Friday 8 August 2014

Hilangnya Tradisi Berbalas Kad Raya



Sebenarnya hari ini saya bercadang untuk post sebuah cerpen disebabkan sudah sekian lamanya saya tidak paparkan cerpen di Nafas Baru. Tetapi cerpen saya itu masih belum selesai sepenuhnya dan terpaksa saya simpan dulu (macam cerpen-cerpen yang lain). Harapnya dalam masa terdekat saya boleh kongsikan dengan anda semua dan cerpen tidak tergendala separuh jalan sahaja. Jadi saya gantikan cerpen dengan entry tentang kad raya. Ada apa pula dengan kad raya?

Seperti yang kita semua tahu, orang Melayu kita memang kaya dengan pelbagai adat dan tradisi. Memandangkan kita masih lagi berada dalam bulan Syawal, saya nak sentuh tentang salah satu tradisi kita yang semakin terhakis dek kerana kemodenan yang melanda, iaitu kiriman kad raya. 

Saya tak pastilah sama ada mereka di luar sana masih lagi berbalas kiriman kad raya atau tidak. Secara peribadinya saya memang suka memberikan kad raya kepada rakan-rakan bermula dari zaman sekolah rendah lagi dengan harapan kad raya tersebut akan dibalas. Eheh. Biasalah zaman tak matang dan hingusan lagi. Dalam setiap kad raya pula tak sah kalau tak ada pantun ‘Pecah kaca pecah gelas, lepas baca harap balas.’ Saya suka beri kad raya kepada rakan-rakan kerana semakin banyak kad yang diberi, semakin banyak balasan yang akan diterima. Excited bukan main.


Pernah sekali seorang kawan saya balas kad raya dalam kad yang saya bagi (maksudnya kembalikan balik kad raya saya dengan ucapan balas) dan menyebabkan saya sangat frust pada waktu itu. Saya juga akan terkilan kalau ada yang menghilangkan kad raya saya atau terlupa mereka simpan di mana. Ya lah, penat-penat saya tulis dengan tulisan yang konon cantik pada waktu itu.


Saya akan bagi kad raya setiap tahun pada semua rakan perempuan dalam kelas menyebabkan pelajar lelaki yang lain cemburu sebab tak dapat kad raya. Saya bukannya rapat sangat dengan pelajar lelaki pun. Waktu itu nilai kad raya itu sendiri sangat berharga kerana teknologi seperti WeChat dan WhatsApp segala masih belum wujud. Telefon bimbit pun rasanya paling otai pun budak darjah lima yang ada. Sekarang, saya rasa budak darjah satu pun sudah mempunyai telefon bimbit masing-masing.

Masuk sekolah menengah, kawan-kawan dah tak berapa main sangat berbalas kad raya ni. Ketika di tingkatan satu, saya bagi kad raya satu kelas pun rasanya dapat balasan cuma empat lima kad sahaja. Saya mula mengerti kad raya pada waktu itu sudah tidak dianggap bernilai sangat. Tetapi saya tetap berikan kad raya kepada semua orang dalam kelas setiap tahun. 

Cuma ketika di tingkatan lima saya buat kad kecil sahaja dan berikan kepada semua rakan perempuan dalam kelas sebab tidak ada masa untuk membelinya di kedai. Kalau tak salah saya, cuma dapat dua sahaja balasan kad raya pada waktu itu. 

Tahun ini pula, memang tak sempatlah nak beli kad raya dan berikan kepada rakan-rakan. Tetapi alhamdulillah, walaupun jumlah kad raya semakin berkurangan dari tahun ke tahun, saya masih menerima kad raya daripada rakan-rakan blogger iaitu blogger Tasha Aqisha dan Khairil Mazri. Mereka sungguh baik hati mengirimkan kad raya dan juga blogger namecard masing-masing. Terima kasih saya ucapkan!

Dan satu lagi, entah kenapa saya juga menerima kad raya daripada Kolej Universiti Islam Sains & Teknologi (KUIST). Terima kasih pihak KUIST yang sudi mengirimkan kad raya sekaligus menjemput ke hari terbuka KUIST iaitu esok. Kiranya, tahun 1435H setakat ini saya dapatlah juga tiga keping kad raya. Jadilah daripada tak ada.


Buat saya nilai kad raya itu sangat tinggi tetapi mungkin saban tahun akan semakin terhakis. Manakan tidak, semakin hari laman-laman sosial semakin bersaing sesama sendiri untuk mempengaruhi kehidupan masyarakat. Sekarang SMS pun orang dah tak layan sangat, kirim pesanan hari raya melalui WeChat dan WhatsApp sahaja. Yang terbaru apa ya, BeeTalk? Saya pun tak tahu sangat. Saya cuma pengguna WeChat sahaja. Eheh. 

Mengirim kad raya ni, bukanlah sunnah atau suatu ketetapan syarak, tetapi satu perkara yang mempunyai nilai sentimental tersendiri. Saya yakin masyarakat sebenarnya akan lebih menghargai kad yang diterima oleh keluarga atau sanak-saudara berbanding kiriman mesej kerana mesej boleh dihapus bila-bila masa sahaja berbanding kad raya. 

Kad  raya ni, kita boleh gantung atau simpan buat kenang-kenangan. Nanti bila dah tua sikit (ehem) boleh buka balik dan baca apa yang ditulis oleh kawan-kawan kita. Mungkin juga alamat atau nombor telefon yang tertera dalam kad raya tersebut masih boleh diguna pakai. Pokok-pangkalnya, kad raya ni boleh memperkukuhkan lagi ikatan silaturahim sesama kita umat Islam. Apa pula nilai kad raya bagi anda?

1 comment:

  1. salam.. eh eh.. ada nama kita la... heee...
    aha.. betul tu.. mengirimkan kad raya ni nilai sentimentalnya lebih tinggi berbanding ucap dalam media...

    ReplyDelete