Sunday 6 April 2014

"Macam mana kalau kau jadi dia?"


Ketika saya mula-mula berjinak dengan internet dahulu, saya langsung tidak menyangka bahawa internet boleh memberikan impak yang begitu besar dalam kehidupan seseorang. Dua-dua ada, impak positif dan impak negatif. Mungkin lebih banyak pada impak negatif. Saya tidak mahu mengulas panjang tentang internet kerana semua orang mempunyai pendapat mereka masing-masing.

Meskipun saya tidak terlalu aktif di Facebook, tetapi saya pasti akan membuka Facebook juga untuk melihat perkembangan daripada rakan-rakan dan apa yang mereka kongsikan di situ. Dan secara tidak langsung, pasti ada dalam kalangan rakan-rakan yang akan ‘like’ atau komen pada gambar yang tidak menutup aurat, gambar ‘couple’ atau sebarang gambar yang kurang menyenangkan untuk ditayang di dunia siber.

Saya memuji tindakan mereka yang berani untuk menegur demi kebaikan bersama. Cuma mungkin akan ada segelintir pihak yang suka melontarkan kata-kata yang terlampau pedas, seolah-olah iman mereka sendiri sudah cukup tinggi untuk tidak melakukan perkara sedemikian. Misalnya seorang lelaki yang melihat gambar wanita Islam tidak bertudung. Terus sahaja tangannya gatal menulis ayat-ayat lebih kurang begini.

“Tutuplah aurat, kalau tak tutup dosa tahu?” 

“Ingat cantik ke tak pakai tudung?” 

Dan macam-macam lagi. Sehingga beratus-ratus komen pada foto wanita itu lebih kurang berbunyi yang sama.

Tetapi cuba kita renung-renungkan sejenak, seandainya kita berada di dalam posisi wanita itu. Adakah kita yakin seratus peratus bahawa kita akan menutup aurat dengan sempurna? Mungkin dia dilahirkan dalam persekitaran yang kurang mendapat didikan agama dan terdapat beberapa perkara yang menyebabkannya tidak menutup aurat. Tidak kiralah lelaki atau wanita, jika kita berada di tempatnya, kita tidak boleh menjamin bahawa kita akan menutup aurat dengan sempurna.


Begitu juga dengan isu ‘couple’. Memuat naik foto di laman sosial bersama pasangan masing-masing. Mungkin kita boleh katakan pada diri sendiri, “Aku tak mungkin akan upload gambar macam tu!” Itu kita. Mereka? Kita perlu faham bahawa semua orang tidak mempunyai latar belakang yang berbeza. Ada segelintir orang yang dibesarkan dalam tarbiah dan dapat memahami konsep Islam dengan betul. Ada segelintir orang yang tidak dibesarkan dengan tarbiah dan suasana Islam. Ada segelintir orang pula dibesarkan dalam tarbiah, memahami tentang Islam tetapi tidak mampu menghayati Islam dengan sebenar. Ada yang mampu melakukan semuanya. Alhamdulillah.

Bukanlah saya katakan menegur orang yang melakukan salah itu salah, alhamdulillah kita mempunyai niat yang baik untuk menegur. Tetapi kadang-kadang kita perlu juga meletakkan diri kita ke dalam posisi individu tersebut. Siapa tahu jika sebenarnya dia ingin berubah, tetapi disebabkan komen-komen kita yang mungkin keterlaluan, membuatkannya untuk menangguh niat baiknya itu. Komentar yang positif dan membina itu sangat diperlukan untuk mengajak manusia ke arah kebenaran, tetapi bukanlah kutukan atau kata-kata yang menjatuhkan mereka. Rasulullah SAW sendiri telah mengajar umat baginda untuk menegur secara berhikmah.

Isu muslimah berpurdah yang upload gambar di media sosial juga kian mendapat tumpuan banyak pihak. Namun banyak komentar tentang isu ini yang saya lihat mungkin sebenarnya lebih kepada mengeji daripada menegur. Kita menghentam, bukan menegur. Cubalah letakkan diri kita ke dalam posisi individu itu, dan bagaimana sebenarnya komen yang kita mahukan dan ingin hindarkan?

My point is, just put yourself into his or her shoes before trying to judge them. Seorang lelaki yang mengutuk perempuan tidak menutup aurat, tidak semestinya dia akan menutup aurat kiranya dia seorang perempuan. Seorang perempuan yang mengutuk lelaki merokok, tidak semestinya dia tidak akan merokok kiranya dia seorang lelaki. Kita tak tahu apa yang boleh terjadi sekarang. Mungkin iman kita kini masih lagi kuat, tetapi jangan lupa bahawa iman itu ada turun naiknya.

“Ish, tak mungkin. Aku confirm iman aku tak akan goyah.” Benarkah begitu?

Cuba bandingkan dengan ibadah solat kita. Ada satu tahap di mana kita akan rajin sangat untuk menunaikan solat. Isyak cuma 4 rakaat, tetapi kita boleh habis kerjakan sampai 8 rakaat termasuk solat sunat sekali. Tetapi apabila penyakit malas datang melanda, nak solat pun malas. Macam itulah iman sebenarnya. Ada satu tahap iman naik melonjak-lonjak, ada satu tahap iman menurun.

Menegur itu sangatlah dituntut, tetapi ada batasnya. Jangan sampai komen-komen kita yang terlalu dahsyat boleh menyebabkan orang yang ditegur itu semakin tertekan dan langsung bertindak menjauhi kebenaran. Cuba letakkan diri kita sendiri dulu di dalam posisinya, kalau tak mampu nak berbuat demikian, maka sebaiknya jangan mengutuknya. Setiap orang dilahirkan dalam keadaan yang suci tanpa dosa. Ibu bapa, keluarga, atau persekitaran yang mencorakkan kita menjadi diri kita hari ini. Walaubagaimanapun, pilihan utama tetap di tangan kita. Untuk mendekatkan diri selangkah ke syurga, atau sebaliknya.  

Kita hidup dalam komuniti. Kita perlukan satu sama lain untuk saling menegur dan membina diri kita menjadi insan yang positif, bukannya menjatuhkan kita di saat-saat kita hampir tumbang. Apa pun, ini cuma sedikit pendapat daripada saya. Setiap orang ada pendapat masing-masing bukan?

No comments:

Post a Comment