Tuesday 16 December 2014

Wisma TV Angkasapuri dan Perkongsian Berita Baik



Assalamualaikum. Selamat pagi semua. 

Seperti yang pernah saya ceritakan sebelum ni, saya telah menjadi penonton rancangan Apa Kata Wanita yang dirakamkan di Wisma TV Angkasapuri atau Stesyen RTM. Ibu saya telah diundang untuk mewakili pertubuhannya bercakap tentang kosmetik tempatan dan cara penghasilan sabun dari rumah. 


Malam sebelum saya bertolak ke Kuala Lumpur, kami berkumpul dulu di Kulim Mall untuk menunggu bas. Semua yang pergi merupakan ahli PRUMERA, sebagai sokongan kepada pertubuhan tersebut. Marisa Yasmin pun ada untuk bagi sokongan, tetapi sekejap saja beliau datang ke Kulim Mall.

Selain syarikat Karangkraf, rasanya ini merupakan kali kedua saya berkunjung ke sebuah syarikat besar dan menyaksikan sendiri proses gerak kerjanya. Saya memang selalu menyimpan hasrat untuk melawat syarikat-syarikat penyiaran sebegini. Harapnya satu hari nanti dapat pula ke Media Prima atau ASTRO. 

Apa yang menarik tentang tempat sebegini ialah kita boleh sedikit sebanyak mengetahui kerja-kerja balik tabir yang menjayakan rancangan atau drama di kaca televisyen. Sewaktu saya sampai ke sana, rancangan Selamat Pagi Malaysia sedang dirakamkan secara langsung. Antara jemputan yang ditemubual pada pagi itu ialah seorang pakar mata dan ada juga seorang penulis jika tidak salah saya.

Ibu saya agak gementar, tetapi alhamdulillah sesi bual bicara itu berjalan dengan baik. Aunty Zam seorang pengacara yang cekap. Tak perlukan skrip pun. Patutlah boleh jadi selebriti. Kalau saya jadi pengacara tidak berskrip, hancur agaknya majlis yang sedang berlangsung itu. 

Selesai rakaman satu jam untuk PRUMERA, kami sekali lagi menjadi penonton untuk rakaman Prof Muhaya selama satu jam. Slot Prof Muhaya mungkin akan ditayangkan dalam beberapa minggu dari sekarang. Prof Muhaya menghadiahkan jurnal tulisannya secara percuma kepada semua penonton. Saya juga sempat meminta autograf dan bergambar dengan beliau. Bagi saya, susah nak jumpa pakar motivasi seperti beliau jika kita tak terlibat dalam program yang berbayar. Alhamdulillah, banyak input yang Prof sampaikan berkenaan azam tahun baru. Kalau nak dengar, anda perlulah menonton AKW sendiri.

Saya tak mahu menaip panjang, cukuplah saya berkongsi beberapa foto yang saya ambil sendiri dan yang diciplak dari Facebook AKW






Saya juga ada satu berita baik untuk dikongsikan dengan anda. Saya pernah menulis entry tentang passport sebelum ni. Boleh baca di SINI. Ya, insya Allah, beberapa hari lagi saya dan keluarga akan bertolak ke tanah suci Mekah untuk menunaikan umrah. Packing pun dah siap. Alhamdulillah, saya sangat tidak sabar untuk ke sana. Bukan senang untuk dapat peluang sebegini. Saya memang perlukan masa untuk berehat dan menenangkan minda di sana, tanpa terikat dengan sebarang perkara yang mengganggu. Mengisi rohani yang masih lagi kosong. Mencari jalan mendekati Tuhan. 

Terima kasih kepada rakan-rakan yang mendoakan perjalanan saya. Saya amat menghargai doa kalian. It means a lot to me. Insya Allah, pulang dari umrah nanti, saya akan berkongsi pengalaman saya di sana. 



Thursday 11 December 2014

Nurina Akan Keluar TV??



Tak ada maknanya...

Cuma, lebih kurang begitulah. Ibu saya telah dijemput ke sebuah program bual bicara RTM iaitu Apa Kata Wanita bersama Zamzarina. Mungkin ramai dalam kalangan anda yang telah lama mengikuti program ini, dan mungkin juga ada yang langsung tidak tahu tentang kewujudannya. Jujurnya, saya juga tidak mengikutinya. 

Apa Kata Wanita merupakan sebuah program bual bicara tentang permasalahan semasa yang melibatkan kaum wanita di Malaysia. Ibu saya akan mewakili sebuah pertubuhan kosmetik iaitu PRUMERA dan bakal berkongsi tentang info kosmetik-kosmetik di Malaysia.


Oleh itu, saya akan mengikutinya ke studio atau sri pentas atau ke mana sahaja lokasi rancangan tersebut diadakan. Ya, secara teknikalnya, berkemungkinan juga saya akan keluar tv sebagai penonton nanti. Kepada pembaca yang berminat untuk mengetahui lebih mendalam tentang industri kosmetik kita, jangan lupa saksikan rancangan ini di TV1 pada Sabtu (13 Disember) jam 11 pagi.

Saya tahu, ibu saya sedang berdebar-debar menunggu hari Sabtu kerana ini merupakan pertama kali beliau akan keluar di kaca televisyen yang ditonton oleh jutaan rakyat Malaysia. Ibu saya mempunyai minat yang sangat mendalam dalam bidang kecantikan, kosmetik, dan keusahawanan, jadi saya pasti segalanya akan berjalan dengan lancar nanti. Insya Allah. Sayangnya, minat beliau itu langsung tidak diwarisi oleh anaknya ini. 

Saya sebenarnya ada juga terfikir untuk terlibat dalam bidang penyiaran, cuma saya tidak mahu keluar televisyen. Saya mahu bekerja di sebalik tabir sahaja, iaitu sebagai pengarah. UhukOh ya, berkemungkinan juga Prof Muhaya akan berada di studio nanti. Harap dapat bertemu dengan beliau, insya Allah.

p/s: Maaf entry ringkas sahaja. Ada tugasan lain yang perlu dilakukan. Assalamualaikum. ^^

Wednesday 10 December 2014

Buku-buku Kegemaran Saya



Assalamualaikum!

Alhamdulillah, semalam buku Catatan Mat Luthfi yang saya pesan secara online telah sampai dan saya telah pun selesai membacanya. Tepuk tangan untuk diri sendiri! Ceh.

Disebabkan saya pernah membaca novel Isabella karya Abdul Latip Talib, rasanya tak lengkap jika saya tak beli kesinambungannya. Oleh itu, saya juga turut memesan novel Runtuhnya Islam Andalusia.  Terima kasih ptsbookcafe atas komik dan cd percuma yang turut disertakan. 

Alang-alang saya bercerita tentang buku, saya terdetik untuk berkongsi beberapa bahan bacaan yang saya suka, mungkin juga boleh dijadikan rujukan buat anda. Untuk pengetahuan anda, saya turut ada hobi untuk mengumpul tanda tangan penulis. Saya akan jadi sangat teruja apabila dapat bertemu dengan penulis-penulis sendiri. Saya suka baca apa sahaja jenis bahan bacaan kecuali novel cinta. Dan juga buku-buku pelajaran yang memerlukan saya untuk menghafal. Maafkan saya, cikgu. Saya suka lakukan sesuatu secara minat dan kerelaan, bukan sesuatu yang mendesak dan terpaksa seperti penghafalan. Adik-adik tolong jangan contohi Kak Nurina.


Antara buku yang menjadi kegemaran saya ialah Mengemudi Bahtera Perubahan Minda tulisan Dr. Asri 400 halaman). Buku ini adalah pemberian daripada blogger Pena Maya. Saya suka pemikiran Dr. Asri dan buku ini mengumpulkan himpunan tulisan beliau dalam kolum Mingguan Malaysia. Buku ini menyentuh aspek kemasyarakatan, ekonomi, hiburan, politik, dan sebagainya. Bila baca buku ni, memang saya rasa sangat cetek ilmu di dada. Banyak pengetahuan baru yang saya peroleh, alhamdulillah. Buku ini diterbitkan oleh Utusan Publications & Distributors berharga RM35.


Seterusnya, buku pilihan saya ialah The Choice – Dialog Islam & Kristian tulisan Ahmed Deedat (433 halaman). Buku ini merupakan hadiah daripada kakak saya sempena ulang tahun kelahiran saya tahun lepas. The Choice sudah terjual melebihi satu juta naskhah di pasaran. Tidak hairanlah buku ini boleh menjadi buku best seller. Mengisahkan kajian dan penyelidikan Ahmed Deedat selama bertahun-tahun tentang Kristian; Triniti, penebusan dosa, penyaliban dan keaslian Bible. Buku ni dapat menarik pembaca untuk berfikir dan membezakan yang mana benar dan yang mana salah. Terbitan Kharisma Network dan harganya cuma RM29.


Novel Sebarkan Cinta-Mu ini pula adalah hasil karya penulis yang tidak asing lagi iaitu Fatimah Syarha Mohd Noordin (874 halaman). Saya dapat novel ini ketika Hari Anugerah Cemerlang di SMK Sultan Badlishah beberapa tahun yang lepas. Walaupun tebal, agak berbaloi juga membacanya. Saya dapat menambah pengetahuan tentang kekeluargaan, perkahwinan, poligami, dan sebagainya. Jangan ingat orang yang sudah berkahwin sahaja yang perlu membaca novel ini. Banyak puisi dan coretan yang menyentuh hati diselitkan di dalamnya. Cubalah beli dan baca. Terbitan PTS Litera Utama berharga RM31.


Novel Hijrah tulisan Abdul Latip Talib (618 halaman) ini memang favourite saya antara kebanyakan novel yang lain. Novel ini hadiah ulang tahun kelahiran saya yang ke-15 daripada seorang rakan. Saya memang suka apabila mendapat hadiah novel dan buku. Bermula daripada novel Hijrah inilah saya menggemari karya-karya Pak Latip. Saya mengumpulkan koleksi buku-buku sejarah Islam tulisan beliau. Novel ini bukannya buku yang berkisarkan fakta semata-mata, tetapi fakta yang disampaikan melalui gaya penceritaan yang sangatlah menarik. Mengisahkan daripada awal kelahiran Rasulullah, proses hijrah, sehinggalah zaman kegemilangan Islam. MasyaAllah buku ini memang tiada tolok bandingnya. Anda perlu mendapatkan novel ini di rak buku anda. Terbitan PTS Litera Utama berharga RM35.


Selain membaca buku-buku motivasi dan sejarah Islam, saya juga membaca novel awal remaja dan novel remaja. Novel-novel kategori ini saya baca untuk menggerakkan imaginasi saya mendapatkan ilham untuk berkarya. Salah satu novel awal remaja yang saya minat ialah Dunia Sains Aiman tulisan Umi Kauthar Abd Razak. Salah satu daripada siri novel ini dihadiahkan oleh jiran saya sewaktu ulang tahun kelahiran saya yang ke-13 dulu. Eheh. Banyak unsur sains yang menarik diketengahkan oleh pengarang dalam novel ini, sesuai dengan perkembangan minda remaja kini. Dulu saya adalah juga bercita-cita nak jadi saintis tetapi sekejap sahaja sebelum saya bertukar ke cita-cita yang terbaru. Novel ini terbitan PTS One dan boleh didapati dengan harga sekitar RM13 sahaja. Sesuai untuk dihadiahkan kepada adik-adik anda dan anda sendiri boleh membacanya.


Bagi kategori novel remaja pula, novel-novel inilah yang mendominasi keseluruhan koleksi buku saya. Penulis novel remaja kegemaran saya ialah Hilal Asyraf. Banyak tanda tangan beliau yang saya kumpul. Novel beliau yang paling saya gemari ialah novel VT (Volleyball Team). Hilal Asyraf pernah beritahu dalam salah satu bengkel penulisan beliau yang novel ini pernah dipertikaikan kerana semua wataknya adalah lelaki. Mana ada orang yang mahu membawa cerita satu jantina. Beliau membuktikan persepsi tersebut adalah salah apabila novel ini terbukti menarik minat ramai terutamanya golongan remaja. Mengisahkan perjuangan sekumpulan pelajar MATRI untuk menegakkan ibadah dalam bersukan. Terbitan Galeri Ilmu dengan harga RM25.

Terdapat banyak lagi bahan bacaan yang saya minat, tetapi jika mahu diceritakan semua, memang entry ini tidak akan habis. Selain yang telah dinyatakan, saya juga minat novel thriller English dan komik yang bermotivasi seperti karya Afiq & Nazry Salam. Sejujurnya, saya tidak tahu apa yang mahu dilakukan dengan buku-buku dan novel-novel di rak saya. Hendak jual pun rasa sayang kerana kebanyakannya ada autograf penulis. Ada yang saya cuba jual di kedai ibu saya dengan harga diskaun tetapi kurang mendapat sambutan. Sesiapa ada cadangan?

p/s: Gambar-gambar di atas adalah hasil carian Google bukan milik saya.

Monday 8 December 2014

Majlis Makan Malam & Engagement Perdana



Assalamualaikum.

Ya, seperti tajuk di atas, saya ingin berkongsi tentang majlis makan malam yang saya hadiri baru-baru ini. Sebenarnya Majlis Engagement Perdana ini dianjurkan untuk menghargai dan mengeratkan lagi pihak kerajaan dengan usahawan di negeri Kedah. Ibu saya telah menempah tiket untuk kami sekeluarga, dan nampaknya usahanya tidak sia-sia sahaja kerana beliau telah berjaya memenangi anugerah dalam majlis tersebut.

Sepatutnya, majlis ini turut dihadiri oleh Menteri Besar Kedah tetapi mungkin beliau tak dapat hadir atas urusan lain. Majlis ini diadakan di TH Hotel Alor Setar. Termasuk kali ini, sudah dua kali saya menginap di TH Hotel. 

Apa yang menarik tentang TH (Tabung Haji) Hotel ini adalah konsepnya yang menekankan cirri-ciri Islam dalam pengurusan dan pentadbiran. Ada kolam renang yang disediakan khusus untuk muslimah. Pekerjanya juga akan memberikan salam apabila bertembung dengan tetamu hotel. Anda juga boleh menemukan al-Quran tafsir yang tersimpan di dalam laci di setiap bilik hotel. Sudah dua kali saya menginap di situ, setiap kali itu juglah saya nampak pengantin yang menjadikan TH Hotel sebagai persinggahan sementara.


Majlis makan malam tersebut diadakan di ball room hotel. Saya agak teruja kerana ada karpet merah yang terbentang dari hujung pintu masuk sehingga ke pentas utama. Ada juga pentas yang disediakan untuk photoshoot dengan bayaran sebanyak RM15 sekeping, mungkin khas untuk program ini saja. Gaya macam artis pula dengan karpet merah segala.

Alhamdulillah, makanan yang dihidangkan sedap. Ada pelayan yang ditugaskan di setiap meja makan. Ibu saya tidak duduk sekali dengan kami kerana disuruh duduk di meja VIP nun jauh di hadapan pentas. Pelayan yang bertugas di meja kami nampak gementar, first time kot. Hidang makanan pun sampai tertumpah. Tak apalah, kalau saya yang jadi pelayan mungkin bukan nasi saja tumpah, sampai minuman pun tersimbah agaknya.


Selesai menjamah hidangan, barulah majlis diteruskan dengan penyampaian anugerah kepada para usahawan yang berjaya dalam kategori yang berlainan. Alhamdulillah, rezeki ibu saya telah terpilih sebagai penyewa premis MARA terbaik. Congratulations mum! You deserve it.