Tuesday 16 December 2014

Wisma TV Angkasapuri dan Perkongsian Berita Baik



Assalamualaikum. Selamat pagi semua. 

Seperti yang pernah saya ceritakan sebelum ni, saya telah menjadi penonton rancangan Apa Kata Wanita yang dirakamkan di Wisma TV Angkasapuri atau Stesyen RTM. Ibu saya telah diundang untuk mewakili pertubuhannya bercakap tentang kosmetik tempatan dan cara penghasilan sabun dari rumah. 


Malam sebelum saya bertolak ke Kuala Lumpur, kami berkumpul dulu di Kulim Mall untuk menunggu bas. Semua yang pergi merupakan ahli PRUMERA, sebagai sokongan kepada pertubuhan tersebut. Marisa Yasmin pun ada untuk bagi sokongan, tetapi sekejap saja beliau datang ke Kulim Mall.

Selain syarikat Karangkraf, rasanya ini merupakan kali kedua saya berkunjung ke sebuah syarikat besar dan menyaksikan sendiri proses gerak kerjanya. Saya memang selalu menyimpan hasrat untuk melawat syarikat-syarikat penyiaran sebegini. Harapnya satu hari nanti dapat pula ke Media Prima atau ASTRO. 

Apa yang menarik tentang tempat sebegini ialah kita boleh sedikit sebanyak mengetahui kerja-kerja balik tabir yang menjayakan rancangan atau drama di kaca televisyen. Sewaktu saya sampai ke sana, rancangan Selamat Pagi Malaysia sedang dirakamkan secara langsung. Antara jemputan yang ditemubual pada pagi itu ialah seorang pakar mata dan ada juga seorang penulis jika tidak salah saya.

Ibu saya agak gementar, tetapi alhamdulillah sesi bual bicara itu berjalan dengan baik. Aunty Zam seorang pengacara yang cekap. Tak perlukan skrip pun. Patutlah boleh jadi selebriti. Kalau saya jadi pengacara tidak berskrip, hancur agaknya majlis yang sedang berlangsung itu. 

Selesai rakaman satu jam untuk PRUMERA, kami sekali lagi menjadi penonton untuk rakaman Prof Muhaya selama satu jam. Slot Prof Muhaya mungkin akan ditayangkan dalam beberapa minggu dari sekarang. Prof Muhaya menghadiahkan jurnal tulisannya secara percuma kepada semua penonton. Saya juga sempat meminta autograf dan bergambar dengan beliau. Bagi saya, susah nak jumpa pakar motivasi seperti beliau jika kita tak terlibat dalam program yang berbayar. Alhamdulillah, banyak input yang Prof sampaikan berkenaan azam tahun baru. Kalau nak dengar, anda perlulah menonton AKW sendiri.

Saya tak mahu menaip panjang, cukuplah saya berkongsi beberapa foto yang saya ambil sendiri dan yang diciplak dari Facebook AKW






Saya juga ada satu berita baik untuk dikongsikan dengan anda. Saya pernah menulis entry tentang passport sebelum ni. Boleh baca di SINI. Ya, insya Allah, beberapa hari lagi saya dan keluarga akan bertolak ke tanah suci Mekah untuk menunaikan umrah. Packing pun dah siap. Alhamdulillah, saya sangat tidak sabar untuk ke sana. Bukan senang untuk dapat peluang sebegini. Saya memang perlukan masa untuk berehat dan menenangkan minda di sana, tanpa terikat dengan sebarang perkara yang mengganggu. Mengisi rohani yang masih lagi kosong. Mencari jalan mendekati Tuhan. 

Terima kasih kepada rakan-rakan yang mendoakan perjalanan saya. Saya amat menghargai doa kalian. It means a lot to me. Insya Allah, pulang dari umrah nanti, saya akan berkongsi pengalaman saya di sana. 



Thursday 11 December 2014

Nurina Akan Keluar TV??



Tak ada maknanya...

Cuma, lebih kurang begitulah. Ibu saya telah dijemput ke sebuah program bual bicara RTM iaitu Apa Kata Wanita bersama Zamzarina. Mungkin ramai dalam kalangan anda yang telah lama mengikuti program ini, dan mungkin juga ada yang langsung tidak tahu tentang kewujudannya. Jujurnya, saya juga tidak mengikutinya. 

Apa Kata Wanita merupakan sebuah program bual bicara tentang permasalahan semasa yang melibatkan kaum wanita di Malaysia. Ibu saya akan mewakili sebuah pertubuhan kosmetik iaitu PRUMERA dan bakal berkongsi tentang info kosmetik-kosmetik di Malaysia.


Oleh itu, saya akan mengikutinya ke studio atau sri pentas atau ke mana sahaja lokasi rancangan tersebut diadakan. Ya, secara teknikalnya, berkemungkinan juga saya akan keluar tv sebagai penonton nanti. Kepada pembaca yang berminat untuk mengetahui lebih mendalam tentang industri kosmetik kita, jangan lupa saksikan rancangan ini di TV1 pada Sabtu (13 Disember) jam 11 pagi.

Saya tahu, ibu saya sedang berdebar-debar menunggu hari Sabtu kerana ini merupakan pertama kali beliau akan keluar di kaca televisyen yang ditonton oleh jutaan rakyat Malaysia. Ibu saya mempunyai minat yang sangat mendalam dalam bidang kecantikan, kosmetik, dan keusahawanan, jadi saya pasti segalanya akan berjalan dengan lancar nanti. Insya Allah. Sayangnya, minat beliau itu langsung tidak diwarisi oleh anaknya ini. 

Saya sebenarnya ada juga terfikir untuk terlibat dalam bidang penyiaran, cuma saya tidak mahu keluar televisyen. Saya mahu bekerja di sebalik tabir sahaja, iaitu sebagai pengarah. UhukOh ya, berkemungkinan juga Prof Muhaya akan berada di studio nanti. Harap dapat bertemu dengan beliau, insya Allah.

p/s: Maaf entry ringkas sahaja. Ada tugasan lain yang perlu dilakukan. Assalamualaikum. ^^

Wednesday 10 December 2014

Buku-buku Kegemaran Saya



Assalamualaikum!

Alhamdulillah, semalam buku Catatan Mat Luthfi yang saya pesan secara online telah sampai dan saya telah pun selesai membacanya. Tepuk tangan untuk diri sendiri! Ceh.

Disebabkan saya pernah membaca novel Isabella karya Abdul Latip Talib, rasanya tak lengkap jika saya tak beli kesinambungannya. Oleh itu, saya juga turut memesan novel Runtuhnya Islam Andalusia.  Terima kasih ptsbookcafe atas komik dan cd percuma yang turut disertakan. 

Alang-alang saya bercerita tentang buku, saya terdetik untuk berkongsi beberapa bahan bacaan yang saya suka, mungkin juga boleh dijadikan rujukan buat anda. Untuk pengetahuan anda, saya turut ada hobi untuk mengumpul tanda tangan penulis. Saya akan jadi sangat teruja apabila dapat bertemu dengan penulis-penulis sendiri. Saya suka baca apa sahaja jenis bahan bacaan kecuali novel cinta. Dan juga buku-buku pelajaran yang memerlukan saya untuk menghafal. Maafkan saya, cikgu. Saya suka lakukan sesuatu secara minat dan kerelaan, bukan sesuatu yang mendesak dan terpaksa seperti penghafalan. Adik-adik tolong jangan contohi Kak Nurina.


Antara buku yang menjadi kegemaran saya ialah Mengemudi Bahtera Perubahan Minda tulisan Dr. Asri 400 halaman). Buku ini adalah pemberian daripada blogger Pena Maya. Saya suka pemikiran Dr. Asri dan buku ini mengumpulkan himpunan tulisan beliau dalam kolum Mingguan Malaysia. Buku ini menyentuh aspek kemasyarakatan, ekonomi, hiburan, politik, dan sebagainya. Bila baca buku ni, memang saya rasa sangat cetek ilmu di dada. Banyak pengetahuan baru yang saya peroleh, alhamdulillah. Buku ini diterbitkan oleh Utusan Publications & Distributors berharga RM35.


Seterusnya, buku pilihan saya ialah The Choice – Dialog Islam & Kristian tulisan Ahmed Deedat (433 halaman). Buku ini merupakan hadiah daripada kakak saya sempena ulang tahun kelahiran saya tahun lepas. The Choice sudah terjual melebihi satu juta naskhah di pasaran. Tidak hairanlah buku ini boleh menjadi buku best seller. Mengisahkan kajian dan penyelidikan Ahmed Deedat selama bertahun-tahun tentang Kristian; Triniti, penebusan dosa, penyaliban dan keaslian Bible. Buku ni dapat menarik pembaca untuk berfikir dan membezakan yang mana benar dan yang mana salah. Terbitan Kharisma Network dan harganya cuma RM29.


Novel Sebarkan Cinta-Mu ini pula adalah hasil karya penulis yang tidak asing lagi iaitu Fatimah Syarha Mohd Noordin (874 halaman). Saya dapat novel ini ketika Hari Anugerah Cemerlang di SMK Sultan Badlishah beberapa tahun yang lepas. Walaupun tebal, agak berbaloi juga membacanya. Saya dapat menambah pengetahuan tentang kekeluargaan, perkahwinan, poligami, dan sebagainya. Jangan ingat orang yang sudah berkahwin sahaja yang perlu membaca novel ini. Banyak puisi dan coretan yang menyentuh hati diselitkan di dalamnya. Cubalah beli dan baca. Terbitan PTS Litera Utama berharga RM31.


Novel Hijrah tulisan Abdul Latip Talib (618 halaman) ini memang favourite saya antara kebanyakan novel yang lain. Novel ini hadiah ulang tahun kelahiran saya yang ke-15 daripada seorang rakan. Saya memang suka apabila mendapat hadiah novel dan buku. Bermula daripada novel Hijrah inilah saya menggemari karya-karya Pak Latip. Saya mengumpulkan koleksi buku-buku sejarah Islam tulisan beliau. Novel ini bukannya buku yang berkisarkan fakta semata-mata, tetapi fakta yang disampaikan melalui gaya penceritaan yang sangatlah menarik. Mengisahkan daripada awal kelahiran Rasulullah, proses hijrah, sehinggalah zaman kegemilangan Islam. MasyaAllah buku ini memang tiada tolok bandingnya. Anda perlu mendapatkan novel ini di rak buku anda. Terbitan PTS Litera Utama berharga RM35.


Selain membaca buku-buku motivasi dan sejarah Islam, saya juga membaca novel awal remaja dan novel remaja. Novel-novel kategori ini saya baca untuk menggerakkan imaginasi saya mendapatkan ilham untuk berkarya. Salah satu novel awal remaja yang saya minat ialah Dunia Sains Aiman tulisan Umi Kauthar Abd Razak. Salah satu daripada siri novel ini dihadiahkan oleh jiran saya sewaktu ulang tahun kelahiran saya yang ke-13 dulu. Eheh. Banyak unsur sains yang menarik diketengahkan oleh pengarang dalam novel ini, sesuai dengan perkembangan minda remaja kini. Dulu saya adalah juga bercita-cita nak jadi saintis tetapi sekejap sahaja sebelum saya bertukar ke cita-cita yang terbaru. Novel ini terbitan PTS One dan boleh didapati dengan harga sekitar RM13 sahaja. Sesuai untuk dihadiahkan kepada adik-adik anda dan anda sendiri boleh membacanya.


Bagi kategori novel remaja pula, novel-novel inilah yang mendominasi keseluruhan koleksi buku saya. Penulis novel remaja kegemaran saya ialah Hilal Asyraf. Banyak tanda tangan beliau yang saya kumpul. Novel beliau yang paling saya gemari ialah novel VT (Volleyball Team). Hilal Asyraf pernah beritahu dalam salah satu bengkel penulisan beliau yang novel ini pernah dipertikaikan kerana semua wataknya adalah lelaki. Mana ada orang yang mahu membawa cerita satu jantina. Beliau membuktikan persepsi tersebut adalah salah apabila novel ini terbukti menarik minat ramai terutamanya golongan remaja. Mengisahkan perjuangan sekumpulan pelajar MATRI untuk menegakkan ibadah dalam bersukan. Terbitan Galeri Ilmu dengan harga RM25.

Terdapat banyak lagi bahan bacaan yang saya minat, tetapi jika mahu diceritakan semua, memang entry ini tidak akan habis. Selain yang telah dinyatakan, saya juga minat novel thriller English dan komik yang bermotivasi seperti karya Afiq & Nazry Salam. Sejujurnya, saya tidak tahu apa yang mahu dilakukan dengan buku-buku dan novel-novel di rak saya. Hendak jual pun rasa sayang kerana kebanyakannya ada autograf penulis. Ada yang saya cuba jual di kedai ibu saya dengan harga diskaun tetapi kurang mendapat sambutan. Sesiapa ada cadangan?

p/s: Gambar-gambar di atas adalah hasil carian Google bukan milik saya.

Monday 8 December 2014

Majlis Makan Malam & Engagement Perdana



Assalamualaikum.

Ya, seperti tajuk di atas, saya ingin berkongsi tentang majlis makan malam yang saya hadiri baru-baru ini. Sebenarnya Majlis Engagement Perdana ini dianjurkan untuk menghargai dan mengeratkan lagi pihak kerajaan dengan usahawan di negeri Kedah. Ibu saya telah menempah tiket untuk kami sekeluarga, dan nampaknya usahanya tidak sia-sia sahaja kerana beliau telah berjaya memenangi anugerah dalam majlis tersebut.

Sepatutnya, majlis ini turut dihadiri oleh Menteri Besar Kedah tetapi mungkin beliau tak dapat hadir atas urusan lain. Majlis ini diadakan di TH Hotel Alor Setar. Termasuk kali ini, sudah dua kali saya menginap di TH Hotel. 

Apa yang menarik tentang TH (Tabung Haji) Hotel ini adalah konsepnya yang menekankan cirri-ciri Islam dalam pengurusan dan pentadbiran. Ada kolam renang yang disediakan khusus untuk muslimah. Pekerjanya juga akan memberikan salam apabila bertembung dengan tetamu hotel. Anda juga boleh menemukan al-Quran tafsir yang tersimpan di dalam laci di setiap bilik hotel. Sudah dua kali saya menginap di situ, setiap kali itu juglah saya nampak pengantin yang menjadikan TH Hotel sebagai persinggahan sementara.


Majlis makan malam tersebut diadakan di ball room hotel. Saya agak teruja kerana ada karpet merah yang terbentang dari hujung pintu masuk sehingga ke pentas utama. Ada juga pentas yang disediakan untuk photoshoot dengan bayaran sebanyak RM15 sekeping, mungkin khas untuk program ini saja. Gaya macam artis pula dengan karpet merah segala.

Alhamdulillah, makanan yang dihidangkan sedap. Ada pelayan yang ditugaskan di setiap meja makan. Ibu saya tidak duduk sekali dengan kami kerana disuruh duduk di meja VIP nun jauh di hadapan pentas. Pelayan yang bertugas di meja kami nampak gementar, first time kot. Hidang makanan pun sampai tertumpah. Tak apalah, kalau saya yang jadi pelayan mungkin bukan nasi saja tumpah, sampai minuman pun tersimbah agaknya.


Selesai menjamah hidangan, barulah majlis diteruskan dengan penyampaian anugerah kepada para usahawan yang berjaya dalam kategori yang berlainan. Alhamdulillah, rezeki ibu saya telah terpilih sebagai penyewa premis MARA terbaik. Congratulations mum! You deserve it.



Wednesday 26 November 2014

Kamu nak tak jadi orang kaya?



Saya teringat seorang guru pernah bertanyakan satu soalan di dalam kelas.

“Kamu semua nak tak jadi orang kaya?”

Rakan-rakan yang lain pun mengangguk dan tersengih. Siapa yang tidak mahu menjadi orang kaya? Dengan duit, semua benda jadi. Semua benda boleh beli. Bahkan masuk tandas awam sekalipun akan dikenakan bayaran. Saya sendiri pun mula membayangkan kehidupan menjadi orang kaya. Jadi jutawan. Tinggal dalam banglo besar bertingkat-tingkat. Kereta bersusun di hadapan rumah. Bekerja di dalam pejabat, jadi pengarah urusan syarikat. Atau mungkin dapat melancong sekeliling dunia, pergi melawat tempat yang diimpikan selama ini. Wah, tidak tergambar nikmatnya apabila jadi orang kaya atau lebih senang digelar jutawan.

Kemudian guru saya itu menyoal lagi, kali ini dengan mainan psikologi.

“Kamu rasa orang kaya ni, hidup dia bahagia tak?”

Tepat terkena sasaran. Masing-masing diam, kali ini barulah pakai otak. Cikgu tahu soalannya itu tidak memerlukan jawapan daripada kami.

“Jadi orang kaya ni, tak bahagia. Memang tak bahagia. Susah.”

Cikgu berjaya mengetuk minda saya untuk berfikir. Mahu tidak mahu, saya memang terpaksa bersetuju dengan kenyataan cikgu itu. Memang pada zahirnya kehidupan sebagai jutawan nampak menyenangkan, tetapi janganlah kita mudah terpedaya dengan apa yang dilihat secara zahir sahaja.

Pertama, untuk mendapatkan sumber rezeki yang lumayan bukanlah perkara yang mudah. Tanyalah rahsia kejayaan jutawan-jutawan di tanah air kita, semuanya perlu datang bersama usaha. Banyak benda yang perlu kita korbankan dalam perjuangan kita meraih keuntungan. Kita terpaksa korbankan masa, tenaga dan akal fikiran. Seseorang itu mungkin boleh hilang banyak benda tanpa disedari. Dia mungkin hilang kawan, hilang keluarga, hilang cinta, atau lebih parah hilang ‘kehidupan’ yang sebenar. Disebabkan terlalu fokus dengan matlamatnya, maka segala-galanya boleh hilang dalam sekelip mata.

Kedua, orang kaya ni akan selalu dibelenggu dengan rasa cemas dan gelisah pada kebanyakan waktu. Ya lah, apabila harta sudah melimpah ruah, sudah tentulah dia akan menjadi sasaran ramai orang. Pencuri yang tamakkan kemewahan. Waris yang gilakan harta. Atau musuh yang memerhati dari dalam selimut. Pendek kata, bila jadi orang kaya memang tak akan senang duduk. Ancaman boleh muncul dari mana-mana sahaja. Risiko yang mungkin ditanggung boleh melibatkan rompakan, santau atau lebih parah lagi pembunuhan. Macam yang dapat kita lihat dalam drama-drama Melayu sekarang. Asal nak harta saja, bunuh. Eheh.

Yang ketiga, memang sudah tahap kritikal. Bila jadi kaya, jadi jutawan, maka semua lupakan Tuhan. Jauh dari Tuhan. Saya teringat lagu OST sinetron Mutiara Hati yang sering saya ikuti dulu. Liriknya lebih kurang begini.

Banyak yang kaya lupa pada Allah
banyak yang miskin jauh dari Allah
Banyak yang sehat lari dari Allah
Banyak yang sakit meninggalkan Allah
Itulah orang yg sombong kepada Tuhannya
Tidak kenal kepada Allah

Walau macam mana kita cuba nafikan sekalipun, itulah realiti kehidupan. Bila sakit, barulah kita nak mengadu pada Allah minta sembuh. Bila ditimpa kesusahan, barulah nak cari bantuan Allah. Kadang, saya pun tidak terkecuali. Waktu sihat, mana ada orang nak cari Tuhan. Waktu senang, berduit, dunia ini ibarat kita yang punya. Kalau boleh semua benda kita nak beli, sampai satu tahap kita lupa apa yang halal apa yang haram.

Saya tak merujuk kepada semua orang kaya, mungkin cuma sebahagian sahaja yang begitu. Amatlah beruntung orang kaya yang menggunakan nikmat kekayaannya itu untuk mengeluarkan zakat dan bersedekah kepada yang memerlukan. Sangat untung. Guru saya mengingatkan kami dengan sepotong hadis.

“Tidak boleh iri hati melainkan dalam dua perkara iaitu: Seseorang yang telah dikurniakan Allah harta lalu dibelanjakan hartanya itu ke jalan yang benar (yang diredhai oleh Allah) dan orang yang dikurniakan oleh Allah ilmu pengetahuan, lalu ia mengeluarkan sesuatu hukum berpandukan ilmunya (al-Quran dan Hadith) serta diajarkannya pula kepada orang lain.” - Riwayat Hadith al-Bukhari

Hadis tersebut mengiktiraf kedudukan orang kaya yang bersedekah dan orang berilmu yang menurunkan ilmunya kepada orang lain. Jadi, apa yang dapat saya simpulkan di sini ialah duit mampu memanipulasikan kehidupan seseorang. Boleh merosakkan kebahagiaan seseorang. Tetapi tidak bermakna kita tak perlukan duit dalam hidup. Kalau kita pandai gunakan duit dengan betul, masya Allah, untunglah kita di akhirat kelak.

Apa yang guru saya soal itu masih bermain-main dalam kotak fikiran saya sehingga hari ini. It's good to have money and the things that money can buy, but it's good too, to check up once in a while you haven't lost the things that money can't buy.


p/s: Tahniah buat adik-adik yang berjaya mendapat keputusan cemerlang UPSR pagi tadi. Buat yang tak berapa cemerlang, usahalah lagi. Kejayaan adalah milik mereka yang berusaha!

Monday 24 November 2014

Diari#54: Balik Kampung



Assalamualaikum.

Alhamdulillah, saya dan keluarga selamat sampai ke Johor dan balik semula ke Kulim. Dah lama kami sekeluarga tak pulang ke Batu Pahat. Dapatlah lepaskan rindu menatap wajah saudara-mara yang jauh.

Pak Long

 Kami ke Johor untuk menghadiri kenduri kahwin sepupu saya, Kak Aniza. Kehidupan di kampung memang jauh berbeza sekali dengan kehidupan di bandar. Terus terang saya katakan, kalau di bandar semua orang lebih menjaga tepi kain masing-masing tetapi di kampung, kehidupannya lebih bermasyarakat dan kita berpeluang untuk kenal satu sama lain dengan lebih akrab. 


Mungkin ada yang tidak tahu, adat perkahwinan di Johor mempunyai nilai sentimentalnya yang tersendiri. Kami tak upah katering, sebaliknya penduduk kampung yang akan datang untuk rewang sebelum dan selepas majlis kenduri. Apabila pak cik saya khabarkan kepada orang kampung tentang kenduri Kak Aniza, orang kampung  yang datang sendiri untuk rewang (gotong-royong memasak dan sebagainya). Tak perlu diupah pun. Mereka cuma dihidangkan dengan jamuan yang lazat sepanjang masa. Pada hari persandingan, rombongan pengantin lelaki datang disambut oleh kumpulan kompang yang terdiri daripada semua lapisan umur; kanak-kanak, remaja hinggalah dewasa. 


Saya tak perasan ada pertunjukan silat atau tidak kerana sibuk menunggu di pelamin. Buat apa menunggu di pelamin? Sejak dulu lagi, adat perkahwinan di Johor memang terkenal dengan halangan tol. Lazimnya bermula daripada luar rumah, tangga hinggalah di tempat pelamin pun akan ada kumpulan kanak-kanak yang menunggu sebagai penghalang untuk pengantin lelaki. Pengantin lelaki pun akan bayar duit tol untuk melepasi halangan. Selalunya duit tol tak banyak mana pun, cuma seringgit sahaja seorang. Orang yang paling banyak mendapat duit tol ialah mak andam (make-up artist) dan pengapit pengantin perempuan. Kali ini, pengapit pengantin lelaki memang pandai berunding. Saya sengaja duduk di hadapan pelamin bersama adik-adik yang lain. 

Menunggu rombongan pengantin lelaki sambil makan ais krim percuma


Pengapit tersebut menyoal nama penuh pengantin lelaki dan tidak ada yang boleh menjawab, termasuklah saya. Selepas beberapa kali berunding, dia pun membuat keputusan untuk menyerahkan duit tol kerana tidak mahu melengahkan masa. Apabila sudah melepasi kami, dia terpaksa pula berunding dengan mak andam. Si mak andam pun tak puas hati apabila diserahkan sekeping duit kertas. Dia minta lagi sekeping. Eheh.

Nak buat macam mana, pihak pengantin lelaki pun terpaksa menurut kemahuan bagi membolehkan si pengantin lelaki duduk di atas pelamin bersama-sama pengantin perempuan. Setelah berpuas hati, barulah mak andam turunkan kipas yang menghalang wajah pengantin perempuan dan mempersilakan pengantin lelaki untuk duduk. Apa lagi, tersenyumlah raja sehari itu sehingga ke telinga. Sehari selepas kenduri kahwin, pengantin lelaki pun perlu membantu orang rewang. Itu barulah namanya kenduri kahwin sebenar.



Kami tak boleh berlama-lama di kampung kerana ibu saya masih ada banyak urusan kerja di Kedah. Ketika bersalam-salaman dengan orang kampung, ada seorang kanak-kanak perempuan syndrome down menghulurkan tangannya untuk menyalami saya. Selepas menyalami saya, dia mendepakan kedua-dua belah tangannya minta didukung. Saya pun mendukungnya. Dia memeluk saya dengan begitu erat seolah-olah tidak mahu melepaskan saya. She’s too cute for me to resist. Kalau ikut hati memang nak bawa dia balik Kulim, tetapi itu anak orang. Saya terpaksa serahkan dia kepada pak cik saya. Saudara-mara saya pun semuanya berkerumun di tangga hadapan mengiringi pemergian kami. Situasi ketika itu membuatkan saya rasa amat dihargai. InsyaAllah, saya dan keluarga pasti akan pulang lagi ke sana. 

Wednesday 19 November 2014

Catatan Mat Luthfi



Assalamualaikum.

Yeah, final exam sudah pun selesai. Cuti yang berbaki beberapa minggu ini, perlulah dimanfaatkan dengan baik sebelum saya melangkah ke semester kedua. Saya mahu mencari projek baru untuk dilakukan. Mungkin dalam masa terdekat saya akan cuba siapkan sebuah video yang sempat kami (saya dan housemates) rakam beberapa bulan lepas. Saya tak sempat siapkannya disebabkan laptop yang diserang virus tempoh hari. Harap kalian sabar menanti. Eheh. Alhamdulillah, saya dan keluarga telah selamat sampai ke Selangor. Esok kami akan bertolak ke Johor pula untuk menghadiri kenduri kahwin sepupu. Semoga urusan kami dipermudahkan.




Apa pun, saya hendak berkongi sesuatu yang menarik buat peminat Mat Luthfi yang sedang membaca. Sewaktu saya sedang menyemak notifikasi di Facebook, pandangan mata saya tertarik pada status yang dikongsi oleh Mat Luthfi tentang buku pertama beliau. Mungkin ada yang kurang mengenali siapa Mat Luthfi yang saya maksudkan di sini. Jika anda sering mengikuti Nafas Baru, mungkin anda perasan beberapa kali saya pernah update entry tentang Mat Luthfi. Mat Luthfi ni merupakan seorang vlogger (video blogger) yang dikenali menerusi YouTube.

Seingat saya, saya mula mengikuti perkembangan beliau sejak video Hari Ibu beliau yang viral di internet suatu ketika dahulu. Vlog saudara Mat Luthfi kesemuanya spontan namun ada mesej yang tersirat di sebalik kata-kata dan lakonan beliau. Mat Luthfi pernah menang Shout Awards atas pencapaiannya berjaya meraih viewers yang ramai di YouTube. Secara peribadi, saya meletakkan Mat Luthfi sebagai vlogger nombor satu di Malaysia. Walaupun beliau minat bidang perfileman, tetapi beliau sedang menyambung pelajaran dalam bidang architecture kalau tak salah saya.

Apa pun, saya teruja untuk mendapatkan bukunya yang berjudul Catatan Mat Luthfi. Baru sahaja beberapa jam Mat Luthfi share di Facebook, terus bukunya habis stok. Anda boleh baca free sample Catatan Mat Luthfi di Google Play, tetapi cuma sebahagian sajalah. Selanjutnya, kena dapatkan sendiri buku tersebut. Catatan Mat Luthfi mengumpulkan Tweet dan hasil penulisan beliau yang pernah dikongsikan sebelum ini. Walaupun beberapa ayat yang dikongsi, tetap memberikan impak yang mendalam. Harganya cuma sekitar RM16 lebih, itu pun kalau tak salahlah. 

Saya teringin nak dapatkan buku tersebut, dan kalau boleh berserta dengan tanda tangan penulisnya sekali, tetapi nampak gaya macam susah. Mat Luthfi tidak ada di Malaysia sekarang. Tahniah Mat Luthfi! Semoga suatu hari kelak saya juga dapat menyusul beliau dan menyumbang sesuatu untuk anak bangsa. 

Friday 7 November 2014

Kenapa Saya Tak Boleh Keluar Rumah?


Saya selalu terfikir, usia yang dihabiskan oleh saya sejak kanak-kanak dan remaja tidak sama dengan kebanyakan yang lain. Semuanya bermula dengan kedua-dua ibu bapa saya. Sejak sekolah rendah, ibu saya tak pernah beri keizinan untuk saya sertai mana-mana lawatan yang dianjurkan pihak sekolah sehinggalah saya berada di tingkatan empat. Ketika rakan-rakan yang lain terhibur dan teruja dengan lawatan, saya tak diberi peluang langsung untuk mengikutinya. 

Walau macam mana sekalipun alasan yang saya beri, jangan haraplah saya akan dapat lampu hijau, begitu juga jika saya mahu keluar bersama rakan-rakan. Tambah jika ada lelaki yang turut serta. Peluang untuk keluar memang sangat tipis ketika saya di sekolah rendah. Apabila sudah menjejak kaki di sekolah menengah, barulah ibu saya beri keizinan untuk keluar, itu pun setelah melalui sesi soal jawab. Jika tak ada alasan (reunion) memang saya tak dibenarkan pergi. 

Ketika saya berada di tingkatan empat, saya belajar di SMS Kuala Selangor, jauh dari tempat tinggal kami di Kulim, Kedah. Memang jarang sekali saya berpeluang pulang ke rumah kecuali pada hari raya. Pada waktu itu, barulah ibu meletakkan kepercayaan beliau jika saya menelefon mengatakan terlibat dalam mana-mana pertandingan atau lawatan. Barulah saya aktif dalam persatuan dan pertandingan (yang setakat ini belum pernah saya menangi). Eheh. Selesai SPM, saya pernah menyatakan hasrat kepada ibu bapa saya untuk mengambil lesen motosikal, tetapi mereka melarang, terutamanya ibu saya. 

Sebagai kanak-kanak dan remaja, sudah tentulah jiwa kita akan sedikit memberontak jika apa yang kita mahu tidak kita kecapi. Saya sering tertanya-tanya, kenapa saya tidak dibenarkan pergi lawatan? Kenapa saya tidak dibenarkan keluar bersama rakan-rakan? Dan kenapa saya tidak dibenarkan mengambil lesen motosikal? Saya tidak mengerti. Saya tidak faham.

Apa yang mendorong saya untuk menulis entry ini adalah apabila saya mendapat kesedaran tentang hikmah di sebalik pantang larang yang diberikan oleh ibu bapa saya. Saya sedang berbual dengan rakan-rakan kampus. Salah seorang menunjukkan kesan-kesan lukanya akibat kemalangan, disusuli dengan seorang lagi. Mereka mula bercerita tentang kemalangan-kemalangan yang pernah mereka alami. Seorang demi seorang mula menyingkap kisah lama. Macam-macam kemalangan yang kebanyakannya melibatkan motosikal. Kemudian rakan saya mula mendesak saya pula untuk membuka cerita tentang kemalangan yang pernah saya alami.

Saya mula berfikir sejenak. Fikir dan fikir. “Tak pernah accident pun,” saya bersuara dengan selamba. Mereka memandang saya dengan pandangan hampir tidak percaya. “Takkan sekali pun tak pernah?” Saya cuba mengingat kembali, dan seingat saya memang saya tidak pernah alami sebarang kemalangan, termasuklah jatuh basikal. Seingat sayalah. Yang terbaru pun, mountain bike saya yang jatuh, bukannya saya. Pada waktu itulah saya sedar, ibu bapa saya tak bagi pergi lawatan, keluar rumah sesuka hati, ambil lesen motor, semuanya atas dasar keselamatan kami adik-beradik. They’re doing that to protect us, but we just never realize it.

Saya akui, perbuatan mereka sangat rasional. Dunia sekarang memang menjadi-jadi, tak macam zaman mereka dahulu. Sekarang ini duduk dalam rumah sendiri pun belum tentu selamat. Ibu tak bagi saya pergi lawatan, mungkin kerana beliau bimbang bas ditimpa kemalangan, atau saya sendiri yang tercedera dan sebagainya. Ibu tak izin keluar rumah bersama rakan-rakan kerana saya mungkin cuma akan membuang masa. Ibu larang ambil lesen motosikal kerana maut boleh ditempah. Paling penting, ibu tak benarkan kami bercinta kerana tak mahu kami terjerat dengan benda yang sia-sia. Saya masih ingat lagi ayat yang diutarakan beliau, “Jangan nak ada boyfriend-boyfriend, study dulu, kerja, lepas tu barulah kahwin.”

Sebenarnya, tak ada gunanya saya mempersoalkan apa yang dilarang oleh ibu bapa saya. Mereka yang melahirkan saya, sudah tentulah mereka mahukan yang terbaik untuk saya. Sama juga konsepnya jika kita persoalkan apa yang dilarang oleh Allah SWT. Allah yang menciptakan kita, sudah tentulah Dia mahukan yang terbaik untuk kita. Nampak tak hikmah tersiratnya di situ?

“Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu. Boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu padahal ia amat buruk bagimu...” Al-Baqarah 216

Dalam kehidupan manusia, kita tak akan dapat lari daripada jiwa yang memberontak terutamanya ketika berada di usia remaja. Kita mahukan hiburan, mahu mengejar dunia. Kita sanggup lawan ibu bapa dan ada yang sampai langgar perintah Tuhan. Buat apa yang Allah larang. Bukan begitu caranya. Seorang guru saya pernah berpesan, orang yang kejar dunia ni ibarat orang yang kejar kerbau/ lembu yang membawa karung emas yang banyak. Semakin dikejar, lembu tu akan semakin lari jauh daripada kita. Maksudnya, jika kita mengejar dunia, dunia akan lari daripada kita. Sebaliknya, jika kita mengejar akhirat, dunia yang akan mengejar kita. Subhanallah.

Berbalik kepada cerita saya, saya tidak lagi berasa rugi apabila tidak dapat menikmati apa yang saya mungkin terlepas. Semua benda yang jadi atau tidak jadi memang ada hikmahnya. Seriously. Alhamdulillah, berkat kesungguhan ibu bapa memelihara dan membesarkan saya, kehidupan saya selesa sehingga kini. Sekiranya saya ingkar dulu, mungkin saya sudah pun ditimpa kemalangan. Mungkin saya cedera parah. Mungkin saya diculik. Banyak kemungkinannya yang tidak terduga.

Saya tekankan, patuhi perintah Allah dan taatlah pada ibu bapa kita. Ibu bapa tahu, dan Allah yang Maha Mengetahui.

I'm Dissatisfied



Assalamualaikum and good morning my dear readers.

The tense for our first term exam is extremely increasing right now. I’ll be sitting for my exam on the 17th and 18th of November, which is just around the corner. Alhamdulillah, my pointer for the previous exam is 3.59, a bit of achievement yet not to be proud of. I seriously need to achieve 4 flat for this first term to have a bit of relaxing time afterwards. I hope my efforts will be paid off with excellent grades. May Allah grant my wishes.

I’m going to share with you guys about our annual party. I’m really sorry for saying this, but truth is, I’m a bit dissatisfied with how certain people handling things without even letting us to make our own choices. We didn’t even get the chance to vote for the menu and were kind of being forced to pay for a quite high amount of money. I’m not saying this because I’m stingy. It’s just that I felt sorry for those who couldn’t afford to pay and they actually didn’t attend to the campus on that day because of that. You know that feeling when you’re having fun but your friends are not there. There were also some people who paid at half price and throwing their own party if I’m not mistaken. Once again, I’m not saying this because I’m jealous or whatsoever. 

I'm not exaggerating things here. For me, the concept of having an annual party, annual dinner, reunion or any other kind of ceremonies is to gather everyone and spending your time with them. It’s not about finishing every meal on the table. Anyways, eventhough I was not given some rights for the event, I must not deny that the food served was good. I appreciate the effort given to organize the party.








Friday 24 October 2014

Sedikit Kisah Hijrah



Assalamualaikum!

Salam Maal Hijrah, awal Muharram. Dah masuk tahun baru untuk kita yang beragama Islam. Adakah kalian rasa masa begitu pantas berlalu? Atau rasa biasa-biasa sahaja? 

Sebenarnya, masa tak berlalu dengan pantas pun. Masa tetap akan berlalu sesuai dengan ketetapan. Apa yang membezakan diri masing-masing adalah pengisian mereka terhadap masa itu sendiri. Kalau kita banyak kerjakan amal dan ibadah, masa akan berlalu dengan tenang, seolah-olah lama. Misalnya waktu baca al-Quran. Jam seolah-olah sangat malas untuk bergerak. Namun sebaliknya, jika kita pilih untuk kerjakan perkara yang tidak bermanfaat, sudah tentulah kita terasa seolah-olah masa sedang bergerak dengan sangat pantas. Scroll handphone, sembang kosong, menonton televisyen, bermain permainan video, dan sebagainya. Pejam celik pejam celik saja dah masuk tahun baru. Ya, saya akui saya pernah berada dalam kedua-dua situasi di atas. Itulah perbezaan antara mereka yang menggunakan masa dengan baik dan sebaliknya. 

Apa yang saya harapkan untuk tahun baru ini? Tak banyak. Semuanya Allah dah bagi serba serbi cukup. Alhamdulillah. Nikmat kesihatan, keselesaan, pembelajaran, rezeki, keluarga, kawan-kawan, dan banyak lagi. Jadi tak banyak yang saya harapkan. Cuma saya yang perlu lebih gigih berusaha untuk memastikan nikmat-nikmat itu tidak putus. Hendak sentiasa sihat, kenalah jaga diri. Hendak selesa, pandai-pandailah cari persekitaran sendiri. Hendak berjaya dalam pelajaran, sudah tentulah kena lebih banyak usaha. Allah dah bagi semua, cuma kita yang kena usaha lagi. Dan jangan lupa sertakan doa dalam setiap perkara yang dilakukan. InsyaAllah, peringatan buat diri ini juga.

Menyentuh tentang Maal Hijrah, sudah tentulah mengingatkan kita semua pada peristiwa penghijrahan Rasulullah S.A.W. yang menjadi titik permulaan kepada seluruh umat Islam. Hijrah bahkan membawa maksud sesuatu yang lebih daripada itu. Bagi saya, peristiwa hijrah ni seumpama satu galakan untuk manusia sentiasa mulakan sesuatu yang baru dalam hidup mereka. Perubahan. Nak mulakan sesuatu yang baru dan besar, memang bukan mudah tetapi tidak pula begitu susah. Sepanjang hidup saya selama 18 tahun yang dikurniakan Allah, saya sudah beberapa kali melalui proses perubahan, terutamanya dari segi personaliti. 

Bermula dari tadika, alam kita baru mengenali dunia sosial, sudah tentulah perkenalan dan persekitaran di tadika sangat asing bagi kita kerana terpisah dari keluarga untuk beberapa jam lamanya. Seingat saya, saya memang susah untuk buka mulut dan hanya bersembang dengan dua orang rakan sahaja. I don’t really have a good memory on those early days. Kemudian masuk pula ke sekolah rendah, hijrah saya agak ketara kerana saya sudah berani bersuara dan bergaul. Ketika darjah enam, para guru memberi kepercayaan kepada saya untuk menjadi ketua pengawas yang memimpin organisasi pelajar. 

Apabila di sekolah menengah pula, masuklah zaman kematangan. Saya jadi segan untuk bercakap dengan sembarangan orang. Dalam sesetengah situasi, sikap introvert saya memang banyak mendatangkan kelemahan berbanding kelebihan. Mungkin juga mendatangkan rasa kurang senang dalam kalangan rakan kerana mereka yang banyak melakukan komunikasi untuk saya. Oleh itu saya banyak melakukan pemerhatian terhadap respons yang saya terima sebagai akibat karakter yang dibawa oleh saya. Alam di sekolah menengahlah yang paling banyak mengajar saya hakikat kematangan yang sebenar kerana ujiannya lebih banyak berbanding tadika dan sekolah rendah. Mungkin juga usia remaja yang menjadikan kita lebih banyak membuat keputusan dan berfikir. 

Kini, saya sendiri menyedari hijrah yang saya lakukan. Saya menjadi diri sendiri dengan semua orang, well, almost everyone. Saya tidak banyak memendam apa yang mahu saya ungkapkan. Saya akan meluahkannya, asalkan kata-kata itu berbaur positif. Saya menjadi lebih berani dan jujur terhadap diri sendiri. Alhamdulillah, hasil perubahan setakat ini, tidak langsung menimbulkan sebarang masalah terhadap dunia sosial saya. At least for now. 

Namun begitu, satu pesan saya buat para pembaca. Dalam hidup ni, terutamanya dalam proses hijrah, kita tak boleh berdiri sendiri. Kita perlu ada back-up, iaitu sokongan sama ada daripada keluarga, murabbi mahupun rakan-rakan. Mustahillah ada orang yang boleh berdiri dan berjaya dengan sendiri tanpa bantuan sesiapa pun. Sedangkan Nabi Muhammad sendiri pun mendapat sokongan daripada Khadijah, lagikan kita yang tahap keimanan tak berapa nak kukuh ni. Paling penting, pergantungan kita terhadap manusia tidak boleh keterlaluan sehingga melebihi pergantungan terhadap Allah. Tak salah berdikari, tetapi akhirnya nanti jika rebah akan terasa perit jika tak ada yang tolong mengubati. Saran saya, banyaklah berdamping dengan guru atau pendidik kerana mereka merupakan insan yang kaya dengan ilmu serta berpengalaman luas. InsyaAllah, nasihat-nasihat yang diberikan mereka lahir dari hati yang tulus. Pendidik ni merupakan salah satu agen yang dihantar Tuhan untuk sentiasa mengingatkan kita yang sentiasa lupa.

Sebelum mengakhiri coretan ringkas ini, saya ingin memohon kemaafan kalian sekiranya pernah menyinggung kalian sama ada secara sedar atau tidak. Tegurlah saya jika salah kerana saya hanya manusia yang penuh khilaf. Semoga hasrat anda semuanya akan tercapai untuk tahun baru ini. Salam Maal Hijrah. 

Tuesday 21 October 2014

A Trip to Sayak Island



Assalamualaikum everyone.

In this post, I’m going to share with you guys about my amazing trip to Sayak Island, also known as Pulau Sayak. Sayak Island is located in Kota Kuala Muda, Kedah. Frankly, this was my first time getting the chance to go there with my friends. This place is well known for its mouth-watering ‘mee udang’. We went there for a programme called ‘BEST (Belajar Santai)’ proposed by Encik Ahmad Sulong. Although we spent only one night there, I could give my thumbs up for this programme. 

At 7 o’clock on Friday morning, I was eager to go to Mahsuri because I was afraid that everyone has arrived. I told my housemate to hurry up while she was busy packing her bags and stuffs. We didn’t have our breakfast because I was rushing things up. As soon as we arrived, there’s nobody at the campus. No one else. I started to think whether we got the right date for the trip. My housemate rechecked the letter and the date was stated. Alhamdulillah we’re not mistaken. I called the counsellor and she told me she was on her way, so we waited for several minutes before she finally arrived. We need to wait for the others before we started our journey to Sayak Island. I think we took about half an hour or at least forty five minutes journey by car.


The place was quiet and peaceful. We could do anything we want. We put our bags in a dormitory. Luckily all of the participants are females thus we got no problems at all with the dorm. At 12 pm, Puan Zainah brought us chicken rice for lunch. Hooray. As far as I remember, the trip was more likely to be a programme for eating more than studying. This was because we were served with lots and lots of foods every time until we’re not able to finish them all. I also got to spend my time with new friends from another classes and the seniors. 


In the evening, we collected some seashells by the shore. I also got the chance to greet some crabs there. Not to mention we took photographs together and selfies by the shore. At night, we did the barbeque together. Dinner was fantastic. There were so many meals served and I just couldn’t resist the temptations of food.  


But then again, our main objective was to do some revision, not to waste our time having fun. After finished having our meals, we continued studying and asking questions to the lecturers. Puan Sharmila and Puan Eila gave us some tips on how to manage our time wisely before the final exam.


 The last thing we did before leaving, well of course, taking photographs with the lecturers. I became the photographer for the programme. I remembered one thing Encik Ahmad Sulong said, “The weakest person in Mathematics is a photographer because he only can count up to three.” A funny yet annoying quote. Anyway, I’m really looking forward for this kind of programme again. You can watch my vlogs at Pulau Sayak below. That’s all for now. Thanks for reading guys.


Thursday 16 October 2014

Kedai Kopi Cinta


Pernahkah anda berkunjung ke Kedai Kopi Cinta sebelum ini? Hidangan yang disediakan di kedai kopi tersebut anda mendatangkan kepuasan kepada pengunjungnya sama ada secara sedar ataupun tidak. Pasti anda tertanya-tanya di mana lokasi kedai kopi yang saya maksudkan ini? 

Maafkan saya, tetapi kedai kopi yang saya maksudkan di sini bukanlah gerai makan atau minum kopi yang boleh dilihat dengan mata kasar manusia. Kedai Kopi Cinta, menurut saya, merupakan perbincangan ilmiah atau perkongsian kisah yang mampu menyatukan hati-hati insan. Seolah-olah, apabila dua orang atau lebih berbual-bual, wujudnya daya tarikan magnet yang melahirkan perasaan luar biasa dalam hati insan-insan tersebut. 

Kebelakangan ini kedai kopi cinta saya semakin berkembang. Beberapa hari yang lalu, saya sempat berjumpa dengan seorang rakan dari sekolah menengah yang kini sedang menuntut di salah sebuah universiti awam. Dia mengajak saya makan di sebuah kedai makan. Kami berbual panjang. Maklumlah, sudah lama tidak bertemu. Kemudian dia mula berkongsi kisah bagaimana berlakunya kejadian yang mengubah hidupnya kini sehingga menjadi lebih baik. Ya, saya juga sedar akan perubahan dirinya. Dirinya yang sekarang jauh berbeza daripada beberapa tahun yang lepas. Pemikirannya juga sudah berubah total. Pengalamannya juga lebih luas. Dia menceritakan pengalaman usrah dan tarbiah yang dilakukannya sepanjang menuntut di universiti. 

Bukan mudah sebenarnya apabila kita berada di tempat baru, dan tiba-tiba sahaja ingin membawa satu alternatif dakwah yang baru. Bukan mudah. Cabaran utama yang pasti akan dialami oleh setiap individu adalah perspektif dan pandangan serong masyarakat terhadap diri kita dan dakwah yang cuba disampaikan. Konsep yang dipegang olehnya sama seperti saya, “Perbaiki diri, sambil ajak orang lain ke arah kebenaran.” Kalau hendak tunggu diri kita sempurna, sampai bila-bila pun kita tak akan berani untuk tegur orang lain. We don’t have to be perfect to preach. Sudah lama saya merindui kedai-kedai kopi sebegini.

Hari ini juga, saya mendengar pula kisah daripada rakan yang lain tentang pengalamannya sehingga memakai tudung labuh. Ya, jujur saya kagum dengan individu-individu sebegini kerana mereka tidak gentar untuk melakukan perubahan yang drastik. Mereka berubah kerana mahu, bukan kerana malu. Tidak ada proses perubahan yang tidak mendapat dugaan. Saya jadi lagi kagum kerana dia mampu untuk mengharungi dugaan dengan tabah. Apa pun kita perlu sentiasa beringat, dugaan ni akan sentiasa hadir sepanjang masa. Just smile and keep moving ahead. 

Kedai Kopi Cinta yang kita bina, bukannya sebarang kedai kopi biasa. Kedai kopi ini penuh dengan makna. Penuh warna. Kalau perbincangan itu tidak membawa kita selangkah mendekati Tuhan, itu bukan Kedai Kopi Cinta tetapi kedai kopi biasa sahaja. Ah, betapa banyaknya kedai kopi kosong yang telah dibuka oleh saya selama ini tanpa disedari. 

Hendak memulakan perbincangan ilmiah ni bukannya susah. Masalahnya, apabila kita sudah terbiasa membincangkan duniawi dengan manusia, kita tak akan dapat lari daripada topik tersebut. Kita sudah terbiasa membincangkan isu semasa, artis, rancangan hiburan, cinta, jodoh, sehingga kita lupa tujuan sebenar hidup, iaitu untuk memaknakan diri kepada Allah Taala. Walaupun susah, we need to have a shot at it. Sekali sekala, cubalah selitkan dulu isu-isu keagamaan dengan rakan-rakan. Nanti lama-kelamaan, insyaAllah kita akan dapat membetulkan yang biasa dan membiasakan yang betul. That’s what I’m trying to do right now. Tak menariklah hidup jika asyik bincang perkara-perkara lagha, bukan?

Nota kaki: Semua orang buat salah. Semua orang boleh berubah. Tapi tak semua yang pilih untuk berubah. 

Friday 26 September 2014

The Trip to Bukit Bendera and USM



Assalamualaikum.

It’s been quite a while since I wrote here. The examination is just around the corner and I’m starting to freak out right now. Anyways, let me share you some of my photographs at Flag Hill or commonly known as Bukit Bendera yesterday. I’ve already been there last year and you guys can read it HERE. This time, I got to share the beauty of Flag Hill, Penang with a lot of friends. We also went to Universiti Sains Malaysia (USM) for a programme. I felt very enjoyed as we gained a whole new experience together. I'm looking forward for this kind of trip again.




Friday 5 September 2014

Exam Results and Lata Bukit Hijau Experience



Assalamualaikum readers. Eheh.

How's my examination results? Frankly, I didn't put much efforts on my exam this time. Tak banyak baca buku dan pastilah tak banyak menghafal. Tolonglah jangan tiru aksi ini di rumah. These new subjects are killing me. Too many essays. Tak macam tingkatan empat dan lima dulu, banyak teori dan kira-kira segala. Keputusan penuh sudah saya kira sendiri, dan hasilnya, cuma dapat 3.4 pointer saja kalau tak silap. Masih jauh lagi untuk dapatkan 4 flat. Apa pun, saya tetap bersyukur sebab itulah hasil usaha saya yang tak seberapa pun. Insya Allah, insya Allah dalam peperiksaan yang sebenar saya akan dapatkan yang terbaik. Biidznillah.

Jadi, berbalik kepada topik entry kali ini, saya ingin kongsikan pengalaman saya bercuti dua hari ini ke Lata Bukit Hijau, Baling, Kedah. Lata Bukut Hijau terletak dalam Hutan Lipur Bukit Hijau, tetapi saya tidaklah masuk ke dalam hutan lipur. Saya cuma bersiar-siar di tempat air terjun yang sungguh indah, subhanallah. Awalnya, saya menginap di rumah kampung seorang rakan di Baling. Alang-alang saya berada di sana, dia pun membawa saya mendalami dan menghayati suasana kampung yang jarang saya alami.

Suasana di kampung dan bandar memang sangat lain. Bangun awal pagi saja, kedinginan sudah memeluk tubuh saya sehingga kaki pun hampir membeku. Bunyi ayam jantan berkokok cuba bersaing antara satu sama lain membuatkan suasana menjadi tenang. Di sebelah rumah terdapat seorang saudaranya yang menternak kambing. Ada satu ketika salah seekor kambing betul-betul berada di hadapan pintu rumah untuk masuk ke dalam rumahnya. Kambing itu merenung saya dan saya pun merenungnya kembali. Mujurlah akhirnya dia mengalah dan beransur pergi. Belum lagi cerita tentang kucing peliharaan mereka yang super aktif. Sewaktu saya sedang siapkan esei, kucing itu melompat-lompat tak tentu arah dan mencakar buku saya sehingga terkoyak. Masya Allah. Katan rakan saya, sejak kecil lagi kucing itu diberikan susu Dutch Lady kerana dia tidak mahu minum susu kucing. Hasilnya, kucing tersebut menjadi sangat aneh seperti itu. Itu baru cerita binatang-binatang.

Cerita tentang Lata Bukit Hijau,sebenarnya kawasan ini sudah tidak banyak dikunjungi orang semenjak kes leptospirosis (kencing tikus) dulu. Pondok pengawal juga sudah terbiar, tidak ada pengawal yang bertugas. Waktu kami ke sana, memang hanya seorang dua sahaja yang turut berada di situ. Bagi saya, apa yang menarik di lata ini sudah pastilah air terjun semulajadi yang sangat cantik di situ. Airnya dingin dan tidak dicemari. Penduduk di Malau, Baling juga kebanyakannya menerima sumber air daripada Lata Bukit Hijau. Sayang kawasan ini tidak ada yang jaga. Jika tidak, sudah tentulah kawasannya akan jauh lebih terurus dari sekarang. Dahulu kawasan ini pernah popular dan keluar dalam rancangan-rancangan televisyen. Namun seperti yang saya katakan tadi, semenjak kes leptospirosis dulu sudah tidak ramai yang datang berkunjung, apatah lagi untuk bermandi-manda. Saya kongsikan beberapa gambar yang sempat saya tangkap untuk menunjukkan sendiri kepada anda keindahan kawasan ini.










Ketika sedang asyik menghayati pemandangan, tiba-tiba hujan turun dengan lebatnya. Pada waktu itu pula saya berada di kawasan yang agak tinggi setelah bersusah-payah sampai ke sana. Mahu tidak mahu, kami terpaksa juga turun untuk berlindung daripada hujan. Saya memilih sebuah pondok untuk berteduh. Rupa-rupanya, atap pondok itu sudah bocor. Kami tidak ada pilihan lain kerana hujan sudah turun dengan menggila. Hampir lima belas minit lebih jugalah kami terkandas di pondok itu.

Sep 5, 2014 | Lata Bukit Hijau! by nims24 on Keek.com

Sempat juga kami ke bendang, kononnya untuk melihat kehijauan di situ. Apabila saya ke sana, cuma ini sahaja yang dapat saya lihat.


Nak buat macam mana, belum musimnya lagi. Cukuplah menghayati keindahan di Lata Bukit Hijau. Subhanallah. Memang cukup indah. Saya harap, mungkin satu hari nanti ada pihak berkuasa yang akan menyedari kepentingan kawasan-kawasan terbiar seperti ini. Selain dapat mengekalkan salah satu khazanah negara, kita juga dapat minum air sambil menyelam. Kawasan ini boleh dipopularkan kembali sebagai salah satu kawasan pelancongan di Kedah. 

p/s: Nikmat Allah memang banyak tak terlimpah, cuma kadang kita saja yang tak perasan dan tak tahu menghargainya.