Friday 11 April 2014

Hari Adik-Beradik Kebangsaan?



Assalamualaikum.

National Siblings Day? Nampaknya agak terlambat sikit saya tahu hari ni merupakan hari adik-beradik kebangsaan. Eh. Macam pelik sahaja bunyinya. Banyak foto bersama adik-beradik yang dikongsikan oleh rakan-rakan sama ada di Twitter atau Facebook. Jadi sempena hari adik-beradik ni, apa kata saya kongsikan sedikit tentang adik-beradik.

Alhamdulillah, ibu dan ayah saya telah melakukan tugas yang baik dalam membesarkan kami empat beradik. Saya merupakan anak yang ketiga. Dan sudah tentulah, saya yang paling beruntung kerana saya mempunyai peluang untuk mendapat seorang abang, kakak dan juga adik dalam masa yang sama. Abang dan kakak saya sedang melanjutkan pelajaran di universiti tempatan manakala adik saya sedang belajar di MRSM.

Bagi saya, adik-beradik merupakan pelengkap dalam kehidupan kita. Membesar sama-sama, belajar benda yang baru, bergaduh, berkongsi cerita, menonton televisyen bersama dan pokok pangkalnya sebahagian besar masa saya dikongsi bersama mereka. Gaduh sesama adik-beradik itu memang normal.


Pernah dengar tak kata-kata, “Every relationship has its up and downs. If there is no fights it means there is no communication.” Kiranya bergaduh merupakan salah satu komunikasi yang normal dalam adik-beradik. Tetapi apabila kita sudah membesar dan mampu berfikir dengan lebih matang, secara automatik pergaduhan itu akan berkurangan. Hakikatnya, hubungan adik-beradik tidak akan terputus kerana kita semua berteduh di bawah bumbung yang sama dan mempunyai ibu bapa yang sentiasa memarahi dan menasihati supaya berbaik semula. 

Mengusik? Menyakat? Itu juga sesuatu yang normal dalam kalangan adik-beradik. Sewaktu saya kecil dahulu, saya suka mengenakan kakak dan adik dengan rakan-rakan lelaki masing-masing. Asal tahu sahaja mana-mana nama kawan lelaki, mulalah mengusik. Begitu juga dengan mereka.

Mungkin sampai sekarang. But again, itu semua memang normal. Kita yang mempunyai adik-beradik perlu sangat bersyukur jika dibandingkan dengan anak tunggal. Apa pun, kedua-duanya ada kelebihan masing-masing.

Hubungan adik-beradik dalam setiap keluarga memang berbeza. Ada hubungan yang rapat, ada yang biasa-biasa sahaja dan mungkin ada yang jarang bertegur sapa. Bergantung kepada bagaimana suasana pembesaran keluarga masing-masing. Saya pasti bukan semua orang gembira mempunyai adik-beradik. Mungkin dalam keluarga akan ada krisis yang membelenggu lantas mengakibatkan kita lebih memilih untuk hidup bersendirian. Saya tidak boleh katakan bahawa konflik dalam keluarga itu suatu perkara yang normal, kerana saya tidak berada di dalam posisi tersebut.

Cuma satu perkara yang saya yakin, anak-anak adalah rezeki yang diturunkan oleh Allah kepada pasangan ibu bapa. Semakin ramai anak, semakin banyak rezeki keluarga itu. Dan setiap orang yang dilahirkan ada alasan dan takdir sendiri mengapa mereka dicipta di atas bumi ini.

Setiap adik-beradik, termasuklah kita sendiri membawa rezeki masing-masing. Jadi kita tidak layak untuk mempersoalkan kenapa kita anak tunggal, kenapa perlunya adik-beradik yang ramai dan sebagainya. Allah menciptakan setiap insan sebagai khalifah dunia.


Adik-beradik, adalah kurniaan terindah Tuhan untuk melengkapi dan mewarnai hidup kita. Jadi kita kena pandai-pandailah mewarnakan kehidupan bersama mereka. Secara tidak langsung, kita dapat hidup dalam sebuah komuniti tanpa perlu susah-payah mencari. Komuniti kecil yang membawa makna besar. Komuniti yang banyak mengajar. 

Tidak mempunyai adik-beradik juga tiada masalah. Fikirkan yang positif. Sekurang-kurangnya, anak tunggal ni boleh dapat perhatian dan bilik sendiri. Tidak perlu berkongsi.

Apabila salah satu daripada adik-beradik sudah berkahwin kelak, mungkin kita akan terpisah jua dengan mereka. Mereka ada keluarga lain yang perlu dijaga dan dibesarkan. Saya tidak tahu lagi, apa yang akan terjadi dalam hubungan adik-beradik yang sudah berumah tangga kerana kami semua masih belajar lagi. Mungkin boleh jadi renggang, tetapi mungkin juga boleh menjadi seperti sedia kala. Kita boleh berkunjung dan ziarah ke rumah mereka bukan?

Walaubagaimanapun caranya air dicincang, air tetap tidak akan putus. Semuanya terletak kepada bagaimana caranya kita berusaha untuk mengekalkan hubungan silaturahim dengan adik-beradik. Jadi apa usaha anda, untuk memastikan hubungan adik-beradik itu terus mekar? ^^

3 comments:

  1. gaduh mcm mne pun, mesti lepas tu oke.. :) itu namanya adik beradik..

    ReplyDelete
  2. tatau pun ada ahri adik beradik nih... alahai... terlepas sudah...
    tapi ahri2 dah ahari adik beradik... kadang gaduh kadang baik.. kadang sendiri XDD ahaha

    tulah kan anugerah Allah.. tapi kadang2 rasa cemburu dgn adik beradik tu susah nak dielakkan..
    dah lah tuh asyik peningkan ibu abah dgn kelakuan adik beradik yg ramai nih ahahaha XDD

    ibu abah sorry...TT^TT

    ReplyDelete
  3. puas cari....rupa2nya ada kat sini.... adohai...

    ReplyDelete