Saturday 1 October 2016

Anugerah Kepimpinan dan Empat Jam Siapkan Poster


Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamualaikum.

I finally get it done!


Ingat tak lagi saya pernah cerita dalam entry sebelum ini tentang satu pertandingan poster yang saya sertai? Sebenarnya, saya tangguh siapkan poster sampailah hari ini kerana tarikh penghantaran dilanjutkan sehingga 6 Oktober. Baru hari ini rasanya saya dapat bebas daripada sebarang aktiviti. Terima kasih Management Society kerana membenarkan kami berehat seketika. Tapi sebenarnya petang ini ada juga program FitCon. Saya tak pasti singkatan untuk apa. Mungkin Fitness Convex. Dan esok ada aktiviti Bonding Trip dengan para senior. Apa pun saya teruja menantikan program-program ini.

Berbalik kepada cerita poster tadi, hari ini barulah saya nak rujuk semula syarat-syarat penyertaan segala. Kena guna mode CYMK, portrait dan saiz tidak kurang dari 2000 px. Saya tersilap baca ingatkan tidak lebih 2000 px. Setelah empat jam baru tersedar, memang taklah saya nak edit balik. Harap pihak penganjur atau juri tidak membaca entry ini. Maklumlah, saya bukannya pakar sangat dalam Photoshop pun. Saya mula design sekitar jam 11 pagi sampailah 3 petang. Siap poster, terus saya e-mel kepada pihak penganjur. Tapi tak bolehlah tunjukkan di sini.

Selesai satu perkara. Satu lagi belum. Saya masih belum siapkan sajak untuk Convex.


Semenjak menjejakkan kaki ke alam universiti, satu sajak pun saya tak pernah buat. Seakan-akan satu kejutan budaya pula di sini apabila saya yang dulunya seorang pelajar Sastera, perlu belajar subjek pengiraan seperti Financial Accounting dan Microeconomics. Tak tahulah pula hendak menjadi pengurus sampai perlu mahir dalam akaun dan ekonomi. Memang agak bertatih jugalah di sini, tapi saya anggap semua ini adalah cabaran yang perlu saya sahut.

Ilmuwan dulu pun bukan hanya mahir dalam satu bidang ilmu tetapi banyak. Contoh paling mudah Ibnu Sina. Pada awalnya Ibnu Sina pun bermula dengan bidang bahasa dan sastera. Tapi dalam masa yang sama, beliau pun belajar banyak bidang yang lain juga seperti perubatan, astronomi, fizik dan sebagainya. Jadi saya rasa kita juga patut mempelajari banyak bidang pengajian untuk tajamkan minda. Ilmu itu tak akan pernah habis. Saya sedang cuba belajar untuk lihat dunia ni daripada perspektif yang berbeza. Kalau asyik berfikiran negatif, pasti aura negatif yang akan datang kepada kita, bukan?

Saya kagum melihat mereka yang sentiasa ada aura positif. Walaupun sibuk, masih ada juga masa untuk bahagikan masa dan pelajaran. Misalnya seorang senior saya. Masuk Management Society. Jadi Majlis Perwakilan Desa (MPD). Semester satu dapat dekan. Memang dahsyat. Management Society sahaja pun sudah ada banyak kerja, apatah lagi MPD. Saya tanyalah macam mana dia mampu bahagikan masa untuk semua itu. Katanya senang sahaja. Jaga hubungan dengan Allah. Solat Dhuha. Solat Tahajjud. Baca al-Quran. Solat Tahajjud mungkin susah nak dibuat, tapi sekurang-kurangnya cubalah untuk istiqamah. Subhanallah. Apa yang dikatakannya itu sangat memberikan inspirasi kepada saya. Ayat “Jaga hubungan dengan Allah” itu diulang-ulangnya berkali-kali, menyentuh hati saya.

Kalau ada anugerah untuk The Most Inspirational Person di universiti ini, saya memang hendak calonkan senior saya itu. Saya pasti, anda pun mesti pernah jumpa dengan orang-orang hebat seperti ini, kan?

Bercakap tentang anugerah, baru-baru ini ibu saya ada bertanyakan bila saya boleh pulang. Katanya JKKK Kampung Paya Tok Betok ingin memberikan anugerah penghargaan kepada saya. Anugerah kepimpinan itu adalah disebabkan saya pernah menjadi guru tuisyen di Kg Paya Tok Betok dulu. Tapi disebabkan banyak program di sini, saya tak boleh pulang ke rumah.



Ibu saya yang menjadi wakil untuk mengambil anugerah tersebut. Tak apalah. Saya nak bagi peluang kepada dia supaya berbangga sikit dengan anaknya. Eheh. Padahal sebenarnya bukan ada apa sangat pun.

Kalau hendak diberikan anugerah, rasanya guru-guru dan seluruh pendidik di Malaysia yang sebetulnya layak diberikan anugerah kerana tak jemu dan lelah dalam mendidik anak bangsa. Saya yang menjadi cikgu untuk beberapa bulan pun penat melayan kerenah anak murid apatah lagi mereka.
Apalah agaknya cerita anak-anak murid selepas UPSR ni. Mesti sedang bergembira tanpa memikirkan sebarang masalah. Eheh. Bergembiralah selagi boleh. Nanti bila dah masuk universiti, tak ada masa nak bergembira sakan sangat.

Apa pun, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada pihak JKKK Kg atas anugerah tersebut. I hope it will inspire me to be a better person in the future. Insya Allah.

Senyum dan terus percaya.

No comments:

Post a Comment