Sunday 29 May 2011

Aina Zalia Part 2

“Apa Yuni ingat kedai tu ada sebelah rumah saja? Jauh la.” Manusia yang bergelar abang ngah itu membuka topi keledarnya. Zalia masih membisu sedari tadi. Memang dia begitu kalau berdepan dengan lelaki kecuali bila dia tak ingat dunia, barulah bising semacam. Dia teringat kejadian yang pernah berlaku di kafetaria kolejnya suatu ketika dahulu di mana dia tertumpahkan kopi ke atas baju salah seorang pensyarah lelaki muda kolej itu. Dalam nada cemas macam-macam yang dituturkannya. Memang sah dia cepat gelabah.


Zalia mendongak melihat wajah makhluk bertopi keledar yang telah dilanggarnya tadi. Dan seketika itu juga bagaikan ada kejutan elektrik yang mengalir deras dalam tubuhnya. Subhanallah. Kacak yang amat. Persis pelakon pun ada.


“Oh ya. Abang ngah. Kenalkan ni kawan baik Yuni di kolej. Dia yang selalu jaga Yuni. Aina Zalia. Zalia, ni abang ngah aku. Faiq Zakwan.”


Oh. Ni la Zalia yang selalu adik aku cerita tu. Eh kejap. Macam pernah aku jumpa saja gadis ni. Tapi di mana ya? Ya lah! Bukankah dia yang langgar aku tadi? Patutlah pandang aku semacam aje. Macam nak makan orang. Ke dia teruja sebab aku ni makhluk Tuhan yang terkacak di antara yang terkacak. Eh, terperasanlah pula…


Ayuni menyinggung lengan Zalia yang membatu dari tadi. Boleh jadi tugu peringatan dah gayanya. Zalia spontan terkejut lantas menunduk.


“Err.. apa khabar Dato’, eh tuan, eh encik, eh uncle, eh abang ngah!” Dah sudah. Semua terkeluar habis daripada mulut Zalia. Ayuni tertawa melihat sahabatnya itu.


“Alhamdulillah baik,” sepatah juga Zakwan menjawab. Dia menyerahkan bungkusan besar ais kepada adiknya dan sempat berpesan supaya mereka berhati-hati. Ayuni dan Zalia menuangkan ketulan ais ke dalam bekas besar yang berisi jus tadi. Dapat juga Zalia merasa aisnya.


Setelah kebanyakan tetamu pulang, Zalia turut membantu mengangkat pinggan makanan dan minuman ke dapur. Dah macam pembantu rumah tidak bergaji sahaja lagaknya. Datin Sri Munira menghampiri kedua-dua gadis itu.


“Mama, kenalkan ni kawan Yuni. Aina Zalia. Zalia, ni mama aku.” Zalia bersalaman dengan ibu Ayuni. Mesti mama Ayuni ni datin. Datin bertudung litup, ayu dan awet muda.


“Kamu berdua buat apa kemas-mengemas ni. Pembantu rumah kan ada. Yuni, Zalia kan tetamu dalam rumah ni. Apa kata Yuni bawa dia bersiar-siar tengok rumah.” Segera Zalia menambah satu lagi perkataan yang menggambarkan ciri-ciri Datin Sri Munira. Baik hati!


Ayuni mengajak sahabatnya itu melawat sekeliling vila. Di belakang vila, terdapat sebuah kolam renang besar yang tertutup. Beberapa kerusi malas dan meja juga disusun atur dengan kemas. Pokok-pokok yang ditanam di situ juga semuanya membesar dengan baik. Bahagia sahaja mereka menjalankan kehidupan di situ.


“Besarnya kolam renang kau. Macam hotel lima bintang!” Zalia bertutur kegembiraan.


“Aku jarang mandi di kolam ni. Papa dengan abang ngah saja yang suka. Abang ngah tu, seminggu tak mandi kolam bukannya boleh.” Ayuni kemudiannya membawa Zalia melawat kolam ikan kaloi. Pelbagai jenis ikan turut menghiasi kolam yang bersih itu.


“Rumah kau ni, bestlah. Aku suka. Semua fasiliti ada.”


“Itulah. Tapi aku jarang balik vila. Bila cuti semester sahaja. Eh, jomlah. Tengok bilik aku pula!” Kali ini, Zalia dibawa berlari ke tingkat dua pula. Pintu bilik keempat ditolak. Kelihatan penuh patung beruang menghiasi ruangan bilik gadis itu. Terdapat juga sebuah televisyen plasma dan radio. Ayuni menekan alat kawalan jauh pendingin hawanya. Seketika kemudian, kedinginan memenuhi segenap ruangan. “Buat aje macam rumah kau sendiri.”


Gila! Vila besar ni dia suruh aku buat macam rumah sendiri? Boleh ke? Tapi bagus juga tinggal sini. Macam duduk dalam hotel lima bintang.


“Aku sebenarnya ada masalah ni nak ceritakan pada kau. Boleh kau dengar?” Ayuni mula buat muka serius.


“Hey, what are friends for? Ceritalah, siapa tahu aku boleh bantu,” Zalia sudah turut berbaring di atas katil besar Ayuni. Mereka berdua sahabat yang terlalu akrab, sukar dipisahkan. Namun Ayuni semacam menyimpan pelbagai rahsia daripada Zalia, yang cuba dibongkarnya satu per satu.


“Papa dan mama aku tu asyik sibuk sahaja 24 jam. Papa sibuk dengan meeting la golf la. Mama sibuk dengan perjumpaan pertubuhan segala. Kadang-kadang, aku nak bercakap dengan papa dan mama pun susah. Sometimes, it hurts. Aku rasa macam sunyi. Sebab tu setiap kali cuti semester, aku mesti datang lepak rumah kau.”


“Kak Long? Abang Ngah? Kau tak ada saudara-mara lain lagi ke? Vila punyalah besar tapi tak mungkin penghuninya sedikit?”


“Kadang-kadang sesuatu yang nampak megah daripada luarannya, dalamnya pun boleh jadi kosong. Kak Long aku tinggal dengan Abang Long di United Kingdom. Abang Long tu sambung buat PhD di sana. Cuti panjang, dia ambil kesempatan balik. Kak Long selalu berharap anak sulungnya akan lahir di Malaysia. Alih-alih, hasratnya tercapai juga. Alhamdulillah. Abang Ngah aku tu, papa tengah latih jadi pengurus syarikat dia. Lagipun, dia tu lelaki, mana faham isi hati perempuan. Semua orang akan buat hal masing-masing.”


“Abang Ngah kau belum kahwin?” Dah sudah. Aina Zalia, yang kau pergi tanya soalan macam tu kenapa? Sibuk jaga tepi kain orang betul. Eh, abang Ayuni mana pakai kain, dia pakai seluar.


“Belum. Asyik single unavailable aje. Bilalah nak single available pula. Dah patut kahwin dah tu. Tapi kata orang, orang lelaki ni lagi bujang lagi laku. Apa-apa ajelah.”


“Tak apa. Kau jangan risau. Aku kan ada. Cuti-cuti macam ni aku tak payah melancong mana-mana. Boleh lepak rumah kau aje. Aku pun sunyi juga, maklumlah anak tunggal dalam keluarga. Kita kan sahabat, saling melengkapi? Kau adalah aku, dan aku adalah kau.” Cewah. Bermadah segala. Ayuni mengukir senyuman lebar.


“Aku nak pergi toilet kejap. Kau tunggu kejap ya, nak round bilik aku ni pun tak apa.” Ayuni memasuki bilik air yang turut terletak di dalam biliknya. Zalia membelek-belek buku di rak buku Ayuni. Pelbagai jenis bahan bacaan ada di situ. Nampaknya Ayuni lebih meminati novel-novel penyiasatan kerana banyak novel kategori itu tersusun rapi di raknya. Tiba-tiba pintu ditolak dari luar. Zalia berpaling.


“Yuni, abang nak…” kata-kata itu terhenti di situ apabila melihat Zalia. “Ops, sorry.” Zakwan keluar sambil menutup pintu. Alahai, manalah aku tahu kawan-kawan dia belum balik lagi. Buat malu saja.


Zalia yang berasa kurang enak di situ memanggil Zakwan.


“Err.. kenapa abang ngah? Ada emergency ke? Ayuni dalam toilet. Nak saya panggilkan dia?” Zalia menyusun atur tergagap-gagap.


Abang ngah? Sejak bila pula dia jadi adik aku ni? Cuma keluarga aku saja yang boleh panggil macam tu.


“Tak payahlah panggil saya abang ngah. Pelik pula jadinya.”


“Habis tu.. err.. nak panggil apa?” Zalia masih menunduk. Dia tahu batasannya.


“Zakwan. Nak tambah abang kat depan nama tu pun boleh. Nanti pesan pada Yuni, abang dia cari ya? Terima kasih,” ujar Zakwan pantas sambil mengatur langkah pergi.


Zalia membelek sebuah buku motivasi karya Ustaz Hasrizal Abdul Jamil, Bercinta Sampai Ke Syurga. Selama ini, aku ingat Ayuni tu malas nak baca buku sebab punyalah susah nak suruh dia membaca di kolej. Asyik kena paksa saja. Rupa-rupanya dia memang minat membaca, tapi bergantung pada bahan bacaannya. Agak-agaknya dia tak suka baca buku pelajaran barangkali? Boleh pula macam tu.


“Hoi!” Sergahan Ayuni mengejutkan Zalia. Buatnya aku ada penyakit jantung macam mana? Ke hospitallah alamatnya.


“Kau ni Yuni! Lain kali bagilah salam. Eh, buku-buku ni semua kau yang beli ke?”


“Taklah. Mama dan papa yang belikan. Ada sesetengah hadiah dari kawan-kawan. Aku paling suka novel penyiasatan, sebab tu aku buat koleksi,” Ayuni menjelaskan tanpa dipinta.


“Oh ya, tadi abang kau cari.”


“Nak suruh buat kerja la tu! Zalia, kita solat Asar dulu jom.” Zalia mengangguk. Usai menunaikan satu daripada rukun islam itu, Ayuni menarik tangan Zalia keluar mencari kelibat abangnya. Zalia mengambil kesempatan itu untuk meneroka setiap pelusuk ruangan di vila itu. Kesemua pintu tertutup rapi, seolah-olah menyimpan pelbagai misteri di dalamnya. Tingkap berkaca yang dibuka segera ditutup oleh pembantu rumah kerana hujan turun dengan begitu lebat tanpa disedari.


“Abang Ngah!” Ayuni menjerit tidak tentu pasal. Zalia cuma menuruti jejak temannya tanpa sebarang kata.


“Ha.. Yuni. Mama dan papa dah keluar. Ada urusan. Abang pun nak keluar melawat Kak Long di hospital, tolong jaga rumah baik-baik ya?” Zakwan menyarungkan topi keledarnya.


“Yes boss!” Ayuni buat gaya tabik. Zakwan keluar dari rumah. Zalia memandang jam tangannya. Masya-Allah! Hampir dia terlupa mahu pulang.



Bersambung...

Saturday 28 May 2011

Aina Zalia Part 1



Do you hear me I’m talking to you


Across the water across the deep blue ocean


Under the open sky oh my, baby I’m trying


Boy I hear you in my dreams


I feel you whisper across the sea


I keep you with me in my heart


You make it easier when life gets hard


Zalia menyanyi-nyanyi kecil mengikut lagu Lucky yang dimainkan oleh MP3 miliknya itu. Sesekali tubuh kecil yang sedang mengemop lantai itu juga ikut bergerak bersama irama lagu. Memang kalau gadis itu sedang bersama MP3nya, pasti tidak ingat dunia. Haru.


“Zalia!” sergah Ayuni daripada belakang, namun tetap tiada reaksi. Aik, dah sergah punyalah kuat tak dengar lagi? Dan kali ini, Ayuni meneruskan sergahannya tetapi dengan suara yang lebih kuat lagi.


“Allah!” Zalia separa menjerit sambil menghalakan alat pengemopnya ke arah Ayuni kerana terkejut. Terhambur tawa daripada temannya itu melihat refleks spontan Zalia.


“Kau rupanya Yuni. Aku ingatkan siapa. Terkejut manusia aku!”


“Kau ingatkan siapa? Putera raja dari jalanan? Sudah-sudahlah tu berangannya Cik Zalia oi. Tak ingat dunia sampaikan bunyi ekzos motor aku pun kau tak dengar. Parah ni,” ujar Ayuni yang memang sudah sedia maklum tentang perangai Zalia yang suka berangan. Zalia sekadar mencebik.


“Bila masa kau datang pula ni? Ada apakah gerangan tuan hamba datang menghadap hamba di sini?” Sudah. Terkeluar segala bahasa dulu-dulu. Usai mengemop lantai, Zalia menyimpan semula peralatannya di tempat asal. Dia mengajak Ayuni naik ke biliknya. Ayuni merupakan rakan baik merangkap penasihat peribadi Zalia. Sentiasa ada bila dia memerlukan.


Masuk ke dalam bilik, Ayuni duduk di atas katil Zalia sambil memerhatikan gelagatnya. Zalia memeriksa telefon bimbitnya lantas dicas kerana telah kehabisan bateri. Seluruh ruangan bilik itu dicat dengan warna biru. Katil bujang yang didudukinya itu juga disarungkan dengan cadar biru. Memang pencinta biru sejati la budak tu.


“Oh ya. Tadi sebelum mak kau keluar, dia pesan jangan lupa masak makan malam. Katanya dia sibuk.” Zalia sekadar mengangguk. “Erm. Aku datang sini sebenarnya nak jemput kau datang rumah aku …”


“Datang rumah kau? Biar betul. Tak pernah kau ajak aku pergi rumah kau? Mimpi apa ni?” Tanya Zalia bertalu-talu bagaikan dirinya itu pegawai penyiasat dan Ayuni pula pesalah yang harus menjawab segala persoalan yang diajukan.


“Sabarlah. Aku belum habis bercakap lagi. Kau ni! Memang aku tak pernah jemput kawan-kawan aku ke rumah. Aku seganlah. Rumah aku tu bukannya seberapa sangat. Tapi Isnin ni lepas Zuhur ada kenduri kesyukuran kat rumah. Kak Long aku tu kan dah selamat melahirkan.” Ayuni menyerahkan sehelai kertas kecil yang bertulis alamat rumahnya. Zalia mengangguk. “Pastikan kau datang, ya?” Zalia buat gaya tabik.


“Ada apa-apa lagi?”


“Hurm. Aku rasa itu saja. Kau ni… macam nak menghalau aku pula gayanya.”


“Mana ada aku nak halau kau. Kau kan kawan aku. Dah alang-alang kau ada di sini, aku nak ajak kau temankan aku memasak. Bosanlah masak sorang-sorang ni,” Zalia buat muka menagih simpati. “Nanti kau bawalah balik sikit untuk keluarga kau.”


“Ya lah, ya lah.”


***


“You go straight, don’t belok-belok,” Ayuni memberikan arahan.


“Straight?”


“Depan sikit lagi ada simpang empat. Kau masuk kiri. Jalan terus sikit, ada satu rumah je di situ. Itulah rumah aku,” suara itu terus-menerus memberikan arahan melalui telefon bimbit. “Eh mak aku panggil la Zalia. Aku chao dulu, nanti kita jumpa. Assalamualaikum.” Talian dimatikan.


Satu rumah sahaja? Rumah apa budak tu duduk? Dah la kawasan terpencil ni aku tak biasa lalu. Tak ada kenderaan pun yang lalu-lalang. Seram aku jadinya. Zalia berteka-teki di dalam hatinya. Tangan yang memegang stereng terus bergerak ke kiri sambil pandangan matanya meliar ke sana ke sini. Tiba-tiba tanpa sengaja Zalia terlanggar satu objek bergerak yang baru melewati kawasan itu.


“Ya Allah!” Zalia menjerit kecil. Apa aku dah buat ni? Makhluk mana aku dah langgar pula ni? Itulah Zalia, lain kali memandu tengok jalan bukan tengok pemandangan! Zalia menempelak diri. Gadis yang lengkap berbaju kurung dan bertudung biru itu segera keluar dari kereta. Sebuah motosikal jatuh di atas jalan. Dan sekujur tubuh makhluk yang bertopi keledar sedang cuba berdiri kembali. Ketika itu, Zalia diselebungi rasa bersalah. Anak manusia mana pula dia dah langgar ni.


“Err.. maaf. Saya tak sengaja tadi. Maafkan saya! Sakit tak? Nak pergi hospital tak?” Penyakit gelabah Zalia datang lagi.


“Tak apa. Sikit aje.” Eh. Dia bersuara la. Sah dia ni manusia. Zalia, kau dah langgar manusia! What to do? What to do?


Pemuda itu membetulkan kedudukan motosikalnya dan terus berlalu pergi, seolah-olah tiada apa yang terjadi. Dia yang kena langgar, aku yang gelabah. Fuh. Lega dia tak apa-apa. Zalia terus memeriksa Perodua Kancil birunya yang sedikit tercalar.


“Apa nak buat. Dah nasib. Redha je la.” Kereta kesayangan aku! Zalia terus masuk ke dalam kereta, terus mencari-cari rumah Ayuni. Beberapa minit kemudian, dia berhenti di hadapan sebuah vila besar.


“Subhanallah! Rumah Yuni ke ni?” Dia tergamam. Ramai juga orang masjid dan jemputan di situ. Dia pula naik segan. Kelihatan sahabatnya itu berlari-lari mendapatkannya.


“Yuni, ni rumah kau ya? Besar gedabak. Tak pernah kau cerita kau ada vila sebesar ni. Rumah tak seberapa konon!” Zalia sedikit marah dipermainkan. Lagipun, buat apa sahabatnya itu merahsiakan rumahnya. Baru hari ini dia tahu rakan kolejnya itu merupakan anak orang kaya.


“Maaflah. Keluarga aku memang tak berapa suka besar-besarkan hal ni. Nanti orang kata berlagak pula. Yang kau ni, kenapa lambat? Masuklah,” pelawanya.


“Lambat seminit saja pun kau nak berkira. Tadi aku ada terlanggar makhluk Tuhan mana entah. Sebab itu lambat.” Zalia bersalaman dengan kebanyakan tetamu wanita di situ. Tengok gaya macam datin-datin saja semuanya. Tapi kenapa pakai tudung sekerat-sekerat. Bukannya lawa pun nampak jambul. Bukankah lebih manis dan sedap dipandang sekiranya bertudung litup? Mungkin pintu hati mereka masih belum terbuka buat itu. Moga Allah bukakan pintu hati mereka.


“Nah Yasin. Sekejap lagi bacaan Yasin akan bermula.”


Mereka mengambil posisi duduk di satu sudut ruangan. Bacaan yasin pun dimulakan. Begitu tenang dan mendamaikan tatkala ayat-ayat Allah itu dibacakan memenuhi segenap penjuru ruangan vila tersebut. Tidaklah rumah itu kekosongan daripada ayat Allah. Dan sepanjang yang Zalia tahu Ayuni tidak pernah ketinggalan untuk membaca al-Quran setiap hari, kecuali bila sampai seru.


Setelah tamat, Ayuni mengajak Zalia dan sahabat-sahabatnya yang lain untuk menjamu selera. Zalia mudah masuk dengan kawan-kawan Ayuni walaupun beberapa minit kenal kerana dia memang peramah. Makanan yang dihidangkan pula semuanya sedap belaka. Mampu membuatkan setiap mulut yang memandang terliur.


“Yuni, tak ada ais ke?” soal Zalia setelah melihat minumannya tidak berais. Dia memang suka minuman sejuk, apatah lagi yang berais. Ayuni menampar dahinya.


“Ya Allah, aku lupa. Tadi aku suruh abang aku pergi beli. Sekejap lagi dia baliklah tu. Kau minumlah dulu air tu, tak memudaratkan pun kalau tak ada ais.” Ewah budak ni. Memang la tak memudaratkan, tapi membahagiakan. Dah sudah. Merapu. Minum je la Zalia oi. Zalia meneguk minuman jus di tangannya itu.


“Haaaa!” Ayuni separa menjerit. Tersedak Zalia dibuatnya. “Maaf, maaf. Aku tak sengaja.” Ayuni mengusap lembut belakang badan sahabatnya itu.


“Yang kau menjerit tak tentu pasal ni kenapa? Nampak hantu ya?”


“Abang aku dah baliklah. Jom ikut aku angkat ais.”


“Abang kau? Err.. tak naklah. Aku segan. Aku duduk sini sajalah.”


“Ala, abang aku je pun. Bukannya dia makan orang. Dia tu baik tahu? Jomlah, tak larat aku nak angkat sorang-sorang,” Yuni menarik tangan Zalia. Zalia membuntuti menuju ke arah manusia yang bergelar abang kepada Ayuni itu.


Bila diamati dari jauh, macam aku kenal je makhluk tu. Tapi di mana ya? Eh, kejap Zalia. Stop! Dialah makhluk bertopi keledar yang kau langgar tadi! Mana nak campak muka aku ni? Eh, dia cam ke aku tak ya? Dia kan pakai topi keledar, mana nak nampak. Desis Zalia dalam hati.


“Abang ngah, ada tak ais yang Yuni minta tu?” Tak menyempat Ayuni bertanya. Belum lagi abangnya turun dari motosikal.


“Ada.” Sepatah dijawab.


“Kenapa lambat sangat?” Padahal tak lambat mana pun.


Bersambung...

Friday 27 May 2011

Sepatah Kata: School Holidays Fiesta!

Musim cuti sekolah telah bermula lagi. Jadi, apa perancangan korang? Saya tak pergi mana-mana cuti sekolah, duduk di rumah saja. Menelaah buku pelajaran, mungkin?

Ayuh manfaatkan cuti sekolah.

Thursday 26 May 2011

Setiap Pertemuan, Pasti Ada Perpisahan

Yakinlah bahawa setiap yang hidup akan pergi jua. Maka redhailah pemergian mereka, kerana sesungguhnya Allah lebih menyayangi mereka.


Yakin. Percaya. Nanti kita juga akan tiba saatnya. Waktu itu kalau minta dipanjangkan umur lagi sudah tidak ada gunanya.


Kenapa?


Masih belum cukup lagikah usia yang Allah pinjamkan pada kalian? Hendak berapa tahun lagi? 100 lagi? Belum cukup?


Dan yakin juga, setiap pertemuan itu ada perpisahannya. Mungkin ada yang menyenangkan dan ada yang mengecewakan. Hei, itukan namanya kehidupan?


Saya cuba bersedia menghadapi kematian yang bisa menjemput bila-bila. Doakan saya.

Tuesday 24 May 2011

Suka Tak Semestinya Memiliki

Kalau kita minat atau menyukai sesuatu, tak semestinya kita perlu memilikinya kan?

Pengorbanan itu perlu. Fikirkan kepentingan semua pihak.

Jangan egois.

Wednesday 18 May 2011

Diari#21: Selamat Hari Guru

Masih belum terlambat kan untuk saya mengucapkan Selamat Hari Guru? Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua guru-guru yang pernah mendidik saya walau sekecil mana pun ajaran itu. Layang-layang tidak boleh terbang tinggi tanpa tali. Begitulah menurut saya hubungan antara guru dan pelajar. Pelajar punya cita-cita tinggi, ibarat layang-layang, tetapi hanya mampu diterbangkan dengan adanya tali yang dapat mengawal pergerakan layang-layang tersebut. Begitulah guru. Mengajar, mendidik dan menegur bila pelajarnya salah.
Menurut saya, bukan senang tugas sebagai seorang guru. Paling penting, memerlukan kesabaran. Ya lah, guru mengajar sesuatu yang mungkin belum kita ketahui. Mereka akan mengajar berulang-ulang kali sehinggalah kita benar-benar faham subjek tersebut. Dan saya yakin, selepas mengajar, mesti cikgu akan cakap, “Faham tak?” Dan pelajar pun angguk saja sama ada mengerti atau tidak. Saya pun lebih kurang begitulah, dan akhirnya diri sendiri yang tak faham. Baiklah, moral di sini kalau tidak faham tanya ya, kerana malu bertanya sesat jalan.

Saturday 7 May 2011

Jelajah#3: Jemputan ke Ceramah Penulisan di SK Batu Pekaka


Pagi Jumaat. Dapat telefon daripada editor suruh turun ke Kuala Ketil. Katanya ada promosi buku. Kali pertama saya dengar sekolah rendah, hati terus melonjak gembira. Sebab? Saya suka kanak-kanak! Mereka comel, nakal dan menghiburkan.

Pagi Sabtu. Akhirnya tiba di SK Batu Pekaka, Kuala Ketil, Kedah. Sekolah ini terletak di kawasan berhampiran kelapa sawit, tetapi alhamdulillah tak sesat mencarinya. Usai tiba, saya ada bertanya kepada beberapa adik-adik yang sedang menjamu selera di kawasan berdekatan. Mungkin waktu rehat barangkali. Kemudian seorang guru, yang tidak saya ketahui namanya membawa kami ke sebuah bilik.

Mereka baru selesai menjamu selera. Pegawai pelajaran, guru besar, YDP sekolah, pengarah urusan GISB iaitu Abu Hassan Morad, dan beberapa orang yang lain. Kemudian mereka bertanya macam-macam soalan kepada saya. Sebenarnya saya teruja dapat berjumpa dengan ketua besar Galeri Ilmu Sdn Bhd, yang membahasakan dirinya pak cik. InsyaAllah beliau akan turun ke SMK Sultan Badlishah nanti, mungkin selepas saya PMR untuk memberikan ceramah motivasi berkenaan dunia penulisan. Pak Cik Abu sangat baik. Beliau seorang yang merendah diri, sporting dan bersahaja. Pendek kata, semua sifat mahmudah ada pada diri beliau.

Program pada hari itu adalah ceramah penulisan yang akan disampaikan oleh beliau. Pak Cik Abu menjemput saya untuk memberikan ucapan selama beberapa minit, sebagai pendorong dan motivasi kepada para pelajar di situ. Saya cuba menyampaikan dengan bersahaja biar mereka tidak kebosanan.

Saya menceritakan sedikit tentang cara membahagi masa dengan penulisan. Kemudian ada sesi soal jawab. Soalan pertama saya sudah lupa. Soalan kedua, berapa lama masa yang diambil untuk saya menghasilkan novel. Soalan ketiga, adakah saya pernah mendapat tokoh nilam. Saya cuma pernah mendapat anugerah nilam ketika sekolah rendah sahaja. Naik sekolah menengah, pembacaan itu masih ada cuma catatan dalam buku nilam sahaja yang tidak dilakukan.

Kemudian, seorang guru pula meminta saya menceritakan tentang latar belakang pendidikan. Paling tidak, hari ini, saya dapat menimba lagi pengalaman baru. Pada akhir sesi ceramah Pak Cik Abu, beliau menjemput beberapa orang pelajar bagi menceritakan apa yang mereka mahu kongsikan secara spontan. Saya suka mendengar cerita murid-murid tersebut, terutamanya daripada adik Alea Elyana dan Izzatul. Alea comel sangat, lagi-lagi bila dia cerita tentang kucing-kucing miliknya. Tiga ekor kucing Alea telah menjadi mangsa tayar kereta ayahnya.

Izzatul pula, cerita tentang harapannya mahu menyertai pertandingan merentas desa tahun depan. Saya lihat adik-adik ini semuanya bervisi, insyaAllah, saya doakan kejayaan semuanya. Selesai sesi ceramah, apa lagi, kanak-kanak semuanya berkumpul meminta tanda tangan saya. Fuh! Kali ini lebih ramai lagi daripada Pesta Buku Antarangsa Kuala Lumpur dulu. Mereka ada yang bertolak-tolakan, ada yang muncul dari belakang tingkap, ada yang bergaduh dan sebagainya.

Saya ada menitipkan nombor telefon dan e-mel kepada yang minta. Comel betullah budak-budak tu! Alea siap salam saya lagi. Kemudian dia bercerita tentang ibunya, iaitu seorang guru di sekolah tersebut. No wonder la. Kemudian Eirfan, seorang pengawas bersongkok mengaku dirinya sepupu Alea. Dan banyak lagi cerita mereka. Warga SKBP juga ada menghadiahkan saya cenderamata kenang-kenangan. Ah... sungguh terharu.

Sebelum pulang, Pak Cik Abu menghadiahkan saya bukunya yang berjudul Suu Phea, kemudian novel Ladang Hati Mustika tulisan anak beliau, Ummu Hani serta majalah Anis dan Asuh. Saya sempat juga berfoto dengan beliau, para guru dan adik-adik comel di situ. Terima kasih kepada GISB dan warga SK Batu Pekaka yang menjemput saya.

Kepada adik-adik di SK Batu Pekaka, terima kasih sebab buatkan Kak Nurina gembira hari ni. Kak Nurina suka sangat datang ke sekolah adik-adik. Kak Nurina dapat pengalaman baru dan dapat mendekati kanak-kanak dengan lebih mendalam. Kamu semua ada cita-cita, dan Kak Nurina harap semua cita-cita itu akan tercapai juga suatu hari nanti. Apa yang penting kesungguhan dalam diri. Adik-adiklah generasi harapan negara.

Kepada Alea, Izzatul dan Eirfan, terima kasih sebab layan Kak Nurina tadi. Nanti insyaAllah kalau ada kesempatan, kita jumpa lagi. Alea nanti suruh mama bela kucing baru pula. Izzatul, tahun depan bagi menang merentas desa nombor satu, ok? Eirfan, good luck dan jangan nakal-nakal. Jangan buli Alea! Kak Nurina sayang kamu semua.

With love,
~ Kak Nurina.

Sunday 1 May 2011

Jelajah#2: Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2011

Bahang Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2011 sudah semakin memuncak kerana hari ini, 1 Mei merupakan tarikh terakhir pesta itu akan berlangsung. Jadi kepada semua yang masih belum menghadirkan diri ke sana, bolehlah berbuat demikian dengan segera. Semalam, 30 April 2011, buat pertama kalinya saya telah menjejakkan kaki ke Pusat Perdagangan Dunia Putra (PWTC) juga pertama kali datang ke PBAKL.

Masuk sahaja ke dalam memang sungguh sesak dengan ratusan atau ribuan manusia yang berpusu-pusu mahu membeli buku atau mendapatkan apa yang boleh mereka dapati di PBAKL. Saya terpaksa juga mengharungi banjiran manusia itu. Nasib baik saya kurus. Perasan sebentar. Pada awalnya saya fikir mahu berjalan-jalan dan membelek-belek naskah buku terbaru tetapi hasrat saya terbantut setelah melihat kondisi jalan yang sungguh sesak lagi padat. Lantas saya segera mencari booth Galeri Ilmu Sdn Bhd yang terletak di A-14 - A-19. Setelah bertanyakan kepada penjual-penjual di situ akhirnya berhasil juga jumpa booth tersebut.

Booth GISB menjual variasi buku, majalah, t-shirt, rantai kunci, buku nota dan sebagainya. Saya sempat mendapatkan beberapa buah buku dan sehelai t-shirt kenang-kenangan. Terdapat satu ruang yang disediakan untuk para penulis. Ya, di situlah saya duduk.


Kemudian team GISB mempromosikan Single Unavailable. Sebenarnya saya sepatutnya datang pada 3.45 petang tetapi saya tiba awal sangat. Pada waktu itu tidak ramai lagi yang mendapatkan tanda tangan saya jadi saya pergi meronda-ronda di sekitar PWTC dahulu. Ingat mahu berjumpa Kak Ain Maisarah tetapi booth beliau memang sesak dengan peminat beliau, sehingga saya rasa tidak ada ruang langsung mahu pandang muka beliau.

Kemudian saya sempat berjalan ke beberapa booth, termasuk booth KarnaDya di mana saya berjumpa dengan rakan-rakan Urban Teen Writer iaitu novelis Mira Muskam dan Hasif Hamsyari. Kecewa juga tidak dapat berjumpa dengan yang lain. Saya sempat berbual sedikit sahaja dengan mereka, sebab mahu terus meronda-ronda lagi. Saya sempat juga membeli novel mereka dan bergambar dengan mereka sebagai kenang-kenangan.

Banyak juga buku yang saya bawa pulang pada hari itu. Lebih kurang jam 3.30 petang, saya kembali ke booth GISB untuk sesi beramah mesra. Selepas Encik Nasri mempromosikan novel saya, masya-Allah, ramai juga yang mahu mendapatkan tanda tangan dan bergambar dengan saya. Perasaan saya pada ketika itu sungguh terharu, kerana ramai yang memberikan sokongan dan sangat gembira kerana dapat bertemu dengan pembaca secara langsung. Dari kanak-kanak hinggalah golongan yang berusia semuanya ada meminta tanda tangan saya.

Harapan saya, agar dapat menghadiri lagi pesta buku seperti ini pada tahun hadapan. Insya-Allah.