Thursday, 29 July 2010

Cerpen: Kegembiraan Hati

Senja kian merebut malam. Suara riang kanak-kanak tertawa semakin pudar. Azan Maghrib sebentar lagi akan berkumandang. Pak Mail terpaku di jendela rumah usangnya memerhatikan tingkah anak kecilnya yang sedang berlari-lari anak pulang mendapatkannya.

“Assalamualaikum,” suara manja Saiful bergema di telinganya. Pak Mail segera mendapatkan anaknya itu. Dibenam lama pandangannya ke wajah comel itu. Sorotan mata Saiful berpinar-pinar. Sekilas melayang fikirannya kepada wajah arwah isterinya. “Bersalahkah aku?” persoalan itu sering menari-nari di sanubarinya. Gelak tawa Saiful mematikan lamunan namun tidak dihiraukannya. Tanpa disedari sepasang mata lesu tidak jemu memerhatikannya dari tadi. Lantas segera dipersoalkan tawa anaknya itu.

“Ayah dah lain. Adik suka ayah sekarang,” ujar anak kecil itu lalu berlari ke kamarnya. Mata Pak Mail mengekori Saiful yang sedang berlari bebas.

Semua yang dikatakan Zahri benar. Selama ini, Pak Mail tidak menghantar Saiful ke sekolah meskipun usianya sudah mencecah lapan tahun. Pak Mail menanam hasrat agar anaknya menjadi doktor pada suatu hari nanti. Tetapi selama lapan tahun itulah dia tidak pernah meluangkan masa dengan anaknya malah menyuruh Saiful belajar sendiri dengan rencaman alasan.

Zaleha, isterinya pernah mengutarakan persoalan yang hanya masuk telinga kanan keluar telinga kiri. Anak kecil itu tidak mengenal walaupun satu huruf masakan disuruh membaca.

Melalui kesilapan silamnya itulah, Pak Mail menggenggam tekad untuk menyekolahkan Saiful. Iskandar Dzulkarnain pernah berkata, “Tidak ada apa yang mustahil bagi orang-orang yang berani mencuba.” Pak Mail sedar pekerjaannya sebagai penggali kubur tidak mampu membuahkan hasil yang lumayan. Tidak mungkin Saiful akan menjadi seorang doktor jikalau dia tidak bersekolah.

Pak Mail terlalu obses dengan nawaitu materialistiknya untuk mengejar daki dunia. Tetapi secangkir usaha pun tidak pernah dilihat dalam dirinya.

Pintu rumahnya diketuk. Wajah kemas Zahri terpampang di muka pintu. Janjinya telah dikota. Pak Mail menanti debar yang menggunung di dada. Zahri muncul dengan harapan beserta sinar. “Tahniah Bang Mail! Abang diterima bekerja di sekolah rendah yang terletak di hujung kampung itu.” Pak Mail terkesima. Masih ada ruang untuk dirinya menyekolahkan Saiful. Pak Mail akan memulakan kerjanya esok hari. Setelah Zahri pulang, Pak Mail merebahkan badannya sebentar di atas tilam. Teringat dirinya belum sembahyang Maghrib, segera dia menuju ke bilik air untuk mengambil wuduk. Pak Mail bersyukur atas pekerjaan yang baru diterimanya sebentar tadi. Esok dia akan memulakan kerja sebagai tukang sapu sampah. Dirinya tidak sabar menanti esok tiba.

Setelah diberi penerangan oleh pekerja sekolah, Pak Mail segera memulakan kerja. Persis kata Tun Dr. Mahathir Muhammad, “Bangsa yang berjaya ialah bangsa yang rajin dan sanggup menghadapi cabaran hidup.” Dibulatkan hasratnya dengan saksama.

*************************************************************************

Pintu kereta dibuka . Pak Mail memegang erat tongkat di tangannya. Tubuhnya terketar-ketar melangkah. Saiful menghampiri Pak Mail dan Zahri. Dihulurkan tangannya kepada Pak Mail sambil mengukir sekuntum senyuman manis. Pak Mail menyambut huluran tangan anaknya yang berperwatakan tampan dan kemas itu. Saiful memimpin jalan ayahnya. “Ayah, ini klinik Saiful,” ringkas sahaja ucapannya tetapi membawa maksud yang begitu mendalam.

Pak Mail mengalihkan pandangan kepada papan tanda yang terpampang di hadapan klinik itu. Klinik Ismail Zainal yang menjadi kebanggaan Saiful. Mata Pak Mail berkaca-kaca. Akhirnya air mata gembira jatuh berderai dari penjuru mata Pak Mail. Saiful yang kehairanan segera menyeka air mata ayahnya.

Pak Mail menjejakkan kaki ke dalam klinik tersebut. Ditatapnya foto Zaleha yang tergantung di satu sudut ruangan. Kata-kata hikmat Jean Paul yang sering diutarakan oleh arwah isterinya menyelinap ke dalam kalbunya. “Kegembiraan bukan pemberian fikiran, tetapi pemberian hati.” Hati kecilnya membenarkan pesanan arwah isterinya itu.

Zahri menghampiri Pak Mail. Tangannya hinggap di bahu kanan Pak Mail. Pak Mail tidak mampu berkata-kata lagi. Hanya Tuhan yang dapat mentafsirkan perasaan yang sedang bermain di sanubarinya sekarang.

Saat itu, Pak Mail tidak dapat membayangkan sekiranya dia tidak menyekolahkan Saiful dahulu. Adakah Saiful akan berjaya seperti ini? “Bang Mail, jika tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya,” ujar Zahri. Hatinya mengakui kebodohan diri sendiri. Air mata kesyukuran jatuh deras meskipun telah ditahan di kelopak matanya. Hatinya tidak berhenti-henti berzikir kepada Illahi. “Subhanallah, alhamdulillah, la ilaha illallah, allahu akbar!”

No comments:

Post a Comment