Sunday 22 July 2012

Snap: Malaysian National Scrabble Championship 2012


First round.

 Waiting for our dinner to be served.

Getting ready for the second day competition.

Those great scrabble players.

 Feeling sad to leave.

A memorable moment at the sea. From left Mieza, Wansha, me and Hanum. 


CREDITS TO: MISS SHYLA WILLIAM

Saturday 21 July 2012

Cerpen: Ramadhan Pertama


Ramadhan. Bulan yang sungguh mulia dan suci, melebihi bulan-bulan yang lain. Syaitan diikat dan dikurung, cuma malaikat yang menemani amal jariah yang manusia kerjakan sepanjang bulan istimewa ini. Bulan di mana manusia diberikan peluang untuk mengikat hawa nafsu masing-masing daripada melakukan perkara yang sia-sia. Waktu di mana hamba-hamba Allah yang kaya belajar bagaimana rasanya untuk hidup susah persis orang miskin serta fakir di luar sana.

Hari ini merupakan hari pertama Ramadhan. Ramadhan pertamaku tanpa keluarga. Aku tinggal di sebuah pangsapuri yang baruku beli tahun lepas. Aku baru pindah ke sini beberapa bulan lalu. Pagi tadi, aku berjaya bangun tanpa dikejutkan oleh orang tuaku untuk sahur seperti kelazimannya. Setelah bersiap-siap, akhirnya aku keluar dari pangsapuri untuk menghirup udara pagi kota. Suasana di kawasan baruku ini memang lain daripada suasana yang dulu, malah jauh berbeza.

Aku jadi teringat akan kenanganku zaman kanak-kanak. Dulu, setiap kali keluar rumah, pasti aku dapat melihat pesona sawah padi yang terbentang luas. Warna hijau menyelubungi pemandanganku. Udara di kampung dingin sekali. Aku pasti dapat mendengar nyanyian merdu burung-burung setiap hari. Dan rutin Ramadhan yang pasti tidak akan kutinggalkan ialah menunggang kerbau kesayanganku, Cokelat untuk memberikan kuih-muih kepada penduduk kampung, setakat yang aku mampu. Apabila jam sudah hampir menunjukkan enam petang, aku akan membawa Cokelat pulang. Setelah mengikatnya pada pokok, aku akan terlari-lari anak masuk ke dalam rumah dan menunggu azan tiba. Ah, indahnya kenangan dulu.

“Zara! Zara!” satu suara berteriak memanggilku dari belakang. Aku menoleh, melemparkan sekuntum senyuman buatnya. Seorang wanita yang berkaca mata, bertudung hitam serta berpakaian kasual menghampiriku. Rabiatul Adawiyyah. Jiranku yang kebetulan sama tempat kerjanya denganku.

“Eh, awak kerja ya hari ni?” aku menyoalnya setelah hairan melihat pakaiannya.

“Terpaksa. Hari ini bos ada mesyuarat penting. Mungkin saya pulang lewat, tak jadi berbuka dengan awak petang nanti. Maafkan saya,” ujarnya lembut sambil diiringi tiupan bayu pagi kota. Tudungnya terbuai-buai, persis perasaannya yang terbuai-buai dek rasa bersalahnya terhadapku.

Aku menghadiahkannya senyuman lagi. Tanganku perlahan-lahan menyentuh bahunya. “Jangan bimbang. Saya tak marah awak pun. Pergilah kerja kerana Allah. Laksanakan tanggungjawab awak tu. Saya boleh berbuka sendirian, tidak mengapa,” aku membuat cubaan untuk menyedapkan hatinya. Rabiatul Adawiyyah tersenyum suka. Dia mengangguk dan setelah bersalaman denganku, wanita itu segera menuju ke tempat parkir untuk mengerjakan amanahnya yang satu itu.

Beberapa minit setelah Rabiatul Adawiyyah menghilang, aku masuk ke dalam kereta dan menghidupkan enjinnya. Aku berniat untuk bersiar-siar di kota, memandangkan hari ini aku cuti. Siapa tahu aku dapat menimba pengalaman dan ilmu baru.

Keretaku bergerak perlahan, sengaja. Menghayati pemandangan di sekeliling. Sesekali mataku tertancap pada figura anak-anak kecil yang berlari-lari di hadapan kedai sepanjang jalan. Riak wajah kegembiraan jelas terpancar pada wajah masing-masing. Tiba-tiba, aku melihat seorang wanita buta yang tua hendak melintas jalan. Segera aku matikan enjin dan keluar dari kereta untuk membantunya. Setelah selesai melintas jalan, wanita itu mengucapkan terima kasih kepadaku. Aku terasa gembira dan bersyukur kerana telah melakukan satu kebaikan. Aku memerhatikan mak cik itu sehingga cucunya datang menjemput. Namun, tatkala aku berpusing belakang, suatu objek telah menghentamku.

Tubuhku tidak dapat melakukan respons dan akibatnya aku terjatuh di atas lantai jalan. Mujur tidak ada apa-apa yang terjadi. Aku mendongak, ingin mencari tahu siapa yang telah berlanggaran denganku sebentar tadi. Seorang lelaki tinggi yang berkaca mata hitam, bersonngkok dan memegang beg komputer riba sedang berdiri di hadapanku dengan perasaan serba salah kerana melanggarku sebentar tadi. Lelaki yang cukup kukenali.

“Zara? Saya minta maaf. Saya guna handphone tadi, cakap dengan klien. Maaf sebab tidak perasan,” lelaki itu kekal statik di posisinya sambil memerhatikan aku bangun. Aku tahu, dia tidak mungkin akan membantuku, memegangku dan sebagainya seperti yang mungkin dilakukan oleh orang lain.  Aku sekadar menggeleng, tanda tidak mengapa. Mataku kutundukkan.

Angin tengah hari datang menghembusku diiringin sirna matahari. Situasi yang agak janggal di situ. Farouq kelihatan kekok. Begitu juga aku. Namun, lelaki itu akhirnya berani memecahkan kesunyian yang mengunci.
“Umi ajak awak makan malam di luar malam ni, itu pun kalau awak sudi. Alang-alang saya jumpa awak, saya sampaikan hasrat umi tu,” dia tersenyum mesra. Senyuman yang pastinya tidak ketinggalan tatkala berbicara dengan orang. Lidahku jadi kelu, tidak tahu untuk menutur apa. Memang setiap kali aku begini seandainya berhadapan dengan lelaki.

“Saya tengok dulu, nanti insyaAllah saya hubungi umi Encik Farouq.”

“Dah berapa kali saya beritahu, jangan panggil saya Encik. Kita ni, sama-sama hamba Allah, tidak ada bezanya. Erm, saya pergi dulu ya, assalamualaikum.” Lelaki itu setapak demi setapak pergi. Aku tahu, dia sengaja tidak mahu berlama-lama denganku. Bukan kerana tidak suka, tetapi kerana kami masing-masing mahu menjaga hati, tambahan pula dalam bulan Ramadhan yang suci ini.

Entah kenapa, pertemuanku dengannya membuahkan satu perasaan yang gembira, bercakap dengannya membuatkan hatiku diserang getaran yang kuat.

Zap! Dalam kealpaanku, tas tanganku berjaya diragut oleh seorang anak muda remaja yang sedang berlari laju. Aku tergamam. Beberapa orang yang melihat kejadian tersebut mengejarnya. Aku juga turut mempercepatkan langkahku. Doaku agar barang-barangku tidak hilang. Aku berharap supaya Allah melindungiku. Tiba di sudut persimpangan jalan, orang ramai sedang berkerumun. Sah, remaja yang separa terbaring di tengah-tengah bulatan itu merupakan orang yang telah meragutku tadi. Wajahnya kelihatan cemas dan takut. Dalam situasinya itu, apa pun boleh terjadi. Aku segera menghampiri mereka.

“Sudah, cukuplah. Jangan diapa-apakan budak ini,” gesaku dalam nada yang tegas.

Seorang lelaki yang berbadan sasa bersuara, “Kenapa pula? Dia layak dihukum, siapa suruh ragut barang orang. Ibu bapa manalah yang didik dia sampai jadi macam ni!”

Manusia. Bila orang buat salah, ibu bapa juga yang dituduhnya. Aku sedikit geram.

“Jangan menghukum orang tanpa usul periksa,” nada suaraku masih serius. Aku menyoal anak itu berulang-ulang kali. Dia kelihatan sangat takut, tetapi setelah kupujuk berkali-kali, barulah dia menceritakan tentang adiknya yang demam. Dia memerlukan wang untuk membeli ubat.

“Adik, niat adik tu mulia. Cuma cara adik tu yang salah. Ingat, matlamat tidak menghalalkan cara. Adik tahu kan meragut tu berdosa, tambah-tambah lagi ni bulan puasa. Jangan ulangi lagi, ya?” ujarku lantas menyerahkan sekeping not RM10 kepadanya. Setelah anak remaja itu beredar, aku juga turut membuntuti tingkahnya. Malas mahu berlama-lama dalam kerumunan orang ramai seperti itu. Ucapan terima kasih kuhadiahkan kepada orang ramai.

Aku mengeluh panjang. Manusia sanggup berbuat apa sahaja, asalkan kemahuan mereka dituruti. Sebenarnya, kita harus ingat bahawa mata Allah sentiasa melihat kita walau di manapun kita berada. Allah sentiasa mengawasi gerak-geri kita.

“Buzz! Buzz!” telefon bimbitku berbunyi menandakan ada panggilan masuk. Aku menjawabnya. Ibu kepada Farouq yang menelefon, seperti yang telah aku agak.

“Waalaikumussalam, mak cik. Apa khabar?”

“Sihat, Alhamdulillah. Kan dah berapa kali umi cakap, jangan panggil mak cik. Panggil umi. U-M-I. Sekejap lagi Zara akan jadi anak umi juga.”

“Baiklah umi.”

“Ha, macam itulah. Sebenarnya umi telefon ni nak ajak Zara berbuka puasa di luar malam ni, dengan abah. Farouq pun ada sekali tahu.”

“Zara dah tahu. Tadi Zara terserempak dengan Encik Farouq. Dia yang beritahu.”

“Encik? Zara, dia tu tunang Zara la. Tak payahlah berencik-encik. Panggil abang je. Sekejap lagi dia jadi suami Zara juga. Apa la Zara ni,” umi bertegas mahu aku rapat dengan keluarganya. Dia tidak mahu aku terus-menerus formal. Aku bukannya tidak mahu, cuma sedikit segan. Belum biasa.

“Baiklah umi. Tadi Abang Farouq dah beritahu.”

“Hurm. Ok la kalau macam tu. Jangan lupa ya. Nanti umi mesejkan nama restoran tu. Atau Zara nak Farouq yang jemputkan?”

“Eh! Tak payahlah umi! Zara boleh pergi sendiri. Lagipun Zara cuti hari ni. Tak payah susahkan Abang Farouq.”

“Ala, sebenarnya dalam hati nak, kan?” Umi mengusikku. Umi memang suka mengenakan aku dan tunangku itu. Meskipun kami telah bertunang, tetapi kami bukan seperti pasangan yang lain, keluar sana sini sesuka hati, berjumpa siang dan malam. Farouq berapa kali menegaskan yang kami hanya akan keluar bersama setelah bernikah nanti. Farouq ada pegangan agama yang kukuh, mungkin kerana itulah hatiku jadi tertambat padanya.

Setelah menamatkan perbualanku dengan umi, aku menerima pula satu lagi panggilan telefon. Entah dari siapa pula kali ini.

“Ya, waalaikumussalam. Kenapa dik?”

“Kak Zara!” suaranya teresak-esak seperti orang yang sedang menangis. Tingkahnya itu mengkhuatirkanku. Dahiku sudah mulai berkerut.

“Ayah… ayah kemalangan jalan raya.”

“Apa?” Seribu jenis perasaan bertandang dan menyerbu hatiku. Sedih, terkejut, risau, cemas, semuanya ada. Apakah benar perkhabaran yang telah kuterima ini?

“Ayah meninggal dunia.” Zappp!!! Hatiku seolah-olah dirobek dan disiat-siat. Air mata kewanitaanku jatuh berderai melewati kelopak mataku lantas membasahi pipiku. Aku terduduk di atas jalan, langsung tidak peduli apa kata orang.

Angin tengah hari masih erat membelai tubuhku. Tudung labuhku terbuai-buai ingin mengikut angin. Inilah Ramadhan pertamaku untuk tahun ini. Allah… Inikah takdir yang telah Kau tentukan buatku? 



Nurina Izzati
Shah Alam, Selangor 
5:01 pm



Alhamdulillah, setelah sekian lama saya tidak menulis di blog ini, saya kembali menulis pada hari ini. Kebetulan, hari ini merupakan hari pertama umat Islam menyambut Ramadhan al-Mubarak untuk tahun ini, maka Ramadhan telah memberikan saya inspirasi untuk menulis cerita ini. Moga ada manfaatnya buat kalian, insyaAllah. Salam Ramadhan. ^^