Saturday 22 March 2014

Diari#48: KUSESS Kedua Terbaik Selangor SPM 2013?


Rasanya masih belum terlambat bukan untuk saya post tentang keputusan SPM? Alhamdulillah, semalam saya baru selamat sampai ke Kedah dari Selangor untuk mengambil keputusan SPM di sekolah. Sebelum dan selepas mengambil keputusan, tiba-tiba ramai pula yang bertanya bahkan junior-junior sekolah lama yang tidak berapa saya kenali pun mula bertanya soalan yang sama. Dan soalan sama yang akan disusuli adalah selepas ini bidang dan universiti mana yang ingin saya pilih?

Terima kasih kepada semua yang mengambil berat tentang diri ini dan minta maaf jika ada pertanyaan yang tidak terbalas. Keputusan saya hendak dikatakan cemerlang, tidak juga. Hendak dikatakan tidak cemerlang pun tak sangat. Saya tidak mendapat straight As seperti yang rakan-rakan anggap. Biasa-biasa sahaja. Itulah rezeki yang saya terima. Sebelum menerima slip awal-awal lagi sudah saya redha kerana itulah hasil usaha saya selama dua tahun di Kuala Selangor.

Pada awalnya, saya ada juga frust sedikit kerana subjek Bahasa Melayu yang sentiasa saya target A+ gagal dicapai. Cikgu Hawa, guru bahasa Melayu merangkap guru tingkatan saya ada juga memberikan cadangan untuk menyemak semula subjek itu. Mungkin cikgu pun terkilan saya tidak dapat A+ untuk Bahasa Melayu. Namun saya kata tidak mengapa, setakat itulah rezeki saya dan saya terima.  Saya bersyukur kerana masih ada juga subjek lain yang A+, terutamanya English. Tetapi saya tidak mampu skor untuk subjek-subjek sains tulen.

Begitulah kehidupan, kadang-kadang kita ditakdirkan untuk berada di atas dan kadang-kadang giliran kita untuk berada di bawah. Saya tidak berjaya mengulangi kejayaan cemerlang UPSR dan PMR dulu. Namun semua ini bukanlah penamat untuk semua usaha kita. Keputusan SPM cuma satu titik permulaan untuk cabaran kehidupan yang akan datang dan pastinya lebih mencabar. Tahniah saya ucapkan kepada semua yang berjaya mendapatkan keputusan cemerlang, kejayaan memang milik anda.

Namun ada juga dalam kalangan rakan-rakan saya yang patah semangat dengan keputusan masing-masing. Mulalah rasa lemah dan patah hati. Kecewa melihat kejayaan orang lain dan sebagainya. Mereka yang berjaya dengan cemerlang itu atas hasil usaha mereka sendiri, bukannya dilahirkan secara genius. Cuma ada segelintir sahaja individu yang benar-benar genius dalam dunia ini namun akan jarang untuk ditemui.

Jika kita tidak berjaya itu mungkin kerana usaha yang tidak cukup, atau mungkin Allah sengaja membiarkan kita sedemikian untuk menguji kekuatan masing-masing. Kejayaan dan kegagalan kedua-duanya adalah ujian daripada Allah SWT, oleh itu bersyukurlah dengan setiap keputusan yang kita peroleh. Kita perlu belajar bangkit daripada kegagalan, bukannya biarkan kegagalan menyelimuti diri kita. SPM bukan penentu segala-galanya, tetapi dengan SPM bermula segala-galanya. Banyak lagi yang perlu kita tempuhi selepas ini.

Berbalik kepada cerita, saya sebenarnya datang lambat ke sekolah dan tidak tahu pencapaian penuh SMS Kuala Selangor (KUSESS) untuk SPM 2013 ini. Saya tidak tahu berapa straight A+ dan berapa straight As. Saya pun tidak tahu sama ada prestasi sekolah menaik atau menurun sehingga hari ini kerana tidak ada sebarang update daripada FB KUSESS kecuali ucapan tahniah kepada pelajar cemerlang, yang pastinya bukan saya. Tetapi saya menemui artikel daripada Utusan Online baru-baru ini yang menyatakan KUSESS berjaya mendapat ranking kedua Selangor dengan CGPA sebanyak 1.92. Tahniah saya ucapkan kepada rakan-rakan saya yang mendapat keputusan cemerlang sekali gus menaikkan nama KUSESS.




Setelah itu, saya berjumpa dengan rakan-rakan dan bertanyakan keputusan masing-masing. Kami sempat bergambar kenang-kenangan sebelum saya pulang untuk melawat abang di Gombak. Saya tidak sempat untuk berjumpa dengan guru-guru lain pun. Tidak mengapalah. Jika saya sudah berjaya kelak, saya akan singgah ke KUSESS suatu hari nanti jika diizinkan Allah. Oh ya, sekiranya ada kalangan guru-guru saya yang membaca post ini, jika adalah, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada anda semua atas segala ilmu yang telah dicurahkan kepada saya sehingga saya berjaya mendapat A dalam SPM. Saya mohon maaf kepada guru yang subjeknya saya tidak skor. Terima kasih juga kepada ibu bapa saya yang sentiasa menyokong saya dari dulu sehingga sekarang. Without them, I'm nothing. Begitu juga kepada keluarga saya yang sentiasa mengharapkan yang terbaik buat saya.

Bagi menjawab pertanyaan tentang bidang dan universiti pilihan saya, sebenarnya saya tidak kisah pun belajar di mana selepas ini. Namun kalau boleh saya akan pastikan bidang yang saya pelajari itu betul-betul sesuai dengan minat saya. Saya belum betul-betul pasti bidang apa yang akan saya pilih, tetapi saya akan buat pilihan dalam masa beberapa hari ini sebelum tamat tarikh permohonan UPU. Perkara yang saya minati adalah penulisan, sejarah dan menghasilkan video. Saya tidak terfikir sangat untuk menjadikan penulisan sebagai karier utama, mungkin cuma sebagai hobi. Jadi mungkin saya akan memilih bidang yang ada kena-mengena dengan sejarah atau pembikinan video dan sebagainya.

Manusia cuma merancang, Tuhan yang menentukan. Selepas ini, kita kena pilih sesuatu yang kita minat dan kalau boleh ada bakat. Kalau ada minat tetapi tidak berapa berbakat pun susah sebenarnya. Kalau ada bakat, tetapi tiada minat pun lagilah susah. Jadi fikirlah masak-masak sebelum kemaskini UPU. Masa depan kita ditentukan oleh apa yang kita lakukan pada hari ini.

Sekali lagi, syabas saya ucapkan kepada warga KUSESS yang telah membantu dalam pencapaian sekolah dan tahniah kepada semua yang berjaya mendapat keputusan cemerlang. Yang tidak cemerlang atau tidak berapa cemerlang seperti saya (ehem) pun tahniah juga. Anda dah buat yang terbaik. Tapi kita semua kena lakukan yang lebih baik lagi untuk masa depan yang masih panjang dan samar-samar. 


Oh ya, kepada rakan-rakan yang perlukan bantuan untuk membuat pilihan bidang apa yang hendak diceburi, mungkin ini boleh membantu. SELANGKAH

p/s: Disebabkan keputusan saya yang tidak berapa ok terpaksalah juga anda PM jika hendak tahu. Hehe.

7 comments:

  1. tahniaaaaaaah adik! awaaaaak dpt brp A , cepat share :))

    good luck k untuk U pulak.

    ReplyDelete
  2. tahniah,,, teruskan melangkah adik2

    ReplyDelete
  3. Tahniah dear. Xpe, Don't give up :)
    Nanti buat pilihan yg terbaik utk masa depan awak.

    ReplyDelete
  4. WAH TAHNIAH .siapa je yang dapat straight A+ ye sekolah adik ?

    ReplyDelete
  5. wish you all the best for the next step. anyway ada point motivating in ths entry. good.
    congrats apa apa pun. hehe.

    ReplyDelete
  6. tahniah utk kusessians n for u... proud to be sbpians.. n gud luck for next jurney.. :D

    ReplyDelete