Sunday 31 August 2014

Cerpen: Merdekakan Aku



Merdeka bukan sekadar membebaskan negara daripada penjajahan
tetapi juga membebaskan jiwa daripada dikuasai.
Aku berjuang untuk aku
juga berjuang untuk mereka
Tuhan bantulah aku, merdekakan aku.

Suasana sekeliling begitu gelap. Bintang di langit malam langsung tidak mahu memunculkan diri masing-masing. Terus bersembunyi untuk mendapatkan istirehat yang cukup. Udara dingin lembut menjilat pipiku dengan penuh asyik. Aku menelan liur, kegelisahan menyelubungi jiwaku. Malam ini bukan kali pertama aku terpaksa berhadapan dengan situasi seperti itu. Namun entah kenapa, jiwaku terpalit perasaan takut dan curiga. Wajah manusia di hadapanku itu ku perhatikan dalam gelap. Aku mampu melihat senyuman sinis yang diukir pada wajah lelaki berbadan tegap itu.

“Kau tahu prosedurnya, bukan? Tunjukkan aku bukti, dan aku akan berikan kau imbalannya,” si badan tegap itu akhirnya bersuara.

Mendengar kata-kata itu, lega sedikit hatiku. Aku menghela nafas pendek sambil tangan kiriku meraba-raba sesuatu di dalam poket seluar jeansku yang sudah koyak-rabak dan lusuh. Aha, setelah mendapatkan barang yang aku inginkan, aku mengeluarkan tangan kembali dan membuka sampul surat itu untuk membiarkan dia berpuas hati. Dia menyelukkan tangannya ke dalam sampul dan menyentuh sesuatu. Kemudian dia menjilat jari telunjuknya dan kembali tersenyum sinis. Betapa hodohnya wajahnya ketika itu, kalau boleh kukatakan padanya. Setelah itu, si badan tegap menukarkan sampulku dengan sampulnya yang lebih tebal.

“Macam mana aku nak pastikan semuanya cukup?” giliranku pula untuk menyoal. Bukan apa, aku sekadar mahu mengambil langkah berjaga-jaga. Aku tidak mahu tertipu seperti satu peristiwa yang pernah terjadi tidak lama dahulu. Aku masih mentah lagi ketika itu. Aku sewenang-wenangnya dipermainkan oleh pembeli-pembeli bedebah yang licik. Aku tidak akan lupa saat aku dipukul dengan teruk oleh ahli-ahli kumpulanku sendiri. Mujur ketika itu Bang Joe menyelamatkanku. Jika tidak, aku mungkin telah lama mengucapkan selamat tinggal pada Bumi.

“Kau boleh periksa kalau kau masih ragu. Aku tak ada masa untuk bermain dengan kau sekarang. Kau cuma akan membazirkan masa aku.” Si badan tegap mengangkat sebelah keningnya, mungkin tidak senang dengan pertanyaanku itu.

“Baiklah.” Setelah menjenguk sebentar isi di dalam sampul yang diberikan, aku mengangkat tangan kanan ke hadapan paras pusat si badan tegap. Dia menjabat tanganku acuh tidak acuh. Si badan tegap masuk ke dalam keretanya dan aku pula menghidupkan enjin motosikalku. Kami mengambil haluan yang berbeza, membelah kedinginan malam.

***

“Bro... bro...” aku terasa badanku digoncang kuat. Aku memilih untuk tidak mahu memisahkan kedua-dua kelopak mataku. Badanku masih lagi digoncang kuat, kali ini sambil menyeru namaku.

“Shahril! Bro!” Suara itu menggegarkan minda separuh sedarku. Aku perlahan-lahan cuba memisahkan kelopak mata dan kembali memijak di alam nyata. Aha, aku hampir saja terlupa. Aku masih lagi berada di kafeteria dan selepas ini ada kelas dengan Sir Jaafar. Aku memandang muka si Iman yang mengejutkanku bangun. Aku tahu, Hakimi juga pasti sedang menatapku ketika itu.

“Dah lima belas minit kau tidur, bro. Ini mesti qiam malam tadi, kan?” Iman, sesuai dengan namanya, memang akan tanya soalan yang beriman sahaja.

Qiam? Aku tidak pernah bangun malam, apatah lagi untuk solat-solat sunat segala. Ya, aku akui, aku bukan seorang yang alim seperti Hakimi, juga bukan seorang yang warak seperti Iman. Entah macam mana aku boleh terjebak dengan golongan malaikat seperti mereka berdua ini.

Aha, kini aku sudah ingat kembali. Waktu itu, kami mula-mula masuk kolej. Ketika dalam perjalanan pulang, aku melihat dua orang pemuda yang sedang terpinga-pinga di tepi jalan. Melihat keadaan kereta mereka yang tersadai, aku sudah boleh mengagak sama ada masalah enjin, minyak atau tayar bocor. Selalunya aku memang tidak akan peduli jika ada orang yang berada dalam kesusahan, tetapi hari itu jiwaku terdetik pula untuk membantu pemuda-pemuda yang kasihan itu. Kebetulan, sewaktu menunggu keputusan SPM dulu, aku sempat bekerja dengan Ah Lee di sebuah bengkel kereta. Ah, aku teringat pula tentang si Ah Lee. Dulu aku rajin bekerja, kerja secara halal. Kini... ahh.

Setelah dua kali berfikir, aku memberhentikan motosikal di belakang kereta mereka berdua. Aku tak banyak bicara, langsung melihat dan membetulkan kerosakan kereta si Iman. Apabila Iman berjaya menghidupkan enjin kereta, dia teruja bukan main. Iman keluar dari kereta dan memelukku terharu. Perasaanku ketika dipeluk oleh Iman, sungguh luar biasa. Aku tidak pernah dipeluk mesra sedemikian rupa. Hakimi juga turut berterima kasih padaku kerana membantu mereka. Aku dilanda perasaan kencang seolah-olah sebuah magnet yang kuat sedang menarikku kepada mereka berdua. Atas dasar itulah, Iman dan Hakimi setia berkawan denganku sehingga hari ini. Seingatku, sudah hampir enam bulan kami berkawan.

Mereka berdua tahu, aku malas sembahyang. Mereka tahu, aku jarang berpuasa. Mereka tahu, aku tak suka ikut usrah. Mereka tidak kisah dengan semua itu. Mereka tetap berkawan denganku dan sentiasa cuba menasihatiku, walaupun tidak ada satu pun nasihat mereka yang aku hadam. Cuma ada satu perkara sahaja yang mereka masih belum ketahui, dan perkara itu adalah...

“Kau kerja malam, ya?” persoalan Hakimi itu menyerang tepat pada sasarannya. Aku tahu, akan sampai satu tahap, aku tidak akan mampu lagi untuk menyembunyikan kenyataan. Mungkin aku perlu berterus-terang pada Iman dan Hakimi. Mereka perlu menjauhiku. Aku tidak mahu mereka terlibat denganku lagi. Akan sampai satu tahap di mana aku terpaksa membahayakan nyawa rakan-rakanku.

“Iman, Kimi, aku sebenarnya ada sesuatu nak beritahu kau berdua. Aku... aku ada buat satu kerja ni. Aku keluar setiap malam. Aku...” aku teragak-agak memberitahu. Iman dan Hakimi sedang memerhatikanku dan menunggu sambungannya.

“Aku...” suaraku ragu-ragu.

“Assalamualaikum,” satu suara menyapa dari belakangku, membantutkan hasratku untuk bersuara. Suara itu cukup ku kenali, cukup menggetarkan jiwa sesiapa yang mendengar, atau cuma menggetarkan jiwaku seorang sahaja? Aku menoleh wajahku, melihat dua wanita lengkap bertudung sedang berdiri. Nah, betul tekaanku. Pemilik suara itu ialah Nur Khalisah, atau mereka di sini menggelarnya Lisa. Nur Khalisah merupakan presiden yang mewakili penuntut wanita di kolej ini, manakala Iman merupakan presiden lelakinya. Mereka memang selalu berurusan, tetapi aku tidak pernah ambil tahu urusan apa. Paling tepat, aku tidak peduli mereka ada urusan apa.

Termasuk kali ini, hampir lima kali Nur Khalisah mengganggu perbualanku apabila aku sedang bercakap. Ah, mengganggu betul. Aku melihat dia menyerahkan fail hitam kepada Iman, dan berlalu pergi. Bagiku Nur Khalisah memang pengganggu kehidupan orang, tetapi mengapa apabila dia berlalu pergi jiwaku seolah-olah memanggilnya kembali? Adakah aku menyukainya? Tidak mungkin. Aku tahu dia menyukai Iman. Aku dapat melihat itu daripada pandangan matanya setiap kali melihat Iman. Iman seorang yang warak, pasti sesuai dengan Lisa.

“Bro, apa kau nak cakap tadi?” Hakimi menyoalku, dia pasti ingin tahu. Aku  memerhatikan manusia di sekeliling sudah ramai yang beredar. Aku mencuri tangan kiri Iman dan melihat jam tangannya.

“Aku dah terlambat untuk kelas Sir Jaafar. Nanti lain kali saja aku ceritakan,” aku cuba berdalih. Mungkin ini bukan masa yang sesuai lagi untuk menceritakan hal yang sebenar kepada mereka berdua. Aku akan mencari hari itu.

***

Aku memerhatikan Bang Joe dari atas ke bawah. Lelaki berjanggut kumis itu kelihatan tekun mengira jumlah wang di tangannya. Bang Joe merupakan orang kanan bos. Maksudnya, kalau aku rapat dengan Bang Joe, aku akan selamat. Tetapi bukan alasan itu yang membuatkan aku dekat dengannya. Bukan. Aku juga tidak tahu kenapa Bang Joe lebih mesra denganku daripada ahli-ahli kumpulan lain yang sudah lama bekerja dengannya. Tak tahu.

“Apa terjenguk-jenguk macam hilang anak! Nak cakap, cakap sajalah!” gertak Bang Joe kasar.

Memang begitulah gaya dia bercakap, tak pernah berlembut. Bang Joe menyangka aku sedang berkira-kira untuk mengatakan sesuatu padanya. Mungkin juga. Aku mengorak langkah ke hadapan, semakin mendekati mejanya. Aku menarik bangku merah dari bawah meja dan melabuhkan punggungku di atasnya. Mataku cuma memerhatikan tangan Bang Joe yang mengira wang dengan bersungguh-sungguh.

“Kau nak pinjam duit?” Bang  Joe menjelingku sambil melepaskan asap berkepul-kepul dari bibirnya yang hitam. Aku menggeleng.

“Mahu belanja makan?” Aku geleng lagi, kali ini sambil tersengih. “Habis tu apa yang kau nak?”

“Saja berbual dengan abang. Kalau kau tak kisah aku tanya, dulu kau kerja apa? Maksud aku, sebelum Bang Joe buat kerja-kerja begini,” aku cuma mengorek rahsia. Ku lihat Bang Joe memasukkan wang yang sudah selesai dikira ke dalam sampul berwarna coklat dan menyimpan di dalam poketnya. Dia memandangku tajam, mungkin sudah dapat mengagak percaturanku.

Bang Joe menghulurkan kotak rokoknya di hadapanku, tandanya dia mahu berbual-bual. Aku menggeleng. Aku tak merokok. Aku pernah juga beberapa kali mencuba untuk merokok. Kata mereka yang lain merokok mampu melegakan tekanan kita. Entahlah. Kalau aku yang merokok, kepalaku akan pening. Mungkin tidak tahan dengan bau asap rokok yang dihembus keluar melalui mulut dan hidungku sendiri. Ku perhatikan Bang Joe mengeluarkan pemetik api dan menyalakan batang rokoknya, kemudian menghisap rokok dengan penuh selamba.

“Aku dulu salesman,” Bang Joe memulakan ceritanya. Aku memasang telinga. “Jual produk kesihatan, rumah ke rumah. Aku bukan budak kolej macam kau, aku tak pandai. SPM aku dulu pun hancur. Enam bulan yang pertama aku bekerja, semuanya berjalan lancar. Walaupun kadang teruk dimarahi orang sebab mengganggu di rumah mereka, aku berjaya juga mendapat hasil jualan. Aku ingat, aku boleh berjaya dengan business aku.” Asap berkepul-kepul keluar dari bibir Bang Joe.

“Apa yang terjadi?” soalku ibarat kanak-kanak yang sedang mendengar kisah-kisah bukan fiksyen sebelum tidur.

“Akhirnya aku dapat tahu produk yang selama ini aku jual rupa-rupanya produk tiruan, bukan produk yang asli. Produk kesihatan yang tidak diiktiraf. Sampai masuk surat khabar tentang produk tu. Syarikat yang menggaji aku lingkup, bungkus balik rumah. Tinggallah aku terkapai-kapai macam kera hilang anak. Memang aku terkejut besar. Beberapa bulan lamanya aku tak dapat cari kerja. Iya lah, siapa yang nak terima orang tak ada kelulusan macam aku ni? Sijil SPM pun tak laku,” Bang Joe tersengih sinis. Berdasarkan riak wajahnya, aku tahu kenangan itu cukup pahit buat dirinya.

“Aku beruntung sebab dapat jumpa dengan Gan. Dia layan aku dengan sangat baik. Aku banyak terhutang budi pada Gan. Sebab itulah aku bersumpah pada diri aku sendiri untuk setia dan tak akan khianat pada kumpulan kita.” Gan. Itulah pengasas kumpulan kami. Aku belum pernah melihat wajahnya secara langsung. Bang Joe mempunyai pelindungnya iaitu Gan.

Aku? Pelindungku, Bang Joe sendiri. Dia yang membawaku ke sini. Dia yang membuatkanku memulakan segala-galanya. Mindaku kembali berputar pada pengalamanku sendiri, bagaimana aku boleh terjebak dengan semua ini. Ayahku kahwin lagi, dan itu merupakan satu hakikat yang tak mungkin dapat ku terima. Dia meninggalkan aku, adik-adikku dan ibuku untuk bersama dengan isteri barunya. Ibu menjadi hampir separuh gila memikirkan nasib malang yang menimpa dirinya. Ibu begitu cinta dengan ayah, tetapi ayah langsung tidak mempedulikan kami lagi. Satu sen pun tidak dikirimkan ke rumah. Mujur ketika itu aku sudah tamat persekolahan, cuma tinggal keputusan SPM untuk diumumkan sahaja.

Aku perlu mencari kerja. Selama beberapa bulan aku bekerja dengan Ah Lee di bengkel kereta ayahnya, tetapi upah yang diterima masih belum cukup lumayan. Sewa rumah, duit minyak, ubat-ubatan untuk merawat ibuku, yuran sekolah adik-adik pula. Aku mempunyai tiga orang adik, dua kembar lelaki sekolah menengah dan seorang perempuan yang masih sekolah rendah. Ibuku sampai hari ini masih meratapi kehilangan ayah, dia masih trauma. Mujurlah adik perempuanku yang satu itu sudah pandai masak dan rajin menguruskan ibu. Kalau aku, mungkin tak sanggup.

Dalam keadaan ibu yang sakit itu pun, dia masih waras untuk menyuruhku sambung belajar di kolej. Aku terpaksa tidak menolak permintaannya. Aku buntu memikirkan masalah kewangan dan entah bagaimana aku boleh terserempak dengan Bang Joe. Bang Joe seolah-olah tahu aku dilanda krisis kewangan. Dia menawarkanku pekerjaan. Aku masih ingat lagi kata-katanya. “Kau boleh kerja dengan aku, tapi aku beri amaran awal. Kerja aku berbahaya dan mencabar. Kau mahu?”

“Paaappp!!” Bang Joe memukul meja dengan begitu kuat, membuatkanku serta-merta melayang dari masa lalu. Dia mengangkat sebelah keningnya, tanda kehairanan. “Kau dengar tak apa yang aku cerita dari tadi? Berangan kuat!”

Aku menarik sengih lebar.

***

“Shahril! Petang ni ada usrah, tempat biasa, lepas sembahyang Asar,” Iman memaklumkan. Tempat biasa? Manalah aku tahu tempat biasa. Aku tak pernah sekali pun menghadiri usrah. Yang aku tahu, usrah macam kerja kumpulan. Duduk dalam bulatan, sembang tentang akhirat. Ah, kemalasan yang melanda diriku semakin membuak-buak. “Kau nak pergi tak?” Iman menyambung soalannya.

“Aku ada assignment untuk disiapkan,” pendek aku membalas. Jus oren di hadapanku dihirup. Sejuk anak tekak. Sesekali aku memusingkan penyedut minuman di dalam gelas. Aku memerhatikan Hakimi yang sedang sibuk menaip sesuatu di komputer ribanya, cuba tidak mahu bertentang mata dengan Iman.

“Bro, sepanjang kau di sini, aku tak pernah tengok kau ikut usrah. Apa kata hari ini kau ikut aku?” Iman masih cuba memujuk. “Bosanlah. Usrah, usrah, usrah. Apalah yang bagus sangat fasal usrah tu? Aku tak faham betul. Boleh tak kau berhenti ajak aku usrah lagi?” jujur aku meluahkan. Kali ini, aku melihat mata Iman dan Hakimi saling bertentang, seolah-olah aku baru sahaja mengisytiharkan Perang Dunia Ketiga sebentar tadi. Aku dapat melihat dengan jelas Iman sedang memikirkan sesuatu. Dia memang mempunyai akal yang panjang.

“Beginilah, Shahril. Apa kata sekali ini saja kau ikut aku datang usrah? Kalau usrah itu langsung tak menyentuh hati kau, aku tak akan ajak lagi kau datang usrah,” Iman membuat pertaruhan hebat.

“Sungguh?” aku sedikit tertarik dengan tawarannya. Selepas ini, tak perlulah lagi aku bersusah-payah mendengar bebelan budak berdua itu tentang usrah. Aku boleh bertoleransi terhadap semua perkara, kecuali yang melibatkan usrah ni.

Petang itu, seperti yang dijanjikan, aku membuntuti Iman untuk menuruti permintaannya. Aku cuma perlu bertahan untuk hari ini sahaja. Iman berjalan menuju ke Taman Rashidah yang terletak di dalam kawasan kolej. Aku sendiri tidak pernah menyedari kewujudan taman ini. Dalam perjalanan, Iman dan aku bertembung dengan orang yang paling cuba aku elakkan.

“Mahu ke mana, Iman?” soal Nur Khalisah dengan senyuman manisnya. Ah, sibuk sahaja hendak tahu urusan orang lain. Ku berdoa semoga Iman tidak lama-lama melayannya.

“Pergi usrah,” ringkas Iman menjawab. Aku dapat melihat ada reaksi terkejut yang terpapar pada wajahnya yang ayu. Wajahnya yang bereaksi macam mana sekalipun, tetap menggetarkan jiwaku. Apa yang dia hairankan sebenarnya kalau Iman pergi usrah? Mungkin dia hairan Iman berjaya membawa aku bersama-samanya. Ah, pedulikan sajalah apa yang difikirkan si Lisa ini.

“Oh, selamat berusrah!” Nur Khalisah kembali tersenyum dan berlalu pergi bersama rakan-rakannya. Aku menoleh ke belakang, memerhatikan Lisa berlalu pergi. Iman cepat-cepat menyinggung lenganku dan membawaku ke kumpulan usrah.

***

“Lambat kau hari ni,” sapa Bang Joe sebaik sahaja aku mematikan enjin motosikal. Bang Joe mempunyai parut di pipi kirinya. Katanya, dipukul orang dengan batang besi. Mungkin penampilannya itu yang membuatkan orang lain agak gentar dan menghormatinya.

“Biasalah bang. Budak kolej, banyak assignment. Eheh.” Aku berbohong meskipun aku tahu Bang Joe tidak akan termakan dengan umpanku. “Banyak assignment konon. Ha, ni bos kita nak tambah lagi assignment kau malam ni. Aku bagi kau amaran, kerja kita memang bahaya. Kalau kecut, baik kau bungkus saja balik rumah. Kumpulan kita tidak memerlukan pengecut bertopengkan manusia. Huh!” Bang Joe meludah ke tanah.

“Tengok kakilah bang! Kau bagi saja assignment, aku boleh siapkan. Tiada masalah! Kerja apa?” dengan lagak selambanya aku menjawab. Aku langsung tidak memikirkan bahaya yang mungkin menimpa. “Kau ingat tak lagi kumpulan Ular Putih yang pernah kenakan kita dulu?”

“Kumpulan bedebah tu? Mana boleh lupa, bang. Bukankah aku yang ditipu mereka sehingga teruk aku dibelasah yang lain?” Kotak ingatanku kembali membara. Sekiranya tubuhku boleh mengeluarkan api, pasti sudah rentung aku dibuatnya. Sungguh aku dendam. Aku tidak akan berpuas hati selagi dendamku tidak terbalas.

“Ah, aku lupa. Aku yang menyelamatkan kau daripada menjadi makanan ayam dulu. Ha, inilah masa yang tepat untuk kau membalas perbuatan Ular Putih. Salah seorang budak kita akan berurusan dengan mereka. Kita akan cuba merampas kembali maruah kita yang tercalar dulu!” berkobar-kobar Bang Joe dengan ucapannya. Bang Joe bergerak ke belakangku, membuka zip beg milikku dan aku dapat rasa dia memasukkan sesuatu ke dalamnya. Bang Joe kemudian menutup kembali zip beg.

“Apa tu?” aku mencapai beg dan menjenguk ke dalam. Aku terkejut bukan kepalang. Badanku seolah-olah baru dipanah petir, terketar-ketar. “P...pis...pistol?” Aku tidak pernah menduga semua ini akan berlaku. Aku tidak pernah mengagak akan sampai ke tahap ini. Aku tidak pernah memegang pistol sebelum ini. “Apa ni bang?” Aku masih ragu-ragu.

“Simpan sajalah. Itu hadiah aku untuk kau. Kalau kita bernasib baik, mungkin kau akan dapat terus menyimpannya dalam keadaan yang suci. Kalau keadaan jadi berbahaya, kau mungkin akan terpaksa menggunakannya. Kau sendiri yang bersetuju untuk sahut cabaran ini, bukan?” Kata-kata Bang Joe memang ada benarnya. Ah, tapi kalau sudah sampai ke peringkat ini, bererti aku mungkin akan terpaksa untuk bergadai nyawa. Adakah aku harus menarik balik apa yang telah kuucapkan sebentar tadi?

“Baiklah Bang Joe. Aku akan laksanakan. Kau cuma perlu beritahu aku apa yang perlu ku lakukan.”

***

Aku berjalan mundar-mandir. Iman dan Hakimi hanya memerhatikanku sejak dari tadi. Ah, terlalu banyak yang bermain di fikiranku saat ini. Serius, aku benar-benar buntu. Seolah-olah aku sedang mengalami komplikasi otak. Malam esok. Ya, malam esok aku akan bertarung. Bertarung untuk memperjuangkan maruah? Persetankan maruah. Aku lebih peduli tentang keselamatan nyawaku. Tetapi aku telah berjanji dengan Bang Joe untuk melaksanakan misi malam esok. Sudah beberapa hari aku memikirkan masalah ini. Semakin dekat dengan masa yang ditetapkan, semakin bergelodak jiwaku.

“Bro, kali ni aku betul-betul serius. Boleh tak kau ceritakan apa sebenarnya krisis yang sedang melanda diri kau sekarang ni?” Iman menyoal untuk kesekian kalinya. Aku masih mundar-mandir, sesekali memegang kepalaku lagak pengurus syarikat yang baru muflis. Kalau aku cerita sekalipun, mereka tetap tidak akan dapat membantu.

“Atau mungkin dia baru putus cinta?” Hakimi mula menembak yang jauh tersasar. Aku akhirnya cuba mententeramkan diriku sendiri. “Man, Kimi, aku memang ada masalah. Masalah yang sangat berat sehingga aku tak mampu untuk ceritakan. Masalah ini yang mengganggu aku sehingga hari ini.” Dan mungkin masalah terakhir yang aku alami di dunia ini sebelum aku pergi.

“Takkan sedikit pun kau tak mahu ceritakan?” Hakimi menduga. Aku menggeleng.

“Beginilah Shahril. Mungkin kami berdua dan kau sendiri tak dapat selesaikan masalah kau. Tapi aku kenal seseorang yang boleh selesaikan masalah kau,” kata-kata Iman sungguh membuatkan aku tertarik.

“Siapa, bro?”

“Allah SWT.” Nama itu menggegarkan jiwaku, sungguh gegarannya lebih kuat berbanding nama Nur Khalisah apabila disebut. Semacam timbul suatu perasaan aneh dalam jiwaku. Aku tidak tahu bagaimana untuk menggambarkan perasaan itu. Sejuk, resah, tenang, gelisah, semuanya bercampur menjadi satu. Aku mengaku, semenjak Iman membawaku mengikuti usrah bulan lepas, aku mulai tertarik akan yang bernama usrah. Aku mulai kenal perkataan-perkataan Arab seperti dakwah, tarbiah, dan banyak lagi. Bukan sekali saja aku mengikuti usrah, tetapi dalam dua tiga kali selepas itu. Bezanya aku masih belum solat, aku masih malas berdoa. Doa yang ku hafal hanya doa makan dan al-Fatihah. Mungkin juga surah Qulhuwallahuahad.

“Allah?” Aku menuturkan nama itu perlahan, tetapi aku yakin dapat didengari oleh si Iman dan Hakimi. Aku dapat melihat muka Iman dan Hakimi yang berseri tatkala aku menyebut nama itu. Mungkin kerana sepanjang mereka menasihatiku, ini baru kali pertama aku memberikan respons yang positif. Positif? Mungkin.

“Bro, sandarkan hati pada Allah. Sesungguhnya Allah yang menciptakan masalah, dan hanya Dialah yang boleh menyelesaikan masalah tersebut. Kalau kau minta dengan bersungguh-sungguh, aku yakin Allah akan tunjukkan jalan keluar untuk masalah kau. Berdoalah pada Dia,” Hakimi semacam merayu padaku.

“Berdoa?”

“Malam ini, kau balik, buat solat taubat, solat istikharah. Minta bantuan Tuhan,” tambahnya lagi.

Solat? Doa? Adakah itu jalan terakhirku? Mungkin itu pilihan terakhirku. Aku jadi buntu. Adakah Tuhan akan memandang dan memakbulkan doa daripada aku? Atau segalanya hanya sia-sia? Aku mencapai beg di atas meja dan mahu bergerak pergi. Aku tidak tahu apa lagi yang perlu ku fikirkan. Sebelum aku menghilangkan diri, Iman menitipkanku sepucuk surat. Aku tidak segera membacanya di situ tetapi membukanya di tempat lain yang agak jauh dari mereka. Hairan juga, sejak bila Iman pandai berutus surat denganku.


Bismillahirrahmanirahim,

Assalamualaikum w.b.t., saudara atas dasar iman, saudara atas dasar Islam.

Di sebalik wajahmu yang sentiasa bersedih, di sebalik wajahmu yang sentiasa mengeluh, aku tahu ada sesuatu di dalam dirimu yang istimewa. Kau tidak banyak bicara. Kau tidak banyak menyusun kata. Kau memang pemuda biasa.

Entah kenapa, kebiasaanmu itu yang menjadikanmu luar biasa pada pandangan mataku. Aku sering berdoa supaya Tuhan menunjukkan aku jalan, tetapi aku melihat jalan yang menuju kepadamu. Oleh itu, aku cuma ingin tahu adakah wajar kiranya aku terus mengambil berat tentang dirimu, atau aku harus berhenti?

Tulus,
Nur Khalisah.


Sungguh aku terdiam membaca nama yang tertera pada penghujung surat ringkas itu. Aku tidak percaya. Sungguh tidak percaya. Lisa menaruh harapan padaku, dan bukannya Iman? Iman, dia pasti tahu semua ini tetapi tidak mahu memberitahuku. Ah, segalanya bertambah runsing lagi. Apa yang perlu ku balas? Apa yang perlu ku lakukan? Sungguh aku tidak setaraf dengan Nur Khalisah. Dia lebih layak dengan Iman yang berkarisma, atau si Hakimi yang pintar. Kenapa dia memilihku? Aku yang kosong, aku yang hina. Aku melipat surat itu dan menyimpannya di dalam poket.

Aku menghidupkan enjin motosikal dan pulang ke rumahku yang terletak tidak jauh dari kolej. Perjalanan ke rumah hanya memakan masa dua puluh minit. Ku lihat si Azlina sudah setia menungguku di hadapan pintu rumah. Tetapi, ada yang aneh pada wajahnya. Dia tidak ceria seperti selalu. Azlina mengambil tangan kananku dan mengucupnya. Tidak ada sepatah kata pun yang terbit dari bibirnya.

“Kenapa ni dik?”

“Ibu menjerit-jerit macam orang tak siuman tadi. Mungkin dia teringat fasal ayah. Adik cuba cari ubat ibu, tak jumpa. Sudah habis, bang. Semuanya sudah habis,” jelasnya. Ternyata itu yang membuatkan adik perempuanku yang satu itu bersedih. “Ibu di mana sekarang?” soalku. “Sudah tidur. Mungkin bila-bila masa dia akan mengamuk lagi.”

Aku membuka kasut dan masuk ke dalam bilikku. Aku membaringkan tubuhku yang keletihan di atas katil. Semuanya semakin menghimpit. Aku memang perlukan duit, tetapi aku teringat kata-kata naqib sewaktu kali terakhir aku menghadiri usrah. “Walau sebanyak mana pun duit yang digunakan untuk keluargamu, rakan-rakanmu, jika datangnya dari sumber yang haram, hidupmu tidak akan mendapat berkat Tuhan. Cepat atau lambat, banyak masalah akan menimpa dirimu. Oleh itu, sebaiknya kita cari wang, pekerjaaan yang halal sebagai punca rezeki. Barulah hidup akan lebih diberkati.” Ah, aku tidak dapat menghilangkan kata-kata yang terngiang-ngiang di telingaku itu. Aku terlalu runsing, sehingga akhirnya aku terlelap dan langsung tidak keluar dari bilik malam itu.

Setelah agak lama tidak ku sedarkan diri, aku terjaga dan mendapati jam menunjukkan 3.45 pagi. Secara automatik, aku bangkit dari perbaringanku. Masih dengan otak yang buntu. Sumpah, aku mahu bebas. Aku tidak mahu terus terbelenggu dengan masalah. Aku mahu larikan diri. Aku ingin sahaja mencampakkan pistol yang diberikan Bang Joe ke dalam sungai. Tetapi aku tidak mampu.

Ku buka jendela kamar perlahan-lahan, menghirup udara dingin yang menyapaku mesra. Aku mendongak memerhatikan langit gelap yang terbentang luas. Bunyi cengkerik menguasai bumi. Aku berjalan membuka beg. Ku keluarkan satu persatu bungkusan yang berada di dalam beg. Air mata kelelakian mulai berderai jatuh dari takungan kelopak mata. Lututku terasa longgar dan entah bagaimana aku melutut di atas lantai. Satu bungkusan dadah sedang ku genggam.

Ya, memang aku mahu membalas dendam. Memang aku mahu mengembalikan maruahku. Tetapi ke mana dendam itu akan membawaku? Maruahku? Memang sudah lama tergadai semenjak aku bersetuju menjadi seorang pengedar dadar. Apa yang akan terjadi andai aku terkorban esok malam? Siapa yang akan merawat ibu dan menjaga adik-adikku? Iman dan Hakimi juga pasti akan sangat kecewa. Nur Khalisah? Apa yang perlu ku katakan padanya? Aku mencampakkan bungkusan dadah ke tepi. Entah mengapa, kudratku menyuruh aku mengambil wuduk, dan mengingat kembali langkah-langkah solat. Ya, aku masih boleh ingat. Aku rajin solat ketika di asrama dulu. Pasti aku boleh ingat kembali.

Malam itu, aku merdeka. Merdeka daripada egoku terhadap Tuhan.

***

Malam itu, tepat seperti yang dijangka, jumlah ahli kumpulan Ular Putih yang hadir lebih sedikit berbanding jumlah kami yang menunggu ibarat helang menyambar. Cuma lima orang sahaja yang datang. Jumlah dadah yang diminta agak banyak, tetapi satu sen pun tidak dibawa oleh Bang Joe dan anak-anak buahnya untuk bayaran. Dua orang wakil tampil untuk menuntut dadah. Aku menjadi semakin berdebar memerhatikan rundingan mereka dari tempat persembunyianku. Sebenarnya tugasku agak senang, iaitu untuk mengacukan pistol pada Ular Putih sementara yang lain merampas dadah. Tetapi kita tak akan dapat menjangka apa yang boleh terjadi, bukan?

Aku memerhatikan bungkusan diberikan kepada orang suruhan Bang Joe. Suasana menjadi genting. Bang Joe akhirnya memberikan isyarat kepada aku dan yang lain untuk keluar dari tempat persembunyian. Masing-masing menyasarkan seorang mangsa. Meskipun tanganku agak menggigil memegang senjata haram itu, aku berjaya untuk menyasarkan kepala si botak yang tidak menyedari perangkap kami.

“Jangan gerak. Satu nafas, kau mati,” ugutku dengan separuh yakin. Si botak itu menuruti arahanku. Apabila keadaan menjadi terkawal, Bang Joe memberikan arahan untuk merampas semua dadah yang dibawa oleh Ular Putih. Mereka mula bertindak pantas. Namun begitu, ada sesuatu yang aneh menurutku. Si botak tiba-tiba sahaja ketawa persis Joker dalam cerita Batman. Hatiku mula tidak senang. “Senyap, bedebah!” Aku menekan pistol pada kepalanya, biar dia ingat posisinya sekarang. Aku tidak tahu apa yang begitu lucu pada fikirannya.

“Sekarang!!” si botak menjerit kuat. Sekarang? Apa yang sekarang? Dahiku berkerut seribu. Ketika itu, bunyi tembakan dilepaskan. Aku menoleh ke belakang dan melihat seorang ahli kumpulanku tumbang mencium tanah. Mataku membulat tidak percaya. Aku segera duduk, berlindung di sebalik kereta yang dipandu si botak sambil terus mengacukan pistol kepadanya. Si botak masih terus ketawa.

“Kau fikir Ular Putih terlalu bodoh untuk dipermainkan? Puhhh!” si botak meludah ke tanah. Aku cuma melihat belakang badannya, tetapi aku tahu dia pasti sedang tersenyum. Satu lagi das tembakan dilepaskan dan bunyi jeritan kedengaran. Sudah dua orang kami yang tewas. Bang Joe juga ku lihat begitu gelisah. Rupa-rupanya, ahli kumpulan Ular Putih yang lain sudah dapat menghidu rancangan Bang Joe sejak awal lagi dan mereka bersembunyi terlebih dahulu sebelum bertindak.

Aku perlu mengambil langkah berjaga-jaga. Aku menyepak kaki si botak, mengharap dia akan jatuh dan mudah untuk ku tewaskan. Padahal, dia langsung tidak terjejas dengan sepakanku itu. Aku menelan liur. Dia mengeluarkan pistol dari poketnya yang sengaja tidak dikeluarkan awal-awal. Kali ini, pistol itu diacukan tepat pada wajahku. Adakah ini akan menjadi pengakhiran bagiku? Ya Allah, Ya Rabbi... tolonglah aku. Bantulah aku.

‘Poooommmmm!’ Kedengaran bunyi tembakan yang dilepaskan. Ku fikir aku yang ditembak, namun tubuh badanku langsung tidak terjejas. Si botak pula yang hampir terjatuh menghempapku. Mujur aku masih kuat untuk menolaknya ke tepi. Ku lihat Bang Joe yang berada di belakang si botak. Bang Joe jugalah yang membunuhnya. Membunuhnya untuk menyelamatkanku.

Di tengah kekalutan malam, kedengaran bunyi yang cukup mengganggu semua pihak yang sedang bergaduh di situ. Siren polis. Bang Joe mengamuk bukan kepalang.

“Ah, dasar pembelot! Pembelot dalam kalangan kita! Aku tak akan lepaskan si pembelot!”

Oh tidak. Allahu. Baru terlepas kandang buaya, masuk ke kandang harimau pula. Kini, pasti aku yang menjadi sasaran Bang Joe. Aku melihat Bang Joe bersedia untuk melepaskan tembakan sebelum anggota polis muncul.  Nafasku menjadi deras. Mataku ku pejam erat. Tak terbayang bagaimana peluru akan menembusi badanku nanti. Satu lagi tembakan dilepaskan.

Aku perlahan-lahan membuka mata. Tubuhku tidak apa-apa. Begitu juga dengan tubuh Bang Joe. Aku memandang sekeliling. Bang Joe membunuh anak buahnya yang lain. Nampaknya dia sangat mempercayaiku, padahal... padahal akulah sebenarnya yang menghubungi pihak polis untuk ke lokasi sebelum kejadian. Aku yang membocorkan segala-galanya.

“Pergi! Pergi cepat!” Bang Joe menghalauku pergi. Dia menyerahkan sesuatu padaku. Kertas kecil yang sedikit keras. “Kau masih punya masa depan, jangan jadi bodoh macam aku!”

Aku berlari sekuat hati, berlari dan terus berlari dalam kegelapan malam. Aku tahu saat ini Bang Joe sudah ditangkap polis, padahal aku yang mengkhianatinya. Maafkan aku. Aku harus melakukan semua ini untuk kebaikan semua, terutamanya diriku. Sejak azali lagi memang dadah merupakan musuh negara. Sesiapa yang terlibat dengan dadah, maka dia juga merupakan musuh negara. Aku juga begitu, tetapi aku tidak mahu lagi meneruskannya. Siren polis semakin lama tidak ku dengar lagi. Aku mendapatkan motosikalku dan terus membelah kedinginan malam. Juga membelah hatiku yang gusar.

***

Aku meneguk kopi yang dibancuh oleh Azlina. Pandangan mataku masih terlekat pada komputer riba di hadapanku. Seketika kemudian jari-jemariku rancak menari di atas papan kekunci. Aku perlu menyiapkan juga manuskrip novelku hari ini. Esok manuskrip yang sudah siap disemak perlu ku hantar ke kedai percetakan dan langsung pos laju ke syarikat penerbitan.

Azlina muncul lagi di dalam bilikku. Kali ini wajahnya berseri-seri daripada biasa. “Abang, teka!”

“Teka apa?” Aku memang malas mahu berteka-teki.

“Adik dapat masuk universiti sama dengan Angah dan Alang! Surat tawaran baru sampai tadi,” Azlina segera menunjukkan surat tawaran kemasukan ke universiti yang bau diterimanya. Alhamdulillah. Syukur aku panjatkan kepada Tuhan atas kejayaan adik-adikku, juga kejayaanku. Sungguh, duit yang halal memang ada keberkatannya. Tidak lama selepas penangkapan Ular Putih serta Bang Joe dan yang lain-lain, ibu meninggal dunia.

Setelah itu aku berpindah ke kolej dan tempat yang baru. Aku mula kerja secara halal dengan mengambil upah bekerja di stesyen minyak. Atas nasihat Iman dan Hakimi yang sering bertanyakan khabarku di Facebook, aku mengambil keputusan untuk menulis. Aku menulis novel Islamik dan buku-buku motivasi, yang banyak aku pelajari di kolej baru.

Buku pertamaku berjudul Merdekakan Aku, ku dedikasikan untuk keluarga dan rakan-rakanku, juga si dia yang pernah ku cinta. Entah apa khabarnya sekarang. Aku tidak membalas soalannya, sebaliknya ku kirimkan pesanan sahaja melalui Iman supaya Nur Khalisah melupakanku. Aku punya perjuangan yang lebih besar, iaitu untuk memperjuangkan Islam dalam diriku sendiri.

“Oh ya, bang. Ada satu lagi surat untuk abang,” Azlina menyerahkan sepucuk surat yang tertera namaku. Aku mengoyak hujung sampul, dan mengeluarkan isinya. Aku membaca isinya penuh khusyuk. Kemudian, aku ketawa sendiri. Aku menggeleng kepala sambil ketawa. Aku meletakkan kad kahwin itu di atas surat cinta yang pernah dia berikan padaku suatu ketika dahulu.


Walimatul urus

Muhammad Iman bin Ghazali
dan
Nur Khalisah binti Saiful Nizam


- TAMAT -

2 comments: