Tuesday 14 January 2014

Cerpen: 3 Cinta

Credits Doodle : nayzak.deviantart.com, www.fizgraphic.com dan nur92.deviantart.com


Dalilah melepaskan tumbukan padu terakhir tepat mengenai punching bag yang berwarna merah di hadapannya itu. Dia menyeka peluh yang menitis di pipinya itu. Barulah dia berasa lega. Hanya dengan latihan di pusat EF Centre  itu dia mampu menghilangkan tekanan yang menghimpitnya.

“Ila, bila kami semua boleh tamatkan latihan ni? Hafiz penatlah,” Hafiz mendaratkan tubuhnya di atas lantai yang dialas dengan karpet bersih itu.

“Amboi. Aku tak suruh lagi kau berhenti,” Dalilah menjeling tajam bapa saudara yang muda setahun daripadanya itu. Kemudian pandangannya dialihkan menghadap kesemua anak-anak buahnya yang sedang berlatih tendangan. Ada aura kepenatan yang terpancar pada wajah masing-masing. Kasihan pula Dalilah melihat mereka sedemikian rupa.

“Baiklah, Kak Ila nak tengok double front kick semua orang. Lepas tu kita semua boleh pulang,” selepas Dalilah memberi kata putus, Hafiz yang terbaring tadi langsung bangkit dan membuka posisi kekudanya. Biarlah dia yang menjadi orang pertama untuk menunjukkan tendangannya kepada Dalillah.

Dalilah mengangguk sambil tergelak kecil melihat aksi bapa saudara muda itu. Meskipun pangkat mereka berbeza, mereka merupakan teman sepermainan daripada kecil dan mempunyai minat yang sama iaitu dalam seni mempertahankan diri Tae Kwon Do. Bezanya, Dalilah sudah menjadi pemegang tali pinggang hitam semenjak dia berada di tingkatan tiga dan Hafiz masih lagi memegang tali pinggang merah kerana jarang datang latihan. Penglibatannya dalam pasukan bola sepak sedikit sebanyak menjejaskan usahanya untuk menaikkan pangkat tali pinggang.

Hafiz menarik kaki kanannya ke belakang dan menggenggam penumbuk ke dadanya. Setelah itu, kaki kanannya terbang separa ke udara diikuti kaki kirinya yang dilepaskan penuh dalam keadaan melompat. Tendangan dan daratan yang cukup kemas itu diiringi tepukan oleh anak-anak muda yang hadir. Mereka yang mendaftar untuk kelas Tae Kwon Do itu berada dalam lingkungan tujuh sehingga belasan tahun. Tenaga pengajar mereka yang sebenar iaitu Sir Jamil sering mempunyai urusan di tempat lain, oleh itu Dalilah telah diberi kepercayaan untuk mengajar anak-anak murid di situ.

Selesai giliran Hafiz, anak-anak yang lain pula berebut mahu menunjukkan tendangan masing-masing sehingga ada yang bertolak-tolakan. Apabila setiap orang telah menunjukkan tendangan mereka, barulah Dalilah memberikan mereka kebenaran untuk pulang. Dia menunggu sehingga semua ibu bapa menjemput anak-anak itu demi memastikan keselamatan mereka. Suatu lagi perkara yang mampu menggembirakan hati Dalilah adalah tatkala melihat wajah bahagia anak-anak dijemput ibu bapa mereka. “Mukhriz dah balik. Ibu dia kirim salam,” Hafiz mengejutkan Dalilah daripada lamunannya.

“Semua dah balik. Jomlah. Hari ni kau bawa motor,” Dalilah menyerahkan kunci motosikalnya kepada Hafiz. Perjalanan untuk ke rumah mengambil masa hampir lima belas minit. Begitulah rutin Dalilah setiap hujung minggu semenjak menamatkan peperiksaan SPM bulan lepas.

***

“Mia, bila lagi awak nak buat kek coklat macam semalam? Sedap! Awak ni memang pandai bab-bab memasak ni!” Khadijah menyoal separuh teruja. Dia masih lagi tidak dapat menghilangkan rasa keenakan kek coklat yang lembut disaluti coklat pekat yang berhiaskan strawberi buatan Damia. Tambahan lagi, dia memang seorang penggemar kek coklat.

“Saya baru buat semalam awak dah minta saya buat lagi? Amboi!” Damia mengangkat kedua-dua belah keningnya buat-buat protes. Mana boleh hari-hari buat kek. Belanja untuk membeli barang dapur pun sudah mahal sekarang ini. Nasib baiklah rakan-rakan sebilik yang lain mampu bertolak ansur untuk berkongsi wang menampung kos perbelanjaan dalam rumah. Damia baru sahaja berpindah ke rumah baru kerana rumahnya yang lama terpaksa diberikan kepada penuntut universiti yang baru mendaftar.

“Damia!” satu suara kedengaran memanggil namanya dari belakang. Damia sudah kenal benar dengan suara itu. Namun demikian, dia tetap meneruskan perjalanannya tanpa mempedulikan si pemanggil berkenaan. Khadijah juga sudah memahami situasi tersebut. Dia tidak mahu masuk campur.

“Mia!” seorang lelaki bertopi merah menghentikan perjalanan mereka. Dia berdiri tepat di hadapan Damia dan tidak mahu mengalah dengan situasi. Damia sering mengelak setiap kali bertembung dengannya. Kali ini, dia perlu mendapatkan suatu kepastian daripada wanita itu.

“Mia, saya tak fahamlah. Kenapa awak minta keluarga awak tangguhkan pernikahan kita? Saya dah cakap dengan ayah awak macam yang awak minta. Kenapa awak masih mengelak daripada saya?” Qayyum mendesak. Dia tidak mengerti dengan wanita itu. Dia sudah empat bulan bertunang dengan Damia dan berhasrat mahu menjadikan hubungan mereka halal. Damia cuma memberitahunya supaya pergi menemui orang tuanya dan apabila Qayyum menunaikan permintaannya itu, ternyata Damia meminta supaya pernikahan mereka ditangguhkan. Dan layanannya kepada Qayyum masih sama dingin seperti dulu. Tidak seperti kebanyakan pasangan yang bercinta.

Damia yang sedari tadi menunduk, cuba memberanikan dirinya. Dengan mengumpul kekuatan yang ada, dia cuba menyusun kata. “Qayyum, saya memang ada menyuruh awak jumpa ayah saya sebab saya tak tahu macam mana nak beritahu awak. Qayyum, saya masih ada impian. Saya nak genggam ijazah.” Selama ini, Damia menyangka Qayyum juga sama seperti lelaki-lelaki lain yang sengaja mengganggunya. Ternyata, Qayyum ikhlas dengan niatnya apabila dia datang merisik dan akhirnya mereka bertunang. Masalahnya, Damia baru sahaja berusia 21 tahun dan impiannya masih panjang.

“Mia, sekarang ini ramai juga orang yang berkahwin sambil belajar. Dan dengan izin Allah mereka mampu menjalani kehidupan yang lebih bahagia. Belajar pun lebih mudah kerana ada yang membantu. Apa salahnya...”

Damia memotong kata-kata Qayyum, “Qayyum, saya bukan nak menolak awak. Tapi, saya cuma minta tempoh masa beberapa tahun sehingga saya habis belajar. Itu pun jika awak masih mahu menunggu. Selagi kita bertunang, awak tak perlu risau apa-apa sebab saya ikhlas jadi tunang awak. Semuanya terpulang kepada awak.” Wanita itu terus menarik lengan Khadijah dan segera menghilangkan diri dari situ, meninggalkan Qayyum sendiri. ‘Baiklah Damia. Aku akan tunggu kau,’ monolog Qayyum. Jika Damia sanggup berbuat apa sahaja untuk mengejar impiannya, Qayyum juga begitu.

Sepanjang perjalanan pulang, Damia cuma membisu. Khadijah tidak mahu Damia terlalu memikirkan tentang peristiwa yang berlaku sebentar tadi. “Mia, sudah-sudahlah tu. Balik nanti, awak boleh tolong saya tak?” Damia bertentangan mata dengan Khadijah.

“Ibu saya ada kirimkan kain baju kurung dari Pudu. Saya nak awak tolong design dan jahitkan boleh? Nanti saya bayarlah,” rayu Khadijah. Selain daripada pandai memasak, tiada orang boleh menyangkal bakat Damia dalam mereka busana. Damia memang bercita-cita tinggi untuk menjadi seorang pereka fesyen muslimah. Oleh itu, dia tidak mahu cita-citanya terjejas apabila berkahwin kelak.

“Sudah tentulah! Awak tak perlu bayarlah, kita kan kawan. Saya akan pastikan baju itu akan buatkan awak tampil lebih elegan,” Damia bicara penuh semangat. Dia sudah terbayang-bayang beberapa rekaan dalam kepalanya. Tangannya sudah tidak sabar mahu mereka fesyen yang baru.

***

Telefon bimbit Hafiz yang berbunyi sejak tadi dicapai. Nombor awam tertera pada skrin telefon. Hafiz sudah boleh menduga siapa yang menelefonnya.

“Assalamualaikum. Uncle Hafiz! Diana telefon Kak Ila banyak kali dia tak angkat. Kak Ila ada tak?” satu suara kecil kedengaran di hujung talian.

“Waalaikumussalam. Ila kerjalah. Diana dah lupa ya? Ila kan sekarang tolong Along dengan business lori tu. Petang nanti dia baliklah. Ada apa-apa nak pesan? Nanti Hafiz sampaikan,” ujar Hafiz yang tidak gemar membahasakan dirinya ‘Uncle’ meskipun anak saudaranya yang satu itu suka memanggilnya dengan gelaran itu. Diana cuma muda dua tahun sahaja daripadanya dan sekarang ini sedang belajar di sekolah berasrama penuh di tingkatan tiga. Tahun ini, Hafiz bakal mengambil peperiksaan SPM dan Diana pula PMR.

“Ya lah, Diana lupa Kak Ila kerja dengan ayah. Tak apalah Uncle Hafiz. Cakap dengan ayah atau Kak Ila, hujung minggu ni Diana balik. Itu saja.” Setelah memberi salam, Diana meletakkan gagang telefon awam yang disediakan di sekolah itu. Diana menghela nafas panjang. Meskipun dia mengerti semua orang di rumah sibuk, dia masih rindu mahu berbual-bual dengan kakaknya. Sedikit perasaan kecewa mengulit hatinya ketika itu. Sudah sebulan lebih dia tidak pulang ke rumah. Dia memerhatikan kamera DSLR yang tergantung pada lehernya. Kamera itu merupakan pemberian Damia kepadanya. ‘Ah, rindunya...’

“Cakap dengan ayah atau Kak Ila, hujung minggu ni Diana balik,” satu suara mengejek kedengaran. Diana menoleh ke belakang dan mendapati Tengku Fatehah sedang berdiri di belakangnya. Sejak bila dia berdiri di situ pun tidak dapat dipastikan. Diana menelan liur. Beberapa rakan Tengku Fatehah yang lain turut mentertawakan Diana. ‘Ya Allah, musibah apa lagi yang akan menimpa aku sekarang?’ bisik hatinya.

Semenjak tingkatan satu lagi, Tengku Fatehah tidak pernah menyenangi kehadiran Diana kerana berpendapat orang miskin seperti Diana tidak layak untuk masuk ke sekolah itu. Tengku Fatehah ialah anak orang yang berpengaruh di Malaysia dan juga di sekolah itu. Namun, sifatnya jauh berbeza dengan sifat orang tuanya yang bersopan-santun dan sentiasa menghormati orang lain. Tengku Fatehah sering menggunakan statusnya untuk menindas insan yang lebih lemah. Bahkan, senior-senior di asrama pun tidak berani mengusiknya kerana tidak mahu dibuang sekolah.

Diana cuba bergerak pergi namun perjalanannya dihalang Tengku Fatehah. Jika dia mahu melarikan diri sekalipun, rakan-rakan Tengku Fatehah yang lain ada di situ untuk menghalangnya.

“Fatehah nak apa? Diana nak balik asrama ni. Malam ni kan ada kelas prep?” Diana masih cuba mengelak. Tengku Fatehah sengaja melanggar bahunya dengan bahu Diana membuatkan gadis itu terundur ke belakang sedikit.

“Aku nak apa? Aku tak inginlah nak tengok muka kau di sini. Muak! Kau boleh buat-buat baik, alim dengan satu asrama. Tapi kau tak perlu nak pura-pura baik depan akulah,” Tengku Fatehah meluahkan rasa geram. Rasa iri hati telah menguasai hatinya untuk membenci gadis itu meskipun dia tidak pernah melakukan sebarang kesalahan terhadapnya.

Hati Diana seolah-olah tertusuk pedang dan terhiris mendengar kata-kata itu. Sungguh dia tidak menyangka begitu sekali tanggapan Tengku Fatehah terhadap dirinya. Memang benar, dia baik dengan semua orang termasuk kakak-kakak di asrama. Tetapi semuanya dilakukan ikhlas dan bukannya sandiwara semata-mata. “Fatehah tak tahu apa-apa tentang Diana,” ujarnya.

“Kau dah berani melawan ya sekarang?” tanpa diduga Tengku Fatehah menolak kuat Diana sehingga terlanggar dinding. Mujurlah kamera kesayangannya itu tidak terkena apa-apa. Diana memegang lengannya yang kesakitan. Tengku Fatehah merapati tubuh Diana dan berbisik padanya, “Kau belum kenal lagi siapa aku.” Dia dan rakan-rakannya segera beredar meninggalkan Diana. Diana bagaikan tidak percaya dengan apa yang baru dialaminya tadi.

***

Dalilah memegang bingkai gambar keluarganya. Rasa rindu datang bertandang tatkala dia melihat wajah arwah ibunya. Dia masih ingat lagi ketika kejadian tersebut berlaku. Pada waktu itu, Damia dan Diana keluar mengikuti ayahnya kerana mendapat panggilan kerja. Dia sahaja yang tidak mahu mengikuti mereka kerana mahu menemani ibunya. Ketika itu dia baru sahaja berusia enam tahun.

Hujan mula turun di luar rumah. Sudah jam 9 malam tetapi ayah dan adik-beradiknya masih belum pulang lagi. Dalilah menonton televisyen dan berusaha untuk tidak melelapkan mata kerana dia mahu menunggu kepulangan keluarganya. Ibunya pula sedang mencuci pinggan di dapur. Tidak lama kemudian, Dalilah terdengar bunyi ketukan berkali-kali di pintu. Tanpa melengahkan masa, dia segera melompat dari sofa dan membuka pintu. Alangkah terkejutnya apabila di hadapannya muncul tiga orang lelaki bertopeng hitam. Salah seorang daripadanya sedang memegang pistol.

Dalilah cuba berlari namun sempat ditangkap oleh salah seorang perompak itu. Ibunya yang baru keluar dari dapur sangat terkejut apabila mendapati anaknya sedang berada dalam genggaman seorang lelaki bertopeng. Mereka segera menutup pintu dan mengikat kedua-dua beranak itu di ruang tamu. Mulut Dalilah dan ibunya turut diikat ketat. Ketiga-tiga makhluk tidak dikenali itu masuk dari satu pintu ke pintu yang lain dan mengambil wang serta barang-barang bernilai yang ada. Namun, tidak banyak jumlah yang dapat diambil oleh mereka kerana ayah Dalilah sering menyimpan wang di dalam bank.

Suatu kejadian yang tidak diduga terjadi apabila datuk dan nenek Dalilah tiba secara mengejut. Namun, kehadiran mereka yang bertujuan sebagai satu kejutan itu berakhir dengan satu tragedi. Perompak-perompak itu terkejut dengan kehadiran mereka dan segera membelasah datuk dan nenek tanpa sebarang simpati. Datuk sempat menarik topeng salah seorang penjenayah. Akibat daripada tindakannya itu, datuk dan nenek dibelasah sehingga meninggal dunia di tempat kejadian.

Dalilah tidak mampu berbuat apa-apa melainkan menangis. Ibunya pula cuba untuk membantu mertuanya dalam keadaan yang tidak terdaya itu. Dia cuba meronta-ronta dan tidak tahan melihat mereka diseksa. Akibat panik, salah seorang daripada perompak yang telah dibuka topengnya itu melepaskan das tembakan tepat mengenai dada si ibu. Dalilah sekali lagi cuma mampu memerhatikan ibunya yang berada dalam keadaan nyawa-nyawa ikan itu. Setelah itu, mereka bertiga melarikan diri bersama hasil rompakan malam itu. Selepas itu, Dalilah sudah tidak sedarkan diri lagi dan apabila sedar dia mendapati dirinya sedang terlantar di hospital bersama ayahnya.

Ku bersujud padamu,
berdoa pada yang satu,
Padamu aku mengadu,
Allah yang satu,
Mohon petunjuk darimu,
berderai air mataku,
Ku ingin dekat denganmu.

Nada dering lagu Al-Haq kedengaran sekaligus memecahkan lamunan Dalilah tentang masa silamnya. Dia menekan punat hijau untuk menjawab panggilan. Di hujung talian, kedengaran suara tercungap-cungap seperti orang yang baru selesai berlari. Dalilah sudah mengerutkan keningnya.

“Ila, masalah! Budak-budak kita, kena kacau kena budak Tae Kwon Do dari kelab lain. Mereka sedang bertarung untuk tentukan siapa lagi hebat,” Hafiz tergesa-gesa menjelaskan. Dia menarik nafas pendek. Jika diikutkan, dia mahu sahaja membantu yang lain tetapi dia perlu melaporkan kepada Dalilah terlebih dahulu.
“Apa? Di mana?!” Dalilah terperanjat campur tidak percaya. Baru kali pertama kes seperti ini terjadi.

“Belakang sekolah Hafiz. Cepat datang.”

“Baiklah. Kau tunggu aku.” Talian dimatikan. Dalilah segera mencapai kunci motosikalnya dan menghidupkan enjin. Dia harus segera bertindak untuk menghentikan perkelahian dua kelab itu. Paling penting, salah satu kelab Tae Kwon Do yang bertarung itu kini berada di bawah jagaannya. Kira-kira sepuluh minit kemudian barulah Dalilah tiba di tempat kejadian. Hafiz dan yang lain-lain sedang hangat bertarung. Beberapa orang sudah tumpas menyembah bumi.

“Berhenti! Aku cakap berhenti!” Dalilah cuba menghentikan pertarungan tetapi tiada yang peduli. Dalilah sedaya upaya tidak mahu turut berlawan kerana semua yang berada di situ merupakan pelajar lelaki. Namun, dia tetap tidak gentar sekiranya terpaksa berdepan dengan situasi yang genting. Dalilah masih mencuba nasib dengan menyuruh mereka supaya berhenti. Kali ini, suaranya lebih kuat. Namun, respons yang sama masih diberikan. Tanpa diduga, seorang pelajar lelaki yang masih memakai uniform sekolah menyerang betis Dalilah dan membuatkan gadis itu separa terduduk.

“Tak guna!” Dalilah sudah tidak boleh menahan sabar. Dia membetulkan posisinya dan bersedia untuk bertarung. Dalilah mempersilakannya untuk menyerang terlebih dahulu. Pelajar-pelajar yang lain bertindak menghentikan pertarungan mereka tatkala baru menyedari kehadiran seorang perempuan di situ. Paling dahsyat, mereka tidak percaya Dalilah bersedia untuk bertarung.

“Kalau kau lelaki, kau lawanlah dengan lelaki!” Hafiz memberikan amaran kepada lelaki itu kerana dia tidak mahu Dalilah turut terlibat. Jika abangnya tahu tentang ini, pasti teruk dia dikerjakan.

Dalilah menolak Hafiz ke tepi, menandakan pertarungan ini miliknya. “Kalau aku menang, kau dengan kawan-kawan kau tinggalkan anak-anak buah aku. Faham?” Dalilah memberikan amaran keras. Lelaki berambut kerinting yang menyerangnya itu sudah pecah ketawa. Dia tidak mungkin akan tewas dalam tangan seorang perempuan. “Kalau aku menang?” soalnya kembali.

“Kalau kau menang, kami semua akan mengaku kelab kau hebat. Setuju?” Dalilah begitu yakin membuat rundingan. “Ila...” Hafiz mahu membantah tetapi lelaki itu telah bersetuju. Kali ini, Hafiz tidak boleh masuk campur lagi. Dia terpaksa mengalah.

Lelaki berambut kerinting yang memakai tanda nama Saiful itu memulakan serangan. Dia mengacah-acah terlebih dahulu. Setelah menunggu masa yang sesuai, barulah kaki kanannya diangkat naik ke udara secara menyerong. Sasarannya adalah perut Dalilah. Dalilah pantas refleks. Menyedari dia mempunyai peluang, dia mengundur setapak ke belakang dahulu sebelum kembali ke hadapan untuk menendang. Aksinya berjaya dikesan pihak lawan. Saiful menangkis tendangan tersebut dengan kedua-dua belah tangannya.

Saiful masih lagi cuba menyerang. Dia tidak akan berlembut dengan perempuan kerana dia sudah dapat mengagak bahawa Dalilah memiliki pangkat yang tinggi dalam Tae Kwon Do. Saiful mencuba turning kick sekali lagi tetapi Dalilah begitu tangkas dan sempat mengelak. Kali ini, Dalilah mencuba tendangan rahsianya iaitu double chopping kick.

Dalilah boleh dikatakan agak rendah berbanding Saiful. Saiful mungkin tidak akan menduga dia boleh melakukan tendangan tersebut, iaitu sedikit lompatan acah kaki kiri disusuli tendangan keras kaki kanan. Untuk melakukan double chopping kick, seseorang itu perlu mempunyai daya keyakinan yang tinggi disertai stamina tubuh. Taktik Dalilah berjaya kerana tendangannya tepat mengenai batang hidung Saiful membuatkan lelaki itu akhirnya terjatuh di atas tanah. Semua yang menonton terus bertepuk tangan termasuk rakan-rakan Saiful sendiri.

“Kau nak teruskan lagi?” Dalilah menduga penuh yakin. Dia sudah berlatih terlalu lama untuk sebuah pertarungan yang sebenar. Saiful bangkit dan memasang kekuda kembali. Dia menyentuh hidungnya yang kesakitan. Tak mungkin dia akan kalah pada hari itu. Dia perlu membuktikan bahawa dia yang lebih hebat. Saiful mengacah ke hadapan sebelum melayangkan backthrust kick. Backthrust kick merupakan tendangan kejutan yang sukar diramal oleh pihak lawan kerana merupakan tendangan 360 darjah mengikut arah jam.

Dalilah tidak selemah yang disangka. Dia mampu meramal tendangan Saiful lalu dia memegang kasut lelaki itu untuk menahannya. Apabila Saiful sudah berada dalam posisi yang terkunci, Dalilah menyerang kaki kirinya sehingga menyebabkan lelaki itu sekali lagi tersungkur ke bumi.

“Is that the best you can do?” Dalilah semakin mencabar. Rakan-rakan Saiful mentertawakannya. Saiful tidak tahan dimalukan sedemikian rupa. Dia terus bangkit dan mengalah. Gadis di hadapannya itu sudah pasti bukan calang-calang orangnya. “Baiklah. Aku dan kawan-kawan aku tak akan ganggu akak dengan anak-anak buah akak dah,” Saiful mengajak ahli kelabnya berundur. Mereka terpaksa akur kerana menang kalah merupakan adat seni mempertahankan diri Tae Kwon Do.

“Tabiklah Kak Ila. Boleh kalahkan Saiful!” seorang pelajar tingkatan tiga membuat gaya tabik di hadapan Dalilah. Dia merupakan salah satu pelajar yang menuntut di EF Centre.

“Kamu semua ni, lain kali cubalah jangan buat hal lagi. Tae Kwon Do ni merupakan seni untuk mempertahankan diri, bukannya untuk buktikan siapa lagi hebat. Mengarut betul,” Dalilah menggeleng kepala.

“Ila, kenapa nak lawan juga? Hafiz pun bolehlah settlekan si Saiful tu,” Hafiz mendabik dadanya.

“Kau tu mentah lagi. Kalau kau cedera, macam mana aku nak jawab dengan ayah nanti?” Dalilah sengaja mengusik Hafiz meskipun dia mengakui kebenaran kata-kata bapa saudaranya itu.

“Eh, kita ni beza setahun sajalah!” Hafiz menegaskan sambil membonceng motosikal yang ditunggang Dalilah. Abangnya terlalu sibuk mencari rezeki untuk menanggung kehidupan Hafiz dan tiga orang anak buahnya. Damia pula sedang menuntut di sebuah universiti tempatan manakala Diana sedang belajar di sekolah berasrama penuh. Oleh itu, Hafiz lebih banyak meluangkan masa bersama Dalilah. Tambahan pula, usia mereka lebih kurang sebaya.

Tiba di rumah, Dalilah terkejut mendapati Damia sedang menunggu di ruang tamu. Mungkin dia tiba sejurus sahaja Dalilah keluar tadi. Tanpa berkata apa-apa, dia terus memeluk satu-satunya kakak yang dimilikinya itu. “Bila kakak sampai? Kenapa tak beritahu dulu?” Dalilah separuh teruja. Ayahnya pernah memberitahunya bahawa kakaknya akan pulang, tetapi dia tidak menyangka secepat itu.

“Dahlah. Kakak dah cakap dengan ayah, kakak cuti semester. Mana ayah? Kerja?” ujarnya setelah melihat seisi rumah itu kosong.

“Ayah pergi ambil Diana di asrama. Nanti kita boleh berkumpul lagi. Oh ya, kakak pulang naik apa?” soal Dalilah kemballi sambil menjeling ke arah luar. Tidak ada kenderaan lain di luar melainkan  satu-satunya motosikal yang dimilikinya itu. Belum sempat lagi Damia menjawab, Dalilah sudah membuat andaian sendiri. “Oh, kakak balik dengan Abang Qayyum ya? Amboi, dah pandai balik sekali ya sekarang!”

Damia mencubit kedua-dua pipi Dalilah geram. Meskipun Dalilah selalunya berperwatakan kasar, adiknya itu sebenarnya seorang yang manja dan pandai mengusik. “Kakak balik naik teksilah! Sudahlah. Kalau hendak dilayan Ila ni memang tak akan habis. Kakak nak pergi sediakan makanan. Harapkan kamu, berhabuk sajalah dapur tu!” Dalilah tersengih-sengih.

“Memang pun. Selalunya Along akan beli makanan dari luar. Hafiz pun selalu beli makanan kantin sekolah, Kak Mia,” Hafiz sengaja menambah perisa. Dalilah segera meluku kepala Hafiz. Damia terhibur melihat keletah mereka. Dia tidak sanggup mahu memaklumkan kepada mereka satu perkhabaran yang baru diterimanya sejurus sebelum bertolak ke rumah tadi. Damia menarik nafas panjang.

***

Diana memerhatikan jam tangannya yang sudah menunjukkan jam 3 petang. Ayahnya masih juga belum muncul. Semua kelengkapan untuk pulang sudah tersusun rapi di tempat menunggu. Kebanyakan pelajar lain sudah pulang bahkan mungkin sudah selamat tiba di rumah. Diana cuba bertindak lebih memahami. Ayahnya mahu mengambilnya pun dia sudah bersyukur. Sementara mengisi kelapangan yang ada, Diana mengambil foto-foto panorama di sekolahnya. Dia dibenarkan untuk membawa kamera DSLR ke sekolah kerana telah dilantik sebagai ahli kelab Bridget Bestari sekolah.

Bidang fotografi memang merupakan minatnya sejak kecil. Bermula dengan kamera digital sehinggalah akhirnya ayahnya membelikannya kamera DSLR. Dia mengambil tahu tentang semua jenis kamera dan fungsinya serta tidak mahu ketinggalan mengetahui tentang kamera-kamera terbaru yang berada di pasaran.

Sedang dia khusyuk mengambil gambar, dia tertangkap gambar seseorang yang tiba-tiba muncul menutup pemandangan. Dan seperti yang diduga, Tengku Fatehah sedang tersenyum sinis kepadanya. Ketika itu, Diana berharap agar ayahnya akan segera mengambilnya pulang.

“Yang kau ambil gambar aku kenapa?” Tengku Fatehah sengaja mencari masalah. Diana mendongak memerhatikan Tengku Fatehah yang sedang berdiri. “Fatehah yang tiba-tiba berdiri di depan Diana ni kenapa?”

“Kau memang berlagak pandai kan?” Tengku Fatehah menolak kamera itu daripada genggaman Diana. Mujurlah Diana menggantungnya di leher maka kamera itu tidak terjatuh. Berang tindakannya tidak berkesan, Tengku Fatehah menarik tudung Diana ke belakang lantas ketawa sendiri. Dia seolah-olah tidak boleh melihat Diana berbahagia dengan kehidupannya.

“Fatehah?! Awak ni dah kenapa? Psiko ke?” Diana yang menyedari dia terlepas cakap segera menekup mulutnya. Dia sedar seburuk mana pun seseorang itu bukanlah tugasnya untuk menilainya.

Tengku Fatehah bertambah berang dan merampas kamera Diana daripada lehernya. Tanpa berfikir panjang, dia melemparkan kamera tersebut ke atas lantai sekuat hati. Diana terkesima dan terdiam seribu bahasa. Tengku Fatehah pantas beredar dari situ kerana tidak mahu diketahui oleh orang lain. Diana perlahan-lahan mengangkat kembali kameranya. Jantungnya berdegup lebih pantas dari biasa. Dia menekan butang ‘on’ pada kamera. Skrin masih gelap. Dia mencuba berkali-kali dan hasilnya tetap sama.

Kira-kira lima minit setelah itu, barulah muncul kereta Proton Waja milik ayahnya di pekarangan sekolah. Diana berasa tidak senang duduk sepanjang perjalanan pulang ke rumah kerana dia tidak tahu bagaimana hendak memberitahu kepada ayahnya perkara yang sebenar. Jika ayahnya tahu, mungkin Diana tidak akan dibenarkan lagi memegang kamera. Paling teruk, impiannya untuk menjadi seorang jurugambar profesional akan musnah begitu sahaja. Dan semua itu berpunca daripada Tengku Fatehah!

***

“Ila, pergi tengok siapa yang datang,” arah ayah yang sedang menonton televisyen. Dalilah menyarungkan tudungnya dan mengintai dahulu dari tingkap. Dia memerhatikan dua susuk tubuh. Seorang lelaki muda yang cukup dikenalinya sedang berdiri di hadapan pintu rumah manakala seorang lagi sudah tua dan kelihatan hampir separuh abad. Dalilah tersenyum dan membuka pintu rumah.

“Ayah, Abang Qayyum datang!” Dalilah mempersilakan mereka untuk duduk dan menuju ke dapur untuk membuat minuman. Setakat menyediakan minuman bolehlah. Jika disuruh memasak, pasti dia akan berubah terpinga-pinga. Dalilah membancuh air kopi dan membawanya ke hadapan. Dia mendengar Qayyum dan ayahnya berbincang tentang perkahwinan dengan kakaknya. Ayah Qayyum yang baru pertama kali dilihatnya itu mengusulkan supaya perkahwinan mereka diadakan secepat mungkin.

Dalilah menuangkan air ke dalam cawan dan meletakkan di hadapan ayahnya serta tetamu. Tatkala dia melihat ayah Qayyum, figura itu seolah-olah pernah dilihatnya sebelum ini. Dalilah terus menatap wajah itu berkali-kali untuk mendapatkan suatu kepastian.

Ayah Qayyum yang menyedari dirinya diperhatikan langsung mengubah pandangannya menghadap Dalilah. Biji matanya tiba-tiba membesar dan wajahnya berubah menakutkan. Jantung Dalilah berdegup kencang. Tanpa diduga, dia mengeluarkan sebilah pisau dari poketnya dan terus menarik leher ayah tanpa sebarang kata. Pisau diacukan pada leher ayahnya. Qayyum di sisi sekadar memerhati.

“Berhenti! Jangan bunuh ayah aku!” Dalilah cuba menghalang sebarang perkara buruk terjadi. Tubuhnya mula menggigil dan resah memenuhi jiwa. Bila-bila masa sahaja pisau itu boleh menoreh leher ayahnya.

“Aku akan bunuh ayah kau macam mana aku bunuh mak kau dua belas tahun yang lepas! Hahaha!” Lelaki itu ketawa terbahak-bahak mengejek.

“Kak Ila! Kak Ila!” Panggilan Diana itu langsung menyedarkan Dalilah dari mimpinya. Dalilah refleks bangun dan menyeka peluh yang menitis di wajahnya. Kini, dia telah mendapat jawapan. Dia sudah ingat kembali segala-galanya. Dia tidak akan melupakan wajah lelaki yang telah menembak arwah ibunya dahulu. Dalilah berasa panik.

“Kak Ila, kenapa ni?” Diana terkejut melihat kakaknya yang menjerit-jerit di tengah malam ketika sedang tidur. Damia yang tadinya lena diulit mimpi, kini juga telah terjaga.

Dalilah memegang kepalanya sambil menggeleng-geleng. Jantungnya berdegup sangat kencang. Dalilah seolah-olah diserang histeria. Dia masih trauma dengan mimpinya sendiri. Nafasnya turun naik. “Dia nak bunuh ayah!”

Damia segera mendekati dan memegang tangan Dalilah serta membacakan ayat kursi di telinganya untuk menenangkan jiwanya. “Ila, kenapa ni? Ila mimpi buruk?” Dalilah merenung kedua-dua biji mata kakaknya kemudian memeluknya sambil menangis.

“Kakak, kakak jangan kahwin dengan Abang Qayyum?” pinta Dalilah dengan penuh simpati. Dalilah memeluk kakaknya dengan lebih erat. Diana cuma memerhatikan keadaan. Dia masih lagi terkejut dengan kelakuan kakaknya itu.

“Ila, kenapa cakap macam tu? Bukan selama ni Ila juga yang berkenan dengan Abang Qayyum? Kenapa tiba-tiba tak bagi kakak kahwin dengan dia?” lembut Damia bertanya. Dia masih lagi cuba menenangkan Dalilah sambil mendapatkan sebuah jawapan atas permintaan yang aneh itu.

Dalilah yang masih lagi dalam tangisan menjawab, “Kakak, Ila dah ingat balik. Ila dah ingat semuanya. Allah dah tunjukkan Ila petunjuk melalui mimpi. Kali ini, Ila betul-betul pasti! Ayah Abang Qayyum, Pak Cik Amri itulah pembunuh arwah ibu. Dan kemungkinan besar, dia yang telah membunuh datuk dan nenek. Kakak, kakak kena putuskan tunang dengan Abang Qayyum!” Dalilah menjelaskan panjang lebar. Damia dan Diana yang mendengar terperanjat. Sukar untuk mereka mempercayai apa yang telah dijelaskan sebentar tadi. Setelah 12 tahun pencarian, akhirnya mereka menemui pembunuh keluarga mereka. Satu hakikat yang sukar untuk diterima.

Damia tidak percaya. Bakal mertuanya yang telah membunuh ibunya selama ini? “Ila, Ila jangan main-main. Boleh jadi, semua tu hanya khayalan Ila. Apa yang Ila katakan sebentar tadi boleh jadi satu fitnah besar, tahu? Tak mungkin Pak Cik Amri yang bunuh arwah ibu, datuk dan nenek. Pak Cik Amri tu baik orangnya.”
Dalilah melepaskan pelukannya. “Kakak, kalau kakak tak nak percaya kata-kata Ila terpulang kepada kakak. Tapi apa yang Ila cakap tadi semuanya betul. Mula-mula Ila sendiri tak cam Pak Cik Amri. Tetapi kini, Ila dah ingat semuanya. Ila tak mungkin akan lupakan wajah orang yang bunuh ibu. Kakak, Ila ada di tempat kejadian. Ila masih ingat lagi muka si penjahat tu. Ila tak akan maafkan dia!”

“Ok, ok. Katakanlah Pak Cik Amri tu memang orangnya, takkan dia tak cam kita?” Diana pula menyoal. Diana langsung tidak mengingati apa-apa kerana dia baru sahaja berusia 3 tahun ketika ibunya meninggal dunia.

“Manalah Kak Ila tahu. Mungkin dia sengaja mahu tunangkan kakak dengan Abang Qayyum untuk tutup kesalahannya. Mungkin... dia tak ingat langsung. Lagipun ayah, kakak dan adik tidak ada di rumah ketika itu. Cuma Ila sahaja, dan Ila masih kecil. Mustahil dia cam wajah Ila.” Air mata Dalilah masih tidak berhenti menitis.

“Ila, apa yang Ila cakap tadi tu sesuatu yang serius tahu?  Ila mungkin boleh bantu kita jumpa pembunuh arwah ibu, atau Ila mungkin telah memfitnah seseorang,” Damia cuba berbicara secara rasional.

“Kakak, Ila pasti kita dah jumpa pembunuh ibu.”

***

Kereta Toyota Corolla berwarna biru muda meluncur laju masuk ke dalam pekarangan rumah. Damia tidak tahu apa yang perlu dilakukannya. Hari itu mungkin merupakan pengakhiran kepada sebuah kebahagiaan yang baru tercipta. Damia beristighfar panjang. Qayyum keluar dari kereta dan memerhatikan Damia dengan satu pandangan yang tidak boleh ditafsirkan maksudnya. Qayyum berjalan menghampiri Damia tanpa sepatah kata.

Akhirnya, Qayyum bertindak memecahkan kebisuan. “Puas hati? Ayah saya dah mengaku perbuatannya. Ayah dah masuk penjara sekarang ini. Puas hati awak, Damia?” kesedihan jelas terlakar pada wajah Qayyum. Damia tahu, situasi itu sangat sulit untuk Qayyum sekarang ini. Dua puluh tahun lebih dia hidup tanpa mengetahui ayahnya seorang pembunuh. Paling teruk lagi, orang yang memasukkan ayahnya ke dalam penjara adalah keluarga tunangnya sendiri.

“Qayyum, saya tak tahu macam mana nak cakap. Situasi ni rumit.”

“Awak memang tak sukakan saya dari dulu kan? Itu hakikatnya. Sebab itulah awak tolak saya dengan alasan nak kejar cita-cita fashion designing awak tu. Dan sekarang, saya pula jadi mangsanya?” Qayyum menyoal, tetapi masih dengan nada yang lembut. Dia terlalu menyayangi wanita di hadapannya itu. Hatinya cuma sedikit terhiris sejak mengetahui ayahnya terhumban ke dalam penjara.

“Saya tak pernah tolak awak,” Damia menunduk.

Qayyum cuba menenangkan dirinya. “Mia, saya minta maaf sebab ayah saya, ibu, datuk dan nenek awak meninggal dunia. Tapi tak mungkin awak akan terima saya lepas semua ni kan?”

Damia masih diam membisu, membiarkan anak muda di hadapannya itu melontarkan segala rasa yang terbuku.

“Saya tahu awak tak sukakan saya. Dan saya faham kalau awak tak mahu teruskan hubungan ni lagi,” Qayyum menambah. Perit hatinya untuk berkata seperti itu. Dia sudah mengenali Damia sejak sekolah menengah lagi. Namun, dia cuma memberanikan diri untuk menegurnya sejak mereka masuk universiti yang sama. Mungkin mereka tidak ditakdirkan bersama.

Damia dihujani perasaan sedih. “Qayyum, awak tak faham-faham lagi ya?” Qayyum bingung dengan pertanyaan itu. Tak faham? Apa yang dia masih tidak faham?

“Qayyum, kenapa saya perlu terima pertunangan ni kalau saya tak suka awak? Awak tak faham lagi ya?” Damia meluah rasa meskipun perasaan malu menyelubungi dirinya. Dia masih menunduk. Qayyum terkejut mendengar sesuatu yang amat diharapkannya selama ini. Damia bertekad menceritakan hal yang sebenar kepada Qayyum sebelum terlambat.

“Baru-baru ni, saya ada terima tawaran ke Brunei. Rekaan yang saya hantar ke universiti di Brunei tempoh hari telah diterima. Mereka sediakan tempat tinggal juga untuk saya. Saya belum beritahu sesiapa pun tentang hal ni, termasuk keluarga saya sendiri. Saya... bercadang untuk pergi...”

Qayyum menarik nafas panjang. Apa lagi dugaannya kali ini? Nampaknya, dia benar-benar harus merelakan sebuah perpisahan itu terjadi. “Damia, tahniah saya ucapkan. Saya tahu awak cintakan impian awak tu. Saya harap awak akan lebih berjaya di sana nanti.”

“Awak, saya belum habis cakap lagilah. Saya... bercadang untuk pergi... dengan awak.” 

Qayyum tidak terkata-kata. Dia sungguh tidak mengharapkan sedemikian rupa. Ternyata, Allah turunkan hujan kerana Dia mahu mengurniakan pelangi yang indah kepada hambaNya. Qayyum juga baru bercadang untuk bekerja sambil belajar di tempat baru semenjak ayahnya dimasukkan ke dalam penjara. Qayyum tersenyum penuh makna. Dia mengucapkan syukur di dalam hati.

“Kakak, ajaklah Qayyum masuk. Kenapa berdiri di luar sahaja?” Ayah Damia yang memerhatikan dari tadi memecahkan kesunyian. Damia yang masih segan kerana telah meluahkan isi hatinya itu langsung masuk ke dalam rumah.

Si ayah menarik nafas lega. Meskipun Qayyum merupakan anak kepada pembunuh isterinya, Qayyum tidak bersalah. Dia juga sedang belajar untuk memaafkan Amri atas perbuatannya itu. Dia percaya, Amri telah berubah dan menyesali perbuatannya apabila dia sanggup untuk mengaku dan menyerahkan diri kepada pihak polis. Dan dia sering berpesan kepada anak-anak serta adiknya untuk memaafkan pembunuh orang tua mereka kerana setiap manusia pernah melakukan dosa. Sedangkan nabi pun mengampuni umatnya, apatah mereka sesama manusia.

“Ayah,” seru Diana yang entah dari mana munculnya. Diana memandang ayahnya dengan perasaan bersalah. Dia tidak mahu berselindung lagi. Dia terpaksa menceritakan segala-galanya kepada ayahnya. Si ayah sudah dapat menduga sesuatu yang tidak kena dengan anaknya. Dia menjeling Hafiz yang sedang sibuk melayan Qayyum di ruang tamu sebelum mengalihkan pandangan kembali kepada anak bongsunya itu.

“Ada apa Adik?” lembut sekali tutur katanya. Diana berfikir panjang sebelum mula berkata-kata.

“Ayah, sebenarnya kamera DSLR yang kakak belikan untuk Diana dah rosak...” Diana menunduk. Dia sudah bersedia untuk dimarahi kerana tidak pandai menjaga kamera.

Ayah masih berlagak tenang. “Bila rosaknya?”

“Tiga bulan yang lepas.” Ayah mengukir senyum membuatkan Diana semakin hairan. Ayah ni dengar atau tidak kamera itu rosak?

“Diana, ayah nak cakap sikit dengan Diana. Beberapa hari yang lepas, Tengku Adam telefon ayah.”

“Tengku Adam? Ayah Tengku Fatehah tu?” Diana semakin hairan. Keningnya dikerutkan.

“Ya. Kawan ayah tu. Tengku cakap, dia ada terbaca diari anak dia, Fatehah. Dan dia terkejut sebab dalam diari tu, Fatehah tulis tentang semua perbuatan dia kepada Adik, termasuk rosakkan kamera Adik. Jadi Tengku minta maaf bagi pihak Fatehah. Dia pun janji hendak belikan Diana kamera yang baru, itupun kalau Diana sudi,” jelasnya.

Diana lagi tertunduk kesal. Ayahnya sudah mengetahui perkara itu sebelum dia memberitahunya. Dan dia masih lagi terkejut dengan berita yang baru diterimanya itu. Si ayah menyambung lagi, “Diana, kenapa Diana tak beritahu ayah atau kakak-kakak Diana yang Fatehah selalu buli Diana di sekolah? Kenapa tak laporkan kepada sesiapa?”

“Ayah, Diana minta maaf sebab tak beritahu ayah awal-awal. Diana malu. Diana malu orang tahu Diana dibuli. Padahal Kak Ila belajar Tae Kwon Do. Tetapi, adik dia sendiri tak dapat lindungi diri sendiri. Diana malu dengan semua orang,” Diana tertunduk hiba. Air mata mula bertakung di kelopak matanya.

“Adik, kenapa sampai kamera rosak pun tak nak beritahu sesiapa? Dah tiga bulan, baru beritahu ayah sekarang. Bukankah Diana selalu cakap nak jadi professional photographer satu hari nanti? Kenapa biar impian Adik terkubur begitu sahaja?”

“Ayah, maafkan Diana. Diana terlalu dikuasai oleh perasaan malu. Rasanya Diana tak layak kejar cita-cita Diana tu.”

Si ayah bertentang mata dengan anaknya. Dia sentiasa mahu menyokong cita-cita ketiga-tiga anak gadisnya dan tidak mahu mereka berputus asa kerana dia tahu, Damia, Dalilah dan Diana masing-masing punya cita-cita yang tinggi menggunung.

“Adik, Adik ada cita-cita. Jangan biarkan perasaan malu dalam siri Adik tu menghalang Diana daripada buat apa yang Diana suka. Buang jauh-jauh perasaan malu tu. Kejar cita-cita Diana. Lepas ni kalau Tengku Fatehah masih buli Diana di sekolah, terus buat laporan kepada guru disiplin. Jangan takut, jangan malu. Anak ayah semuanya berani,” dia mengusap lembut kepala Diana yang bertudung itu.

Diana mula mengukir senyum. Peristiwa yang dialaminya itu, banyak memberikan pengajaran kepada dirinya sepanjang prosesnya membesar. Selepas ini, dia bertekad untuk mencapai impiannya dan tidak sesekali mengalah kepada keadaan. Ujian akan sentiasa datang dan Tengku Fatehah mungkin tidak akan serik membulinya. Tetapi dia akan kuatkan diri untuk mengharungi semua itu.

Beberapa minit setelah itu, kedengaran bunyi motor di luar rumah. Dalilah sudah pulang dari kelas Tae Kwon Do. Melihat kereta di pekarangan rumah, dia sudah boleh menduga siapa yang datang. Dalilah masuk ke dalam dan memerhatikan wajah Qayyum yang berada di ruang tamu. Qayyum menatap Dalilah dengan serba salah kerana dia tahu, Dalilah merupakan orang yang paling terkesan dalam insiden itu.

“Ila, Abang nak minta maaf...” Qayyum bangkit dari duduknya. Dia tahu, dia mesti menghadapi gadis itu. Walau bagaimanapun, Dalilah bakal menjadi adik iparnya dalam masa terdekat ini. Dalilah masih dengan wajah kosong.

“Ah, sudahlah!” Dalilah memotong kata-kata Qayyum.

Damia yang masuk ke dalam bilik tadi langsung keluar setelah mendengar bunyi enjin motosikal Dalilah. Dia khuatir penerimaan Dalilah terhadap Qayyum kerana adiknya itu pernah meminta agar pertunangan mereka diputuskan dahulu.

“Ila...” si ayah cuba memujuk.

“Dalilah, maafkan Abang...”

Dalilah masih memotong kata-kata Qayyum. “Sudahlah Abang. Abang ingat Ila akan maafkan Abang... sebab... Abang belikan Hafiz handphone baru!” Semua yang mendengar menjadi lega.

“La, pasal tu ke? Awak pun nak handphone juga?” Qayyum menarik nafas lega. Situasi tegang tadi menjadi kendur. Qayyum mula ketawa diikuti yang lain. Dia memang ada mengirimkan telefon bimbit keluaran terbaru kepada Hafiz sebagai hadiah hari lahir beberapa minggu yang lepas kerana dia akrab dengan Hafiz. Qayyum tidak pula menyangka Dalilah juga mahukannya. Sangkanya Dalilah masih marahkan ayahnya.

Dalilah ketawa kerana berjaya mengenakan semua orang. Dia sudah dapat memaafkan Amri kerana dia sedar Amri sudah menyesali perbuatannya. Dalilah mempelajari seni mempertahankan diri Tae Kwon Do selama ini kerana hendak membalas dendam terhadap pembunuh keluarganya. Tetapi akhirnya dia sudah mulai sedar bahawa ilmu yang Allah kurniakan perlu digunakan ke arah kebaikan, bukannya untuk membalas dendam. Dia berharap impiannya untuk memperluaskan lagi ilmu Tae Kwon Do akan kesampaian satu hari nanti. Dan yang pasti, dia mahu mengajarkan anak-anak muridnya supaya menggunakan ilmu itu ke arah kebaikan.

Damia, Dalilah dan Diana masing-masing punya cinta dan impian yang tersendiri. Namun yang pasti, mereka akan sentiasa berusaha demi mengejar impian masing-masing dengan jalan yang Allah redhai. Kembara mereka masih panjang lagi. 

3 comments:

  1. Hai...silalah melawat blog saya..komen cerpen saya..saya baru first time cube menulis btw cerita yang best..sambil menyelam minum air uhhhuhhh

    ReplyDelete