Monday 24 November 2014

Diari#54: Balik Kampung



Assalamualaikum.

Alhamdulillah, saya dan keluarga selamat sampai ke Johor dan balik semula ke Kulim. Dah lama kami sekeluarga tak pulang ke Batu Pahat. Dapatlah lepaskan rindu menatap wajah saudara-mara yang jauh.

Pak Long

 Kami ke Johor untuk menghadiri kenduri kahwin sepupu saya, Kak Aniza. Kehidupan di kampung memang jauh berbeza sekali dengan kehidupan di bandar. Terus terang saya katakan, kalau di bandar semua orang lebih menjaga tepi kain masing-masing tetapi di kampung, kehidupannya lebih bermasyarakat dan kita berpeluang untuk kenal satu sama lain dengan lebih akrab. 


Mungkin ada yang tidak tahu, adat perkahwinan di Johor mempunyai nilai sentimentalnya yang tersendiri. Kami tak upah katering, sebaliknya penduduk kampung yang akan datang untuk rewang sebelum dan selepas majlis kenduri. Apabila pak cik saya khabarkan kepada orang kampung tentang kenduri Kak Aniza, orang kampung  yang datang sendiri untuk rewang (gotong-royong memasak dan sebagainya). Tak perlu diupah pun. Mereka cuma dihidangkan dengan jamuan yang lazat sepanjang masa. Pada hari persandingan, rombongan pengantin lelaki datang disambut oleh kumpulan kompang yang terdiri daripada semua lapisan umur; kanak-kanak, remaja hinggalah dewasa. 


Saya tak perasan ada pertunjukan silat atau tidak kerana sibuk menunggu di pelamin. Buat apa menunggu di pelamin? Sejak dulu lagi, adat perkahwinan di Johor memang terkenal dengan halangan tol. Lazimnya bermula daripada luar rumah, tangga hinggalah di tempat pelamin pun akan ada kumpulan kanak-kanak yang menunggu sebagai penghalang untuk pengantin lelaki. Pengantin lelaki pun akan bayar duit tol untuk melepasi halangan. Selalunya duit tol tak banyak mana pun, cuma seringgit sahaja seorang. Orang yang paling banyak mendapat duit tol ialah mak andam (make-up artist) dan pengapit pengantin perempuan. Kali ini, pengapit pengantin lelaki memang pandai berunding. Saya sengaja duduk di hadapan pelamin bersama adik-adik yang lain. 

Menunggu rombongan pengantin lelaki sambil makan ais krim percuma


Pengapit tersebut menyoal nama penuh pengantin lelaki dan tidak ada yang boleh menjawab, termasuklah saya. Selepas beberapa kali berunding, dia pun membuat keputusan untuk menyerahkan duit tol kerana tidak mahu melengahkan masa. Apabila sudah melepasi kami, dia terpaksa pula berunding dengan mak andam. Si mak andam pun tak puas hati apabila diserahkan sekeping duit kertas. Dia minta lagi sekeping. Eheh.

Nak buat macam mana, pihak pengantin lelaki pun terpaksa menurut kemahuan bagi membolehkan si pengantin lelaki duduk di atas pelamin bersama-sama pengantin perempuan. Setelah berpuas hati, barulah mak andam turunkan kipas yang menghalang wajah pengantin perempuan dan mempersilakan pengantin lelaki untuk duduk. Apa lagi, tersenyumlah raja sehari itu sehingga ke telinga. Sehari selepas kenduri kahwin, pengantin lelaki pun perlu membantu orang rewang. Itu barulah namanya kenduri kahwin sebenar.



Kami tak boleh berlama-lama di kampung kerana ibu saya masih ada banyak urusan kerja di Kedah. Ketika bersalam-salaman dengan orang kampung, ada seorang kanak-kanak perempuan syndrome down menghulurkan tangannya untuk menyalami saya. Selepas menyalami saya, dia mendepakan kedua-dua belah tangannya minta didukung. Saya pun mendukungnya. Dia memeluk saya dengan begitu erat seolah-olah tidak mahu melepaskan saya. She’s too cute for me to resist. Kalau ikut hati memang nak bawa dia balik Kulim, tetapi itu anak orang. Saya terpaksa serahkan dia kepada pak cik saya. Saudara-mara saya pun semuanya berkerumun di tangga hadapan mengiringi pemergian kami. Situasi ketika itu membuatkan saya rasa amat dihargai. InsyaAllah, saya dan keluarga pasti akan pulang lagi ke sana. 

2 comments:

  1. wah,baru tahu adat kahwin dkt negeri Johor.Rewang pun ada kat Kedah,tapi selalunya kat kampung ja.Pengantin bagai pinang dibelah dua,sepadan sangat!Semoga berbahagia...

    ReplyDelete