Sunday 20 March 2016

Aswara?


Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamualaikum.

Semalam saya berpeluang berkunjung ke karnival pendidikan yang dianjurkan MARA di Sunway. Sekadar nak tengok-tengok jika ada yang menarik hati. Kebanyakan booth di situ didirikan oleh pihak IPTS, tapi masih ada juga booth IPTA seperti USM dan UM. Sepanjang melewati booth di situ, banyak brosur yang saya terima.


Sebelum ini, saya tak pernah terfikir untuk mempertimbangkan IPTS sebab adik-beradik saya semuanya masuk IPTA dan saya menganggap kos belajar di IPTS adalah mahal. Kemudian saya singgah di booth Aswara. Saja duduk mendengar cerita tentang institut tersebut. Saya sudah pernah mendengar tentang Aswara sebelum ni. Aswara ni merupakan satu insitut yang dikhususkan kepada bakal penggiat seni. Ada banyak bidang yang ditawarkan seperti filem dan televisyen, penulisan kreatif, tarian dan sebagainya.

Saya pernah bercita-cita untuk menjadi pengarah filem, tetapi atas alasan yang tertentu saya sudah hampir-hampir melupakan hasrat itu. Tapi mendengar cerita dari pihak Aswara, saya mula rasa tidak mustahil jika saya ingin mengejar cita-cita tersebut. Tambahan lagi, Aswara ditanggung oleh dana yayasan jika tak salah saya. Jumlah bayaran untuk 3 tahun pengajian cuma sekitar RM7000 lebih. Bagi saya, ini boleh dikira murah berbanding dengan IPTS yang lain. Ada IPTS yang menelan belanja sebanyak puluh ribu untuk satu tahun pengajian. Kalau 3 tahun pengajian apatah lagi. Timbalan dekan Aswara sendiri pun turun padang semalam untuk merekrut pelajar baru.

Saya pun tak pasti kenapa saya langsung tidak memilih bidang pengarahan dalam pilihan UPU. Mungkin saya dah give up. Tapi mendengar cerita dari Aswara, memang agak menggoda. Aswara juga memiliki peralatan dan teknologi yang lebih canggih berbanding yang mungkin kita temui di IPTA. Dan jika saya memilih bidang perfileman, saya memang akan belajar pengkhususan dan teori perfileman. Saya juga berpeluang untuk meluaskan bakat ke cabang-cabang bidang seni yang lain.

Jadi, pihak Aswara langsung mengeluarkan surat tawaran temu duga untuk saya yang akan diadakan Mei nanti. Pesan timbalan dekan, saya perlu menunjukkan video-video yang pernah saya hasilkan ketika sesi temu duga nanti. Dan saya juga perlu mengetahui tentang filem-filem serta pengarah di Malaysia. Kalau yang itu, mungkin agak mencabar kerana saya tidak banyak menonton filem Melayu akhir-akhir ini. Kali terakhir pun saya menonton filem Terbaik Dari Langit dan saya tak berapa faham mesej dalam filem tersebut. Entahlah. Saya masih mempertimbangkan lagi tentang Aswara.


Setelah itu, saya sempat juga singgah di booth Undang-undang di bawah Universiti Malaya. Pensyarahnya sendiri yang berada di booth tersebut. Saya menunjukkan slip keputusan STPM setelah diminta. Beliau kata saya amat rugi kerana tidak memohon bidang undang-undang kerana keputusan STPM dan MUET saya amat melayakkan saya untuk jurusan itu. Beliau siap memberikan nombor telefon dan menyuruh saya menghubunginya jika saya dipanggil ke sesi temu duga. Saya pun tak tahu kenapa saya tidak memilih undang-undang dalam permohonan UM. Mungkin saya tidak mempunyai minat ke arah itu. Kata-kata pensyarah tersebut membuatkan saya ragu-ragu kembali terhadap pilihan saya, tetapi saya sudah pun mengesahkan permohonan UM dan tidak boleh diubah. Mungkin bukan jodoh saya dengan undang-undang. Eheh.

Kemudian, saya sempat juga singgah di booth USM. Di situ pun sekali lagi saya terbelenggu dalam membuat keputusan. Pihak yang bertugas di situ (saya tak pasti sama ada pensyarah atau pekerja) pula menyarankan agar saya mengambil bidang pengurusan setelah melihat slip keputusan saya. Dia juga mencadangkan beberapa pilihan lain yang kedengaran agak menarik. Jadi saya terbelenggu sama sekali untuk membuat keputusan, memandangkan saya masih tidak mempunyai pendirian yang tetap.

Saya minat untuk mencuba apa sahaja asalkan bidang itu tidaklah terlalu complicated bagi saya. Tapi bila ada banyak pilihan dan cadangan ni dah jadi dilema pula untuk memilih. Belum lagi kalau saya berkunjung ke karnival yang dianjurkan IPTA. Jika saya ke sana, kemungkinan besar saya akan banyak merombak kembali pilihan UPU saya. Nampaknya, saya masih tidak tetap pendirian.

Mindset saya ialah walau apa pun pilihan yang saya pilih, saya tak akan pernah tahu sama ada pilihan itu adalah yang terbaik untuk saya atau tidak. Tapi saya boleh pilih untuk menjadikan pilihan itu sebagai pilihan yang terbaik. Eheh.


Confused.


Oh ya, by the way, saya juga ada upload video baru throwback 2015. Feel free to watch it. :)



Tuesday 15 March 2016

Cikgu dan UPSR


Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamualaikum.

Sudah hampir dua bulan lebih semenjak saya menjadi seorang guru tuisyen. Nak gelar diri sendiri seorang cikgu pun saya rasa janggal. Saya mengajar subjek Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains untuk pelajar UPSR. Apa yang boleh saya katakan, format UPSR kini berbeza dengan apa yang saya pelajari dulu. Dulu UPSR cuma ada lima subjek. Sekarang, sudah ada enam subjek kerana Bahasa Inggeris sudah dibahagikan kepada dua kertas, Comprehension dan Writing.  Lebih kurang macam Bahasa Melayu. Dulu, saya belajar Sains dan Matematik dalam English, sekarang sudah ditukar semula ke dalam Bahasa Melayu.

Saya tak pasti tentang isu perdebatan yang mana satu lebih bagus untuk digunakan, tapi secara peribadi saya bersetuju dengan penggunaan Bahasa Inggeris untuk Sains dan Matematik. Pada pendapat saya lebih banyak terma yang digunakan dalam Sains melibatkan penggunaan Bahasa Inggeris, jadi lebih bagus sekiranya para pelajar diberikan pendedahan awal dari sekolah rendah lagi. Melalui penggunaan English dalam kedua-dua subjek ni, saya rasa akan lebih banyak membantu pelajar dalam penguasaan Bahasa Inggeris. Ya, saya akui kita perlu memartabatkan penggunaan Bahasa Melayu, tetapi bukankah wujud juga slogan untuk memperkasakan Bahasa Inggeris?

Satu lagi yang baru saya tahu, mereka juga belajar subjek Sejarah di sekolah. Maksudnya, Sejarah sudah mula diajar di peringkat sekolah rendah. Baguslah begitu. Harapnya perubahan dalam sistem pendidikan boleh membantu dalam mencapai matlamat pendidikan negara.

Bercakap tentang pengalaman menjadi seorang pengajar, saya boleh katakan bidang ni agak mencabar untuk saya. Pertama, saya tak pernah berminat untuk menjadi seorang guru. Bukannya saya bermaksud untuk merendahkan profesion guru atau sebagainya bahkan sebaliknya. Mungkin ada banyak faktor kenapa menjadi cikgu bukan pilihan saya tapi basically saya tak ada minat yang menjerumus ke arah tenaga pengajar.

Kedua, saya mungkin boleh mengajar, tapi saya tak boleh jamin pelajar akan faham apa yang diajar oleh saya. Apatah lagi untuk mengingat topik yang dipelajari pada minggu sebelumnya. Sama seperti situasi yang selalu kita alami di dalam kelas. Cikgu akan selalu tanya sama ada kita faham atau tidak apa yang diajar oleh mereka, dan pelajar kebanyakannya akan mengangguk faham walaupun tidak faham. Dan apabila pelajar disuruh untuk menjawab soalan, kita tak boleh jawab sebab sebenarnya tak faham. Situasinya sama dengan apa yang saya alami ketika mengajar. Benda-benda ni merupakan satu cabaran untuk saya.

Saya menjadi guru tuisyen kerana hendak mengisi kekosongan tempat. Selepas dua bulan, saya tahu betapa susahnya nak mendidik. Sebab itu, saya tak boleh nak bahasakan diri sendiri sebagai seorang cikgu. Saya masih belum layak, tapi saya akan cuba perbaiki diri.

Jujur saya katakan, saya tak tahu kaedah pengajaran saya betul atau tidak. Untuk subjek English, saya cuba untuk bercakap full English dalam kelas tapi mendatangkan masalah kepada pelajar saya. Saya ajar basic Grammar, tapi kesalahan yang sama selalu berulang. Jadi saya pesan kepada mereka agar banyak membaca bahan bacaan Bahasa Inggeris.  Untuk subjek Matematik, saya rasa pengiraan tambah dan tolak mereka sudah mahir. Tapi banyak lagi yang perlu diperbaiki untuk darab dan bahagi. Sama macam English, saya tak tahu macam mana nak bagi mereka mahir dalam Matematik. Jadi saya banyak tekankan sifir dan menyuruh mereka memperbanyakkan latihan sahaja. Untuk subjek Sains pula saya rasa ada banyak masalah dalam bahagian eksperimen. Saya akan cuba membantu setakat mana yang mampu.

Mengajar pelajar UPSR tak sama dengan mengajar rakan-rakan sekelas. Kalau rakan-rakan bertanya soalan yang mudah selalunya saya akan suruh mereka merujuk sendiri di dalam buku supaya lebih faham. Kalau ada soalan yang memerlukan penjelasan, saya akan memberi penjelasan sehingga mereka faham. Tapi saya tak boleh nak expect benda yang sama dengan pelajar saya. Kalau saya suruh mereka rujuk sendiri, apa fungsi saya sebagai guru? Dan saya tak rasa pelajar saya boleh faham penjelasan dengan pantas seperti rakan-rakan saya. Jadi sekali lagi, saya agak terbelenggu dengan kaedah pengajaran saya sendiri.

Apa pun, saya akan tetap mencuba yang terbaik sehinggalah mereka menduduki peperiksaan UPSR September nanti. Cuma saya tak rasa saya akan menceburi karier sebagai seorang guru pada masa akan datang. Saya mungkin masih lagi mencari sesuatu yang ingin saya pegang. Dan saya harap saya akan temuinya suatu hari nanti.

Saturday 12 March 2016

Sedang Mencari


Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamualaikum.

Saya baru mendengar khabar seorang rakan yang bakal bernikah dan seorang lagi yang bakal bertunang. Secara jujurnya, ini kali pertama dalam kalangan rakan saya yang akan menginjak ke satu tahap lebih serius dalam peringkat kehidupan. Siapa tak gembira dengar kawan dah nak berkahwin? Tapi bila teringat kawan sendiri dah nak kahwin, barulah teringat yang diri sendiri ni dah mencecah usia dewasa, jauh meninggalkan zaman kanak-kanak yang hanya tahu bersuka ria dulu. Apa boleh buat, tak ada siapa pun dalam dunia ni yang boleh larikan diri daripada realiti. Eheh.

Apa pun, berita gembira lain yang saya nak kongsikan sebenarnya adalah tentang buku. Buku yang sedang saya cari buat masa ini. Kenapa saya mencarinya? Sebabnya, kedua-dua buah buku ini lebih kurang macam ‘debut’ pertama rakan saya Ariffah. ‘Debut’ sulungnya dalam menghasilkan cover hadapan buku. Walaupun bukan dia yang tulis, tapi saya tetap teruja nak pegang buku yang didesign oleh Ariffah.

1. Menyingkap Tabir oleh Muhammad Mikael




Menyingkap Tabir adalah sebuah novel akidah yang membongkar penyelewengan syiah. Harganya RM 15. Kata Ariffah, model cover hadapan tu classmate dia. Muka nampak macam tengah senyum di sebalik penutup muka tu. Tapi memang nampak style cover tu. Saya tak baca lagi jadi tak dapat nak buat ulasan, tapi saya rasa novel berkenaan syiah ni mesti mendatangkan banyak input dan menarik.


2. Antologi Cerpen Akhirnya Aku diselenggara oleh Khairy Tajudin & Nor Liana Omar
(gabungan hasil tangan ramai penulis tanah air)



Saya tak jumpa lagi sinopsis tentang buku ini di enjin carian, mungkin kerana antologi ini baru saja masuk dalam pasaran. Akhirnya Aku… apa? Kalau nak tahu, nampaknya kenalah dapatkan sendiri buku ini di pasaran. Kalau dah baca, mungkin anda boleh ceritakan pada saya. :)

Dan ada lagi dua buah buku yang disarankan oleh kakak saya. Katanya, kedua-dua buah buku ini ditulis oleh rakannya. Jadi saya pun buat sedikit penyelidikan tentang buku yang dimaksudkannya.


3. #Henshin Mahasiswa oleh Eqhwan



Saya sudah membaca buku #Henshin tulisan Aiman Banna. Kalau anda tahu tentang #Henshin, tak mustahil anda pun pernah mendengar tentang #Henshin Muslimah. Jadi saya rasa mungkin buku #Henshin Mahasiswa ini lebih kurang versi penghijrahan untuk para mahasiswa pula. Buku tulisan Eqhwan ini berharga RM25 terbitan Inspirasee Publication. Pada pendapat saya, mungkin buku ini banyak menyentuh tentang kehidupan pelajar di universiti yang selalu sibuk dengan macam-macam perkara. Sibuk, sibuk juga. Akhirat kena jaga. Mungkin itu yang hendak ditekankan dalam buku ini. Saya rasa buku ni memang sesuai untuk saya dan saya perlu membacanya.


4. Resus - #SiriStudentGempak




Buku Resus ni ditulis oleh doktor-doktor muda yang mempunyai misi besar dalam bidang perubatan. Harganya RM 25, terbitan Synergy Media. Buku ini mengajak anda untuk membuka bukan sekadar mata, tetapi juga hati untuk dihidupkan dan disedarkan tentang hakikat kehidupan berlatarbelakangkan dunia perubatan. Saya jarang membaca buku tentang perubatan, tapi mungkin saya boleh cuba menambah input baru melalui penulisan buku ini, insyaAllah.


Jadi inilah keempat-empat buah buku yang sedang saya cari untuk membunuh masa. Mungkin bukan cuma buku yang saya cari, tetapi saya hendak mencari sesuatu yang lebih daripada itu. Harapnya penulisan mereka mampu memberikan impak kepada masyarakat dan saya akan terus menyokong industri penulisan tempatan kita.

Thursday 3 March 2016

Keputusan STPM



Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamualaikum.

Hampir satu tahun setengah menunggu hari semalam. Detik pengumuman keputusan STPM. Sebelum ini pun dah berkali-kali ambil keputusan peperiksaan penting. UPSR, PMR dan SPM. Jadi, sudah tidak ada lagi rasa gementar dalam diri. Entahlah. Mungkin cuma ada rasa tak sabar nak tahu keputusan. STPM agak berbeza dengan peperiksaan yang lain. Setiap kali peperiksaan penggal kita akan dapat tahu keputusan untuk penggal tersebut. Jadi untuk ketiga-tiga penggal STPM, pelajar dah boleh agak keputusan keseluruhan yang akan diperoleh berdasarkan pencapaian masing-masing. Saya malas mengira ikut panduan MPM, jadi saya buat anggaran kasar mungkin saya akan dapat sekitar 3.4 ke atas.

Sampai sahaja ke sekolah, kami dimaklumkan ada tiga pelajar mendapat pointer 4.00. Seorang Melayu, seorang Cina dan seorang India. Satu Malaysia. Ketiga-tiganya pelajar perempuan. Tahniah kepada mereka bertiga. Kalau tak silap tahun lepas pun ada tiga orang pelajar mendapat 4.00. Saya tak pasti adakah prestasi kami mencapai sasaran sekolah ataupun tidak, tapi dengar kata keputusan STPM 2015 meningkat dari tahun sebelumnya.

Selepas selesai mendengar ucapan, barulah saya menunju ke kaunter kelas. Main ambil sahaja fail dan koyak sendiri keputusan. Kawan-kawan kelas siap berkumpul menanti saya mengoyak slip. Gaya macam tunggu cabutan bertuah pula. Alhamdulillah, walaupun tak mampu mendapat 4 flat, saya mendapat 3.83. 3A dan 1B+. Keputusan yang agak unexpected bagi saya sebab saya buat anggaran kasar 3.40 lebih. Jauh dari expectation saya. Saya tak adalah teruja sangat, lebih kepada rasa lega kerana dapat melebihi pointer 3.50. Saya berasa lega kerana kebanyakan syarat untuk memohon biasiswa adalah 3.50 ke atas, jadi saya dapat memenuhi syarat kelayakan tersebut.  

Bercakap tentang biasiswa pula, agak susah nak cari biasiswa untuk lepasan STPM kerana rata-rata biasiswa yang saya lihat cuma dibuka untuk lepasan SPM. Kalau ada pun untuk lepasan STPM, kebanyakannya akan minta surat tawaran universiti terlebih dahulu. JPA pun sudah tidak menawarkan lagi biasiswa untuk pelajar. Jadi peluang untuk mendapat biasiswa sekarang ni saya lihat macam dah terhad. Saya bukannya apa, cuma rasa rugilah dah bersusah payah dapat 3.83 tapi tak dapat biasiswa. Buat masa sekarang, saya terpaksa tunggu tawaran dari pihak universiti dulu sebelum boleh memohon biasiswa.

Berbalik kepada cerita, setelah mendapat tahu keputusan masing-masing, saya dan rakan-rakan yang lain pun membuat kunjungan ke bilik guru. Alhamdulillah, nampaknya pensyarah yang mengajar kelas kami agak gembira dengan keputusan yang kami peroleh. Cikgu Ishak pun nampak lebih teruja dan gembira dari biasa. Bila diajak bergambar pun terus saja beliau bersetuju. Dulu selalu mengelak saja. Sebelum keluar dari bilik guru sempat juga saya mengutip nasihat dari pensyarah-pensyarah yang lain tentang universiti dan masa depan. Terima kasih semuanya atas tunjuk ajar dan nasihat yang diberi selama ini. Tapi saya tetap minta maaf sebab tak dapat mencapai expectation beberapa orang pensyarah untuk mendapat 4 flat. Saya lebih banyak main daripada bersungguh-sungguh. Maaf. 

Jadi satu bahagian sudah selesai. Keputusan STPM sudah tahu. Sekarang barulah permulaan kepada semuanya. Nak fikir nak mohon universiti mana, bidang apa, dengan yuran pengajian lagi. Kalau tersalah pilih, mungkin boleh bagi kesan negatif. Jadi perlu pilih dengan berhati-hati. Saya masih belum dapat membuat keputusan lagi, tapi yang pasti saya akan memilih bidang yang sesuai dengan apa yang telah dipelajari di peringkat STPM sebelum ini. Saya lebih runsing fikir tentang pencarian biasiswa daripada kemasukan ke universiti. Saya harap insyaAllah akan mendapat tawaran ke universiti pilihan. Cuma untuk biasiswa, kena banyak usaha.

Sebenarnya saya bersyukur kerana tidak perlu membelanjakan wang yang banyak di peringkat STPM. Serius saya katakan. Yuran pendaftaran cuma RM40 kalau tak salah saya. Duit buku dapat baucar RM250. Itu pun banyak lebih dulu. Yuran PIBG RM50. Kos-kos tambahan yang lain biasalah untuk beli uniform, kerja kursus dan sebagainya. Kalau diploma atau asasi, mungkin lebih banyak kos yang terpaksa dibelanjakan berbanding STPM. Secara ringkasnya saya boleh katakan konsep tingkatan enam ini agak relaks sedikit berbanding universiti. Rasanyalah. Kerja kursus pula kalau faham konsep dan apa yang dikehendaki sangatlah membantu.

Apa pun, saya nak berterima kasih kepada semua tenaga pengajar serta pihak yang terlibat termasuklah keluarga dan rakan-rakan atas sokongan yang diberikan. Saya harap keputusan yang tak seberapa ini bolehlah sedikit sebanyak membayar apa yang saya terima selama ini walaupun saya tahu saya tak akan pernah dapat membayarnya. Tahniah untuk semua yang berjaya, dan kepada yang kurang berjaya, ini bukanlah pengakhiran segala-galanya. Kegagalan tu bukannya bila gagal dalam pelajaran, tapi bila kita gagal teruskan perjuangan dalam hidup.

p/s: Tahniah juga kepada adik saya yang mendapat keputusan cemerlang dalam SPM hari ini serta semua calon SPM yang lain.