Tuesday 8 October 2019

New Smartphone, Placement Test and High School Musical


Bismillahirrahmanirrahim.

Alhamdulillah, setelah lama berfikir-fikir, akhirnya semalam saya berjaya membuat pembelian telefon bimbit baru. Fon (phone) saya dah memang nyawa-nyawa ikan sebab diwarisi daripada ibu saya. Dah bertahun-tahun lama tak terkira. Walaupun baru dibaiki tapi sama saja, baterinya tetap buat hal dan susah untuk saya nak ambil gambar. Tak ada gambar, tak bolehlah kongsi dengan anda, kan? Eheh. Tablet pula tak sesuai untuk dibawa ke mana-mana sebab besar. Kalau nak buat tengok YouTube puaslah tapi tak sesuai untuk ambil gambar. Dan charger untuk fon dan tablet dua-dua buat hal. Jadi beli fon baru, senang cerita. Dapat charger dan earphone sekali. 

Test fon baru katanya
Saya membeli Samsung A20e, cukup dengan bajet saja. Gambarnya tak adalah secanggih iPhone atau kamera yang lain, tapi bolehlah buat cukup syarat. Kalau ikutkan dari Malaysia lagi rasa nak beli fon baru, tapi fikir nak jimat-jimat. Dah sampai sini makin nazak pula ya, terpaksalah kita ganti baru.


Hari ini adalah hari untuk placemest test bahasa Jerman saya. Macam biasa, setelah study semalam pada saat-saat akhir, saya gagahkan diri untuk ke medan peperangan di University of Regensburg. Ramai rakan-rakan sekelas A1 (beginner) tak ambil placement test sebab mereka boleh terus masuk ke level A1. Tapi saya target level A1.2 sebab saya dah pernah ambil level A1.1 di USM dulu. Jadi untuk menentukan saya layak atau tak ambil level A1.2, saya perlu mengambil placement test. Felia dan Anja sudah tentulah di level lagi tinggi daripada saya kerana mereka dah belajar tiga tahun bahasa Jerman di Indonesia.

Sampai di depan University, saya nampak Sofia (Russia) dan Ami-chan (Jepun). Saja tambah ‘chan’ acah-acah feeling Japanese. Rupanya mereka pun ambil placement test beginner. Sofia kata dia saja nak cuba nasib tengok macam mana placement test. Kemudian ada beberapa lagi pelajar exchange dari Sepanyol yang turut hadir. Mereka tu sebenarnya dah tahu bercakap dalam Jerman tapi tak tahulah kenapa masuk kelas beginner. Jam 9 pagi, kami dibawa masuk ke dalam sebuah kelas. Tak ramai pun yang ambil placement test untuk A1, cuma belasan orang kalau tak silap saya. Alhamdulillah, saya bolehlah juga jawab walaupun ada juga perkataan yang tak faham. Ada 40 soalan objektif dan kata lecturer yang bertugas tu, kalau tak faham submit saja paper jangan main tembak sebab ujian ni nak tengok level kita. Saya tembak juga sebab gigih nak masuk A1.2. Kalau tak, tak boleh transfer credit pula nanti.

Setelah selesai, kami cuma perlu angkat tangan dan lecturer tersebut akan menyemak terus jawapan kami. Saya antara 3 orang yang terakhir jawab, walaupun ada soalan yang tak faham gigih nak jawab juga. Yang lain semua dah keluar. Saya pun tak perasan bila masa semua orang keluar. Tinggal lima minit sebelum masa tamat, saya mengangkat tangan tanda selesai. Lecturer tersebut datang menyemak jawapan saya. “You get more than half of the scores. Do you want to stay and join the test for the next level?” soalnya pada saya selepas selesai menyemak. “When is the next test?” soal saya. “In five more minutes.” Maka tak sempat berfikir panjang, saya pun duduk saja tak keluar bilik tu. Dalam lima minit kemudian, pelajar-pelajar yang ambil placement test untuk next level mula masuk. Felia terkejut melihat saya di dalam bilik itu. Dia sempat bergurau mengusir saya keluar.

Saya sengaja mencuba nasib saja, nak tengoklah juga macam mana test level lagi tinggi. Tapi saya give up awal. Ada 40 soalan objektif juga. Saya menjawab beberapa soalan, menembak beberapa soalan dan menghantar lebih awal daripada orang lain. Kali ini, lecturer izinkan saya keluar. Agaknya dia pun dah pasrah tengok jawapan saya. Keputusan level akan diumumkan petang ini juga melalui e-mel, jadi kami cuma perlu tunggu. Apa yang saya suka tentang sistem di OTH dan di Jerman, semuanya pantas dan efisien. Lecturer pun semuanya akan membalas e-mel dengan pantas.

Setelah selesai menjawab placement test, saya pulang ke rumah untuk makan tengah hari dan solat sebelum keluar semula ke kampus OTH. Hari ini, semua pelajar exchange perlu mengambil student ID card yang dah siap. Saya juga mendapat surat dari municipality yang menunjukkan saya adalah penduduk di Regensburg. Jadi saya dah halal tinggal di sini. Saya gembira dapat ID card sebab dengan ID card ni, saya boleh travel dalam bas di Regensburg tanpa perlu beli monthly tiket. Boleh makan di mensa, guna fasiliti di perpustakaan, gym (kalau pergi la) dan yang lain-lain. ID card ni ibarat kad Touch and Go di Regensburg. Dengan student ID card juga, saya boleh dapatkan diskaun di kedai. Pendek kata, ID card inilah IC dan Touch and Go saya sepanjang tinggal di sini. Cuma itulah, masalahnya gambar di ID card tu gelap yang amat. Macam tak nampak masa depan.

Setelah mengambil ID card, petang itu juga saya menyemak e-mel untuk melihat keputusan placement test. Ariana dan Vesa juga lepak sekali sebab nak pinjam laptop saya untuk urusan daftar subjek.

OOTD dalam rumah gitu
Alhamdulillah, lepas buat semakan, saya layak masuk ke level A2.1. Saya target A1.2 saja tapi dapat pula lompat level. Saya pun tak pasti sama ada saya kadang-kadang bijak atau saya memang ada bakat menembak soalan.



Pada waktu malam pula, kami berkumpul ramai-ramai di Haus Hemma untuk meraikan dah habis kelas intensif bahasa Jerman sebulan kami. Sebenarnya tak sampai sebulan pun, boleh kira dalam 10 hari saja macam tu. Cepat betul masa berlalu, dah nak habis September dah. Dalam jam 6.30 petang, Ariana, Vesa, Albiona, Anis, Chris dan Parag datang. Felia dan Anja yang mengajak mereka. Saya tak tahu macam mana, suka hati saja Anja masukkan saya dalam plan mereka nak tengok High School Musical musim pertama. Chris dan Parag adalah buddy kepada Anis dan Ariana. Saya tak ajak Paula sebab dah cukup ramai dah di ruang tamu Haus Hemma tu. Mereka menyambung laptop pada televisyen dan kami cuma bersantai menonton HSM. Anja sudah siap-siap membeli snek dan wain petang tadi. Parag pula memesan piza untuk kami semua. Dan kami cuma menonton, berbual dan makan sampailah mereka pulang ke rumah masing-masing.

So that’s how I end my day. Sampai bertemu lagi di penulisan seterusnya.

27 September 2019

Lightshow di Regensburger Dom

Bismillahirrahmanirrahim.


23 September 2019. Untuk post ini, saya cuma ingin berkongsi gambar-gambar yang saya ambil semasa menyaksikan Lightshow di Regensburger Dom. Saya tak tahu sejarah lightshow ini, tapi Paula kata pertunjukan sebegini hanya ada setiap 150 tahun sekali. Jadi pertunjukan ini merupakan satu benda yang baru juga untuk penduduk di Regensburg. Saya tak dapat bayangkan kalau 150 tahun yang lepas, macam mana pertunjukan ini disampaikan kepada umum.

Ini kali pertama saya menyaksikan lightshow di bangunan, dan hasilnya memang sangat cantik dan menarik. Kisah sejarah Regensburg diceritakan melalui lightshow ini. Ada banyak lampu berwarna-warni, lagu-lagu ala opera dan sound effectnya juga cukup menarik. That is what you expect from a lightshow on a dom. Maaf saya tak boleh nak ceritakan sejarahnya, sebab saya tak faham pun. Cuma berdasarkan kisah yang disampaikan, saya tahu yang dom ni pernah terbakar dan dibina semula.










Thursday 26 September 2019

Berpiknik di Walhalla, Regensburg


Bismillahirrahmanirrahim.

Hari Ahad. Ahad di sini memang sunyi. Semua kedai ditutup dan kalau berjalan keluar pun, dah macam kawasan zombie dalam filem thriller. Ok, lebih-lebih pula. Semalam saya membuat carian di Google dan menjumpai flea market di Regensburg yang buka pada hari Ahad. Jadi saya mengajak Zira untuk pergi ke flea market. Kami keluar rumah seawal jam 8 pagi dan saya bawa beg besar untuk mengisi barangan yang bakal dibeli di flea market, sebab dengar cerita semua barangan boleh didapati dengan harga yang murah di situ. Tapi bila sampai ke kawasan tersebut, flea market tu tak ada, tutup. Kalau nak pergi kedai lain pun, semua tutup hari ini jadi kami pun naiklah bas untuk pulang ke haus.

Waktu dalam bas, Anja menghantar pesanan WhatsApp mengajak ke Walhalla. Katanya diajak oleh Ariana dan yang lain-lain. Dah alang-alang naik bas tu, saya dan Zira pun turun di Haupbahnhof (Hbf) dan berjanji untuk bertemu yang lain di situ. Plan nak pergi flea market, tiba-tiba entah macam mana ke Walhalla pula. Dahlah pakai baju biasa-biasa. Eheh. Tak lama kemudian, saya berjumpa dengan Anja, Felia, Ariana, Vesa, Albiona, Ali dan Parag. Kami membeli bekalan makanan siap-siap di Hbf sebab di Walhalla tak ada tempat yang menjual makanan dan minuman. Saya membeli croissant coklat dan wafel di Norma. Kami terpaksa menunggu sehingga satu jam kerana terlepas bas. Bas hari Ahad memang tak banyak, sebab tu kena tunggu lama.

Bila bas sampai, kami berpisah dengan Zira sebab kakinya melecet dari hari tu dan kalau nak naik Walhalla ada banyak tangga, jadi Zira pun balik ke haus. Tinggallah kami berlapan untuk meneruskan perjalanan. Untuk ke Walhalla, kami boleh guna pas tiket bas sebulan kami, sebab Walhalla berada di dalam Regensburg walaupun agak jauh sikit. Tiket kami boleh cover semua tempat dalam Regensburg dan beberapa tempat tertentu di luar Regensburg yang berhampiran kalau tak salah saya. Jadi ringkasnya, tak kena sebarang bayaran pun untuk ke sana. Setelah jauh perjalanan duduk dalam bas, akhirnya kami pun tiba di perhentian bas yang menuju ke destinasi kami.

Kalau nak digambarkan Walhalla ni, dia ibarat sebuah bangunan peringatan yang dibina atas bukit, bertujuan untuk mengikuti tokoh-tokoh terkenal zaman dulu. Hasil carian Google, Walhalla ni nama asalnya Stringer’s Creek tapi pada tahun 1869 ditukar kepada Walhalla. Walhalla ni datang dari perkataan Valhalla yang bermaksud ‘the hall of immortality’ dalam mitos Norse (Utara Jerman) di mana tempat bersemadinya para pejuang yang terkorban dalam peperangan.


Kami mendaki tangga ke atas dan mengambil foto-foto pemandangan yang menarik dari atas. Saya seorang saja yang tidak menggunakan fon sebab dah habis bateri sebelum mula perjalanan lagi. Semenjak sampai ke Jerman, semakin banyak pula fon ni buat hal. Maka terpaksalah saya menumpang IPhone si Anja dan memenuhkan galerinya untuk bergambar. Pemandangan dari atas Walhalla memang menarik dan rugi rasanya kalau tak bergambar setelah penat mendaki tangga yang tinggi tu. Banyak sudut jugalah di Walhalla tu kami bergambar. Kalau nak masuk ke dalam Walhalla dan melihat sculpture, perlu membayar 4,50 Euro per kepala. Lebih kurang RM20 macam tu. Kami semua tak masuk ke dalam, cuma di luar sahaja.



Setelah puas bergambar di keliling Walhalla, kami berpiknik di salah satu spot menarik di atas bukit tu. Maka semua orang pun keluarkan makanan, snek dan wain dari dalam beg masing-masing. Melihat semua orang keluarkan makanan, saya pun keluarkanlah wafel yang dibeli tadi. Follow the flow gitu. Kadang saya terfikir juga, is it okay for me untuk duduk sekali dengan orang yang minum wain. Tapi masalahnya saya seorang saja yang bertudung di situ dan berada dalam komuniti orang Barat. Tak mungkin boleh nak elak daripada gaya hidup mereka. Tapi insyaAllah, saya pandai jaga diri. Eheh.



Parag mengeluarkan kad daun terup dan kami mula bermain game lie or truth. Setiap orang perlu mengeluarkan kad dengan nombor yang sama tapi boleh saja menipu. Kalau ada sesiapa yang dikesan menipu, dia terpaksa mengambil semua kad yang dikeluarkan. Kalau penipuannya tak dikesan sesiapa, maka berkuranglah kad di tangan. Banyak kali jugalah saya menipu dengan muka poker face untuk hilangkan kad di tangan. Tapi pada akhirnya, Parag juga yang menang. Selepas puas bermain kad, mereka mula memasang lagu dan menyanyi. Semasa seronok berpiknik, kami disertai oleh Ana Isabel (Anis) yang baru sampai di Walhalla.


Vesa bangun dan katanya nak berjalan sekejap pusing Walhalla. Saya memutuskan untuk mengikut Vesa. Kami berdua berbual sambil berjalan di keliling Walhalla, melihat pemandangan, bergambar dan akhirnya duduk di tangga Walhalla. Agaknya sudah lama kami menghilang, Parag, Ali, Anis dan Ariana datang mencari kami. Kami duduk di tengah-tengah tangga Walhalla tanpa peduli keramaian orang di situ. Ketika itu, pandangan kami menangkap sebuah situasi yang cukup menarik. Saya melihat seorang lelaki yang sedang memegang belon-belon berwarna merah ditemani oleh seorang lelaki yang botak. Tidak jauh dari situ, dua orang perempuan sedang berbual sambil melihat telefon bimbit, mungkin sedang bercakap tentang gambar yang diambil oleh mereka. Lelaki botak tadi menghampiri arah mereka. Perempuan itu berpaling ke belakang, dan si lelaki itu melutut. Dia melamar perempuan tersebut. Saya tak dapat menangkap perbualan mereka kerana agak jauh, tapi cukup jelas untuk saya lihat. Selepas perempuan itu bersetuju, semua yang menyaksikan kejadian di Walhalla itu bertepuk tangan untuk mereka. Mereka kemudian berpelukan.




Rakan-rakan perempuan saya di sebelah semuanya tiba-tiba kata nak kahwin cepat. “Then ask your boyfriends to propose you guys already,” kata saya kepada mereka. “Okay, maybe not this fast,” Ariana membalas. Kami ketawa terhibur. Tak lama kemudian, seorang tourist yang mungkin ternampak kami berselfie di tangga, offer untuk menangkap gambar kami. Kami berjaya mendapat gambar yang cantik sebagai memori di Walhalla, Regensburg.




Setelah agak lama di situ, kami kembali ke Anja, Felia dan Albiona di tempat piknik yang sedang berehat dan menjaga beg kami. Dari tempat kami berpiknik tu, kami dapat melihat beberapa pasangan yang sedang menari di Walhalla. Semuanya kelihatan gembira. Disebabkan Ariana cemburu, dia memasang lagu Perfect oleh Ed Sheeran dan mula berdansa bersama Vesa. Situasi di Walhalla petang Ahad itu bagi saya adalah situasi yang mungkin hanya pernah saya tonton dalam televisyen atau baca di dalam novel. Piknik, pemandangan cantik, orang melamar, lagu dan dansa serta kawan-kawan. Sangat menenangkan. Saya harap saya dapat video call keluarga atau orang dari Malaysia masa tu tapi fon tak ada bateri pula. Sayang.

Sebelum jam 6 petang, kami akhirnya turun dari bukit untuk mengejar bas. Kalau terlepas, nanti kena tunggu sejam lagi pula. Alhamdulillah, kami semua berjaya naik bas dan pulang ke rumah masing-masing. Bagi saya, saya tak kisah kalau ada peluang lagi untuk ke Walhalla walaupun terpaksa memanjat tangga. Bagi saya tak adalah tinggi sangat tangga di Walhalla tu sebab rasanya saya pernah menaiki tangga yang lebih banyak dari itu. Harapnya satu hari nanti mungkin saya boleh ke sana lagi. InsyaAllah.

Sampai bertemu lagi dalam penulisan seterusnya.

22 September 2019
Regensburg

Tuesday 24 September 2019

Ralley with The Guys - Intercultural Training Workshop

Bismillahirrahmanirrahim.

Hari ini, seawal 7.30 pagi saya dah bersiap untuk ke Prufeninger. Hari ini kami pelajar exchange perlu ke kampus OTH di Prufeninger untuk membuat kad pelajar. Selepas sarapan, Ariana tertinggal passportnya di bilik, jadi kami semua tunggu Ariana untuk naik atas dan terlambat beberapa minit daripada masa yang dijadualkan. Bas di Regensburg memang sangat mematuhi masa, jadi kami memang perlu bergerak pantas untuk sampai tepat pada masanya. Disebabkan terlewat, maka pagi saya, Anja, Felia, Ariana dan Vesa bermula dengan begitu aktif. Dengan suhu serendah 2 darjah selsius itu, kami berlari menuju ke perhentian bas untuk sampai tepat pada masanya. Dah lama saya tak berlari selaju pagi ini. Sampai di perhentian bas, memang rasanya bas kami dah berlalu pergi. Masing-masing tercungap kepenatan. Jadi kami terpaksa menunggu bas yang seterusnya.

Sampai di Prufeninger, sama saja kalau kami tak berlari pun. Semua terpaksa berbaris dalam barisan yang panjang dan menunggu giliran masing-masing mengikut abjad nama pertama. Waktu saya sampai tu baru huruf A, jadi Anja dengan Ariana siap paling awal. Setelah sabar menunggu, akhirnya giliran saya pun tiba. Prosesnya cepat sahaja. Cuma duduk, ambil gambar dan semak nama. Lepas tu boleh balik. Lepas selesai giliran saya tu baru jam 10 pagi. Jam 11 pagi, saya perlu menyertai Interncultural Training Workshop di kampus induk OTH. Kawan-kawan yang lain jadual mereka tak sama dengan sama sebab kami dibahagikan kepada tiga sesi. Khamis, Jumaat dan Sabtu. Ariana dan Vesa sudah lepas semalam manakala Anja dan Felia perlu datang esok. Ada yang kata workshop tu bosan, ada yang kata menarik untuk orang yang aktif macam Ariana. Saya sedang berfikir untuk buat peraturan sendiri dan datang workshop esok atau pergi saja workshop hari ini.

Courtney (Malaysia) mengajak saya untuk pergi ke workshop hari ini, tapi dia pergi dulu memandangkan dia berjalan kaki dengan J (Malaysia). Saya duduk di sebelah Felia, termenung nak pergi atau tak workshop hari ini. Mereka semua sedang menunggu Vesa dan bercadang untuk makan aiskrim di Haupbahnhof. Disebabkan jiwa memberontak diselangi mood tak nak pergi workshop, saya ikut saja Felia dan lain-lain. Mana taknya, workshop sampai 6 petang dan review daripada orang lain, katanya bosan. Selepas Vesa selesai menangkap gambar, kami berjalan keluar untuk ke perhentian bas. Sampai saja di perhentian bas, Courtney dan J masih lagi menunggu bas di situ. Punyalah lama bas tak sampai-sampai lagi. Disebabkan Courtney masih ada di situ, maka terpaksalah saya mengikutnya untuk ke workshop. Selamat tinggal rakan-rakanku yang lain, semoga berseronok makan aiskrim.

Dipendekkan cerita, rasanya ada dalam dua puluh orang yang datang workshop hari ini daripada 30 yang dijadualkan. Kami dibimbing oleh dua pelajar OTH yang bernama Bianca dan seorang lagi yang saya lupa namanya, maaf.  Mereka memberikan pendedahan kepada kami tentang budaya Jerman. Kemudian, kami disuruh untuk berpecah mengikut benua masing-masing dan membincangkan tentang budaya negara untuk dibentangkan kepada semua. Kebetulan memang yang Asia hari ini cuma 4 orang saja dari Malaysia, termasuk Courtney. Jadi kami pun sama-sama berbincang. Selepas selesai perbincangan, kami diberi masa rehat dalam 45 minit. Setelah berkumpul semula, barulah sesi pembentangan diteruskan.


Banyak juga informasi baru yang saya dapat tentang negara-negara lain dan dapat melihat perbezaan budaya berdasarkan pembentangan rakan-rakan hari ini. Setelah itu, kami masuk pula kepada aktiviti kedua iaitu University Ralley (explorace). Bianca sudah membahagikan kumpulan di slide power point. Bila masa dia bahagikan pun saya tak tahu.

Saya dapat sekumpulan dengan 4 orang lelaki. Bukan saya yang pilih ya, itu rezeki namanya. Eheh. Gurau saja. Mereka ialah Alberto, B, C dan D (nama dirahsiakan atas privasi). Kami dah perkenalkan diri masing-masing pada permulaan workshop tadi jadi dah kenal masing-masing. Kalau tak ingat nama pun, semua orang dah diberikan pelekat putih untuk tulis nama dan tampal pada baju. Sesudah berkumpul dengan rakan sekumpulan, kami boleh terus memulakan sesi ralley kami. Lokasi pertama kami ialah fakulti yang mempunyai kaitan dengan nombor. Terus saya cakap Fakulti Matematik. Jadi saya, Alberto, B, C dan D pun terus bergerak ke checkpoint pertama kami yang terletak di bangunan bertentangan dengan Studhaus, tempat workshop kami. Semasa keluar, saya sempat beberapa kali juga terkejut dengan pintu kayu Studhaus yang automatik tu. Macam pintu bilik kita, tapi automatik buka sendiri bila ada orang yang datang dekat. Di setiap bangunan OTH, hanya akan ada dua jenis pintu. Satu, pintu automatik dan satu lagi jenis pintu yang berat untuk ditarik. Nasiblah Alberto selalu tolong tahankan pintu yang berat. Awal-awal lagi lepas keluar dari Studhaus, Alberto dah cakap pada saya, “I want to win this.” Memang budaya orang Itali agaknya nak menang.

Tugasan di checkpoint pertama ialah kami perlu memadankan jenis hidangan dengan tempat di dalam peta Jerman. Saya kurang mahir bab ini, tapi dengan bantuan yang lain dan juga Google, kami berjaya menyelesaikan misi pertama kami. Kemudian, checkpoint kedua kami, perlu patah balik ke Studhaus. Di situ, kami disuruh untuk senaraikan budaya Jerman beserta nilai dalamannya. Tugasan kedua pun berjaya kami selesaikan tanpa banyak masalah. Rasa seronok sebab semua orang dalam kumpulan bagi kerjasama yang baik. Setelah itu, checkpoint ketiga kami di bilik berhampiran komputer. Saya yakin dengan lokasinya, jadi beria-ia saya bawa semua ke sana. Dulu Paula, buddy saya pernah bawa saya ke situ. Tapi biliknya berkunci. Jadi kami pun cuba cari bilik-bilik lain di kawasan sekitar. Rupa-rupanya, checkpoint kami tu ditampal di dinding. Semua tak perasan sebab memang ada banyak kertas-kertas informasi dan iklan yang ditampal di dinding. Di situ, kami perlu menjawab soalan kuiz dalam kertas tentang peraturan-peraturan di Jerman. Walaupun ada juga peraturan yang mengelirukan, kami cuba untuk menjawabnya dengan baik.

Checkpoint kami yang seterusnya adalah di mensa (kafeteria). Di mensa, terdapat lima kepingan puzzle yang kami perlu selesaikan. Setiap seorang daripada kami cuba untuk menyelesaikan satu puzzle. Saya rasa tugasan ini adalah yang paling susah antara semua, sebab puzzle tu dipotong sangat kecil. Kepingan puzzle yang saya selesaikan adalah kepelbagaian roti yang dijual di kedai bakeri. Semasa sibuk mencantumkan kepingan puzzle, saya dengar nama saya dilaung dari kejauhan. Ariana, Vesa dan Albiona yang mungkin baru lepas habis kelas melalui kawasan mensa dan memberi galakan kepada saya. Selepas menyelesaikan kelima-lima puzzle, kami perlu menulis interpretasi terhadap puzzle tersebut. Saya menulis interpretasi puzzle saya sebagai variasi roti yang dijual dan sering menjadi kebanggaan di negara Jerman.

Di checkpoint akhir pula, kami perlu menandakan kategori barangan kitar semula. Sebanyak 20 gambar yang dicetak dan agak mengelirukan kerana terdapat lima kategori di situ. Itu pun tak termasuk kategori plastik dan lain-lain yang tiada dalam senarai. Sekarang saya betul-betul tahu yang negara Jerman ni memang sangat menitikberatkan amalan kitar semula. Setelah selesai tugasan di checkpoint terakhir, kami berlima masih termenung untuk fikirkan nama kumpulan. Daripada awal tadi memang tak dapat fikir nama kumpulan. Nama yang paling kreatif akan mendapat satu markah bonus.
Beberapa minit juga kami terdiam sebab tak ada idea. B (bukan nama sebenar) cakap, inilah tugasan paling susah untuk hari ini. C memberi cadangan Confused Traveller tapi semua macam tak menyahut nama tu. Tak lama kemudian, Alberto bersuara. “Why not we put something in Malay language? The other teams will never do the same.” “Okay, what do you guys have in mind? I’ll translate it in Malay,” jawab saya. Masa tu dalam hati saya fikir letak sajalah apa pun bukannya orang lain akan faham. “How do you say awesome in Malay.. like we are the awesome team,” Alberto memberi idea. “Hebat, as in H.E.B.A.T. I’ll just put Hebat Giler as in a crazy good team.” “Yeah, we’ll go with that.” Maka begitulah terbentuknya pakatan kumpulan Hebat Giler. Saya memang bantai saja letak nama.

Selepas selesai di checkpoint terakhir, kami semua pulang semula ke Studhaus. Bianca membincangkan jawapan untuk setiap checkpoint, dan kami menyemak jawapan masing-masing. Ada yang betul, ada juga yang salah. Selepas itu, mereka mengumumkan nama kumpulan yang paling kreatif. “The winner for the most creative group name is… Hebat Giler!”  Masa tu macam nak gelak pun ada sebab macam… seriuslah? Bianca menyuruh saya jelaskan kepada semua maksud nama kumpulan saya. Terima kasih Alberto atas cadangan yang bernas tu. Kumpulan kami juga berjaya mendapat tempat kedua dengan perbezaan 0.5 markah saja dari kumpulan pertama. Sayang, sikit saja lagi nak menang. Tapi kumpulan yang johan pun dapat candy jelly saja jadi tak adalah rasa rugi sangat tak menang. Bukannya boleh makan pun jeli tu. Selepas sesi pengumuman pemenang, maka berakhirlah workshop kami untuk hari ini. Secara keseluruhan saya rasa banyaklah juga informasi-informasi baru yang saya dapat hari ini.

Sebelum pulang, tiba-tiba C mengajak saya untuk berjalan di sekitar Regensburg. Waktu itu baru jam 5 petang. Saya bertanya kepada Courtney dan dia bersetuju untuk jalan sekali. Tapi tak lama kemudian, J mengajak Courtney untuk pulang. Dormitori mereka terletak agak jauh dari dormitori saya maka kami pun berpisah. Sedar tak sedar masa tu hari dah gelap dan C menghantar saya pulang. Waktu tu memang dalam hati nak cepat-cepat balik saja sebab tak elok jalan dengan lelaki waktu malam kan. Jalan di Regensburg memang selamat dan ramai orang, tetapi tetap rasa janggal walaupun sepanjang perjalanan kami berbual tentang perbezaan negara masing-masing. Tambahan pula, waktu malam di Regensburg dah semakin sejuk. Di pertengahan jalan, C berhenti mengambil jaket dari dalam begnya dan menghulurkan kepada saya. Walaupun dah pakai sweater, cuaca masih sejuk. Saya menolak pada mulanya tapi disebabkan dia mendesak, saya pun pakai sajalah. Saya rasa selepas ni saya memang perlu beli jaket tebal yang banyak. Kalau suhu macam ni pun dah sejuk, apatah lagi musim sejuk nanti.

Alhamdulillah, sebelum Isyak, saya berjaya pulang berjalan kaki ke Haus Hemma. Anja dan Felia sedang menikmati makan malam di dapur dan saya ceritakan pengalaman workshop saya hari ini kepada mereka. Secara ringkasnya, that’s how I end my day.

Sampai bertemu lagi di penulisan seterusnya.

20 September 2019
Regensburg

Sunday 22 September 2019

Termakan Babi - International Dinner

Bismillahirrahmanirrahim.

Hari keempat belas di Jerman. Dah genap dua minggu saya berada di sini. Selepas trip ke Wurzburg, saya agak sibuk dengan presentation untuk kelas bahasa Jerman dan membeli barang serta memasak untuk persiapan malam International Dinner kami. Untuk program ini, kami perlu membawa sendiri hidangan tradisional dari negara masing-masing. Terpulang sama ada nak masak sendiri atau masak secara berkumpulan. Saya mengajak Zira untuk datang sekali ke dinner kami memandangkan saya tak nak masak sendiri. Yohanes datang ke haus semalam untuk praktis memasak bersama Felia dan Anja. Peraturan di haus, kami boleh menerima tetamu tetapi jangan lebih dari 9.45 malam. Mereka akan menyediakan tauhu pepes dan ayam gulai sebagai masakan mewakili negara Indonesia. Saya sudah membawa nasi impit dan kuah kacang dari Malaysia sebagai persiapan untuk dinner ini. Zira pula nak masak lontong sebagai tambahan kepada nasi impit.

Selepas selesai kelas Jerman pagi tadi, saya segera pulang ke rumah. Saya memasak kuah kacang untuk makan tengah hari dan dinner malam ini. Jam 1.30 petang, saya keluar dari haus untuk membuka akaun Bank Sparkasse kerana sudah membuat janji temu dengan pegawai bank. Bank Sparkasse terletak tidak jauh dari Haus Hemma, jadi saya cuma jalan kaki sahaja. Jam 1.55 petang, Paula tiba di hadapan bank bersama basikalnya. Paula yang membantu saya berurusan dengan pegawai bank kerana lebih mudah. Paula mengajar saya cara untuk keluar dan transfer duit di sini. Bank Sparkasse memang buka tepat-tepat jam 2 petang selepas waktu rehat. Begitu tepati masa sekali. Kami dilayan dengan mesra oleh seorang pegawai bank berbangsa Jerman. Saya dibawa masuk ke biliknya untuk mengisi borang. Kalau di Malaysia, rasanya semua perkhidmatan buat di kaunter. Tapi di sini, kami siap dibawa masuk ke dalam pejabat gitu. Pegawai wanita itu offer jika kami nak minum air. Terbaiklah servis di sini. Layanannya juga mesra, cuma dia bercakap dalam bahasa Jerman, katanya bahasa Inggerisnya tak begitu bagus. Tapi saya rasa tak mungkin pegawai bank tak lancar bahasa Inggerisnya. Mereka mesti perlu berurusan dengan ramai orang yang tidak tahu berbahasa Jerman juga. Entahlah.

Alhamdulillah, dengan bantuan Paula, urusan bank menjadi mudah. Cuma perkara biasa yang jadi masalah sikit bila mereka tak tahu macam mana nak isi nama saya dalam borang. Mana nama pertama, mana nama keluarga. Saya pernah jelaskan kepada Paula dulu jadi Paula memberitahu pegawai tersebut dengan baik. Perkara yang kerap ditanya semasa saya isi borang juga ialah tentang kewarganegaraan saya, sama ada saya memiliki dua kerakyatan (United Kingdom) atau satu sahaja. Selesai menandatangani banyak borang di bank, saya kemudian pulang semula ke haus. Masa balik tu, Zira dah pun siap memasak lontong.

Jam 6.30 petang, kami bergerak ke Studhaus OTH untuk dinner. Saya memakai baju kurung memandangkan kami digalakkan untuk memakai pakaian tradisional. Zira cuma mengenakan dress labuh. Sampai di sana, tutor menyuruh saya untuk mencari bendera negara yang telah dicetak oleh mereka. Tampal di atas kertas dan tulis nama hidangan. Meja dibahagikan kepada tiga kategori; main dish, appetizer dan dessert. Saya meletakkan nasi impit saya di tengah-tengah meja main dish kerana kami sampai awal. Tak lama kemudian, Paula pun tiba sambil membawa kek coklat yang dibuatnya pagi tadi. Paula mengajak saya untuk minum softdrinks yang disediakan. Sudah tentulah bir juga banyak disediakan oleh pihak tutor.



Paula menuangkan air alkohol free, sejenis teh tapi masam rasanya. Apa yang pasti, saya tak akan minum lagi teh itu. Selepas itu, dia menyuruh saya mencuba air Spezi (Coke + Fanta) yang popular hanya di Jerman. Air Spezi ni saya boleh minum sebab lebih banyak rasa Coke saja. Paula juga memperkenalkan saya kepada seorang rakan lelakinya bernama Chris (kalau tak silap). Chris menghulurkan tangannya kepada saya. Saya meletakkan tangan di dada dan menunduk sedikit tanda hormat. Tapi Chris masih menghulurkan tangannya untuk tempoh yang lama. Saya menunduk sekali lagi tapi Chris masih lagi dengan tangannya. Saat itu adalah saat yang paling awkward dalam hidup saya. Alhamdulillah, Chris akhirnya mengalah dan menjatuhkan tangannya. Saya rasa bersalah pada dia, tapi yang haram tetap haram.


Malam itu juga, saya berkenalan dengan Courtney, pelajar dari UTAR Malaysia yang baru saja tiba pagi tadi. Saya juga sempat berbual-bual dengan pelajar-pelajar Malaysia berbangsa Cina yang belajar full-time di OTH. Sebab dalam 2-3 orang juga yang menjadi buddy rupanya. Selepas semua berkumpul, para tutor memberikan sepatah dua kata sebagai pembuka. Kemudian, mereka memanggil sesiapa yang memakai pakaian tradisional untuk tampil ke hadapan. Tak ramai pun yang memakai tradisional. Cuma Ami dari Jepun, Anja, Felia and the gang dari Indonesia dan saya saja rasanya. Tak tahulah Eropah ni memang tak ada pakaian tradisional atau mereka saja yang malas memakainya. Saya mula-mula malas nak bangun sebab segan, tapi Vesa dan Ariana dah menjerit nama saya dari belakang, jadi terpaksalah saya bangun ke depan. Kami mendapat tepukan untuk pemakaian kami pada malam ini.

Selepas itu, semua pelajar dijemput untuk mencuba pelbagai hidangan dari pelbagai negara. Saya mengajak Zira sebagai pegawai JAKIM saya untuk tengok makanan mana yang boleh dimakan dan makanan mana yang tak boleh dimakan. Kami lebih banyak mengambil appetizer dan dessert daripada main dish, sebab kebanyakan main dish dimasak dari babi atau daging haiwan yang tidak disembelih. Gulai ayam yang dibuat oleh Anja pun tak boleh saya makan sebab ayam tak halal. Ramai rakan-rakan yang sibuk mempromosikan negara masing-masing. Saya juga mempromosikan nasi impit kepada Paula, tapi responnya tak berapa baik. Katanya pedas sangat dan dia tak suka makanan pedas. Ada juga beberapa pelajar lain yang kata kuah kacang tu pedas. Tapi tak kurang juga yang kata sedap. Saya  juga sempat berkenalan dengan lebih ramai exchange student dan merasa makanan yang boleh dimakan.



Saya juga sempat berbual panjang dengan Juso (sebutan Huso) dari Bolivia. Sebab ketika itu orang ramai sedang berkumpul untuk mula berparti tapi saya sedang merenung satu persatu makanan yang tersisa lagi di meja hidangan. Juso bertanya makanan yang saya masak lalu saya membawanya ke nasi impit saya. Semua orang di sini tak tahu apa itu nasi impit dan kuah kacang. Jadi saya terpaksa menjelaskan proses pembuatannya. Juso kata sedap. Tak tahulah dia kata sedap untuk nak sedapkan hati saya atau memang betul-betul sedap. Selepas itu, Juso pula mempromosikan masakan dari negaranya. Saya tak boleh makan sebab ada babi. Juso seolah-olah terkejut kerana saya tak boleh makan babi. “Why?” soalnya. Dan mulalah penjelasan saya kepadanya tentang isu babi, makanan halal dan alkohol. Susah juga saya nak jelaskan secara terperinci kepadanya kerana dia memang langsung tak tahu-menahu. Saya memetik kisah Nabi Nuh yang membawa binatang ke dalam bahteranya dan babi ditugaskan untuk memakan najis binatang lain di dalam bahtera tersebut. Saya jelaskan lagi tentang isu-isu kebersihan. Untuk binatang lain pula, saya menjelaskan tentang isu sembelihan. Yang ini agak susah juga nak jelaskan bagi dia faham. Saya cuma kata “We need to say our God’s name during cutting (sebab saya cakap slaughter dia tak faham) the animals. It’s our belief.”

Juso menjadi lebih berminat tentang isu-isu pemakanan ni, jadi lebih banyak pertanyaan yang dilontarkannya. Saya pun ceritalah tentang arak yang memabukkan dan memudaratkan kesihatan, sebab itu Muslim tak boleh minum. Sebab kami pentingkan kebersihan. Dan segala macam fakta yang saya tahu, habis saya buka. Dari situ, perbualan kami masuk pula kepada bulan puasa dan sebagainya. Juso juga mula bercerita tentang negaranya selepas itu dan selepas mendengar ceritanya, Bolivia adalah satu negara yang saya harap saya dapat lawati suatu hari nanti. Katanya kalau saya datang dia akan jadi tour guide saya. Termasuk dia, dah dua orang dah offer nak jadi tour guide saya di negara masing-masing. Memang lama jugalah saya berbual dengan Juso sambil yang lain berparti.  

Disebabkan rasa macam dah lama tinggalkan Zira dan Paula, saya pun akhirnya meminta izinnya untuk kembali ke meja makan. Bagusnya buat dinner di Studhaus ni ialah ada Raum Der Stille (Room of Silence) yang boleh dijadikan bilik untuk saya solat Maghrib. Saya masih belum boleh sesuaikan diri untuk berwuduk di tandas kerana tiada paip di dalam tandas (cuma di sinki) dan orang Jerman tak suka tandas basah, jadi saya perlu mengelap semula tempat yang basah selepas berwuduk. Cuma masa solat sendirian dalam bilik tu boleh dengar jugalah bunyi muzik parti dari tingkat atas.
Saya kembali ke meja hidangan sekali lagi jika ada makanan yang masih boleh dicuba. Seorang pelajar dari Mexico menyuruh saya untuk mencuba Nachos dan sos mereka. Disebabkan Zira cuba, jadi saya pun mencubanya. Pedasnya tak dapat nak digambarkan dengan kata-kata. Selepas mencuba Nachos, Albiona (Kosovo) datang menghampiri saya. Dia menceritakan kisahnya yang tak sengaja termakan pork (dia seorang Muslim). Saya bertanya padanya, makanan apa yang ada pork tu. Katanya dari negara Mexico. Masa tu saya memang dah cuak sebab saya baru saya cuba Nachos dan sos dari Mexico. Anda tak dapat bayangkan perasaan saya masa tu. 

Saya menarik tangan Albiona dan menyuruh dia untuk menunjukkan hidangan apa yang dimakannya. Lalu dia pun menunjukkan semangkuk hidangan yang ada ketulan daging pork di dalamnya. Waktu itu, Tuhan saja yang tahu betapa leganya saya. Saya tahu saya sepatutnya berasa simpati juga untuk Albiona, tapi rasa simpati itu bercampur dengan keliru sebenarnya sebab dia sedang memegang arak dan dia memang minum arak. Saya nak suruh dia berkumur cuci mulut pun macam ada point ke? Saya cuma melahirkan sikit rasa simpati untuk memujuknya. Kalau ada pembaca yang tahu apa sepatutnya saya boleh buat dalam situasi macam ni, mungkin boleh kongsikan.

Selepas itu semua pelajar mula berkumpul, main game dan berdansa sambil minum arak. Saya cuma duduk di meja makan. Anja dan Felia juga ikut menari tapi bukan di tengah-tengah. Mereka menari di tepi saya. Siap Felia dan Courtney beberapa kali jugalah ajak saya menari. Memang taklah kan. Silap-silap viral pula video gadis berbaju kurung seronok berparti. Tapi saya boleh kata yang malam itu memang seronok sebab saya dapat bersembang dan bergurau dengan rakan-rakan yang lain.  Dah agak-agak jam 10 lebih, saya mengajak Zira untuk pulang sebab tak nak berlama-lama di situ. Mereka yang lain seperti biasa akan berparti sehingga lewat malam. Kadang saya tak faham macam mana mereka selalu ke bar/pub setiap malam tapi dapat bangun awal untuk ke kelas pagi. 

Kami berjalan kaki untuk pulang sebab kalau nak tunggu bas, perlu tunggu dalam 30 minit lagi. Angin malam memang menampar keras muka saya, tapi kami berdua berjaya pulang ke haus dengan selamat. Apa yang saya tak boleh berhenti fikir hari ini adalah rasa bersalah kepada Chris yang nak bersalaman dengan saya tadi dan situasi Albiona yang termakan pork tadi.

Apa pun, sampai kita bertemu lagi di penulisan seterusnya.

17 September 2019
Regensburg

Thursday 19 September 2019

Dipelawa untuk Minum Wain | Trip to Wurzburg Part 2

Selepas melawat gereja, kami dibawa ke Residenz Wurzburg yang merupakan bekas tempat kediaman prince-bishop. Bila saya tengok tempat kediaman orang kaya-kaya ni, saya tak tahulah macam mana mereka ni boleh kaya sangat. Melawat garden saja pun dah luas dan banyak pecahan. Terdapat hampir 300 bilik dalam Residenz tersebut. Kami tak dibenarkan untuk mengambil gambar dan membawa beg di dalam, jadi tak dapatlah nak kongsikan gambar bahagian dalam Residenz. Saya tak pasti sama ada bayaran dikenakan atau tidak, sebab macam yang saya sebelum ni, saya cuma membayar tiket tren untuk lawatan ini. Apa yang saya tahu, kalau nak masuk dalam Residenz ni adalah melalui lawatan yang dibimbing oleh tour guide, mengikut masa-masa tertentu.

Selepas selesai lawatan di Residenz, akhirnya barulah kami diberikan masa bebas untuk meneroka bandar Wurzburg. Saya, Anja, Felia, Mia, Yohanes (Indonesia) dan Yan (Czech Republic) memutuskan untuk gerak bersama. Saya baru berkenalan dengan Yan hari ini. Dia mengambil kursus Cyber apa entah, yang saya lupa nama penuhnya, tapi ada kaitan dengan robotik. Di OTH ada dalam 100 lebih fakulti, jadi tak hairanlah ada banyak sangat fakulti yang saya tak pernah dengar di USM, wujud di sini. Yan sempat bertanya pada saya, kenapa orang di Malaysia lebih banyak memakai tudung berbanding dengan orang di Indonesia. Pertama kali juga saya mendapat soalan cepumas sebegini. Saya pun tak tahu fakta itu betul atau salah, tapi saya cakap ramai juga orang Indonesia yang bukan muslim macam Felia dan Anja, jadi mereka tak pakai tudung. Tapi kalau orang Melayu di Malaysia memang majoriti muslim, sebab itulah pakai tudung. Yan mengangguk faham. Harap-harap dia fahamlah jawapan-jawapan yang saya goreng tu.



Misi kami yang pertama mestilah nak mencari makan tengah hari. Anja teringin nak beli crepe tapi Yan teringin nak makan kebab. Jadi kami singgah di kedai jual crepe. Apa yang bagus ialah saya dapat melihat sendiri cara pembuatan crepe di situ, cuma saya tak tahu nak baca pilihan jenis crepe yang ada. Felia menterjemahkan menu kepada saya. Saya memilih crepe pisang dan madu, sebab yang itu paling saya yakin tak mengandungi bahan pelik-pelik. Dan menu selebihnya saya malas nak suruh Felia terjemah sebab banyak sangat. Saya membeli crepe dengan harga 4,50 Euro. Rasanya lebih kurang macam roti canai Subaidah USM yang mengandungi inti pisang tetapi ditambah madu. Kalau di Subaidah, harganya dalam RM 2.20 kalau tak salah saya. Disebabkan saya bukan penggemar madu, rasanya boleh tahanlah. Kalau diganti dengan susu mungkin lebih sedap. Saya, Anja dan Mia membeli crepe pilihan masing-masing.


Selepas itu, kami bergerak ke kedai kebab untuk mencari kebab Yan. Portion kebab di sini sangat besar dan boleh didapati dengan harga sekitar 5 Euro lebih. Yohanes, Yan dan Felia membeli kebab pilihan mereka. Mereka sendiri pun tak tahu kebab apa yang mereka order, main order saja. Rupa-rupanya, kebab kambing. Kalau saya, memang confirm dah tak makan. Abang Ahmad (rujuk entry hari kelima) pernah cakap, hampir semua kebab di sini halal sebab disediakan oleh orang Turki. Kalau bukan orang Turki yang jual pun, supplier mereka sama. Jadi boleh kalau nak makan. Kami duduk selama beberapa minit di kedai kebab sampai semua selesai makan. Misi yang seterusnya, Mia pula ingin mencari onion cake jadi kami pergi ke tempat yang menjualnya. Saya pelik juga macam manalah rupa onion cake yang dia nak makan tu, rupa-rupanya macam pizza yang ada bawang. Katanya, rasa onion cake tu biasa-biasa saja.



Kemudian, kami berhenti rehat di tepi Stone Bridge untuk menghayati pemandangan tepi sungai dan mengambil gambar. Di situ, kami makan snek yang dibawa masing-masing dan bersantai. Stone Bridge di Wurzburg ni hampir sama dengan Stone Bridge di Regensburg. Bahkan struktur binaan bangunan yang lain pun tak banyak beza dengan Regensburg. Kadang-kadang boleh buat saya terlupa saya berada di Wurzburg, bukan Regensburg. Kedua-dua bandar ni mengaku yang Stone Bridge masing-masing adalah jambatan yang paling lama dibina, tapi saya tak tahu mana satu fakta yang betul. Sambil bersantai, saya nampak sebuah kapal cruise lalu di hadapan kami. Kapalnya begitu panjang, rasanya kalah kepanjangan kapal-kapal yang ada di Malaysia. Dan saya dapat melihat orang mengintai serta melambai dari bilik masing-masing di dalam cruise tersebut. Agaknya berapalah bayaran naik cruise itu.




Setelah puas menghayati pemandangan dan bergambar, kami naik ke atas jambatan yang sesak dengan kerumunan manusia, sebab ketika itu sedang berlangsung Weinfest (Pesta Wain). Juga sesak dengan pelancong yang datang untuk melawat secara berkumpulan. Ada orang yang bernyanyi, ada yang membuat persembahan, ada yang mempromosi sesuatu dan selebihnya rancak menghayati wain di atas jambatan. Anja dan Mia memang dari pagi dah cakap teringin nak minum wain. Yang lain-lain mengaku bukan heavy drinker. Kami pergi ke sebuah warung yang menjual wain. Anja dan Mia masing-masing membeli segelas wain yang berharga 3 Euro lebih. Kami cuma menunggu sementara mereka membuat pembayaran. 

Sesudah mendapatkan gelasnya, Mia menghampiri saya dan menghulurkan gelasnya, offer jika saya nak rasa sikit. Dia tak tahu yang saya tak minum alkohol, jadi saya segera menolak dengan baik. “I don’t drink alcohol or wine.” Kalau di Malaysia, orang offer minum air selalunya saya minum saja. Nasiblah sedar juga, kalau tak sedar tu silap-silap boleh terus teguk dah. Selepas membeli wain, kami naik ke atas castle sebab masih ada beberapa jam sebelum waktu berkumpul. Castle Wurzburg terletak tinggi di atas bukit, jadi kami perlu mendaki tangga untuk naik ke atas. Tapi pendakian ke atas memang agak berbaloi, kerana kami dapat melihat pemandangan Wurzburg dari atas bukit. Kami tak boleh masuk ke dalam castle, tapi boleh berjalan atau berkeliaran di kawasan sekitarnya. Tiada bayaran dikenakan untuk masuk ke kawasan castle. Tandas di situ juga percuma, tak kena bayaran. Saya boleh memuji tindakan pihak berkenaan yang tidak mengenakan bayaran untuk melawat kawasan castle, kalau di Malaysia nak masuk tempat-tempat lebih kurang macam tu selalunya dah kena bayar. Tapi tak hairanlah sebab Jerman merupakan sebuah negara yang kaya.

Pemandangan dari atas bukit sangat menarik. Dah macam enam sekawan tengah mengembara di bumi asing pula. Kawasan castle tu memang nampak macam dalam filem-filem perang dan saya boleh bayangkan situasi askar atau pengawal yang mengawal keliling kawasan istana. Kalau zaman dulu, nampak rakyat jelata macam kami berkeliaran di situ, silap-silap dah kena tembak sebab menceroboh. Kami menghabiskan masa berbual dan menghayati pemandangan. Dari atas bukit, saya jadi teringat pula Malaysia. It feels weird being at the top of some part of the world, far away from your homeland. 


Kami melihat pemandangan dari banyak posisi sebab kawasan castle tu luas. Pemandangan dari tepi dan bahagian belakang bukit tak sama. Di bahagian belakang, temboknya tinggi sikit dari bahagian tepi kalau nak panjat untuk duduk. Yan panjat ke atas diikuti Felia dan Mia. Felia tu memang atlet, panjat pokok pun dia boleh rasanya. Anja tak nak panjat sebab takut lukakan kaki masa panjat. Yohanes pun tak panjat sebab takut ketinggian. Saya kalau ikutkan boleh saja panjat, tapi sebab ada Yan dan Yohanes macam tak sopanlah pula, jadi saya tak panjat. Yan punyalah suruh panjat juga. Katanya dia boleh tolong angkat kalau tak sampai. Haha memang taklah. Saya, Anja dan Yohanes kemudian mencari posisi lain yang lebih rendah jauh sikit dari kawasan tu untuk tengok pemandangan.



Selepas semua dah puas menghayati pemandangan, saya mengajak yang lain untuk singgah di kedai souvenir sebab saya nak tengok harga souvenir di situ. Rata-ratanya dalam 4 Euro ke atas, itu pun yang magnet saiz kecil. Jadi saya tak beli sebarang souvenir di Wurzburg sebab kalau di Regensburg, harga souvenir yang lebih kurang sama boleh dapat dalam 1 Euro.  Beza banyak tu 1 Euro dengan 4 Euro kalau tukar ke Ringgit Malaysia. Akhirnya, kami berkumpul pada masa dan tempat yang dijanjikan, platform nombor 7 untuk mengambil tren pulang. 


Buat hari ini, saya terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada Wurzburg. Jika ada ruang dan peluang lagi, mungkin kami boleh datang lagi untuk menghayati pemandangan dan bersantai di atas bukit. Selepas tamat kembara kami di Wurzburg, masing-masing pun pulang dan rasanya kami tidur dengan nyenyak sekali.

Wednesday 18 September 2019

Pengalaman Masuk ke Dalam Gereja | Trip to Wurzburg Part 1


Bismillahirrahmanirrahim.

14 September 2019. Hari yang dinanti-nantikan kami, exchange students di OTH akhirnya telah pun tiba. Ini merupakan lawatan pertama kami ke bandar lain di Bavaria. Saya, Anja dan Felia siap seawal 5.45 pagi untuk keluar rumah demi mengejar bas jam 6.03 pagi. Kami perlu berkumpul di Haupbahnhof pada jam 6.30 pagi. Ariana dan Vesa sudah bergerak lebih awal dari kami. Saya membawa bekalan roti arab yang dibeli di Al-Medina Markt dan air mineral, yang memang sangat berguna dalam trip nanti. Saya tinggalkan payung kerana ramalan cuaca tak hujan hari ini. Kalau di Malaysia, jarang sekali nak tengok ramalan cuaca tapi di Jerman ni dah jadi macam satu keperluan.


Kami tiba di stesyen pada waktunya. Rupa-rupanya, tren kami hanya akan bergerak jam 7.20 pagi nanti. Sementara mengisi masa lapang, ada yang pergi membeli bekalan makanan, ada yang ke tandas dan yang lain cuma berbual-bual dengan penuh energetik. Tak lama kemudian, Ali (Turki) dan Mia (China) menyertai kami berbual. Saya tak tahu kenapa di Malaysia susah saya nak cam orang, tapi di sini bila sekali orang perkenalkan nama saya boleh ingat. Mungkin sebab semua muka lain-lain agaknya, kalau di Malaysia tu kan semua pakai tudung. Di sini saya seorang saja yang pakai tudung.

Untuk menaiki tren, tutor kami telah membeli ‘Bayern Ticket’ yang perlu dinaiki oleh 5 orang untuk harga diskaun. Saya cuma membayar 11 Euro sahaja untuk tiket tren. Harga untuk tour guide dan sebagainya rasanya ditanggung oleh pihak OTH. Saya, Anja, Felia, Mia dan Ali menulis nama pada satu tiket dan kami diberikan gelang kertas yang macam masuk waterpark tu sebagai simbol tiket. Tapi tutor yang pegang tiket masih perlu tunjukkan tiket dalam tren bila diminta oleh petugas. Bila masuk dalam tren, kami boleh duduk di mana-mana saja yang kami suka. Saya duduk di sebelah Vesa dan rakan-rakan lain dari Kosovo. Hari ini, saya dapat berkenalan dengan beberapa lagi exchange students yang lain. Saya cuma berbual dengan Vesa sambil menghayati kehijauan Jerman di luar tingkap sepanjang perjalanan.


Sebelum tiba di Wurzburg, kami perlu menukar tren di stesyen Nurnburg. Kebanyakan tandas awam di Jerman adalah berbayar, walaupun tiada paip air dalam tandas. Saya cuba mengelakkan masuk tandas jika tiada keperluan demi menjimatkan wang. Eheh. Ada tandas yang sampai 1 Euro bayarannya kalau nak masuk. Dah cecah RM4 lebih. Kalau ada paip air tu berbaloilah juga. Nak berwuduk pun susah dalam tandas, sebab itulah kalau sesiapa yang nak menunaikan solat di Jerman digalakkan bawa botol. Satu kelebihan negara Jerman ni, adalah kita boleh minum air paip dia. Mula-mula tinggal di Jerman, saya memang janggal nak minum air paip. Bila dah lama-lama, baru dapat biasakan diri. Cuma saya tak refill air dari sinki tandas, walaupun bersih. Tapi bila jalan di Wurzburg ni, nampak sinki tandas, haa.. refill! Memang taklah nak beli mineral baru dah. Bila saya balik Malaysia tahun depan, tolong tegur saya kalau nampak saya terminum air sinki ke apa ya.

Menurut sumber Google, semua air paip boleh diminum termasuklah dari sinki tandas sebab bercantum dengan sumber drinking water. Mengikut peraturan Jerman, kalau sumber air tu tak bercantum dengan drinking water, mereka wajib meletakkan label. Harga mineral di sini dalam 1,40 Euro (air) + 0,25 Euro (botol). Jumlah dalam 1,65 Euro, lebih kurang RM 7.50. Itu baru harga untuk botol mineral kecil yang standard. Semua botol mineral di sini boleh dikitar semula di mesin-mesin yang banyak disediakan di kedai, dan kita boleh dapat balik pulangan 0,25 Euro.

Saya tidak membeli sebarang makanan di Nurnburg sebab dah bawa bekalan. Lagi satu sebab saya malas nak fikir halal ke tak, bahan makanan tu buat daripada apa, ada alkohol atau tidak. Bila asyik nak kena fikir benda-benda ni boleh stress juga, jadi bawa bekal sendiri adalah pilihan paling bijak untuk orang yang malas berfikir panjang macam saya. Macam sedih pula tiba-tiba bila terfikir balik. Makan bawa bekal, minum pun dari sinki tandas. Hahaha. Menyedihkan betul.

Selepas berhenti rehat di stesyen Nurnburg, kami pun mengambil tren ke Wurzburg. Selepas dua jam dari Regensburg, akhirnya kami sampai ke destinasi kami. Kami dipecahkan kepada tiga kumpulan sebab ada tiga tourist guide yang sudah menunggu kami. Wurzburg memang merupakan destinasi tarikan pelancong. Hari ini saja, rasanya ada dalam 50 lebih kumpulan yang datang membuat lawatan di sini. Tourist kami bernama Ingrid. Saya akan menceritakan serba sedikit info yang saya dengar, tapi jika ada tersalah fakta dalam penulisan saya, harap dimaafkan.

Tapak pertama yang kami lawati adalah Juliusspital, sebuah hospital. Salah seorang penerima Nobel dalam Fizik, iaitu orang pertama yang menemui x-ray pernah bekerja di hospital tersebut. Di Wurzburg juga ada dalam 14 penerima hadiah Nobel yang berasal dari University of Wurzburg. Ramai betul. Ingrid juga menceritakan kisah peperangan yang pernah terjadi antara orang Kristian Katolik dan orang Yahudi. Buat pengetahuan anda juga, majoriti penduduk di Bavaria adalah beragama Kristian Katolik. Saya pernah bertanya perbezaan Kristian Katolik dan Kristian Protestan pada Anja sebelum ni. Mereka mempunyai kepercayaan yang sama tetapi prinsip yang berbeza. Kristian percaya pada God Father, Jesus Christ (son of God) dan Maria (holy spirit). Banyak perbezaan Katolik dan Protestan menurut Anja, tapi salah satu bezanya adalah menyembah Maria. Buat Katolik, mereka menyembah Maria dan para Saint tetapi tidak bagi Protestan.


Saya memang boleh nampak betapa Katolik tu merupakan agama yang penting di sini sebab terlalu banyak gereja Katolik di Bavaria dan Regensburg. Bahkan, sebelah Haus Hemma pun gereja Katolik. Anja pun susah katanya nak pergi gereja setiap hari Ahad sebab gereja untuk Protestan terletak jauh sikit dari kawasan tempat tinggal kami. Samalah juga macam susahnya nak cari masjid di sini. Saya tahu ada masjid di Regensburg tapi sepanjang tinggal di sini saya tak pernah nampak mana-mana masjid. Dan kalau nampak pun, mungkin saya tak akan tahu bangunan tu masjid sebab binaannya tak sama dengan masjid di Malaysia.

Berbalik kepada cerita, semasa zaman pemerintahan prince-bishop di Wurzburg, ramai orang Yahudi yang dibunuh, ditahan atau diusir keluar. Bahkan bila jumpa tapak perkuburan orang Yahudi, prince-bishop mengarahkan supaya kawasan tersebut dibersihkan. “And the place we are standing here right now is a former Jewish cemetery,” kata Ingrid secara tiba-tiba semasa kami sedang khusyuk mendengar ceritanya. Masa tu, saya terus pandang tempat saya berpijak. Seriously? Setelah itu, Ingrid membawa kami di hadapan Cathedral (gereja) dan menunjukkan arca lukisan di hadapan gereja sambil menceritakan kisahnya. Dia menceritakan asal-usul macam mana bayi ditiup ke dalam telinga Maria berdasarkan arca yang ada di situ. Saya cuma dengar sajalah.


“Now, we are going to pass through the cathedral to go to the other side,” kata Ingrid lagi. Waktu itu, dah tentulah saya rasa janggal. Tapi Zira pernah cakap pada saya, gereja-gereja di sini dibuka untuk tourist. Saya pun ikut sajalah. Sepanjang hidup saya, tak pernah sekali pun saya masuk gereja atau tempat ibadat agama lain. Jadi mestilah anda boleh bayangkan betapa janggalnya saya, tambahan lagi saya pakai tudung. Masuk ke dalam gereja, saya dapat perhatikan orang-orang yang sedang beribadat. Saya pun mengikut saja Ingrid dan yang lain-lain melintas di hadapan mereka. Dalam hati masa tu berdoa juga supaya tak ada orang yang akan bising bila nampak orang bertudung masuk dalam gereja. Saya tak pandang meliar sangat sebab janggal. Cepat-cepat saya jalan untuk keluar ikut pintu satu lagi. Alhamdulillah, cabaran pertama berjaya. Itu sebelum saya tahu yang saya akan masuk ke sebuah lagi gereja nanti. Sebelum keluar dari pintu, ada bekas berisi air di tepi pintu. Saya melihat pelajar di hadapan saya mencelup tangan ke dalam bekas itu dan menggerakkan tangan ke dahi dan dada, gaya berdoa orang Kristian.

Walaupun cuma beberapa saat melewati gereja, saya berasa sangat lega bila dapat keluar. Bila tengok dari luar, saya baru perasan yang sebenarnya boleh saja kalau nak lalu dari tepi gereja, tak perlu masuk dalam pun. Terasa dumbfounded sikit masa tu. Ingrid kemudiannya membawa kami ke satu muzium yang memaparkan mini replika Kota Wurzburg semasa zaman dahulu. Wurzburg dahulu pernah dibom sehingga musnah hampir keseluruhan kawasan kota, kemudian dibina semula oleh rakyat yang terselamat dalam peperangan. Keluar dari muzium itu, sekali lagi kami dibawa ke sebuah gereja. Kami dibenarkan untuk melihat orang yang sedang beribadat di sebalik pagar besi yang ada dalam gereja itu. Luas juga gerejanya, cuma sekali lagi saya tak tahu nak buat apa di situ. Rakan-rakan yang lain macam khusyuk melihat keseluruhan kawasan gereja. Saya nampak Mia sibuk mengambil gambar dalam gereja, maka saya pun ikut saja perbuatan Mia, daripada khusyuk tengok orang beribadat. Nasiblah kami datang dari arah belakang bukannya lalu tengah-tengah macam gereja pertama tadi. Selepas tengok yang lain keluar, saya pun cepat-cepat keluar.



Bersambung...

Monday 16 September 2019

Misi Mencari Kedai Pakaian Second Hand di Regensburg


Bismillahirrahmanirrahim.

Saya terlepas untuk update tentang hari kesepuluh saya di Regensburg, jadi anggap sajalah penggunaan ‘hari ini’ dalam entry ini adalah hari yang kesepuluh. Saya taklah bercadang untuk update setiap hari, cuma disebabkan rasa ada benda nak kongsi sikit, saya akan share juga cerita hari kesepuluh.

Hari ini, saya tak ada kelas atau program dalam tentatif. Hari bebas. Jadi hari ini, saya dah mula memasak di haus walaupun belum ada rice cooker. Saya gunakan saja periuk yang ada di haus untuk memasak nasi. Disebabkan kalau nak cari ayam kena pergi Al-Medina Markt atau Haupbahnhof yang agak jauh, maka saya cuma goreng telur, kentang dan makan bersama ikan bilis yang bawa dari Malaysia. Bukannya saya makan banyak pun. Cuaca sekarang pun dah bertukar panas, tak macam hari-hari awal saya di Regensburg. Mungkin nanti bila rajin sikit saya akan buat misi mencari ayam di Regensburg.

Selepas Zohor, saya dan Zira membuat misi mencari kedai pakaian second hand. Berdasarkan maklumat dan review yang telah saya Google, terdapat beberapa kedai menjual baju terpakai di Regensburg. Ada dua kedai yang menarik perhatian saya iaitu kedai ReSales dan Peacehand Secondhand yang kebetulan terletak tidak jauh antara satu sama lain. Kami menaiki bas dan turun di perhentian Fischmarkt, berhampiran dengan stone bridge Regensburg. Tak lama kemudian, kami pun menemui kedai ReSales yang dicari. 


Terdapat dua tingkat kedai, dari pakaian kanak-kanak sehinggalah pakaian dewasa. Dirndl (pakaian tradisional Jerman) juga dijual di sini. Harga untuk pakaian kanak-kanak boleh dapat dalam 2 Euro ke atas manakala pakaian remaja atau dewasa boleh didapati dari harga 4 Euro ke atas. Terdapat juga baju-baju berjenama (branded) yang dijual di sini. Saya tak adalah pakar sangat tentang brand baju, tapi Zira yang bagitahu tentang jenama-jenama baju ni.


Saya ingin mencari jaket untuk musim ini dan autumn dulu memandangkan saya cuma bawa sweater saja dan tiada jaket. Jaket yang dibawa pun jaket untuk winter. Dan orang di Jerman pun tak pakai sangat warna-warna striking, rata-rata cuma pakai jaket hitam, coklat atau jaket denims. Ada banyak saiz jaket yang ditawarkan dan saya akhirnya memilih satu jaket coklat untuk kegunaan kasual. Jaket hitam yang lain terlebih besar atau terlebih kecil. Dan harga lebih mahal sedikit berbanding yang coklat tu. Jadi saya membelinya dengan harga 8,90 Euro (lebih kurang RM40). Mahal juga tu kalau convert ke duit Malaysia, tapi kalau dah duduk di Jerman memang harga tu dah dikira murah.

Kemudian kami membelek-belek pakaian di bahagian dirndl sebab Zira teringin nak beli. Setelah membandingkan beberapa helai dirndl, Zira membeli sehelai dirndl labuh yang berlengan panjang. Jarang nak jumpa dirndl lengan panjang dan labuh sampai ke buku lali ni. Tak tahu pula bila masa dia nak pakai dirndl. Mungkin October Fest nanti. Setelah itu saya membelek bahagian tshirt, dan jumpa sehelai tshirt kasual yang saya suka. Harganya 4,90 Euro (RM22). Wah bila convert macam ni dah dalam RM60 juga untuk dua helai pakaian tapi rasanya harga jaket tu kalau di Malaysia pun memang dah mahal. Terdapat juga beg dan jenis pakaian lain yang dijual di ReSales. 

Setakat ini, saya boleh recommend kedai ReSales kepada sesiapa yang berhasrat nak ke Regensburg. Belum jumpa kedai-kedai atau car boot sales lagi ni. Apa yang menarik tentang kedai ni, ada diskaun 50% kepada pelajar pada hari Isnin pertama setiap bulan. Jadi dia memang nak suruh saya datang setiap bulan ni. Dan ada cop juga kalau kumpul, boleh dapat diskaun. Pekerja yang bekerja di situ juga ramah dan mesra melayan pelanggan. Kali ini, ulasan di Google tak menipu. Zira membeli lebih banyak baju di ReSales, padahal saya yang mengajak dia ke situ.

Selepas selesai membuat pembayaran, kami bergerak pula ke lokasi kedua iaitu kedai Peacehand Secondhand. Tak susah pun nak cari. Tapi pakaian di kedai Peacehand ni harganya lebih mahal sedikit berbanding kedai ReSales tadi. Cuma kalau nak beli pakaian winter di situ, banyak juga pilihan yang cantik dan menarik. Terdapat juga kasut dan beg yang dijual dengan harga diskaun. Ada juga beberapa baju winter yang menarik di situ dengan harga 20 Euro ke bawah, tapi mungkin saya akan cuba mencari tempat-tempat lain yang mungkin menawarkan harga lebih murah. Akhirnya kami tidak melakukan sebarang pembelian di Peacehand. Elok juga kami masuk ReSales dulu sebelum Peacehand, tak adalah menyesal kalau terbeli pakaian di yang lebih mahal dari ReSales. 

Setelah itu, kami singgah di stone bridge dulu untuk menikmati pemandangan sebelum pulang ke haus. Untuk hari ini, saya dah belanja dalam 13 Euro. Kira sikitlah tu. Haha. Nanti saya akan cari lagi kedai pakaian yang murah atau car boot dari semasa ke semasa. Harap dapat jumpalah baju yang harganya sekitar 2-4 Euro macam tu.

Saya kongsikan juga gambar-gambar di sekitar Stone Bridge untuk tatapan semua.





Saya harap anda akan ikuti entry saya yang seterusnya, sebab entry selepas ini lebih menarik tentang trip saya ke Wurzburg! Jumpa di entry seterusnya.

Regensburg 5:51 pm 15 Sept
Malaysia 11:51 pm 15 Sept