Tuesday 28 May 2013

Cerpen: Beku - Majalah Yezz! keluaran Jun 2013


Bagi ku, dia seorang yang unik. Dalam kelas, dialah orang pertama yang akan menyiapkan tugasan sekolah dan semua pertanyaan yang dilontarkan oleh guru mampu dijawabnya dengan pantas dan tepat. Sudah lama aku perhatikan dirinya. Bila tiada guru di dalam kelas, dia cuma berdiam diri. Ramai yang kata lelaki itu sombong. Tetapi, aku tidak rasa begitu. Mungkin ada sesuatu dalam diri Fariz yang dirahsiakan, tetapi aku tidak tahu apa.

Sudah beberapa kali aku cuba menghampiri pelajar itu, namun dia cuma mendiamkan diri. Aku melihat kesakitan dalam matanya. Seolah-olah hatinya sedang menjerit ‘Bebaskan aku…’

“Awad, kau tak nak balik lagi?” suatu sergahan mengejutkan aku. Si Rasyad rupanya. 
Aku sekadar menggeleng. 

“Kau baliklah dulu dengan kawan-kawan yang lain, Cad. Aku ada hal,” mulutku bersuara, tetapi mataku asyik memerhatikan Fariz. 

Rasyad memegang bahuku seraya berkata, “Kau jangan macam-macam dengan budak tu sudahlah. Aku tak suka dia. Dia pelik.” 

Aku kembali memerhatikan Rasyad pula yang berlalu pergi bersama rakan-rakan yang lain. Hujan renyai-renyai sejak tadi berterusan. Kalau tunggu lebih lama, mungkin awan sudah tidak sanggup bertahan dan terpaksa memuntahkan bebanan yang ditanggung. Tetapi Fariz.. kenapa dia masih tidak mahu berganjak dari situ? Adakah dia memang manusia pelik seperti yang mereka katakan? 

***

Sambungannya dalam: 

MAJALAH YEZZ!
KELUARAN JUN 2013


 photo sign-2_zps160b16ac.png

Saturday 11 May 2013

Selamat Hari Mematangkan Diri, Kawan



10 Mei 2013 merupakan satu tarikh di mana salah seorang sahabat saya, Farhahnajihah telah secara rasminya bergelar seorang remaja berusia 17 tahun. Sebenarnya saya sudah lama menunggu hari ulang tahun kelahirannya sejak bulan lepas lagi. Bahkan, ada satu kisah lucu yang terjadi sewaktu saya pergi membeli kad ucapannya.

Setelah selesai membeli kad, saya melintas jalan yang sesak dengan kenderaan. Namun tiba-tiba sahaja di pertengahan jalan, kad itu terjatuh di atas jalan. Saya memandang ke kanan dan kebetulan sebuah kereta sedang meluncur laju. 

Pada saat itu saya terjebak dalam dilema sama ada saya perlu bergegas dan mengambil kad tersebut ataupun  tidak. Namun, saya hanya mampu berdoa dengan harapan kad itu tidak dilenyek dan menjadi kotor. Alhamdulillah, kad itu masih kekal indah tidak dilanggar. Saya pantas mengutip kad itu dan meneruskan perjalanan ke rumah. Sampai sahaja di rumah, terus sahaja saya membuka kad untuk menulis ucapan, namun segala yang saya ingin luahkan tidak mampu untuk dicatatkan ke atas sekeping kad itu. Akhirnya saya sekadar menulis ucapan yang biasa-biasa sahaja buatnya. 

Beberapa minggu saya menyimpan kad itu dan alhamdulillah berjaya juga diserahkan kepadanya semalam. Menjelang malam sebelum ulang tahun kelahirannya, tiba-tiba sahaja dia datang dan berbual-bual di dorm saya. Saya berasa gembira kerana mempunyai harapan untuk menjadi orang pertama yang mengucapkan 'Selamat Hari Lahir' kepadanya. Saya terus berbual-bual dengannya dengan perasaan yang tidak sabar sebenarnya untuk mengucapkan selamat kepadanya. Namun dalam keadaan yang leka berbual, saya tidak menyedari jam telah menunjukkan waktu 12 tengah malam dan saya hanya mampu menjadi orang kedua yang mengucap selamat kepadanya. Meskipun hampa, namun saya tetap gembira. Kami meluangkan masa bersama-sama. 

Kebetulan, hari Jumaat itu bersamaan dengan hari balik bermalam di mana semua pelajar diwajibkan untuk pulang. Pada awalnya saya sudah memutuskan untuk pulang tetapi tatkala mendengar kisahnya bahawa ibu bapanya tidak ada di rumah, saya terus menukar keputusan dan mengajaknya untuk tinggal bersama di asrama. Cuma itu sahaja solusi yang mampu saya fikirkan pada ketika itu. 

Hari yang sepatutnya menggembirakan dia tidak berjalan seperti yang sepatutnya. Cuma tinggal saya sahaja untuk menemaninya pada malam ulang tahun kelahirannya dan saya tidak mampu berbuat apa-apa untuk mengisi hari itu. Cuma sekadar perbualan hati ke hati bersama. Berbicara tentang cita dan harapan masing-masing. Pada awalnya saya berfikir untuk keluar dari asrama supaya dapat menggembirakan hatinya, tetapi malangnya saya cuma mengundang kehampaan baginya tatkala harapan kami tidak kesampaian. 

Walau apa pun yang terjadi, saya akan sentiasa mendoakan segala yang terbaik untuk sahabat saya yang satu ini. Semoga kejayaan sentiasa mengiringinya walau ke mana pun dia berpijak di atas muka bumi indah ciptaan Allah ini. Semoga persahabatan kita akan kekal, hingga ke jannah. 

Saya tidak mampu untuk memberinya hadiah, namun saya harap video yang tidak seberapa ini dapat menggambarkan bahawa saya dan rakan-rakan berhajatkan yang terbaik untuk dirinya.


 photo sign-2_zps160b16ac.png

Monday 6 May 2013

Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2013


Alhamdulillah, saya berasa bertuah kerana telah diberikan peluang untuk menjejakkan kaki ke PBAKL untuk kali yang kedua. Pengalaman kali pertama di KLIBF boleh dibaca di SINI. Saya sempat berkunjung ke PWTC pada 4 Mei yang lalu, iaitu sehari sebelum hari terakhir berlangsungnya pesta buku tahunan itu. Kepada yang tidak berkesempatan pergi, usah khuatir. Tahun hadapan masih ada, begitu juga dengan tahun-tahun yang seterusnya. 

Sesuatu yang membuatkan saya gembira tahun ini ialah saya mendapat autograf daripada Siti Rosmizah, Ain Maisarah, Aman Wan, Ustaz Don dan penulis yang lain. Memang sudah menjadi hobi saya untuk mengumpul autograf daripada insan-insan yang berjaya dalam bidang yang mereka ceburi.

Saya tidak berkesempatan untuk naik ke aras dua dan tiga, cuma berjalan-jalan di aras satu. Sempat jugalah saya membeli beberapa buku rujukan SPM dan novel-novel menarik. Tidak ketinggalan juga saya membeli komik rekaan Aman Wan, iaitu Belajar Berpersatuan. Aman Wan merupakan seorang vlogger dan kartunis yang terkenal. 


Beliau telah menghasilkan banyak komik menarik dan video-video beliau boleh ditonton di  laman Youtube https://www.youtube.com/user/AmanWan Saya juga sempat merakamkan ucapan Aman Wan kepada saya.


Ustaz Don Daniel juga berkesempatan untuk turun  padang bagi melancarkan Unit Dakwah Digital, dakwah kreatif untuk generasi muda. Beliau hadir bersama isteri beliau yang turut menemani beliau ketika di sesi menandatangani autograf peminat dan ceramah di pentas utama KLIBF. Pasangan ini kelihatan manis sekali ketika berjalan bergandingan. Alhamdulillah, saya sempat mendapatkan autograf beliau dan isterinya.


Seterusnya, tidak ketinggalan juga saya berjaya menemui Kak Ain Maisarah yang kelihatannya paling sibuk kerana beliau tidak henti-henti berbual mesra bersama peminat dari jam 9 pagi sehinggalah ke petang sehinggakan suami beliau terpaksa membeli nasi bungkus sahaja untuk makan tengah hari. Alhamdulillah, gerai Kak Ain Maisarah dan pasukannya berjaya memenangi gerai tercantik untuk tiga tahun berturut-turut. Harapnya, tahun depan adalah pesaing yang mahu merebut gelaran gerai tercantik ini ya? Hehe. Kak Ain begitu mesra melayan semua orang dan senyuman tidak pernah lekang dari bibirnya.


Beliau boleh dikatakan kreatif kerana setiap peminat yang menemuinya akan menerima sijil bukti bertemu Ain Maisarah. Inisiatif ini pastilah akan mendorong lebih ramai kanak-kanak dan remaja untuk datang menemui beliau. Khabarnya, sekarang ini beliau sedang mengusahakan lebih banyak novel untuk bacaan para remaja. Memang suatu bakat kurniaan Allah kerana beliau dapat menghasilkan puluhan buku dalam masa yang singkat. Berkat bakat dan kreativiti beliau juga, beliau telah berjaya membeli kondominium sendiri hasil royalti yang diterima. Saya pula, bila lagilah agak-agaknya? Saya juga berjaya mendapat rakaman ucapan daripada Kak Ain Maisarah.


Comel betul Kak Ain kita ni. Harapnya beliau akan terus sukses dalam segala bidang yang diceburinya. Dan saya harap, tahun hadapan saya dapat menghadiri KLIBF sekali lagi dan bertemu dengan mereka yang lain pula. InsyaAllah. 
 photo sign-2_zps160b16ac.png