Friday 26 August 2016

Pro dan Kontra Menjadi Cikgu Tuisyen


Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamualaikum.

Secara rasminya, semalam merupakan kelas terakhir saya mengajar di Kg Tok Betok. Tak sangka sudah lapan bulan saya bekerja sebagai seorang cikgu kelas tuisyen. Saya mengajar subjek English, Matematik dan Sains untuk pelajar UPSR dan SPM. Anak murid saya tidaklah ramai, semua sekali ada tujuh orang sahaja. Empat pelajar UPSR dan tiga pelajar SPM.

Saya ingin berterus-terang. Saya memang tak suka menjadi cikgu. Bahkan, menjadi seorang cikgu tidak ada dalam opsyen karier saya. Sama sekali tidak saya memperlekehkan karier cikgu. Cuma setiap orang ada minat dan pilihan sendiri, dan minat saya tidak menjerumus ke arah pendidikan. Saya tak ada minat dan kesungguhan yang tinggi untuk menjadi seorang tenaga pengajar. Jadi, macam mana saya boleh menjadi seorang cikgu tuisyen?

Ceritanya begini. Dalam mesyuarat JKK Kampung kami, ada dicadangkan untuk membuka kelas tuisyen kepada pelajar-pelajar yang tinggal di kampung ini. Kebetulan ibu saya merupakan salah seorang JKKK. Ibu sayalah yang mencadangkan saya untuk menjadi cikgu tuisyen kerana kebetulan masa cuti saya panjang. Jadi mahu tidak mahu, saya pun menerima tawaran tersebut.

Pada awal permulaan kelas bulan Januari, hanya ada 3 orang perempuan sahaja yang mendaftar. Murid UPSR. Lama-kelamaan, beberapa murid yang lain turut serta termasuklah pelajar SPM menjadikan tujuh orang kesemuanya. Kelas diadakan pada malam Selasa hingga Khamis. Waktu siang saya bekerja sambilan di kedai buku SK Sungai Ular.


Susahnya Jadi Cikgu


 Saya tak tipu. Ada banyak perkara yang saya keluhkan sepanjang bergelar ‘Teacher’ oleh anak-anak murid saya. Setiap kali hendak mengadakan kelas, sudah semestinya saya perlu ulangkaji semula subjek-subjek yang hendak diajar terlebih dahulu. Mungkin hal ini tidak mendatangkan masalah bagi sesetengah orang. Tapi saya memang sudah lupa kebanyakan pembelajaran untuk format UPSR dan SPM. Maka, saya wajib mengulangkaji dulu sebelum mengajar anak-anak murid saya. Dan kadang, banyak juga topik yang saya keliru dan lupa. Terutamanya untuk Sains SPM. Sebabnya saya tidak mengambil subjek Sains untuk SPM tetapi subjek Physics, Chemistry dan Biology. Memanglah hampir serupa, tapi pembelajarannya tidak sama. Atas ihsan sahabat, saya berjaya mendapatkan buku-buku teks berkaitan untuk bantuan pengajaran saya. Alhamdulillah, buku-buku teks sedikit sebanyak dapat membantu.

Masalah seterusnya, adalah cara untuk memahamkan anak murid yang lambat faham. Dalam setiap kelas, akan ada murid yang pantas, sederhana dan lemah. Sama juga dengan kelas saya. Ada juga anak murid yang perlu diajar secara teliti dan perlahan. Kita tak boleh expect anak murid untuk terus faham apa yang diajar, kerana tahap IQ individu adalah berbeza. Begitu juga tahap kerajinan individu.

Bila dah jadi cikgu ni (walaupun tak bertauliah), barulah saya faham betapa susahnya cikgu-cikgu hendak mengajar dan memahamkan saya dulu. Terutamanya untuk subjek Chemistry yang memang saya lemah. Terima kasih cikgu, sebab sudi bersabar dengan saya dulu. Tapi itulah, dengan masa kelas yang terhad, menjadikan saya sukar untuk fokus terhadap seorang anak murid sahaja. Saya perlu bersikap adil terhadap semua. Jadi di situlah banyak kekangan yang timbul. Dari segi pembahagian masa.




Seterusnya, masalah akan timbul apabila anda mendapat anak murid yang nakal dan agak malas untuk belajar. Maafkan saya jika ada anak murid yang membaca entry ini. Kalau ada. Eheh. Tapi saya tak adalah hendak memperkecilkan anak-anak murid saya, sama sekali tidak. Saya pun pernah muda. Cewah. Macam dah tua sangat. Malas itu mungkin perkara biasa, tetapi anak-anak murid saya nakalnya luar biasa. Pantang ada peluang, mulalah hendak bermain. Saya pun tak tahu apa yang seronok sangat. Main penyapu, pisau, pistol air, gasing, telefon bimbit, kayu, kerusi, ping pong, macam-macam lagilah kalau hendak saya senaraikan. Sebabnya kami belajar di dewan kampung, jadi ada banyak kemudahan disediakan di dalam dewan tersebut. Dan barang-barang itulah yang mereka suka main.

Itu baru masalah anak murid malas. Belum masalah cikgunya yang malas. Disebabkan saya bekerja siang, tipulah kalau saya kata tak penat bila hendak mengadakan kelas malam. Apabila sudah penat, maka perasaan malas itu secara automatik juga akan muncul. Jadi di situlah diri kita sendiri perlu bertindak untuk mempositifkan diri. Sebab tak seronoklah kalau ke kelas tuisyen sambil membawa aura negatif dan penat. Semuanya bergantung pada minda kita. Kalau kita boleh beri semangat pada diri, positifkan diri sendiri, insyaAllah aura positif itu akan dapat sampai kepada anak-anak murid. We are the boss of our minds.


Hikmah Seorang Pendidik


Menjadi seorang ‘Teacher’ selama hampir lapan bulan, banyak membuka minda saya kepada sesuatu yang baru. Banyak mengajar saya erti berpenat-lelah. Erti kesabaran. Bertolak-ansur. Dan juga memahami jiwa anak-anak muda zaman sekarang. Percayalah, kanak-kanak zaman sekarang sudah jauh berbeza dengan generasi yang lahir pada tahun 90-an. Serius. Dalam sifat keanak-anakan mereka, ada juga matangnya. Banyak kali juga anak-anak murid saya berjaya membuatkan saya berfikir sejenak.

Salah satu yang saya menyebabkan saya menganggap mereka matang adalah apabila bercakap tentang fesyen. Citarasa fesyen mereka jauh mengalahkan saya yang sudah berumur 20-an ini. Sebutlah sahaja jenis-jenis tudung, semua mereka boleh labelkan. Saya sendiri pun kadang tak tahu jenis tudung yang saya pakai. Yang saya tahu hanyalah tudung bawal dan shawl. Mereka pula boleh nyatakan jenis shawl secara terperinci. Okey. Yang itu membuatkan saya kagum seketika. Atau mungkin memang saya yang tidak peka tentang jenis-jenis tudung ni?

Satu kepuasan juga apabila mereka faham apa yang saya ajarkan. Dan bila mereka mempraktikkan ilmu tersebut. Rasa bahawa apa yang saya ajar selama ini tidak sia-sia, dan rasa lega kerana mereka faham. Ketahuilah, apabila kita sampaikan sedikit ilmu kepada orang lain, maka akan lagi banyak ilmu kita yang bertambah. Hanya ilmu pengetahuan sahajalah satu-satunya perkara yang tidak akan berkurang apabila diberikan kepada orang lain. Dalam masa yang sama, seorang pendidik pun akan mendapat pahala kerana berkongsi ilmu dengan orang lain.

Anak-anak murid saya pun, dalam nakal-nakal mereka, ada lucu dan comelnya juga. Jadi bila nak marah dan nampak mereka tersengih comel, terus tak jadi nak marah. Yalah, sebab mereka masih lagi kanak-kanak. Kalau orang dewasa mungkin dah lama kena marah.

Jadi cikgu ni juga, banyak mengingatkan saya kepada kenangan lama saya. Asal-usul saya. Banyak membuatkan saya lebih menghargai mereka yang pernah mengajar saya dulu. Don’t just take your teachers for granted. Banyak yang mereka perlu lalui untuk mendidik anda, terutamanya jika anda seorang yang nakal atau malas belajar dulu. Dan janganlah sakitkan hati seorang guru kerana saya percaya, keberkatan ilmu yang kita pelajari banyak terletak pada hubungan antara kita dan cikgu. Baik kita dengan seseorang cikgu itu, insyaAllah akan lebih mudah urusan kita dalam belajar. Buruk hubungan kita dengan cikgu, maka hati pun jadi tak tenang, ilmu pun susah nak masuk.


Buat Muridku


Saya tahu mungkin tak ada anak murid saya yang membaca entry ini. Cuma saya hendak berkogsi cebisan harapan saya buat mereka.


Belajarlah dengan rajin, dan tuntutlah ilmu selagi hidup.


Gembirakan hati ibu bapa, jangan sulitkan hari mereka.


Gembirakan hati cikgu-cikgumu dan Teacher dengan kejayaanmu.


Jangan nakal-nakal.


Jadi manusia yang berguna.


Dapat keputusan nanti, jangan lupa WhatsApp Teacher.

Cipta Formula Aromaterapi Sendiri


Bismillahirrahmanirrahmanirrahim.

Assalamualaikum.

Baru-baru ini, saya telah mengikuti Kursus Pengurusan Spa & Aromaterapi Wellness yang dianjurkan oleh Pejabat MARA Daerah Kulim sebagai peserta merangkap pembantu teknikal. Kursus yang berlangsung dari 23 hingga 25 Ogos 2016 ni dikendalikan oleh tenaga pakar dari N’sAsia Professional Learning Academy.




N’sAsia Professional Learning Academy ni adalah sebuah syarikat tenaga pengajar yang banyak menganjurkan kursus-kursus kemahiran atas permintaan. Kursus-kursus macam ni memanglah banyak, tapi tak semuanya dikendalikan oleh pengajar yang bertauliah. Saya sarankan kalau anda nak pergi kursus, kalau boleh pergilah ke kursus yang telah diiktiraf tenaga pengajarnya. Terutamanya kalau kursus yang berkaitan dengan penghasilan aromaterapi seperti ini, sebab penggunaan aromaterapi melibatkan bahan-bahan tertentu. Kita perlu tahu bahan mana yang sesuai untuk digunakan dan mana yang tidak.




Sepanjang saya menghadiri kursus ini, saya telah didedahkan dengan cara-cara untuk menghasilkan minyak aromaterapi sendiri. Mungkin ramai yang masih keliru dengan fungsi aromaterapi. Nama pun aromaterapi. Aroma untuk terapi. Aromaterapi ni banyak kegunaannya. Untuk menyegarkan, mengurangkan stress, mengurangkan sakit-sakit sendi dan sebagainya. Boleh digunakan sebagai minyak urut atau seperti minyak wangi-wangian. Kandungan utamanya adalah daripada tumbuh-tumbuhan seperti Lavender, Lemon Grass, Ylang Ylang, Tea Tree, Eucalyptus dan banyak lagi yang saya hafal namanya. Cuma kalau saya senaraikan di sini takut terbelit-belit lidah anda untuk menyebutnya. Kafir Lime pun ada. Aromaterapi ni khabarnya dah wujud sejak 6000 tahun yang lalu dan ada dalam banyak jenis. Garam aromaterapi, sabun aromaterapi dan banyak lagi yang bersesuaian.

Tenaga pengajar (Coach) telah menyiapkan formula untuk peserta hasilkan aromaterapi. Formula ni pun saya tak boleh kongsikan di sini. Kena berunding dengan tenaga pakar sendiri. Maknanya, adalah formula yang perlu digunakan untuk jenis aromaterapi yang tertentu. Apa yang Coach tidak perasan adalah saya mencampurkan aromaterapi daripada pelbagai jenis bahan sesuka hati. Eheh. At the end of the day, minyak itu akan digunakan oleh kita sendiri juga.




Hari kedua dan ketiga, peserta banyak didedahkan dengan cara mengurut pelanggan yang betul menggunakan minyak aromaterapi yang telah dihasilkan. Kursus ini sangatlah sesuai bagi mereka yang berminat untuk membuka spa atau mengurut. Atau untuk sesiapa yang ingin menambahkan ilmu di dada.

Syarikat N’sAsia Professional Learning Academy ni sebenarnya ada menghasilkan produk dan minyak aromaterapi mereka sendiri juga di bawah N’sAsia Bio Product. Antara produk lain seperti kolagen serta lulur tangan dan badan.




Kepada sesiapa yang berminat untuk mengetahui tentang N’sAsia Professional Learning Academy dan kursus-kursus yang dianjurkan di sekitar Kulim, boleh dapatkan maklumat lanjut daripada laman FB N’s Asia Product atau nsasia.blogspot.my

Wednesday 17 August 2016

Saya Hampir Menangis


Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamualaikum.

Petang tadi saya menemani rakan saya, Syafikah ke pejabat zakat. Sementara menunggu dia menyelesaikan urusannya, saya perhatikan mereka yang berada di situ. Seorang budak yang tangannya berbalut. Tak tahu kenapa. Dan seorang pak cik yang berumur dalam lingkungan 50-an, beruban yang hampir menutupi rambut hitamnya. Dia menuju ke kaunter zakat. Jalannya terketar-ketar. Memandangkan tidak ramai orang di pusat zakat itu, saya hampir dapat mendengar seluruh perbualannya dengan petugas kaunter yang dipanggilnya ustaz.

Dia ingin memohon zakat. Petugas yang dipanggilnya ustaz itu pun menyoalnya beberapa soalan. Saya tahu, mungkin itu satu prosedur yang perlu dilakukannya. Dan pertanyaan ustaz itu pun tak adalah salah pada pandangan saya, cuma saya rasa mungkin dia perlu lebih mengatur intonasi percakapannya supaya menjaga hati mereka yang ingin meminta bantuan zakat di situ.

“Pak cik dah tak kerja? Umur pak cik berapa?”

“Tak kerja dah. 56 tahun.”

“Kenapa pak cik dah tak kerja?”

“Masalah kesihatan. Badan pak cik pun dah tak kuat. Sakit-sakit.”

“56 tahun tu kuat lagi. Boleh lagi kerja ni. Kuat lagi.”

“Itulah. Pak cik dah tak larat. Pak cik tak minta banyak pun. Pak cik cuma nak minta ni untuk sara hidup pak cik.”

“Okey lah. Bagi IC pak cik.”

Pak cik itu pun mengeluarkan kad pengenalannya untuk diserahkan kepada ustaz. Ustaz bangun dan menyelesaikan urusan di belakang. Ketika itu, saya melihat pak cik itu mengesat kedua-dua belah matanya, menahan tangisan daripada terus mengalir.


Google


Saya tak bolehlah tengok situasi pak cik itu. Hampir menangis saya dibuatnya, tapi terpaksa ditahan kerana ada orang di sekeliling. Saya tak rasa yang pak cik itu menipu. Saya tahu, dalam urusan kerja terutamanya pemberian zakat ni kita kena tengok dulu dan pastikan pemohon tidak menipu untuk mendapatkan zakat. Zakat ni cuma untuk yang benar-benar berkeperluan. Kadang ada juga yang masih kuat bekerja, cuma malas. Tapi dalam situasi ini, saya tak rasa pak cik itu menipu. Jika dia menipu, dia tak akan menangis begitu.

Saya cuba bayangkan jika saya berada di posisinya. Kudrat sudah tak kuat. Tak larat lagi nak bekerja. Dan barangkali, tak ada keluarga yang sudi membantu? Atau keadaan keluarga yang benar-benar dhaif. Terpaksa pergi ke pusat zakat sendirian, semata-mata untuk memohon agar diberikan sedikit bantuan kewangan. Dengan bantuan yang ada pun, tak tentu lagi dapat menampung perbelanjaan hidup seharian. Saya tak boleh melihat situasi ini. Rasa sebak.

Doa saya, moga-moga pak cik itu dimurahkan rezeki oleh Allah. Moga segala urusannya dipermudahkan Allah. Moga diberikan kesihatan kudrat dan terus kuat. Terus kuatkan kaki melangkah dalam dunia yang penuh rintangan ini. Semoga terus kuat.


***


Selesai urusan di pejabat, saya dan Syafikah terfikir untuk singgah di kedai untuk membeli beberapa barang keperluan. Syafikah mencadangkan kami mencarinya di kedai RM2 kerana boleh didapati dengan harga murah. Masalahnya, saya tak ingat pun ada kedai dua ringgit di kawasan Kulim ini. Demi kedai dua ringgit itu, Syafikah pun sanggup memandu meredah jalan untuk mencarinya.

Tapi sampai di satu perhentian lampu isyarat, entah macam mana, enjin kereta Perodua Kancil miliknya itu termati. Termati begitu sahaja. Lampu isyarat merah. Syafikah mulai panik dan cuba menghidupkan enjinnya berkali-kali. Pagi itu dia sudah pun menceritakan tentang masalah Kancil itu. Ada masalah pada wayar starter katanya. Saya pun cuba berkali-kali menghidupkan enjinnya. Gagal. Lampu kecemasan dibuka. Lampu isyarat sudah bertukar hijau. Kedengaran juga beberapa bunyi hon daripada para pemandu di Kulim ini, walaupun lampu kecemasan sudah dinyalakan. Keadaan tetap sama untuk beberapa lamanya. Saya tak tahu kenapa, tapi saya lebih banyak ketawa dalam situasi genting itu.


Syafikah menghubungi ibunya untuk mendapatkan mekanik keretanya. Sementara menunggu mekanik, kami pun tak tahu nak berbuat apa. Lampu isyarat sudah tiga empat kali bertukar. Hendak keluar, kami berada di lampu isyarat. Terpaksalah tahan mendengar bunyi hon daripada rakyat Malaysia yang sibuk hendak menguruskan urusan dunia masing-masing.

Tiba-tiba, ada pak cik pemandu lori sampah lalu di sebelah kami, tanya masalah kereta. Saya memberitahunya kereta tak boleh start. Dan pak cik itu pun terus melintasi hadapan kami. Sangka saya dia sudah pergi. Tapi dalam beberapa minit kemudian, dia dan rakannya berjalan ke arah kami untuk membantu. Ya, saya sangat terharu.

Fitrah manusia, apabila berada dalam kesusahan, akan terbitnya perasaan ingin dibantu. Fitrah manusia. Sudah tentulah saya berharap ada yang akan memberhentikan kereta dan sebagainya untuk membantu. Dan dalam keramaian pemandu di jalan itu, pemandu lori sampah yang berhenti mendapatkan kami. Tapi jauh di sudut hati saya, saya sudah dapat mengagak perkara sebegini yang akan terjadi. Sebab tukang sapu sampah, tukang kebun, pengawal keselamatan atau pemandu lori sampah sebeginilah yang selalunya ada keprihatinan lebih tinggi terhadap masyarakat. Anda sendiri boleh mengakuinya.

Mereka membantu menolak kereta Syafikah ke tepi jalan. Periksa bonet hadapan. Tapi tak jumpa penyelesaian. Saya beritahu mereka bahawa kami sudah mendapatkan mekanik. Dan kedua-dua pekerja Indah Environment itu berlalu pergi. Ya, sengaja saya promosikan syarikat mereka. Kalian perlu tahu, syarikat Indah Environment mempunyai pekerja yang berhati baik.

Berdekatan kereta kami terdapat sebuah bengkel motosikal. Tapi hanya untuk motosikal. Seorang pak cik berbangsa India, mungkin pemilik bengkel itu turut prihatin dengan keadaan kami. Mana tidak, dah parking depan bengkel dia. Tapi pak cik itu pun tak dapat membantu. Nak tak nak, kami pun menunggu sehingga mekanik sampai. Dua orang mekanik India itu pun baik hati. Siap bawakan air Fanta oren untuk kami yang menunggu selama hampir satu jam setengah untuk membaiki kereta. Terima kasih. Dipendekkan cerita, alhamdulillah, kereta Syafikah berjaya dibaiki.




Saya cuma hendak cerita, bahawa jangan percaya apa yang anda lihat di kaca televisyen. Dalam drama Melayu. Apabila ada orang yang keretanya rosak di tepi jalan, akan ada lelaki kacak yang membantu. Jangan percaya. Itu semua hanya drama. Realitinya, apa yang saya lalui hari ini, hanya mereka yang benar-benar prihatin seperti pak cik pemandu lori sampah itu dan pak cik pemilik bengkel motosikal yang akan membantu. Hidup ini, tak semudah apa yang kita lihat di kaca televisyen.

Setelah selesai semua urusan, saya dan Syafikah terus pulang ke rumah. Tak berkesampaian hajat kami untuk ke kedai dua ringgit hari ini.

Sunday 14 August 2016

14 Ogos 2016



Bismillahirrahmanirrahim.


Cuma hendak post satu gambar. Satu sahaja. Tanpa cerita.


Kata orang, satu gambar pun dah memaparkan seribu cerita.





Saturday 13 August 2016

Saya Perlu Menjadi Lebih Kreatif!


Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamualaikum.

Sekadar coretan di malam hari.

Saya sudah secara rasminya berhenti kerja di kedai buku SK Sungai Ular. Tapi kelas malam saya masih lagi berjalan macam biasa. Hari terakhir bekerja, murid-murid lelaki darjah 5 yang selalu datang melepak temankan saya hingga ke petang. Kami main crossword puzzle daripada buku X-Plorasi Surah-surah Al-Quran terbitan Telaga Biru. Dapat percuma daripada Al-Quran Wakaf Ibtida yang saya ceritakan dalam entry sebelum ini.

Sambil bermain, kami berbual-bual.

“Akak, boleh tak akak bagi barang percuma dari kedai buku ni?”

“Mana boleh. Bukan barang akak.”

“Alah, akak ni kedekut la.”

“Dah bukan barang akak. Kalau barang akak, dah lama akak bagi.”

“Eleh, semua orang cakap benda yang sama. Kalau barang sendiri dia nak bagi. Tapi tak bagi pun.”

“Betul lah akak bagi.”

“Tipu.”

Saya pun teringat beberapa novel tulisan saya yang saya tinggalkan dalam almari di situ. Ada dalam lima enam buah. Saya bergerak secara spontan, terus mencapai novel-novel itu dan berikan kepada tiga orang murid itu. Mereka terus berubah ceria dan teruja. Murid yang berdialog dengan saya tadi serta-merta terus memulakan pembacaannya. Sehinggakan apabila saya berbual dengan rakannya, dia menyuruh kami senyap. Saya pun menghalaunya ke penjuru kedai itu, menyuruhnya membaca di situ. Seorang lagi rakannya menyusul. Dan perasaan saya memerhatikan orang membaca penulisan saya, tidak mampu digambarkan dengan kata-kata.


***


Chat WhatsApp masuk.

“Takpa.

Agak kalau tak dak rezeki takpa lah.

Kerja ja lah.”

Maafkan saya kerana tak dapat membantu. Maafkan saya.


***


Saya dan Syafikah sama-sama merenung buku manual kursus Pengurusan USM. Kami sama-sama mengerut dahi. Meneliti satu per satu butiran yang ada. Tertanya juga, adakah pilihan saya tepat? Tapi saya yakin, jalan ini Allah bukakan kepada saya kerana ada hikmahnya. Kata orang, kursus Pengurusan adalah kursus yang mencabar. Tapi bukankah semua kursus itu ada cabarannya yang tersendiri?

Kursus ini dibahagikan kepada enam pilihan major. Tapi pemilihan major hanya boleh dilakukan secara atas talian setelah keputusan peperiksaan semester satu diumumkan nanti. Kiranya, semester kedua baru kami boleh memilih major. Aktiviti kokurikulum di USM kelihatan seperti banyak yang menarik. Tapi saya masih belum memahami sistemnya.

Ada lagi satu perkara yang saya tak faham. Ramai PPSL dan senior-senior yang aktif menjaga kebajikan mahasiswa yang baru nak masuk seperti kami. Siap sertakan nombor telefon, buka group WhatsApp, Facebook dan sebagainya. Sanggup memberi respon kepada soalan remeh-temeh yang dianggap penting kepada yang belum mengetahui. Dan tak kurang juga yang mempromosikan diri masing-masing. Saya tak faham, macam mana ada orang yang begitu besar komitmen seperti mereka? Kalau saya, rasanya saya tak akan mampu meluangkan masa seperti mereka untuk membantu junior. Macam mana mereka mempunyai terlalu banyak energy dan semangat sedemikian? Kalau saya diberi peluang menjadi PPSL atau bekerja di belakang tabir, saya akan memilih di belakang tabir. Saya tak punya energy seperti mereka.

Berbalik kepada cerita. Sedang saya dan Syafikah menyelesaikan urusan kemasukan Syafikah, dapat panggilan daripada dia. Rasa bersalah kerana saya sedang membantu rakan menyelesaikan urusan kemasukan ke universiti, sedangkan dia masih kental berjuang. Saya tak mampu berbuat apa-apa.

Jari saya menekan tetikus, membuka halaman pendaftaran kad matrik. Nampaknya disebabkan kami baru mencetak surat tawaran Syafikah, maklumatnya masih belum masuk ke dalam sistem. Chat WhatsApp masuk. Asmaniza bertanya tentang saiz gambar yang tidak lepas untuk dimuat naik. Saya pun tak tahu macam mana nak selesaikannya. Tak lama kemudian dia hantar chat sekali lagi. Menghantar gambarnya yang sudah lepas masuk ke dalam sistem. Alhamdulillah. Comel je.

Ternyata banyak juga masalah masing-masing nak selesaikan urusan kemasukan ke universiti ni. Sejurus sahaja saya putuskan memilih USM, saya awal-awal sudah pun mencetak dokumen-dokumen yang diminta. Alhamdulillah. Cuma tinggal beberapa perkara lagi untuk diselesaikan. Point is, saya berharap calon mahasiswa yang sedang membaca coretan picisan ini, supaya banyakkan bawa bertenang. Tak perlu serabutkan kepala. Kepala serabut, semua kerja tak berjalan. Jadi bertenang, ya? Insya Allah kalau nak saya bantu, beritahu sahaja saya akan cuba apa yang termampu. Ya lah, kerana saya sudah berhenti kerja dan banyak masa terluang. Eheh. Senyum dan terus percaya.


***


Saya baru teringat, bahawa saya sebenarnya terlupa, membuatkan design untuk ibu saudara saya. Design sambal. Baru hendak cuba-cuba berbusiness. Saja, hendak kongsikan apa hasil tangan saya. Sangat plain. Simple. Begitulah saya. Eheh.










Design masih belum finalized lagi. Macam manalah mereka yang belajar design dapatkan idea agaknya. Dari mana kreativiti tu boleh muncul? Kalau kreativiti itu boleh diciplak, izinkan saya untuk menciplaknya. Izinkan saya.

Monday 8 August 2016

Tawaran Sambung Belajar ke IPTA dan United Kingdom


Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamualaikum.

Hari ini WhatsApp begitu rancak disebabkan keputusan UPU untuk program Ijazah Sarjana Muda sudah mula dihebahkan kepada orang ramai. Alhamdulillah, saya juga merupakan salah satu insan yang terpilih untuk menerima tawaran kemasukan ke universiti awam. Hendak berkongsi keputusan di group WhatsApp pun rasa serba salah sebenarnya kerana ada dalam kalangan ahli group yang tidak mendapat sebarang tawaran ke mana-mana universiti. Tapi mereka masih lagi berpeluang untuk membuat rayuan dan saya yakin Allah dah tetapkan rezeki masing-masing.

Kadang, rezeki mereka yang tak diterima hari ini mungkin akan jadi lebih berjaya daripada mereka yang berjaya mendapat tawaran universiti. Hanya Allah yang Maha Mengetahui. Hendak berkongsi di Twitter pun nanti mungkin akan ada yang menganggap sebagai riak padahal kita cuma mahu berkongsi. Jadi saya fikir lebih baik saya kongsikan di blog sahaja, di mana pembacanya adalah mereka yang benar-benar mahu membaca cerita saya.

1. University of Central Lancashire, United Kingdom

Baiklah. Saya berpatah balik kepada cerita beberapa bulan yang lepas. Disebabkan keputusan STPM saya yang bolehlah dikatakan agak memberansangkan, ibu saya menyuruh supaya memohon ke universiti luar negara. Jadi saya fikir kalau hendak ke negara seperti Jepun atau Korea saya akan memerlukan A-Level dahulu untuk mempelajari bahasa tersebut. Maka saya tidak memilihnya kerana itu bermakna saya perlu belajar semula daripada awal dan saya bukanlah pelajar yang layak untuk ditawarkan ke program A-Level. Saya mencuba untuk memohon ke United Kingdom kerana cuma memerlukan asas bahasa Inggeris.

Nak memohon ke United Kingdom ni kita boleh gunakan sistem UCAS yang memerlukan yuran mahal sehingga beratus-ratus ringgit. Cara kedua adalah berhubung terus melalui agen secara percuma. Jadi dipendekkan cerita, saya cuma berhubung dengan seorang agen UKUni melalui WhatsApp dan segala dokumen diserahkan melalui e-mel sahaja. Ramai yang kata untuk sambung belajar ke UK kita perlukan ujian IELTS, iaitu ujian yang lebih kurang macam MUET untuk membuktikan tahap penguasaan Bahasa Inggeris kita.

Tapi anda perlu tahu bahawa tidak semua universiti di UK memerlukan sijil tersebut. Untuk universiti yang saya pohon, cuma perlukan sijil English 1119 iaitu SPM English. Tapi sudah tentulah anda perlu mendapatkan gred A untuk melayakkan diri. Saya memohon pengajian dalam bidang psikologi dan agen saya memberitahu bahawa saya berpotensi untuk mendapat biasiswa daripada pihak universiti dengan keputusan STPM saya. Bila dengar perkataan biasiswa, sudah tentulah saya berasa teruja. Dan dipendekkan cerita, keputusan keluar sekitar penghujung bulan April yang lalu dan saya diterima masuk ke University of Central Lancashire (UCLAN).



Tapi apabila dihitung tambah tolak darab bahagi, kos pembiayaan di UK tersangatlah mahal. Berkali-kali ganda daripada kos pembiayaan universiti tempatan. Belum lagi dikira kos penginapan dan sebagainya. Jadi setelah berbincang dengan ibu bapa saya, saya putuskan untuk menolak tawaran tersebut. Ada daripada kalangan rakan-rakan yang mempersoalkan kenapa saya menolak. Anda perlu tahu yang kita hidup dalam kegawatan ekonomi. Kerajaan pun tak ada keluarkan biasiswa ke luar negara melainkan untuk kos yang meyakinkan seperti kejuruteraan. Sekian. Tutup cerita.


8 Ogos 2016


Jam di telefon bimbit sudah menunjukkan 12 tengah hari. Mesej di WhatsApp berpusu-pusu masuk. Dan saya yang sedang menjaga kaunter kedai buku, tak mampu bertindak apa-apa. Baki kredit saya cuma tinggal RM 0.72 sen dan talian saya tidak aktif. Saya baru teringat semalam saya menghabiskan kredit menelefon GoShop untuk membantu nenek saya membuat pesanan Al-Quran Wakaf Ibtida. Punyalah dia pujuk saya bersungguh-sungguh selepas terpengaruh dengan iklan GoShop di televisyen. Siap cerita secara terperinci kelebihan Wakaf Ibtida tu berulang kali.

Saya cuma boleh rehat pada jam 1, sebab jam 12 ramai murid-murid yang datang membeli barang di kedai buku SK Sungai Ular itu. Saya cuma boleh bergantung kepada Wifi sekolah yang sekejap ada sekejap tidak ada. Kawan-kawan di WhatsApp sudah mula bertanyakan keputusan UPU masing-masing. Saya nak kata gemuruh tu tak adalah sangat, cuma saya dah lama tunggu hari ini. Hampir tujuh bulan lebih saya menunggu detik ini jadi perasaan ketika itu cuma tak sabar nak tahu keputusan. Selesai menjual barang dan menghalau budak-budak nakal yang suka melepak, saya naik ke perpustakaan berjumpa Cikgu Asmah (guru yang mengajar saya Bahasa Melayu ketika darjah satu dulu) untuk menyelesaikan sedikit urusan.

“Nak balik dah ka, Na?” soalnya apabila nampak saya yang agak terburu-buru.

“Balik makan, solat. Lepas tu nak semak keputusan universiti. Hari ni keluar,” jawab saya dengan sopan. *Kononnya.

“Ouh, hari ni keputusan?” Dia tersenyum gembira. Mesti Cikgu Asmah faham perasaan saya.

Nervous ni cikgu.”

“InsyaAllah, mesti dapat tu mana-mana,” katanya sambil menepuk bahu saya lembut. Saya tersenyum. Keluar dari perpustakaan ada budak-budak sedang berdiri di koridor. Kena dendalah tu.

“Kak, tolong kami. Kami kena denda,” kata salah seorang budak perempuan di situ.

“Padan muka.” Saya menjawab ringkas sebab dah bergegas nak balik rumah. Bukannya apa, budak-budak itu memang suka bergurau dengan saya jadi saya pun berguraulah dengan mereka. Saya membiarkan Cikgu Asmah sahaja melayan kerenah budak-budak itu dan terus menuju ke mountain bike putih yang diparkir di hadapan kedai buku. Terus duduk dan pecut. Sempat melambai sambil tersenyum kepada pak cik-pak cik guard yang menunggu di pagar padahal darah gemuruh dah datang. Basikal pun dikayuh dengan kelajuan maksima.

Balik saja rumah, wifi memang langsung tidak boleh digunakan. Dalam banyak hari, hari ini jugalah dia pilih tak nak berfungsi. Nak pinjam telefon bimbit kakak, fon dia tak ada data. Nak sms tak ingat macam mana. Pinjam telefon bimbit ibu saya, tapi internet pun sangat lambat. Saya pun ambil kunci kereta Kancil, hidupkan enjen dan pecut ke kedai 7-Eleven taman perumahan sebelah untuk membeli topup. (Tak adalah pecut mana pun) Di pertengahan jalan pula, ada sebuah kereta di hadapan saya yang sangat lambat bergerak. Gara-gara kereta itu, saya tak sempat lepas lampu isyarat hijau. Kena tunggu lampu merah. Tapi saya sangat bersabar orangnya, jangan risau. Dipendekkan cerita, saya pulang ke rumah dan menyemak keputusan saya.

2. Universiti Utara Malaysia

Tak ada sebab spesifik kenapa saya memilih UUM. Mainly sebab ibu saya yang pilihkan. Ramai dalam kalangan rakan yang mendapat tawaran universiti yang sama dan mereka mengajak saya masuk UUM. Persoalannya, is this what I want?



3. Universiti Sains Malaysia

Kata mereka, universiti ini merupakan salah satu universiti terbaik di Malaysia. Dan saya juga seperti tertarik dengan USM. Cuma yuran dan tempoh pengajian yang membuatkan saya ragu-ragu untuk memilih. Doshio? (Japanese: Apa patut saya buat?)


Alhamdulillah, saya mendapat tawaran ke USM (Pengurusan) dan UUM (Pengurusan Hal Ehwal Antarabangsa). *Langsung tak ada kena mengena dengan bidang psikologi. Kedua-duanya adalah program pilihan pertama yang saya isi. Kedua-duanya adalah program yang lebih kurang sama, iaitu pengurusan. Tapi saya masih lagi belum dapat membuat keputusan untuk pilih yang mana. Saya akan fikir masak-masak dulu.


Siapa Kata Hidup Ini Mudah?


Guys, I messed up before. Saya gagal mendapatkan keputusan yang cemerlang untuk SPM. Saya bersyukur dengan keputusan saya cuma keputusan itu tidaklah mencapai standard seorang pelajar sekolah berprestasi tinggi. Saya tidak mendapat UPU selepas SPM. Kawan-kawan yang lain semuanya berjaya masuk ke universiti tempatan dan ramai juga universiti luar negara. Saya tahu apa rasanya kecewa. Apabila orang memandang rendah kepada kita. Saya tahu apa rasanya berada di posisi yang bawah. Tapi semua itu bukan alasan untuk kita mengalah. Belajar daripada kegagalan, dan terus percaya akan kejayaan.

Saya percaya, dalam satu tahap hidup ni kita perlu rasa perasaan berada di bawah sebagai persediaan berada di atas. Saya percaya ini baru permulaan untuk saya. (Ceh belum masuk lagi bolehlah sembang) Allah bukakan jalan dan permudahkan urusan ke universiti sebab Dia nak tunjukkan hikmah kepada kesilapan saya. Kalau nak cerita pasal benda-benda yang saya pernah messed up, saya rasa tak ada manfaatnya. Saya lebih suka cerita benda yang baik untuk perkongsian. Cuma saya nak kalian tahu, di sebalik kejayaan saya, ada benda yang saya struggle. Kalian cuma perlu tahu itu. Siapa kata hidup ini mudah?

Syukur Alhamdulillah. Terima kasih ibu dan ayah. Keluarga. Guru-guru. Rakan-rakan. Semua yang memberikan semangat kepada saya. Pembaca blog Nafas Baru. Terima kasih.

Tahniah kepada semua yang bergelar pejuang.

Saturday 6 August 2016

Pelukis Jalanan oleh Teme Abdullah



Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamualaikum.

Tengok tajuk entry ini pun anda pasti sudah boleh menjangka apa yang akan saya kongsikan. Ya, kali ini saya ingin berkongsi tentang naskhah Pelukis Jalanan hasil tangan seorang yang tidak begitu asing dalam dunia maya ini iaitu Teme Abdullah. Sebenarnya saya tidaklah berapa gemar berkongsi tentang buku-buku yang telah saya baca kerana takut akan menjejaskan kandungannya kepada mereka yang belum membaca. Nanti keseronakan dan keterujaan sesuatu bahan bacaan itu mungkin akan terjejas kerana bakal pembaca sudah mengetahui sebahagian besar isi kandungannya. Jadi, dalam entry ini saya akan cuba untuk tidak banyak mendedahkan kandungan Pelukis Jalanan.

Carian Google

Pelukis Jalanan merupakan sebuah buku motivasi setebal 215 halaman terbitan Iman Publication dan boleh didapati dengan harga RM25 di kedai buku. Saya pernah beberapa kali mencari buku ini di kedai buku tetapi selalu gagal menemuinya. Nampak sangat buku ini terlalu laris dan mendapat sambutan ramai. Alhamdulillah, apa pun saya akhirnya berjaya juga menemuinya di Popular Bookstore, City Plaza Mall, Alor Setar. Disebabkan saya ahli Popular jadi dapatlah sedikit diskaun. Selain Pelukis Jalanan, saya juga berjaya menemui Esc karya Budak Tomato. Esc masih lagi sedang saya baca.

Pelukis Jalanan menceritakan pengalaman penulis yang belajar A-Level sehinggalah ke United Kingdom. Saya tertarik dengan karya ini kerana kebetulan juga saya mendapat tawaran ke UK dalam bidang psikologi, tetapi atas faktor kewangan juga saya menolak. Percayalah, kos sara hidup di sana memang sangat tinggi. Tengok yuran pendaftaran saja pun saya dah mengeluh. Bezanya, saya bukanlah pelajar A-Level seperti beliau. Saya belajar STPM. Dan bagi peringkat STPM, sudah tentulah sangat susah untuk memohon biasiswa ke luar negara.

Orang mesti akan hairan kenapa pelajar A-Level seperti Teme tidak mendapat biasiswa untuk ke luar negara. Kalau nak tahu kenapa, kenalah baca. Saya kagum dengan kesungguhan penulis untuk mengumpul wang demi membiayai pelajarannya. Seperti yang saya katakan, kos di UK sangat mahal. Gaji saya bekerja sambilan selama tiga bulan lebih pun baru mencecah 1.4% daripada jumlah keseluruhan bayaran pelajaran di sana. 1.4%, bukan 14%! Saya memang sangat terinspirasi dengan saudara Teme yang menunjukkan kepada kita supaya jangan berputus asa dalam perjuangan. Tapi untuk saya melakukan sesuatu yang luar biasa seperti beliau, itu saya tidak mampu lagi. Saya sendiri masih lagi tercari-cari sesuatu yang boleh saya genggam dengan erat.

“Ia kekal dongeng… jika engkau tidak mula berjalan.” –Teme.

Satu ayat yang cukup mendalam. Semua orang boleh simpan angan-angan. Semua orang boleh pasang harapan. Semua orang boleh mendabik dada dan mengkhabarkan kepada dunia tentang cita-citanya. Tapi semua itu hanya tinggal angan-angan kosong, dongeng, jika tak ada apa yang dilakukan sebagai usaha menjadikannya sebuah kenyataan. Kita perlu mula melangkah, walaupun cuma beberapa tapak, asalkan kita bergerak. Saya ada impian, tapi adakah saya sendiri pernah cuba untuk melangkah ke arah impian itu? Hmm.

“Daripada merungut tidak reti buat tona warna, tak reti lukis potret, tak reti lukis bangunan, tak reti lukis kartun, tangan tak bedung dan macam-macam lagi. Aku cadangkan kalian ambil pensel dan mula berlatih. Jangan cakap banyak.” – kata Teme lagi.

Kepada yang mungkin tidak mengenali penulis, beliau merupakan seorang pelajar bidang architecture dan seorang pelukis yang berbakat. Saya selalu mengagumi mereka yang berbakat dalam melukis. Tapi saya tak adalah minat pun untuk melukis. Semua orang ada minat berbeza. Dan tak semua orang boleh berikan komitmen serta jiwa ke dalam lukisan masing-masing. Jadi saya kagum dengan mereka yang pandai melukis, kerana nilai komitmen mereka yang begitu tinggi. Penulis ada berkongsi karya-karya beliau di halaman-halaman terakhir buku ini. Jadi anda bolehlah menilai sendiri sama ada betul atau tak kalau saya katakan Teme mempunyai komitmen yang sangat tinggi dalam lukisannya.

Sesuatu yang turut menyentuh hati saya dalam buku ini adalah tentang persahabatan penulis dengan sahabat-sahabatnya. Nak tahu siapa, kenalah baca. Walaupun mereka sendiri merupakan pelajar dan mempunyai kekangan, mereka sanggup untuk membantu Teme sedaya-upaya. Itu adalah persahabatan yang sejati. Bukan senang nak cari kawan yang sanggup membantu kita tanpa sebarang kepentingan. Bukan senang. Tapi tak bermakna tak ada. Apabila tiba masanya kelak, Allah pasti akan hadirkan insan-insan terpilih untuk bersama kita dalam situasi senang dan susah. Tak kiralah dalam kalangan keluarga, rakan-rakan ataupun mungkin bakal suami atau isteri. Mungkin ada dalam kalangan kita yang tak nampak lagi semua tu, tapi percayalah, pasti akan ada juga. Senyum dan terus percaya.

Apa yang saya teringin nak baca sambungannya adalah cerita tentang watak Orange dalam buku ini. Saya tak pasti sama ada ceritanya tamat di situ sahaja, penulis sengaja biarkan tergantung, atau ada lagi lanjutannya. Entahlah. Saya boleh berikan 3.9 daripada 5 untuk rating buku ini. Dan 5 daripada 5 untuk ketekunan penulis.

Apa pun, kepada yang belum membaca Pelukis Jalanan, silalah cari di kedai-kedai buku berhampiran anda. Tak rugi membacanya. Dan harapnya, kita sama-sama dapat mencontohi ketekunan penulis dalam meneruskan perjuangan hidup. InsyaAllah.

Thursday 4 August 2016

Program PESAK | Terima Kasih Semua!


Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamualaikum.

Alhamdulillah, macam yang saya beritahu pada entry saya sebelum ini, akhirnya Program Peningkatan Sahsiah Diri dan Keyakinan Diri (PESAK) Murid Tahap 2 bersama bekas pelajar (batch 2003) berjalan dengan lancar semalam. Program ni sebenarnya idea suka-suka daripada saya, Aina dan Dini. Mereka berdua ialah sahabat saya sejak sekolah rendah. Kalau dulu beberapa bulan yang lepas kami cuma merancang, alhamdulillah program ini telah pun dilaksanakan.

Sepatutnya ada 10 orang termasuk saya yang berkelapangan untuk mengendalikan program PESAK, tetapi salah seorang daripada kami tidak dapat hadir atas sebab yang saya sendiri tak pasti. Kami berpakat untuk berkumpul di SK Sungai Ular pada jam 11, iaitu tiga jam awal daripada waktu mula program. Awalnya ingat nak bermesyuarat di kantin, tetapi keadaan kantin pada ketika itu tidak terurus, mungkin disebabkan baru tamat waktu rehat pelajar. Saya menghubungi Cikgu Asmah, guru yang bertugas di perpustakaan untuk meminjam perpustakaan sebentar. Kami berempat pun (masa tu baru sampai 4 orang) berjalan ke perpustakaan sekolah, tetapi perpustakaan pun penuh kerana digunakan oleh sebuah kelas. Jadi kami cuma menunggu dan melepak di hadapan perpustakaan sambil berbual kerana masing-masing pun sudah lama tak berjumpa.

Tiba-tiba seorang kerani (saya tak pasti kerani atau cikgu) datang dan menyuruh kami berjumpa guru besar. Kawan-kawan yang lain tu teruslah menolak saya jalan dulu. Setelah sembang-sembang sikit, seorang guru pula mengiringi kami ke bilik kaunseling untuk kami gunakan bagi mengadakan mesyuarat. Wah, terasa begitu formal pula, padahal kami cuma mahu mengadakan program santai. Tapi terima kasih kepada pihak pengurusan, kami dapat tempat yang selesa untuk berbincang sambil disertai oleh Ustaz Fauzi. Sewaktu sesi perbincangan kami pun jelaskan balik perincian program dan berlatih apa yang patut.

Untuk slot pertama, saudara Zulhelmi merangkap bekas penolong ketua pengawas tahun 2008 dulu (penolong saya) mengendalikan slot ice-breaking. Disebabkan program ini adalah untuk pelajar sekolah rendah, kami pun tidak mahu melakukan aktiviti berat-berat. Pelajar dipecahkan kepada 20 kumpulan dan setiap kumpulan disuruh melukis lambang untuk kumpulan masing-masing. Slot pertama lebih kepada sesi suai kenal sahaja.

Slot kedua pula dikendalikan oleh saudara Azam, walaupun ideanya daripada saya. Slot kedua adalah nyanyian semangat. Sewaktu di sekolah menengah dulu kami didedahkan dengan lagu Fikirkan Boleh yang memberikan semangat, jadi saya terfikir untuk berkongsi lagu yang sama dengan adik-adik ini. Setiap pelajar diberikan lirik dan diajar sedikit gerakan untuk lagu tersebut. Alhamdulillah, adik-adik di SKSU memang sporting. Sempat juga kami memanggil beberapa peserta ke atas pentas untuk menyanyi bersama.

Slot ketiga dikendalikan oleh Aina. Aina ni boleh dikatakan antara fasilitator yang paling famous, selain saya (uhuk). Sebabnya dia belajar di Korea dan sekarang sedang cuti. Tapi tak lama lagi dia akan pulang ke sana. Untuk slot Aina, dia telah menyediakan kertas mahjung yang telah ditebuk lubang berlainan saiz. Kemudian setiap kumpulan, asing lelaki dan perempuan (ikhtilat pun perlu dijaga juga) akan memegang setiap bucu kertas mahjung seorang sedikit. Kiranya setiap peserta dalam kumpulan wajib memegang kertas mahjung yang telah ditebuk lubang itu. Fasilitator akan meletakkan bola ping pong di tengah kertas dan peserta perlu memasukkan bola ping pong ke dalam nombor yang dipilih oleh Aina. Jadi kita boleh lihat aktiviti ini sangat memerlukan kerjasama antara kumpulan.

Akhir sekali, slot yang dikendalikan oleh saya sendiri. Aktiviti potret berantai. Saya dah banyak kali main aktiviti ini dalam beberapa program yang berbeza jadi adalah rasa bosan sikit, tapi rasa bosan tersebut serta merta hilang apabila mendapat sambutan yang sangat menggalakkan. Sangat berbeza dengan program kali terakhir ketika orientasi pelajar tingkatan 6 baru di Mahsuri bulan Jun yang lalu. Waktu itu saya rasa macam tak sanggup sahaja nak mengira seorang diri di hadapan.

Aktiviti potret berantai ini lebih kurang sama sahaja seperti telefon buruk, cuma yang ini dalam bentuk lukisan. Peserta akan melukis objek yang diminta oleh saya tanpa memberitahu kepada ahli-ahli kumpulan lain di belakangnya. Mereka cuma akan menunjukkan lukisan masing-masing sahaja dan orang seterusnya dalam barisan perlu menyiapkan lukisan dalam masa 10 saat. Dalam aktiviti semalam, tak ada satu kumpulan pun yang mampu meneka dengan betul. Apa yang paling melucukan apabila saya menyuruh lukis beg tangan, sampai ke peserta-peserta belakang jadi ikan. Ikan cantik-cantik pula tu. Eheh. Jadi kalau nak diaplikasikan aktiviti ini, semua orang perlu tahu betapa pentingnya penyebaran maklumat kepada semua ahli kumpulan supaya tidak ada seorang pun yang tertinggal. Komunikasi yang berkesan barulah dapat mewujudkan komitmen dalam kumpulan.


Sebelum mengakhiri program, kami sempat memilih enam orang peserta aktif. Saya hadiahkan kepada mereka novel-novel yang ditulis oleh saya dengan harapan dapat memberikan inspirasi kepada mereka supaya terus bergerak maju ke hadapan. Insya Allah. Kami masing-masing fasilitator pun mendapat hadiah dan sijil penghargaan daripada pihak sekolah. Selesai program, apa lagi. Sesi bergambarlah jawabnya. Banyak sangat kamera sampai penat berposing. Selfie Ustaz Fauzi dengan fasilitator pun ada. Terima kasih kepada saudara Azim selaku jurugambar untuk program PESAK. Saya rasa seorang jurugambar juga sangat memainkan peranan yang penting dalam mana-mana majlis dan program.

Ringkasnya, saya rasa program semalam adalah satu kejayaan buat kami. Boleh kira baguslah untuk kami semua yang pertama kali mengadakan program bersama ini. Sambutan daripada para pelajar pun amat menggalakkan. Insya Allah, saya rasa kami boleh lagi turun ke SKSU tahun hadapan pula. Silap haribulan boleh jadi program tahunan. Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk memberikan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua yang menjayakan program ini, khususnya rakan-rakan saya Aina, Dini, Salsabila, Najihah, Wani, Zulhelmi, Azim dan Azam. Ustaz Fauzi dan guru-guru SKSU. Adik-adik tahun 4 & 5 2016.

Terima kasih atas komitmen kalian. Program ini membuka mata saya bahawa apa yang saya rancangkan boleh menjadi realiti jika saya komited. Dan kepada anda yang setia membaca sehingga ayat terakhir ini, terima kasih.