Friday 15 May 2015

Minggu Makan



Assalamualaikum readers. Salam Jumaat. Salam penghulu segala hari.

Kehangatan untuk peperiksaan semester kedua semakin memuncak dan saya nampak semua orang jadi lebih bersemangat untuk persiapan minggu hadapan. Dan saya, yang masih tak sedar diri di sini, sibuk menghabiskan waktu dengan perkara-perkara lain. 

Baru-baru ini, alhamdulillah rezeki saya mencurah-curah. Saya berjaya menjadi johan pertandingan Pidato 1Malaysia peringkat daerah, sebuah pertandingan pidato terbuka 18 tahun ke atas dan melayakkan saya untuk bertanding di peringkat negeri. Sudah tentulah di peringkat negeri saya kalah dengan peserta-peserta senior yang jauh lebih berpengalaman daripada saya. Saya pun tak sangka baru pertama kali saya masuk pertandingan pidato tiba-tiba boleh menang. Rasa tak layak langsung. Tapi macam apa yang semua orang katakan pada saya, Allah nak bagi rezeki saya di situ. And yeah, banyak pengalaman baru yang saya timba. Boleh saksikan vlog di bawah ini.



Juga, saya dapat keputusan MUET yang saya tak berapa nak jangka. Alhamdulillah, dapat band 4. Sembilan markah lagi nak ke band 5. Rugilah juga tapi saya dah cukup bersyukur. MUET is a very important ticket for our future. But that's not the main point for this entry. 

Semuanya bermula dari Sabtu tempoh hari. Saya dan rakan-rakan PRS balik agak lewat untuk menyiapkan bookmark sempena program sambutan hari lahir yang akan dijalankan. Kemudian, si Nabilah pun ajak kami untuk makan di satu restoran tom yam yang terletak di area Lunas. Katanya makanan di situ sedap-sedap belaka. Saya pun ikut sajalah. Sampai di lokasi, rupa-rupanya restoran tu dah tutup. Apa nak buat, bukan rezeki di situ. So we ended up makan di Reez Kopitiam. Katanya restoran ni baru buka. I decided to try the chicken chop. Ain pun dapat spaghetti yang diidam-idamkannya. Alhamdulillah. Kami pun makan tak ingat dunia.




Keesokan harinya pula, kami masih lagi pulang lewat sebab ada banyak lagi kerja yang perlu disiapkan. Akhirnya Puan Faziela pun cakap nak belanja kami semua makan. Bila ada orang kata nak belanja, how can we ever resist on that? “Korang nak makan kat mana? Cakap je,” katanya. Semua orang malu-malu kucing dan tak tahu nak buat keputusan. Akhirnya, kami makan kat KFC sahaja. Tapi berbaloilah bila kami dapat luangkan masa bersama dan secara tak langsung eratkan lagi hubungan yang sedia ada. Cewah.


Hari Isnin pula, masih lagi terpaksa pulang lambat. Kali ini, ada meeting MPP pula. Ada sesi suai kenal dengan MPP sementara yang baru masuk dan macam-macam lagi. Semoga kalian berjaya dalam mengendalikan event Ahad ni. Saya agak teruja nak lihat video yang saya hasilkan ditayangkan kelak. Walaupun cuma video yang simple, tapi harap mesejnya sampai. Nak dipendekkan cerita, saya terpaksa keluar dari meeting awal untuk ke BSN dengan Alia dan Najat. Entah macam mana lepas tu, kami meronda-ronda mencari restoran yang sedap di sekitar Padang Serai. So we ended up makan di Maju Tom Yam. Mula-mula tak dapat nak buat keputusan sama ada nak pesan nasi goreng atau chicken chop, tetapi Najat suruh pesan chicken chop. And this is the result.


Keesokan harinya, kami menganjurkan jamuan kecil-kecilan di BK19 merangkap Bilik Kuliah Sastera. Makan dan makan dan makan. Ya lah, bukan selalu pun kami dapat buat jamuan sebegini. Semoga rakan-rakan saya, dan juga saya, akan memperoleh result yang gempak untuk semester kedua ini. Apa yang kita usaha, pasti kita akan dapat insya-Allah. Doakan kami ya.


So that's the end of my story. 

Monday 4 May 2015

Ulu Legong Hot Spring




Tadaaa!

Ya, inilah kek belated birthday saya dan kakak saya yang menyambutnya dalam bulan yang sama. Dan memang tak tipu, alhamdulillah, kek ini sangat lazat berbanding dengan kek-kek coklat yang lain. Saya tak pasti di mana anda boleh mendapatkannya, tetapi pokok pangkalnya memang sedap. Kek kedua untuk birthday saya tahun ini. 

Sebenarnya, saya ingin berkongsi dengan anda beberapa foto menarik sepanjang percutian kami sekeluarga ke Kolam Air Panas Ulu Legong atau lebih dikenali sebagai Ulu Legong Hot Spring. Termasuk kali ini, sudah tiga kali kami ke Ulu Legong. 


Setiap kali ke sana, ada sahaja perubahan yang baru. Dulu tak perlu bayar kalau tak silap saya, tetapi sekarang sudah dikenakan tiket untuk masuk. Dulu cuma ada beberapa kolam sahaja, sekarang sudah ada penambahan kolam-kolam lain.




Untuk pengetahuan pembaca yang mungkin belum tahu tentang kewujudan tempat ini, Ulu Legong terletak di Kedah. Ada tiga buah kolam dengan tahap kepanasan yang berbeza disediakan di sini. Rasanya belum pernah ada lagi orang yang masuk ke dalam kolam pertama disebabkan tahap didihan air yang begitu tinggi. Mungkin sekadar rendam kaki sahaja. Biasanya saya akan masuk ke kolam kedua atau ketiga. Tempat ini memang bagus untuk merehatkan minda. Rendam kaki pun sudah cukup. Saraf kita banyak terletak di tapak kaki jadi air yang panas tersebut boleh sedikit sebanyak merawat saraf-saraf kita.


Di samping itu, Ulu Legong juga ada menyediakan kawasan rekreasi dan refleksologi. Tapi sudah tentu ada pantang larang tertentu kepada orang yang berpenyakit atau hamil. Takut-takut rendaman kaki dan refleksologi itu boleh mengganggu sistem dalam badan mereka.

Bilik yang kami sewa pula terletak di atas bukit. Memanglah perlu panjat tangga yang agak tinggi tetapi pemandangan dari atas sungguh mengagumkan. Indah. Boleh perhatikan gelagat budak-budak yang seronok main air. Tenang. Pada waktu petang hingga malam pula, ada gerai-gerai yang dibuka untuk jualan. Gerai yang paling laris sudah tentulah gerai ais krim. Dapat makan ais krim memang nikmat ketika berada di kolam air panas. Percayalah.


Pada waktu malam pula, kami sekeluarga masak BBQ di tempat yang telah disediakan. Pengunjung perlu membawa bahan dan arang sendiri tetapi tempat untuk membakarnya sudah disediakan oleh pihak pengurusan. Ayam, sosej, ubi kentang, ubi kayu, ikan, kambing, dan daging, semuanya kami bakar. Alhamdulillah, semuanya habis. Bukan selalu nak buat family outing begini. Jadi, kepada sesiapa yang teringin nak buat family outing, saya boleh sarankan Ulu Legong Hot Spring kepada anda.