puas menikmati suasana dan budaya di pesta, kami patah balik ke English Garden. Kali ni untuk tujuan lebih bersantai dan menghayati kecantikan taman. Sempatlah juga bergambar di sana.


Bersantai di English Garden



Dalam jam 6 petang lebih, kami menuju ke Haupbahnhof (main station) untuk mengambil kereta api jam 7. Kami tak nak balik lewat sangat sebab nak berehat. Kalau nak konklusikan trip kali ini, saya rasa bertuah juga sebab dapat pengalaman melihat budaya orang Jerman, satu suasana atau vibe yang berlainan dengan Malaysia. Selalu saya cuma melihat dalam vlog YouTubers sahaja tentang October Fest, tapi bila dapat alami sendiri, adalah juga rasa satu kepuasan untuk diri.


Munchen ist wunderbar!

Friday 20 March 2020

Pengalaman Pulang ke Malaysia Semasa COVID-19


Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamualaikum.

20 Mac 2020. Ya, kalau nak cakap minta maaf kerana sudah lama tak update post, macam biasa semua itu adalah klise dan alasan duniawi. By this time, pembaca blog ini (kalau masih ada) dah patut tahu penulis blog ini bukanlah merupakan seorang yang konsisten dalam mengemaskini blognya. Tahun lepas ada sekitar 20 entry sahaja yang saya tulis.  Saya tak pasti jika ada yang setia menunggu update dari dulu.

Ada banyak hal yang terjadi dalam hidup saya sepanjang hampir enam bulan saya tidak menulis di sini. Ada banyak yang saya ingin kongsikan dalam bentuk penulisan, tapi mungkin saya akan kongsikan sedikit demi sedikit. Mungkin ramai daripada anda yang tahu, saya belajar dan tinggal di Jerman selama satu semester untuk program pertukaran pelajar di bawah universiti saya. Alhamdulillah,untuk pengetahuan anda, saya telah selamat pulang ke tanah air tercinta. Jadi jangan pelik jika nanti ada entry sekejap di Jerman, sekejap di Malaysia pula.

Di hadapan universiti - OTH Regensburg

So… where should we start? Saya skip timeline ke hari ini dulu. Saat menulis entry ini, saya sedang berada di rumah mengikuti perintah berkurung selama 14 hari yang diarahkan oleh pihak kerajaan untuk menghindari wabak coronavirus COVID-19 yang sedang mengancam seluruh dunia. Saat awal-awal saya mengetahui tentang COVID-19, saya masih berada di Jerman. Waktu itu masih belum ada sebarang kes di sana. Tapi saya mengikuti perkembangan wabak tersebut yang sudah pun merebak di Malaysia. Saya melahirkan kebimbangan saya menerusi story yang kerap saya update di Instagram.

Rakan-rakan Eropah saya pada waktu itu masih kurang mendapat pendedahan tentang wabak tersebut. Ada beberapa rakan yang bertanya tentang story IG saya, dan jujur saya akui saya pun tak banyak ilmu tentang wabak ni pada masa tu. Saya cuma mampu jawab yang kes ni dah sampai di Malaysia. Saya masih ingat bagaimana salah seorang rakan Jerman saya yang mengambil enteng tentang wabak ini. Diulang kembali, ketika itu masih belum ada kes di Jerman. Katanya. jangan terlalu risau tentang wabak ini.

27 Januari 2020. Kes pertama COVID-19 dilaporkan di Jerman. Dalam banyak-banyak state, Bavaria jugalah destinasi pertama pilihan virus tersebut untuk mendarat. Puncanya daripada HQ pengilang komponen kereta di Stanberg. Saya masih ingat sewaktu mendengar khabar tersebut, langsung saya cari jarak Stanberg dengan Regensburg. 1 jam 40 minit lebih sahaja! Ya, dah tentu ada juga rasa cemas. Tapi melihat netizen negara Jerman yang tidak melatah, saya pun bertenang saja. Saya tak pasti disebabkan budaya atau apa, walaupun kes tersebut sudah sampai di Jerman, majoriti masih bertenang. Saya tak tahu betapa kecohnya kes ini di Malaysia pada waktu itu. Walaupun saya ambil tahu tentang berita, perasaan dan situasinya tak sama dengan perasaan yang saya ada di Malaysia sekarang. Atau mungkin sebab masa tu kesnya masih awal-awal lagi?

Wabak ini tidak menyerang Jerman dengan pantas pada bulan Februari. Pendek kata, sebenarnya COVID-19 menyerang Malaysia dahulu, kemudian dalam masa seminggu turut menyerang Jerman. Tapi kalau nak saya gambarkan, situasinya seolah-oleh kita membaca tentang kes penyakit biasa sahaja. Saya masih ingat saya sempat berjalan hingga ke gunung tertinggi di Jerman iaitu Zugspitze. Bukan mendaki la bergambar saja depan gunung tu. 



Aktiviti masyarakat semuanya sangat normal, bahkan saya sempat lagi menghadiri party di salah sebuah dormitori pelajar. Ketika di party itu, saya masih ingat seorang rakan saya dari Croatia sempat berterima kasih kepada saya kerana sering update story di IG berkenaan coronavirus. Kata-katanya itu memberi impak kepada saya, membuatkan saya rasa info yang kita kongsikan bermanfaat juga kepada yang lain.

27 Februari 2020, tarikh untuk saya pulang ke Malaysia. Di lapangan terbang Munich, di antara kesesakan ramai, saya cuma mampu melihat dalam seorang dua sahaja yang memakai penutup muka. Saya pun jadi tidak konsisten memakai penutup muka kerana segan dipandang orang. Jujurnya kalau mask saya plain, saya akan pakai sepanjang masa. Tapi yang saya ada pada waktu itu adalah mask polkadot pemberian rakan saya yang dibawa dari negaranya semasa cuti. Di Jerman sangat sukar untuk mendapatkan penutup muka. Jadi, polkadot pun polkadotlah.

Alternatif saya adalah menjarakkan diri saya daripada orang sekeliling. Ya, saya tahu kesihatan penting tapi kepekaan kami masih kurang dan saya akui itu. Saya mencari tempat duduk yang terasing daripada keramaian orang. Kemudian, seorang wanita berusia dalam 40-50 an duduk di sebelah saya. Dia memakai tudung juga, jadi saya beranggapan mungkin berasal dari Iran, Syria atau Turki. Saya masih belum boleh membezakan mereka. Maafkan saya. Rata-rata pelarian yang berada di Jerman berasal dari negara-negara yang saya nyatakan tadi. Tiba-tiba makcik sebelah saya tu terbatuk-batuk. Saya jadi tak sedap pula. Dalam hati saya, “Cepatlah bangun, makcik.” Kalau saya nak bangun tiba-tiba takut dia terasa pula macam saya lari daripada dia. Mujur makcik itu duduk sekejap sahaja untuk minum air dan kemudian bangun. Mencabar jugalah nak mengelak keramaian orang di lapangan terbang di mana ramai yang masih belum peka tentang COVID-19.



Saya transit di Doha, Qatar. Di sana, jumlah mereka yang memakai mask lebih banyak sedikit berbanding di Munich. Jadi saya pun bebas memakai mask tanpa sebarang ketidaksenangan. Saya cuma membukanya sewaktu hendak solat atau mengunyah coklat titipan rakan-rakan. Sewaktu dalam kapal terbang dari Doha ke Pulau Pinang, sederet barisan di sebelah saya kosong dan tak ramai yang menumpang jadi saya boleh bergerak dengan selesa sedikit berbanding penerbangan pertama sebelumnya.

Sampai di lapangan terbang Pulau Pinang, saya sangat terkejut kerana disambut oleh petugas-petugas yang memakai baju biru (mungkin pegawai kesihatan/petugas biasa). Saya diberikan pas 14 hari yang perlu dibawa ke hospital/klinik sekiranya mengalami simptom dalam masa 2 minggu. Ada kamera haba dan juga petugas yang memeriksa mata. Saya sangat terkejut kerana berbeza dengan lapangan terbang Munich dan Doha. Saya tak pasti pula jika mereka juga melakukan hal yang sama kepada sesiapa yang baru mendarat. Di Pulau Pinang, alhamdulillah tahap kesedaran untuk mengamalkan langkah penjagaan kesihatan mungkin lebih tinggi. Walaupun hari saya pulang ke Malaysia itu tidak ada kerajaan, semuanya masih berjalan dengan baik. Setelah enam bulan, akhirnya saya pulang juga ke pangkuan keluarga tercinta.

Saya rasa pada penghujung Februari kes wabak COVID-19 mungkin masih tidak seserius hari ini, setelah perhimpunan jemaah tabligh berlangsung. Setelah seminggu lebih pulang, saya sudah perlu memulakan latihan industri (internship) saya. Satu kesalahan yang saya buat, adalah saya tidak mengkuarantinkan diri sendiri di rumah. Jujurnya saya tak tahu saya perlu berbuat demikian, tapi saya pun dah tak boleh menangguhkan intern lebih lama. Kalau ikutkan saya sudah menangguhkan beberapa hari dengan kebenaran Timbalan Dekan.

Untuk permulaan internship, saya masih tak banyak tugasan. Saya cuma ditugaskan untuk membuat proposal bisnes yang boleh disiapkan dalam masa 2-3 hari sahaja. Baru hampir seminggu lebih saya memulakan internship, akhirnya kita mendapat arahan daripada Perdana Menteri baru untuk melakukan kuarantin di rumah dan pergerakan luar dihadkan. Saya tak boleh bayangkan kalau saya betul-betul ikut kuarantin 14 hari pulang dari Jerman ditambah 14 hari arahan kerajaan, boleh dikatakan sebulan tempohnya untuk saya dikuarantin. Dari satu aspek, saya lega sebab tidak tangguhkan intern lebih lewat. Jika tidak banyak juga implikasinya nanti. Rumit. Tapi yang ini memang dapat arahan khas daripada pemerintah, jadi kena ikut ya. Saya harap semua orang juga mengikuti perintah berkurung ini.

Mungkin ada orang yang sudah terbiasa bekerja, bersosial atau melakukan aktiviti luar. Tapi saya berharap semua orang tidak terlalu pentingkan diri untuk memenuhi jiwa sosial mereka. Saya memang jenis yang suka duduk bilik, jadi kuarantin ini sebenarnya tidaklah begitu banyak membawa perbezaan atau kesulitan kepada saya. Apa yang saya nampak, sebenarnya banyak hikmah yang kita peroleh daripada situasi sekarang.

Orang yang bekerja, boleh berehat selama dua minggu. Saya nampak ini sebagai ‘break & rest time’ buat ibu saya yang bekerja sepanjang masa. Saya nampak, banyak maksiat yang berjaya dikurangkan. Buktinya, semua bar dan kelab di Jerman ditutup. Saya juga yakin banyak perkumpulan seumpamanya di Malaysia juga menjadi terbatas. Dengan ini, sudah tentunya maksiat berkurangan. Saya nampak, Tuhan cuba untuk hapuskan dosa ramai orang. Orang kata, sakit itu penghapus dosa. Jadi mungkin mereka yang diuji dengan penyakit ini sebenarnya diberi peluang untuk dikurangkan atau dihapuskan dosa mereka. Saya juga berasa perjalanan saya diatur cukup cantik oleh Tuhan.

Sejurus sahaja saya pulang ke Malaysia, wabak COVID-19 terus menggila di Jerman. Hingga hari ini, angkanya sudah mencecah 13K. Barangan makanan di pasaraya terkawal dan rakan-rakan yang masih di sana berasa risau untuk keluar rumah walaupun masih tiada arahan lockdown. Jadi, tak adalah saya merisaukan keluarga sekiranya masih berada di sana. Tarikh pulang saya pun adalah sebelum perintah berkurung, Malaysia jadi segala urusan pulang saya memang dipermudah. Ada rakan-rakan exchange di sana yang terpaksa membatalkan hasrat mereka untuk belajar lebih lama di Jerman disebabkan situasi sekarang. Banyak penerbangan yang dibatalkan seumpamanya. Jadual bas juga sudah terhenti pada waktu malam di Regensburg.

Harapnya situasi di Malaysia dan Jerman, juga di negara-negara lain akan pulih. InsyaAllah. Kes domestik di China sudah tidak dilaporkan hari ini, jadi itu adalah permulaan yang baik untuk melihat sinar harapan. Setiap pihak sedang cuba melakukan yang terbaik. Jadi sebagai rakyat Malaysia, tugas kita yang utama adalah untuk menjaga kesihatan diri sendiri, bukan menjaga kepentingan diri.

Sampai bertemu lagi di entry seterusnya, semoga situasi kita akan lebih membaik.