Monday 17 March 2014

Diari#47: Pendidik Yang Terus Mendidik



Alhamdulillah, hari ini merupakan hari yang menggembirakan kerana saya berpeluang untuk berjumpa dengan cikgu-cikgu sekolah rendah yang mengajar saya di SK Sungai Ular. Pada awalnya saya dan rakan-rakan (Ezzatul dan Dini) merancang untuk ke sana bagi menyaksikan pertandingan bola baling peringkat daerah namun lain pula jadinya. Kami berjumpa ramai cikgu yang pernah mengajar kami dahulu dan saya gembira kerana setelah lima tahun tidak menjejakkan kaki di sana, cikgu-cikgu semua masih mengingati nama saya. Ustazah Mardiah, Cikgu Asiah, Cikgu Syamil, Teacher Rozie, Ustazah Zarinas, Cikgu Sopiah, Cikgu Rosnani dan ramai lagi. 

Ustazah Mardiah membawa kami masuk ke dalam kelas 4 Mawar. Dulu waktu zaman saya belum ada lagi kelas Mawar. Yang ada cuma tiga kelas iaitu Anggerik, Cempaka dan Dahlia. Sekarang sudah ada kelas Mawar dan Seroja. Ustazah pun tidak ada perancangan untuk mengajar kerana kelas tersebut cuma kelas ganti. Dini mencadangkan supaya menayangkan video-video yang telah saya muat naik ke YouTube. Disebabkan LCD dan sound yang tak berapa elok, murid-murid cuma menonton video menerusi laptop. Video pertama yang ditonton ialah SELISIH FAHAM yang baru saya muat naik di YouTube semalam. Bukan main seronok lagi mereka kerana pelakon-pelakon dalam video tersebut ada secara "live" di situ.


Ustazah Mardiah membawa kami untuk belanja makan. Semua tersipu-sipu malu dan segan. Saya cakap pada Dini, "Rezeki jangan ditolak..." Akhirnya kami pun makan bersama Ustazah Mardiah di bilik makan guru. Ustazah Zarinas dan Cikgu Sopiah yang berada di situ pun masih ingat kami bertiga. Apabila Ustazah Mardiah hendak membayar makanan, rupa-rupanya Ustazah Zarinas sudah pun belanja kami semua secara senyap-senyap.

Setelah itu, kami mengikut Cikgu Asiah pula ke kelas 5 Cempaka untuk waktu Pendidikan Seni. Murid-murid disuruh untuk membuat kolaj. Seronok rasanya meluangkan masa dengan guru-guru dan adik-adik kecil yang comel. Banyak kerenah budak-budak sekarang ni. Yang baik tu baiklah. Ada yang nakal tu memang nakal. Macam-macam. Berani minta nombor telefonlah dan sebagainya. 


Melawat ke sekolah lama kita memang menggembirakan. Banyak nostalgia lama yang kembali bermain di fikiran. Bahkan guru-guru sangat berbesar hati menyambut kedatangan kami. Menurut saya, cikgu-cikgu sekolah rendah lebih banyak mengingati saya daripada guru-guru di sekolah menengah. Mungkin sekolah menengah terlalu banyak pelajar. 



Walau sejauh mana pun kita melangkah di dalam dunia ini, sesekali ambillah masa untuk melawat insan-insan yang telah banyak berjasa dalam kehidupan kita ini. Cikgu-cikgu pasti gembira menyambut kedatangan kita kerana itu merupakan satu penghargaan buat mereka. Bukan senang nak jadi seorang cikgu. Banyak masa dan tenaga yang dikorbankan hanya untuk mendidik anak-anak bangsa menjadi insan yang berguna. Walaupun dua kelas sahaja yang saya masuk saya sudah pun penat. Bagaimana pula dengan cikgu-cikgu yang terpaksa mengajar banyak kelas dalam masa sehari? 

Akhirnya kami tidak sempat pun menyaksikan sebarang perlawanan bola baling. Saya sangat berharap agar suatu hari nanti saya dapat menyumbang sesuatu kembali kepada sekolah dan guru-guru yang telah banyak membantu. Biiznillah. Mudah-mudahan. Ustazah Zarinas kata, "Hari ini Ustazah belanja kamu makan di kantin sekolah, nanti suatu hari kamu pula belanja ustazah makan di hotel." Insya Allah. Terima kasih cikgu-cikgu kerana banyak mendoakan kami dan masih mengingati kami sehingga ke hari ini.

1 comment:

  1. Assalamualaikum..wauu..bertuahnya sebab dapat melawat sekolah rendah dahulu. saya sampai sekarang dah lebih 10 tahun masih tak dapat melawat sekolah rendah sy sebab bila sy cuti sekolah pun cuti. jadi sekadar melihat-lihat saja dri luar...huhuhu...

    ReplyDelete