Friday 10 January 2014

Tujuh "S" Yang Membunuh Remaja



Demi menyelesaikan permasalahan yang menimpa ummat kita sekarang, pertama sekali kita perlulah terlebih dahulu mengenal pasti punca yang menjerumus ke arah keruntuhan akhlak remaja. Sebagai seorang remaja, saya ingin berkongsi tentang beberapa perkara yang sedikit sebanyak menyumbang ke arah negatif sama ada kita, remaja, sedar mahupun tidak. Bahkan diri saya sendiri mungkin terlepas pandang terhadap masalah-masalah ini. 7 “S” yang membunuh remaja Islam kita. Ya, inilah antara agenda musuh-musuh Islam untuk menjatuhkan remaja kini demi mencapai matlamat mereka menghapuskan Islam dari muka bumi. Mudah-mudahan kita tidak tergolong dalam golongan yang jauh daripada Allah. Insha Allah.

1. Song (Muzik)


Yang dinamakan remaja, jarang dapat terlepas daripada ini. Selari dengan jiwa remaja kita yang sedang bergolak, macam-macam perasaan yang hadir dalam pelbagai situasi. Gembira, sedih, kecewa, terharu, rindu, benci dan banyak lagi. Oleh itu, muzik telah dijadikan sebagai medium untuk menyokong situasi yang sedang kita alami tersebut. Lagu-lagu rancak jika kita sedang gembira, lagu jiwang setelah ketika bercinta mahupun lagu sedih ketika baru putus cinta. Muzik dan lagu ini pada asasnya cuma sebagai hiburan untuk kita.

Rasulullah SAW pun menggalakkan untuk kita berhibur sesuai dengan syariat dan landasan agama. Tetapi permasalahannya kini muzik telah dimanipulasi oleh pelbagai pihak terutama pihak Barat untuk merosakkan akhlak manusia. Mereka menyelitkan unsur-unsur  seks dan pornografi yang sama ada kita sedar mahupun tidak, kita akan menyanyikan juga lagu-lagu tersebut. Kebanyakan lagu membawa maksud yang ditujukan untuk menghina pihak atau individu yang lain.

Dan tanpa kita sedari, kita telah menjadi alat penyebaran kepada mesej-mesej tersebut. Paling sedih lagi muzik yang menyebarkan tentang agama lain. Kita pun sewenang-wenangnya menyanyikan lagu-lagu tersebut dengan senang hati. Kadangkala, muzik juga boleh menyebabkan seseorang terlalu asyik sehingga menghilangkan kewarasannya. Astaghfirullah. Oleh itu, pilihlah muzik yang jelas dan dapat difahami maksudnya serta tidak melalaikan.


2. Sport (Sukan)


Sukan? Pasti ramai yang sudah tertanya-tanya apa yang buruknya tentang sukan. Sukan ini juga pada asasnya sesuatu yang baik, yang menyihatkan tubuh badan serta minda kita. Bahkan, sukan boleh mengisi masa lapang kita daripada melakukan perkara-perkara yang tidak berfaedah. Namun, sukan itu boleh menjadi sesuatu yang berbahaya, terutamanya kepada pemudi kita sebenarnya. Cuba kita lihat dalam sesuatu bidang sukan, seperti bola sepak, perlumbaan motosikal atau badminton pasti akan terdapat ‘hero’ yang menjadi kegilaan ramai.

Yang bahayanya jika atlet yang dikagumi itu adalah Yahudi mahupun Kristian. Mereka diminati bukan sahaja kerana bakat yang ada tetapi juga kerana rupa paras yang kacak. Mulalah segelintir pihak yang memuja-muja individu ini sehingga mengakui mereka sebagai teman lelaki atau suami. Pada hakikatnya inilah yang menjebak remaja kita sekarang.

Dan jujur saya katakan, majoriti perempuan yang menonton bola sepak adalah kerana faktor rupa paras pemain-pemain bola sepak tersebut. Bukan semuanya, tetapi majoriti. Itulah lumrah manusia, ada nafsu dan perasaan. Tidak ada salahnya mempunyai nafsu tetapi kita perlu mengawalnya daripada menjerat diri sendiri.

3. Smoke (Rokok)


Jika sukan tadi banyak menjerat kaum hawa, rokok pula banyak menjerat kaum adam. Kes rokok ini memang susah untuk dielakkan jika seseorang itu sudah terbiasa menghisap rokok. Buktinya, pihak kerajaan sudah pun mengeluarkan iklan-iklan kanser pada kotak rokok tetapi kita masih lagi membelinya tanpa mempedulikan akibatnya kelak. Hal ini berpunca daripada ketagihan. Pada pandangan remaja, merokok melambangkan status sosial mereka. Mungkin membuatkan mereka nampak “macho” dan bergaya.

Padahal rokok mendatangkan lebih banyak keburukan daripada kebaikan. Selain membahayakan kesihatan, rokok juga boleh menyebabkan kita menghabiskan wang. Remaja pula sudah pasti akan menagih wang belanja daripada orang tua dengan macam-macam alasan. Mereka sanggup menipu pula untuk mendapatkan wang.

 Mungkin golongan ibu bapa ada yang memandang enteng akan perkara ini, tetapi kes rokok sudah berleluasa di semua sekolah sama ada sekolah harian mahupun asrama. Saya berani mengatakan ini kerana saya pernah bersekolah di sekolah harian dan juga sekolah asrama. Rasanya, semua pihak perlu tingkatkan lagi usaha untuk mencegah “S” yang satu ini daripada membunuh remaja kita terutamanya individu itu sendiri.

4. Style (Pakaian)


Satu fakta yang tidak dapat disangkal ialah remaja sangat mementingkan penampilan. Di mana-mana pun remaja pergi mereka mahu tampak style dan bergaya. Tidak terkecuali kaum adam dan kaum hawa. Oleh itu, mulalah mereka menggilakan barang-barang yang cantik dan kemas. Tambah pula mereka yang mempunyai orang tua yang berpendapatan lumayan, barangan yang dipakai pun mesti kena ada brand dan mewah. Pergi ke mana-mana teringin hendak dapatkan pakaian baru sebab takut tidak up-to-date. Padahal, wang yang digunakan jika disimpan boleh dibelanjakan untuk sesuatu yang lebih bermanfaat.

Propaganda Barat tidak hanya setakat terhenti dalam etika berpakaian, malah juga terhadap fesyen rambut dan solekan. Apabila sudah berjaya membuatkan remaja kita memakai pakaian yang tidak menutup aurat, mereka terus manipulasi kita dengan fesyen rambut punk dan macam-macam yang saya tidak tahu namanya. Alhamdulillah saya jarang melihat remaja kita dengan fesyen rambut yang aneh-aneh setakat ini tetapi tidak bermakna tak ada.

Kepada muslimah pula, tidak ada salahnya kita berfesyen asalkan mematuhi syariat  Islam dan menutup aurat. Jangan pakai pakaian yang ketat dan jarang dan yang boleh mengakibatkan tabarruj (berhias diri yang dilarang).

5. Social (Pergaulan)


Alam remaja adalah tentang mencari sahabat yang boleh bersama dengan kita dalam keadaan suka mahupun duka. Dalam pencarian itu, janganlah pula kita tersalah memilih kawan. Kita sudah diberikan akal oleh Allah SWT untuk menilai yang mana baik dan yang mana buruk. Pergaulan yang salah boleh menyebabkan banyak kes seperti lari dari rumah, mengandung anak luar nikah, melepak, buli, vandalisme dan mana-mana gejala sosial yang lain. Saya akui, kadang memang susah untuk memilih rakan yang benar-benar ikhlas terhadap kita. 
Dan mungkin kadang-kadang kita akan terlambat menyedari bahawa kita telah tersilap langkah.
Tetapi jangan jadikan semua itu sebagai penghalang untuk kita terus menapak ke hadapan. Segala yang buruk jadikan iktibar supaya kita dapat mencari rakan-rakan yang lebih baik pada masa hadapan.

Hadis al-Bukhari dari Abu Musa al-Asy'ari, bermaksud:
“Diumpamakan rakan yang soleh dan rakan yang jahat ialah seperti (berkawan) dengan penjual minyak wangi dan tukang besi. Penjual minyak wangi tidak akan mensia-siakan anda, sama ada anda membelinya atau hanya mendapat bau harumannya. Tukang besi pula boleh menyebabkan rumah anda atau baju anda terbakar, atau mendapat bau busuk.”

6. Sex


“S” ini memang bahaya dan sangat memudaratkan sehingga boleh mengakibatkan pembunuhan anak-anak kecil yang tidak berdosa. Dan semuanya bermula kerana cinta monyet yang ternyata cuma sekadar mahu memenuhi kepuasan diri semata-mata. Mudah-mudahan kita dihindari daripada gejala ini. Janganlah kita mudah terjebak dengan pujuk rayu orang lain terutama yang tidak kita kenali. Baru-baru ini, saya terbaca kes seorang perempuan yang mengelar bayinya di asrama kerana teman lelakinya tidak mahu menerima anak itu. Astaghfirullah. Sesuatu yang anda akui cinta itu kadang-kadang cuma fantasi. Kita sendiri yang perlu berusaha mencari kebenaran di sebalik cinta itu.

7. Syaitan


“S” yang ini adalah yang paling berbahaya di antara “S” yang lain kerana syaitan boleh mempengaruhi kita ke arah kejahatan tanpa banyak usaha. Cuma sekadar bisikan-bisikan liar sehingga boleh menyebabkan kita melakukan semua “S” di atas. Kita cuma perlu ingat syaitan akan sentiasa menemani kita walau di mana jua kita berada. Sehingga hujung nyawa pun makhluk yang satu ini tidak akan berhenti mengganggu kita supaya melakukan kejahatan. Oleh itu, kuatkan iman, lawan syaitan.

3 comments:

  1. Salam Nurina. Baru terjumpa blog Nurina ni. Hehe. Selamat dah follow awak.

    ReplyDelete
  2. Thanks akak untk maklumat yg bermanfaat ni.. :)
    Salam Ukhwwah Fillah..

    ReplyDelete