Sunday 23 July 2017

Displaced & Forgotten










Bismillahirrahmanirrahim.

Sekejap sahaja cuti bulan Julai ini. Beberapa hari lagi, sudah nak masuk bulan Ogos. Untuk entry kali ini, sengaja saya cuba buat pembaharuan. Dulu saya suka mengambil gambar-gambar seperti ini tapi tak pernah rasanya kongsikan di blog. Jadi kali ini, saya ingin berkongsi dengan anda beberapa barangan yang saya beli sepanjang bulan ini. Kebetulan, warna barangan tersebut hampir sama dan saya rasa sangat cantik untuk photography. Walaupun photography skill saya tak berapa nak bagus, layankan sajalah ya. Eheh.

Saya baru membeli dua buah buku dari mphonline iaitu Pemburu tulisan Hilal Asyraf dan juga Displaced & Forgotten terbitan Iman Publications. Saya nak ambil kesempatan untuk puji sedikit MPH dan GDex. Saya membuat tempahan buku online pada 19 Julai. 20 Julai proses tempahan saya telah diterima dan pada 21 Julai, buku itu telah sampai di rumah saya. Lagi satu, melalui mphonline, anda boleh dapatkan diskaun berbanding beli di kedai buku. Selain mphonline, saya pernah juga membeli dari bookcafe. Bookcafe ni walaupun tak ada diskaun seperti mphonline, tapi dia suka bagi barangan percuma sekali dengan pembelian kita. Tapi banyak juga buku yang tak boleh didapati di bookcafe berbanding mphonline.

Hilal Asyraf merupakan salah seorang penulis kegemaran saya. Saya mengenali beliau sebelum beliau berkahwin lagi dan harap belum terlambat untuk saya ucapkan tahniah kerana telah berjaya menubuhkan syarikat penerbitannya sendiri. Hebat. Saya yakin, Pemburu tidak akan mengecewakan saya.

Saya juga telah membeli buku nota 5 subjek untuk pelajar universiti. Ini adalah tips untuk pelajar yang bermasalah dalam mengumpulkan nota. Saya menulis nota dalam cuma satu buku dan satu buku itulah yang saya bawa ke mana-mana pun. Cubalah. Buku ini anda boleh dapati di mana-mana kedai buku berhampiran anda, insyaAllah.

Kasut berwarna turquoise dari Rubi Shoes juga menjadi pilihan saya. Saya lebih suka memakai kasut sarung begini daripada kasut bertali sebenarnya. Senang disarung ke mana-mana sahaja. Selain kasut, tudung turquoise Saudia dan kerongsang dari Sephia Collection telah saya gunakan masa hari raya yang lepas. Dalam entry sebelum ini saya ada postkan gambar memakai tudung ni.

Kemudian, saya juga membeli dua helai t-shirt lengan panjang baru. Tak ingat pula nama kedainya apa tapi percaya atau tidak, harganya cuma RM 10 sahaja sehelai sebab Aeon sedang ada promosi jualan sehingga 31 Julai kalau tak salah saya. Baju ini saya beli di Aeon Bukit Mertajam. Tak pastilah pula Aeon cawangan lain. Mungkin sama sahaja ada sales. Akhir sekali, saya juga telah mendapatkan Hanging Mini Headphones tu dari kedai Daiso. Memang kebetulan warna turquoise juga. Saya beli sebab senang untuk gantung di telinga berbanding earphone biasa. Kalau berbaring pun dia tak akan jatuh. Kalau berminat, bolehlah cari di Daiso atau kedai-kedai gajet yang lain.

Okey, itu sahaja ringkasan entry hari ini. Semoga anda dapat membuat pilihan yang bijak ketika membeli barangan dan pesan saya, beli yang perlu sahaja. Selamat berhujung minggu dan terima kasih kerana membaca!

Friday 21 July 2017

A Raya Story


Bismillahirrahmahirrahim.

Syawal bakal meninggalkan kita tidak lama lagi. Macam mana dengan raya anda? Raya saya kali ini agak simple sebab kami tak bercuti panjang. Kami menyambut hari raya di Johor, Melaka dan kemudian baru di Kedah. Hari raya ketiga, kami sudah pulang ke Kedah kerana kakak saya sudah masuk bekerja.

Bila usia sudah meningkat dewasa ini, mood raya itu sudah tidak sama lagi seperti zaman kanak-kanak dulu. Dulu, waktu kanak-kanak, bukan main teruja lagi hendak membuat persiapan raya. Malam raya, sibuk membantu ibu masukkan duit raya ke dalam sampul, berkumpul dengan sanak-saudara, main bunga api, mercun pop-pop, tengok orang bakar meriam (saya tak bakar sebab takut) dan macam-macam lagi. Not to mention, zaman kanak-kanak tak perlu lagi basuh pinggan mangkuk masa tu. Dulu, dengan semua orang kita main. Sepupu sepapat perempuan lelaki, main tak ingat dunia. Saya selalu suka mereka cerita hantu dan bercerita setiap malam kepada sepupu yang lebih muda daripada saya. Kalau di kampung tu, main lari-lari saja sepanjang masa. Kadang, bantu keluarga buat kuih raya. Dan macam-macam lagilah.

Tahun ini, dengan kesibukan belajar di universiti dan sebagainya, dua malam sebelum raya baru kami keluar untuk membeli tudung raya. Kampung saya di Johor juga sudah tidak ramai yang berkumpul pada hari raya pertama selepas arwah embah meninggal dunia. Tidak ada anak kecil yang bermain bunga api (sebab mak saya tertinggal bunga api di Shah Alam). Masukkan duit raya dalam sampul masih ada, cuma jumlahnya makin besar. Dulu, seringgit dua sudah cukup. Sekarang, kalau dapat seringgit dua budak-budak kecewa. Raya sekarang, anak dara banyak habiskan masa di dapur. Bukan nak mengungkit, cuma nak gambarkan suasana (yalah tu).

Sekarang, dengan sepupu lelaki dah perlu jaga batasan. Dalam rumah pun perlu bertudung. Raya, raya juga. Batasan tu masih harus dijaga. Sekarang, sudah tak boleh berlari-lari lagi di dalam rumah. Kalau buat juga, saya yakin mereka akan kata saya sudah buang tabiat. Buat kuih raya pula, sudah jarang sekarang. Tahun lepas ada rasanya, tahun ini tak sempat buat. Banyak lagilah perbezaan raya dulu dan raya sekarang.

Raya kedua: Melaka

Walaupun keterujaan untuk raya itu sudah berkurang, semangat raya masih ada. Sebab cuma pada hari rayalah dapat kita berjumpa semula dengan sanak saudara bagi yang tinggal berjauhan. Kalau yang tinggal berdekatan tu pun sama juga, selalunya suasana akan meriah sepanjang masa. Saya pernah singgah ke rumah seorang kawan, bukan pada hari raya. Tapi suasananya meriah seperti hari raya kerana kaum kerabatnya semua tinggal berdekatan dan berkumpul pada waktu petang. Saling bertukar juadah dan bertukar cerita. Seronok melihat suasana sebegitu. Saya pula, ibu berasal dari Selangor dan ayah dari Johor. Di Melaka pula, ramai juga sanak saudara atuk saya. Kira kampung halaman jugalah Melaka tu. Tahun ini, kami sempat berpuasa di Selangor tapi tak beraya di sana sebab sudah hampir setiap tahun beraya di Selangor. Kami jugalah salah satu keluarga yang menjadi punca tak ramai beraya di Johor pada hari raya pertama.

Tahun ini, baju raya keluarga saya tidak sedondon. Ibu saya sudah putuskan untuk tidak lagi memakai baju raya sedondon seperti dulu. Jadi nak kata tema tu, tak ada tema. Cuma baju raya saya berwarna hijau. Raya kedua di Melaka pula, saya memakai blaus hitam turquoise. Kami mengunjungi sanak saudara dan jiran tetangga di Johor dan Melaka.

Di Kedah pula, saya sekadar menjemput rakan-rakan untuk beraya di rumah. Rakan-rakan tingkatan enam sajalah pun yang rajin datang beraya sebab lebih rapat dengan mereka. Rakan universiti pula ramai yang tinggal berjauhan. Dan semalam pula, kami telah membuat “open house” sekali dengan Majlis Perasmian Pusat Kecantikan & Spa Alamku yang dikendalikan oleh ibu saya. Tahniah sebab buka spa baru.

Alhamdulillah, rakan saya dari sekolah rendah, sekolah menengah dan tingkatan enam pun hadir bagi memeriahkan majlis. Saya tidaklah menjemput ramai orang, yang mana masih contact dengan saya sahaja. Dan ada yang saya jemput last minute. Tapi saya rasa seronok bila mereka datang untuk memberikan sokongan. Walaupun mereka ada hal masing-masing, masih sanggup luangkan masa untuk kita. Saya juga baru membaca mesej di FB. Cikgu Fazeila dan cikgu-cikgu tingkatan enam yang lain hampir juga datang tapi disebabkan saya tak reply, mereka tak jadi hadir. Serba salah pula saya dibuatnya. Maafkan saya, cikgu. Saya tak install FB Messenger di telefon bimbit. Dan saya tak pegang pun phone sebab buat kerja.

Hari yang sama juga semalam, bekas rakan-rakan sekelas saya di SM Sains Kuala Selangor (Kusess) dulu buat reunion. Tapi sudah tentu saya tak dapat hadir sebab mereka di Selangor, saya di Kedah. Dan juga sebab open house kami. Rindu pula nak berjumpa mereka. Kalau dekat, mungkin sudah lama saya sertai.

Apa pun, saya harap raya tahun depan dapat berjumpa lagi dengan rakan-rakan. Kalau ada open house lagi, insyaAllah, jemputlah semua yang mengenali diri ini. It feels good to meet your friends and relatives and exchange stories with them. Terima kasih kerana membaca. Salam Syawal.

Tuesday 18 July 2017

Anugerah Pengarah Projek Terbaik


Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamualaikum.

Entry ni sepatutnya saya update sekitar empat bulan yang lepas, tapi disebabkan sifat suka bertangguh, hari ini baru dapat saya update. Cerita ini bukanlah untuk membanggakan kejayaan diri saya. Kalau saya nak buat begitu, lepas dapat anugerah terus saya update di blog. Entry ni cuma sekadar satu tulisan yang boleh dijadikan rujukan semula kepada saya dalam tempoh beberapa tahun hadapan. Supaya saya ingat, tak ada benda atau usaha yang sia-sia dalam dunia ini. 


Menurut tajuk entry, ya, alhamdulillah, saya telah mendapat Anugerah Pengarah Projek Terbaik pada Malam Junjungan Budi (MJB) yang bertarikh 20 Mei 2017 di TH Hotel, Pulau Pinang.  MJB ni merupakan salah satu program tahunan Majlis Perwakilan Desasiswa (MPD) kami ataupun lebih senang dipanggil dinner. Selain Anugerah PP Terbaik, kami juga menerima Anugerah Projek Terbaik untuk Program Integrasi Borneo 5.0. Saya merupakan pengarah projek untuk IB 5.0. Saya tidak mahu mengulas panjang lagi tentang IB 5.0 kerana saya sudah pernah hasilkan entry dan ada juga video program. Kalau berminat untuk menonton, boleh saksikan video ini.




Saya memang agak menaruh harapan untuk IB 5.0 sebagai projek terbaik sebab bagi saya program itu sendiri memang sangat bermanfaat dan memberi impak kepada orang ramai. Saya tak pernah sertai program yang hebat seperti IB 5.0 ni. Impak yang saya terima bukanlah selama 9 hari perjalanan kami sahaja, tapi sebelum dan juga selepas program itu berlangsung. Saya tak ada keraguan kalau IB 5.0 memenangi projek terbaik. Tapi saya tidak pula menjangka akan mendapat Anugerah PP Terbaik. Sebabnya, banyaklah sebabnya.

Pertama, saya merupakan pelajar first year. Kedua, saya merupakan satu-satunya pelajar first year yang memegang projek. Ketiga, banyak lagi projek besar dan PP yang lebih berkaliber. Keempat, saya tak rasa IB 5.0 tu berhasil sebab saya, tapi disebabkan bimbingan dan kerjasama daripada team IB 5.0 itu sendiri. Dan banyak lagilah sebabnya. Mungkin mereka berikan kepada saya sebagai pendorong semangat untuk terus berbakti dalam MPD sidang hadapan? Rasanyalah.


Ramai kawan yang kata saya sangat layak untuk dapat anugerah tersebut, tapi walau apa pun yang mereka kata, itulah pandangan saya terhadap anugerah ini. Masih banyak lagi kelemahan yang perlu saya perbaiki. Saya tak tahu kenapa, tapi saya selalu ada perasaan yang saya ni tak layak untuk terima anugerah yang saya dapat. Sampai hari ni pun, banyak anugerah yang saya dapat, tapi saya rasa tak sepatutnya saya terima. Eheh. Symptom apakah ini?


Apa pun, sudah tentulah saya menghargai anugerah ini. Selain boleh digunakan dalam resume kerja, mendapat anugerah ni bagi saya adalah bukti orang lain mengiktiraf hasil kerja dan usaha yang telah saya lakukan. Terima kasih kepada MPDADFH kerana mempercayai saya. It’s an honour for me, really. I’ll try to keep up with people’s expectations. Memanglah kita buat kerja bukan untuk pujian orang. Tapi bila kita tahu ada orang yang letakkan expectation tinggi pada diri kita, sekurang-kurangnya kita boleh mencuba untuk penuhinya, bukan?

Jadi, adakah saya hendak pegang projek lagi kalau diberikan peluang pada masa akan datang? Secara jujurnya, saya memang tak berharap. Saya lebih gemar buat kerja di balik tabir sahaja. Tapi kalau tiba satu situasi di mana saya terpaksa menggalas tanggungjawab tersebut, insyaAllah saya akan terus mencuba. It’s all or nothing. Sama ada kita berhempas-pulas dan berjaya, atau tak mencuba dan tak ada hasilnya, semuanya terpulang kepada kita.

Tuesday 11 July 2017

Kenapa Anda Perlu Memiliki Drone


Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamualaikum.

Drone ni merupakan salah satu alat yang dah masuk dalam wishlist saya. Saya pasti ramai yang sudah tahu tentang drone, atau istilah Melayu dipanggil sebagai ‘Pesawat Tanpa Awak’.  Awak di sini kalau tak salah saya merujuk kepada badan kapal. Maksudnya, drone merupakan sebuah pesawat kecil tanpa badan. Apa yang menarik sangat tentang drone ni?

Saya mula berminat dengan drone sewaktu menonton vlog yang dimuat naik YouTuber terkenal seperti Roman Atwood dan Jesse BFvsGF. Tak ingat vlog tersebut tentang apa, tapi mereka ada menunjukkan cara untuk menggunakan drone ni dan semenjak itu saya mula interested dengan alat kecil tersebut. Drone ni boleh dikatakan ibarat permainan helikopter kawalan jauh yang mungkin pernah kita mainkan semasa kecil dulu. Ataupun kalau tak pernah bermain helikopter kawalan jauh, bayangkan sahaja kereta kawalan jauh. Bezanya, drone ni boleh terbang tinggi di udara. Yang menariknya, kita bukan sahaja sekadar terbangkan drone di udara tetapi kita juga boleh attach kamera untuk merakam pemandangan dari atas. Selain kamera, saya pernah juga dengar orang sangkut hantu buatan pada drone untuk takut-takutkan orang lain. Eheh. Jangan pula ya tiru idea tu.

Drone sebenarnya memainkan peranan penting dalam kewartawanan, misi menyelamat, perfileman, perincian kawasan atau sesuatu, dan juga dijadikan sebagai hobi. Dalam bidang kewartawanan, saya tak pasti sama ada di Malaysia sudah viral penggunaan drone dalam bidang ini ataupun tidak. Tapi drone banyak digunakan oleh negara luar bagi menggantikan wartawan untuk merakam sesuatu di luar kawasan capaian mereka. Contohnya nak buat laporan tentang kawasan musuh. Kalau hantar wartawan, mungkin boleh bahayakan nyawa mereka. Tapi kalau hantar drone, kena tembak dengan musuh, boleh beli lain kan.


Dalam misi menyelamat pula, kita boleh bayangkan situasi banjir. Adalah amat efektif sekiranya kita menggunakan drone untuk mencari mangsa-mangsa yang mungkin terperangkap dan masih selamat. Tak perlu tunggu helikopter dan sebagainya. Jika di Malaysia masih belum meluas penggunaan drone ni, saya sangat sarankan alat itu digunakan dalam situasi-situasi sebegini. Tapi kalau saya, cuma mampu tengok sajalah mangsa terselamat melalui rakaman video. Tak mampu nak pergi selamatkan sendiri.

Saya teringat dalam sebuah filem Bollywood yang pernah popular satu ketika dahulu berjudul Three Idiots lakonan Amir Khan. Dalam filem itu, seorang pelajar mencipta sebuah alat yang persis drone. Tapi disebabkan assignment kena reject, dia jadi kecewa dan menggantung diri di dalam bilik. Jadi kawan-kawannya menggunakan alat itu dari tingkat bawah bangunan dan terbangkan ke dalam bilik dia sebab dah lama tak keluar bilik. Akhirnya mereka dapati kawan tu dah bunuh diri di dalam bilik. Lebih kurang begitulah rasanya cerita tu. Saya nak tunjukkan yang drone ni pun sebenarnya dapat mencegah banyak kejadian tak diingini daripada berlaku. Dalam cerita tadi kalau mereka awal sikit gunakan drone tu, mungkin dapat selamatkan kawan mereka.

Drone juga dapat digunakan dalam bidang perfileman. Inilah sebab utama saya teringin dapatkan drone. Saya teringin nak dapatkan klip-klip pemandangan menarik untuk digunakan dalam filem pendek saya. Tapi kualiti sesuatu video tu bergantung juga kepada kualiti drone dan kamera. Jika tinggi kualiti drone dan kamera yang digunakan, maka dapatlah kita hasilkan video high resolution. Saya ada juga jumpa drone yang harganya bawah RM100 di internet, tapi tak pastilah kualitinya macam mana. Mungkin lebih baik kalau kita beli sendiri di kedai kan. Saya sangat terinspirasi dengan video Jesse BFvsGF yang berkualiti tinggi dan dia pun pandai edit video. Tapi sekarang Jesse dah tak kendalikan akaun YouTube BFvsGF. Dia kendalikan akaun PrankvsPrank yang sudah ditukar kepada nama Jesse. Kalau rajin bolehlah tengok vlog-vlog lama dia yang cantik dan berkualiti.

Dalam masa yang sama juga, drone boleh digunakan untuk dapatkan perincian atau penelitian sesuatu kawasan. Mungkin kawasan yang kita tak boleh seberang, jadi kita hantar sajalah drone untuk rakam. Atau mungkin kita hendak merakam haiwan berbahaya seperti singa atau harimau tapi kita tak sanggup nak berkorban nyawa. Maka hantarlah drone sebagai penyelamat keadaan. Sangat best kalau dapat buat macam tu. Kalau anda tak ada alasan pun untuk memiliki drone, tak salah nak dijadikan hobi. Jika ada masa lapang, mainlah drone macam permainan helikopter kawalan jauh. Ataupun mungkin waktu Hari Raya boleh ambil gambar keluarga beramai-ramai. Wah, bagus juga tu. Kalau dapatlah drone, raya tahun depan boleh ambil gambar keluarga dari udara.

What can I say? Teknologi sekarang semakin maju. Kita bukannya berlumba-lumba nak bersaing kemewahan dengan orang lain, tapi tak bolehlah juga jadi generasi yang ketinggalan. Bagi saya, drone ni ada kebaikan dan kelemahannya yang tersendiri, tapi kalau semua orang menggunakannya secara berhemah, tak ada masalah akan timbul. Dan drone ni pun tak adalah guna bahan kimia yang boleh mencemarkan udara. So why not? Tapi tak tahulah pula kalau saya akan bosan selepas sekali dua guna. Haha.


Oh ya, dalam kesempatan ni juga, kepada yang belum menonton filem pendek terbaru saya, pergilah lawati YouTube Nims Productions. Filem pendek berjudul Buka Matamu. Mungkin masih banyak lagi kelemahan dan saya akan cuba untuk improve lagi. Terima kasih kerana membaca entry ini sehingga ke penghujung dan selamat menonton. 

Monday 10 July 2017

Adakah Law of Attraction Bercanggah dengan Islam?


Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamualaikum.

Adakah anda pernah mendengar istilah ‘Law of Attraction’? Mungkin pernah, dan mungkin belum pernah. Beberapa tahun dahulu ketika saya pertama kali mendengar istilah tersebut, saya cuma menyangka Law of Attraction (saya singkatkan LOA) merupakan salah satu daripada teori sains atau fizik yang ada. Tapi hari ini, saya begitu meyakini teori ini. Saya cuma ingin berkongsi pendapat peribadi serta rujukan di internet yang saya temui dan harapnya dapat serba sedikit memberikan pengetahuan kepada anda tentang LOA.

Law of Attraction, atau ‘Hukum Tarik-Menarik’ ni merujuk kepada pemikiran dan kepercayaan kita. Kalau kita fikirkan hal yang positif, akan ada satu daya penarik dari alam semesta ini yang menarik kepada outcome yang positif. Dan kalau kita berfikiran negatif, kita akan mendapat outcome yang negatif. Contoh saya beri, kita target untuk mendapat dean list, dan akhirnya benda tu memang betul-betul berlaku. Secara kasarnya, LOA ni nampak seperti satu teori biasa, tapi hakikatnya ramai yang memperdebatkan LOA dan mengatakan LOA ni boleh membawa kepada syirik. Takkan apa yang kita inginkan dipenuhi oleh alam semesta dan bukannya Allah SWT?

Baiklah, saya kongsikan satu kisah ketika peristiwa Israk Mikraj Rasulullah. Ketika diperlihatkan kepada baginda keindahan di syurga, Rasulullah melihat sekumpulan bidadari yang sedang bergembira. Tapi di antara kumpulan bidadari tu, ada bidadari yang kelihatan pemalu dan duduk bersendirian. Lalu baginda bertanya kepada malaikat Jibril, “Siapa bidadari itu?” Dan Jibril pun menjawab, “Itu adalah bidadari untuk sahabatmu Umar bin Al Khattab.” Ketika Umar dibacakan ayat tentang keindahan di syurga, beliau berfikiran untuk mendapatkan bidadari yang berkulit hitam manis, berdahi lebar, bahagian atas matanya berwarna merah dan bahagian bawah matanya berwarna biru (ataupun sebaliknya, maaf saya kurang pasti). Maka disebabkan Umar bin Al Khattab selalu melaksanakan perintah Allah dengan segera, Allah serta-merta menciptakan bidadari sesuai dengan keinginannya. Subhanallah.

Dalam situasi ini, kita boleh melihat bahawa Umar cuma visualize sahaja bidadari yang diinginkannya dengan jelas dan Allah memakbulkan keinginannya. Kun fayakun, jadi maka jadilah. Tidak ada yang mustahil bagi Allah SWT. Firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 33, “Bukankah sudah Kukatakan kepadamu, bahawa sesungguhnya Aku mengetahui rahsia langit dan bumi dan mengetahui apa yang kamu lahirkan dan apa yang kamu sembunyikan?”

Basically, LOA ni memanglah merupakan apa yang kita percaya dan apa yang kita inginkan, dan Allah SWT mempunyai kuasa untuk menunaikan keinginan kita itu pada bila-bila masa sahaja. Tapi sudah semestinya, doa juga penting untuk meminta sesuatu daripada Allah.

Saya semakin banyak mempraktikkan LOA ni bermula dari satu hal yang saya sendiri tak pernah percaya boleh terjadi kepada saya. Saya bukanlah seorang yang aktif dalam sukan. Selain Tae Kwon Do, saya jarang melibatkan diri dalam apa-apa aktiviti sukan. Waktu itu, sekolah saya (tingkatan 6) mengadakan perkhemahan Skuad Mula RELA di markas mana entah saya tidak ingat. Di tempat tersebut, terdapat kawasan untuk menembak dan kami semua diwajibkan untuk menyertai pertandingan tersebut. Bayangkanlah satu batch terlibat. Berapa peratus kemungkinan untuk saya mendapat tempat dalam acara tersebut? Sudahlah tidak pernah memegang senapang sebelum ini. Saya boleh katakan tak sampai 20% kemungkinannya. Tapi entah kenapa, saya sangat determine untuk menang sama ada tempat pertama, kedua atau ketiga. Dan apa yang mengejutkan saya, saya akhirnya berjaya mendapat naib johan dalam pertandingan itu. Sampai hari ini, saya masih tidak percaya dengan keputusan itu.

Sebelum kejadian itu pun saya sudah lama tahu tentang LOA, cuma selepas itulah baru saya lebih banyak praktikkan LOA dan mindset saya dalam semua perkara yang saya inginkan. Terutamanya untuk cabutan bertuah. Percayalah, hasilnya sangat mengejutkan. Banyak pertandingan yang saya masuk, banyak yang menang. Alhamdulillah. Pertandingan melukis oleh saya yang tak pernah nak tahu melukis ni pun boleh dapat naib johan. Saya bukan hendak membangga diri, saya cuma hendak gambarkan bahawa tidak mustahil untuk mendapat apa yang kita inginkan. Tapi sudah pastilah, usaha dan doa juga penting untuk mengecapinya.


Satu tips saya untuk LOA, kalau kita benar-benar inginkan sesuatu, jangan pernah ada sekali pun keraguan ataupun was-was terhadap perkara itu. Kita perlu yakin bahawa apa yang kita inginkan itu akan dimakbulkan oleh Allah SWT. Sebab jika ada sedikit pun keraguan, hasrat kita mungkin tidak akan tercapai. Serius. Rasa risau yang tiba-tiba muncul akan menyebabkan kerisauan itu benar-benar terjadi. Keraguan pula akan menyebabkan apa yang kita inginkan, tidak wujud. LOA ni secara ringkasnya, adalah salah satu daripada rahmat Allah untuk sekalian manusia tanpa mengira agama, bangsa dan sebagainya. Sebab itulah LOA merupakan satu teori worldwide, yang dikaji oleh semua orang terutamanya pengkaji Barat. Sedangkan orang Barat pun percaya dengan LOA, kita yang dikurniakan dengan Islam ini pun perlulah memanfaatkannya dengan sebaiknya.

Saya ingin berkongsi satu lagi pengalaman yang saya dapat daripada sebuah program motivasi berunsur islamik yang saya pergi baru-baru ini. Penceramah tersebut menceritakan bahawa molekul air dalam badan kita akan bertindak balas dengan perkataan yang positif. Anda boleh mencuba eksperimen ini dengan rakan anda. Mula-mula, depakan tangan kanan atau kiri anda. Suruh rakan anda untuk meletakkan salah satu telapak tangannya di atas pergelangan tangan anda. Kemudian, anda sebutkan satu perkataan yang positif, contohnya “Allahu Akbar”. Suruh rakan anda menolak tangan anda ke bawah dan anda perlu berusaha resist (melawan) tolakan itu. Hasilnya, tangan anda dapat melawan tolakan ke atas.

Untuk menguji kebenaran lagi, sebutkan pula satu perkataan negatif contohnya “Benci”. Lakukan perbuatan yang sama. Dan hasilnya agak mengejutkan. Tangan anda tidak mampu untuk melawan tolakan itu dan akan terjatuh ke bawah. Cubalah.

Situasi ini membuktikan bahawa tubuh badan kita akan bertindak balas dengan perkara yang positif. Saya percaya, begitu juga keadaannya dengan alam semesta. Alam semesta akan bertindak balas dengan perkataan dan pemikiran yang positif. Dan sudah tentulah, siapa yang menciptakan molekul air dalam badan? Siapa juga yang menciptakan alam semesta ini? Tidak lain tidak bukan, Sang Pencipta kita Allah SWT.
Tapi, jangan pula kita menggunakan LOA untuk mengharapkan musibah kepada orang lain ya. Because at the end of the day, alam semesta ini akan memantulkannya kembali kepada kita. Seorang ulama terkenal pada zaman Khalifah Harun Ar Rasyid pernah menyebut, “Ketika Anda mengucapkan sesuatu agar keburukan menimpa orang lain, maka umpatan Anda akan naik ke langit—sedangkan pintu-pintu langit itu menolaknya, sehingga umpatan itu kembali ke bumi, mencari ke sana-kemari, dan menuju orang yang Anda umpat bila ia layak menerimanya. Namun bila orang itu tidak layak menerimanya, umpatan itu akan kembali kepada Anda” (Rujukan: http://theopage.net/2009/07/27/umar-bin-khattab-dan-law-of-attraction-dalam-islam/)
Jadi berbalik kepada soalan utama, adakah Law of Attraction itu bercanggah dengan Islam? Saya tidak rasa begitu. I believe that if you really put your mind onto something, you’ll get excellent results. Maka sebab itulah slogan blog saya, Terus Percaya.



p/s: Kepada pemenang Bandung Souvenirs Giveaway yang masih belum menerima hadiah, saya memohon ribuan kemaafan kerana surat telah dikembalikan semula kepada alamat saya. Nanti saya akan poskan semula. Maaf atas kelewatan.

Wednesday 5 July 2017

Software Video Editor yang Saya Gunakan


Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamualaikum.

Ramai yang sedia maklum, atau jika yang masih belum maklum, saya gemar edit video pada masa lapang. Video-video saya kebanyakannya akan saya muat naik di laman YouTube untuk perkongsian. Dan kalau saya rasa video itu tak menarik saya akan simpan sahaja. Antara video yang saya hasilkan adalah vlog, filem pendek, dan kebelakangan ini saya sedang cuba untuk menghasilkan video montaj bagi apa-apa program atau acara. Masih banyak lagi kelemahan yang perlu saya baiki untuk video-video saya.

Hendak berkongsi sedikit tentang video ni, edit video hanyalah hobi pada masa lapang saya. Bagaimana saya belajar editing, saya sendiri pun tak ingat. Tapi saya boleh katakan kalau kita tahu basic editing, insyaAllah lama-lama kerja editing akan menjadi senang sahaja. Ada banyak tutorial yang boleh kita tonton di YouTube sebagai garis panduan untuk pemula. Ramai kawan yang selalu minta saya tunjuk ajar untuk edit video, tapi ironinya tak pernah ada seorang pun yang betul-betul datang membawa laptop dan meminta saya mengajar. Haha. Saya tidaklah mengatakan saya seorang yang mahir dalam editing, sebabnya saya pun tidak begitu rajin untuk belajar tahap yang lebih tinggi seperti After Effects dan sebagainya. Saya pernah download After Effects tetapi macam susah sangat, jadi tak digunakan sampai sekarang.

Untuk mereka yang baru hendak berjinak-jinak dalam edit video, saya sarankan mula biasakan diri dengan Movie Maker terlebih dahulu. Sebenarnya kebanyakan software yang pernah saya gunakan selama ini hampir sama, cuma tidaklah serupa dari segi effects atau template yang ada. Cara untuk menggunakan Movie Maker pun insyaAllah boleh didapati di YouTube. Bagi saya, saya sudah terbiasa menggunakan Corel Video Studio Pro. Corel ni ada banyak version dan latest version rasanya X10. Saya masih lagi menggunakan X7 sebab laptop saya tak cukup kapasitinya untuk X8 ke atas.


Antara software editor yang anda boleh gunakan juga seperti Sony Vegas, Power Director atau Cyberlink. Terpulanglah, selesa yang mana satu. Saya juga ada terfikir untuk download Sony Vegas selepas saya upgrade laptop nanti. Kalau hendak dapat gambaran basic Corel, bolehlah lawat laman YouTube saya, Nims Productions. Video-video di situ hanyalah basic sahaja. Kalau anda belajar lebih mendalam, saya pasti anda akan dapat menghasilkan impak yang jauh lebih kreatif.

Apa pun, elemen yang paling penting dalam penghasilan video adalah kreativiti itu sendiri. Saya ni kadang kreatif, kadang blank. Nak dapatkan kreativiti kena rajin cari ilham daripada persekitaran atau video-video yang lain. Salah satu video saya yang menggabungkan unsur kreativiti (angkat bakul sendiri) bagi saya adalah video montaj yang saya hasilkan sewaktu majlis persaraan cikgu sekolah, Cikgu Sidi. Dalam montaj tersebut, saya menggabungkan tema pengacaraan, video biodata, sajak yang saya karang sendiri dan unsur ala-ala klip video yang diinspirasikan daripada video A. Samad Said dalam salah satu sajak beliau. Boleh baca selanjutnya di SINI.

Antara elemen lain yang perlu dititikberatkan juga seperti font tulisan yang digunakan, sound dan lagu background. Kalau dulu, saya tak peduli sangat tentang font tulisan. Main masuk sahaja kecil atau besar. Lama-lama saya sedar penggunaan font adalah penting dalam penghasilan video yang menarik. Jangan pilih font yang terlalu sukar untuk dibaca dan kita perlu sesuaikan saiz teks mengikut video. Sound juga penting kalau nak hidupkan lagi sesebuah situasi. Kalau contoh saya nak buat babak imbas kembali dalam video saya, saya perlu masukkan sound flashback. Barulah penonton tahu benda tu imbas kembali. Lagu yang sesuai pun penting juga. Iya lah, takkan babak atau situasi sedih kita masukkan lagu gembira pula?

Berbalik kepada topik asal, kenapa saya selesa menggunakan software Corel Video Studio Pro? Sebabnya, software itu mudah difahami dan digunakan. Pelbagai template dan sound menarik juga disediakan. Effects yang ada pun boleh tahan bagus. Berbeza dengan Movie Maker, kita boleh masukkan gambar atau video dalam video yang lain, ataupun lagu dalam lagu yang lain (bertindan). Tapi selain daripada faktor-faktor software, faktor kamera juga penting untuk hasilkan video yang berkualiti. Kebanyakan video saya kualitinya masih belum memuaskan kerana saya tidak ada DSLR. Sememangnya DSLRlah yang boleh hasilkan video atau filem pendek yang berkualiti tinggi.

Saya banyak bertukar-tukar kamera dari darjah enam lagi. Terkini, yang saya gunakan untuk merakam filem pendek adalah Samsung Galaxy Camera EK-GC100. Saya juga menggunakan Action Camera yang kecil, ringan dan mudah digunakan di mana-mana sahaja. Samsung Galaxy tu saya beli dari tingkatan empat kalau tak silap dan sudah hampir 6 tahun. Kameranya sangat berkualiti dan saya sukakannya. Saya tak pasti masih ada atau tidak dalam pasaran sebab tak ramai orang yang menggunakannya. Dan jarang juga nak jumpa di kedai. Saya bercadang untuk beli DSLR, tapi tak tahulah bila nak beli tu. Mungkin kalau saya mula serius dalam pembikinan video, saya akan cuba dapatkannya.

Apa yang saya cuba nak sampaikan, tak susah pun nak edit video ni sebenarnya. Saya harap ramai generasi muda dapat menggunakan medium video sebagai penyebaran mesej yang membawa manfaat kepada semua, bukannya sekadar video omong kosong. Selamat mencuba.

p/s: Kepada pemenang Bandung Souvenirs Giveaway yang masih belum menerima hadiah, saya memohon ribuan kemaafan kerana surat telah dikembalikan semula kepada alamat saya. Nanti saya akan poskan semula. Maaf atas kelewatan.