Thursday 25 January 2018

Refleksi 2017

Bismillahirrahanirrahim.

Assalamualaikum.

Seperti biasa, setiap kali masuk tahun baru, saya akan membuat refleksi terhadap perkara yang telah saya lakukan sepanjang tahun yang sebelumnya. Tahun 2017, adalah tahun yang banyak memberikan pengalaman bermakna buat saya, terutamanya dalam kehidupan saya di universiti. Alhamdulillah, semua yang saya lalui, memang bernilai dan banyak mengajar saya. Saya bersyukur kerana telah melalui satu lagi tahun dalam fasa kehidupan saya. Belum tentu lagi saya dapat lalui tahun 2018, dan juga tahun-tahun yang seterusnya. Jadi, nikmatilah saat-saat lepas, dan momen yang sedang kita alami kini.

Fasa terbesar dalam hidup saya pada tahun ini, adalah menguruskan sebuah projek yang saya kira, agak besar bagi saya. Projek ke Sabah dan Sarawak, negeri-negeri yang asing buat saya. Bukan mudah nak uruskan projek besar seperti itu, dan saya tidak tahu bagaimana saya boleh survive menjalankan projek tersebut. Saya juga banyak terlibat dalam program-program universiti pada tahun 2017, tetapi tidak semuanya saya berkesempatan untuk kongsikan di blog Nafas Baru.

Jom baca pencapaian saya pada tahun 2017. Boleh klik pada tajuk sekiranya berminat untuk membaca lebih lanjut. Kalau berminatlah. Haha.


Integrasi Borneo ni merupakan projek besar bagi saya. Banyak pengalaman yang saya peroleh melalui projek ini dan impaknya terhadap saya, memang tidak ternilai. Melalui projek ini juga, saya boleh katakan banyak mengajar saya untuk menjadi lebih ‘detail’ dalam sesuatu perkara. Puas rasanya bila menjelajah ke 7 buah sekolah, dan memberikan senyuman kepada pelajar-pelajar sekolah tersebut. Perjalanan dalam bas yang berjam-jam lamanya, tetapi dipenuhi oleh keriangan daripada peserta projek. Saya memang tidak mampu untuk gambarkan kepuasan menyertai projek ini. Alhamdulillah, Integrasi Borneo 5.0 telah mendapat respon positif banyak pihak dan artikel program ini turut terpampang di akhbar.



Program ini juga merupakan satu program yang besar bagi saya kerana saya memegang peranan yang agak penting juga. Saya perlu mencari peniaga-peniaga yang ingin berniaga di karnival tersebut, dan menguruskan semua yang berkaitan dengan koridor niaga. Jujur saya katakan, di sini juga saya belajar mengenal ragam manusia yang berbeza-beza. Bukan mudah untuk puaskan hati semua orang. Apa pun, saya puas hati kerana mendapat pasukan yang boleh memberikan kerjasama baik terhadap saya. Karnival ini bagi saya, juga merupakan satu kejayaan besar buat saya bagi tahun 2017.



Konvensyen ini juga, salah satu program yang memberikan impak kepada saya. Saya menjelajah lagi ke sekolah di Kuala Lumpur, dan juga menjadi pengerusi majlis di sekolah tersebut. Lama rasanya saya tidak dipanggil untuk menjadi pengacara majlis mana-mana program. Nampak sangat tak laku. Eheh. Menghadiri sebuah konvensyen, dan membawa nama universiti, bagi saya merupakan satu penghargaan buat diri saya sendiri. Bukan semua orang bertuah untuk mendapat peluang sebegini. Harapnya, insyaAllah saya akan dapat sertai program-program hebat seperti ini lagi.



Tahun 2017, berjaya juga blog Nafas Baru menganjurkan satu Giveaway kepada para blogger lain di luar sana. Giveaway ini merupakan giveaway ketiga yang pernah saya anjurkan. Lebih banyak kita memberi, lebih banyak kita menerima, bukan? Nantikan giveaway saya yang seterusnya ya.



Alhamdulillah, saya merupakan pelajar yang menerima PPBU daripada YBR. Bukannya senang untuk mendapatkan biasiswa sekarang ni disebabkan terlalu banyak persaingan dan kekurangan tawaran. Jadi, bagi saya, PPBU ni sangat membantu. Semua pelajar tajaan YBR telah dihantar untuk mengikuti Student Development Program (SDP) di Primaland Resort & Convention Centre. Sambil-sambil berprogram, kita holiday sekali.



Kalau tahun 2016, anugerah terbesar buat saya adalah Anugerah Kepimpinan dari JKKK Kampung, tahun 2017, anugerah Pengarah Projek Terbaik adalah anugerah yang saya tidak sangka boleh saya terima. Terima kasih kepada semua yang telah memberikan kepercayaan kepada saya.



Berjaya juga saya menghasilkan sebuah filem pendek tahun lepas. Alhamdulillah, ramai yang memberikan respon positif, tetapi lebih ramai yang ketawa disebabkan pelakon-pelakonnya. Kepada sesiapa yang belum menonton lagi, silakan berbuat demikian.


Banyak lagi perkara yang terjadi kepada saya sepanjang tahun lepas dan alhamdulillah, semua yang telah terjadi itu banyak memberikan nilai kepada saya. Saya akan mengaplikasikan pengalaman yang telah saya peroleh, dan memanfaatkannya untuk tahun 2018, dan tahun-tahun yang mendatang. Banyak lagi episod yang perlu dicorakkan dalam kehidupan ini. Semoga lebih banyak perkara yang dapat saya sumbangkan kepada masyarakat. Seperti quote yang selalu saya pegang, “The most beneficial person are those who contribute to the society.”

Itu adalah cerita 2017 saya. Anda pula bagaimana?