Wednesday 9 August 2017

I-Rakyat: Perbezaan Kad ATM dan Kad Debit

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamualaikum.

Alhamdulillah, pagi tadi selesai juga urusan di Bank Rakyat. Sudah lama saya bertangguh nak tukar kad bank yang baru untuk mendaftar I-Rakyat. I-Rakyat adalah perkhidmatan perbankan atas talian (online) untuk Bank Rakyat. Macam yang biasa kita dengar, CIMB ada CIMB Clicks kan? Macam itu jugalah I-Rakyat ni. Kenapa saya mendaftar I-Rakyat?

Saya mengetahui tentang I-Rakyat dari Yayasan Bank Rakyat (YBR) semasa program induksi tempoh hari. Waktu itu, saya telah pun mendapatkan nombot T-Pin tetapi pendaftaran online saya tidak berjaya kerana nombor kad yang lama itu tidak diterima. Maka, sampai ke hari ini barulah saya berpeluang untuk menukar kad baru. RM8 sahaja yang telah ditolak dalam akaun saya untuk penukaran kad. Saya juga sempat mengemaskini data peribadi di kaunter tadi.

Ada banyak manfaat yang boleh saya peroleh melalui I-Rakyat. Pertama sekali, tentulah mudah untuk menyemak baki duit dalam akaun. Kadang, nak pergi ke mesin ATM pun terasa berat kaki hendak melangkah. Padahal mesin ATM cuma di kafe bawah di universiti saya. Tapi di situ cuma ada Bank Islam. Jadi kalau kita melakukan transaksi Bank Rakyat, biasanya akan dikenakan cas tambahan. Rugilah juga macam tu. Setelah selesai mendaftar I-Rakyat tadi, saya boleh menyemak baki dalam akaun saya tanpa perlu ke mesin ATM. Bila-bila masa pun kalau rasa nak semak, buka sahaja internet dan terus ke irakyat.com.my. Oh ya, perlu diingat juga nombor T-Pin yang anda dapatkan di ATM itu hanya boleh digunakan dalam tempoh 24 jam sahaja. Jadi, kena cepat-cepatlah daftar. Ataupun bila dah bersedia nak mendaftar baru dapatkan T-Pin tersebut.


I-Rakyat juga dapat memudahkan transaksi pembelian. Saya selalu membeli buku secara online, tetapi menggunakan akaun ibu saya sahaja sebelum ini. Agak lecehlah juga sebab setiap kali nak lakukan pembelian online, kena ‘paksa’ ibu saya untuk melakukan transaksi. Saya belum cuba lagi melakukan apa-apa transaksi. Tapi dalam laman I-Rakyat memang ada pilihan untuk melakukan transaksi ke akaun lain. Tapi kelemahannya nanti kalau dah terbiasa lakukan pembelian jadi berkuranglah duit dalam akaun tu. Macam mana nak menabung? Saya nasihatkan, beli yang perlu sahaja dan berjimat-cermatlah sikit. Pesan saya untuk diri sendiri juga. Yalah, duit di universiti tu banyak nak guna. Tambah adik-adik yang bakal menjejakkan kaki ke alam universiti tak lama lagi. Beli buku sahaja pun sudah banyak guna duit.

Satu lagi perkara menarik tentang I-Rakyat ialah kita boleh reload secara online. Atau lebih biasa dipanggil topup. Semua jenis prabayar ada seperti Celcom, Maxis, Digi dan lain-lain. Mereka yang membayar secara bulanan pun boleh topup melalui I-Rakyat. Saya rasa ini adalah perkhidmatan yang paling saya perlukan. Sebabnya, kalau nak cari topup, kena pergi ke kedai (cakap sajalah malas pergi kedai). Kalau ke kedai pun, tak tentu ada. Kalau ada pun, tak tentu kita ada cash yang cukup. Nak cari rakan-rakan yang jual topup pun kadang kita tak tahu. Kena WhatsApp dan sebagainya. Jadi, kalau anda mendaftar I-Rakyat, reload sahaja secara online bila-bila masa yang anda mahu. Tapi yang pasti kena ada duitlah dalam akaun bank tu. Melalui I-Rakyat juga sebenarnya kita boleh link dengan akaun Tabung Haji. Kalau siapa nak semak akaun Tabung Haji nanti bolehlah berbuat demikian.

Itulah antara manfaat utama yang saya nampak pada I-Rakyat. Banyak lagi sebenarnya perkhidmatan yang boleh dilakukan yang memudahkan urusan harian kita. Saya sarankan anda untuk mendaftar, tak perlukan bayaran pun. Percuma sahaja. Kita hidup dalam era modenisasi dan semakin banyak teknologi menjadi maju. Jadi kita patut menyesuaikan diri dengan kemajuan hari ini. Ramai orang yang kata, kemajuan dan perubahan teknologi ni membuatkan manusia menjadi semakin malas. Ya, mungkin ada benarnya juga pendapat tersebut. Tapi bagi saya, mempelajari ilmu baru dan menyesuaikan diri dengan teknologi terkini lebih banyak mendatangkan manfaat daripada keburukan kepada diri kita.

Langkah-langkah untuk mendaftar I-Rakyat ni mudah sahaja. Pertama, anda sudah semestinya perlu berstatus pemegang kad Bank Rakyat. Pergi ke mana-mana mesin ATM dan dapatkan nombor T-Pin. Dalam masa 24 jam, buka laman irakyat.com.my. Cari ikon pendaftaran kali pertama dan anda akan disuruh untuk masukkan nombor yang tertera pada kad bank serta T-Pin. Sebelum itu, akan ada opsyen antara kad ATM, kad debit dan kad kredit. Sebelum ini, saya sangka kad ATM dan kad debit adalah dua benda yang sama. Setelah saya Google, rupa-rupanya tidak sama.

Kad ATM mula-mula diperkenalkan di Malaysia pada tahun 1990 sebagai alternatif kepada buku bank. Ramai masyarakat ketika itu rasa sangsi dengan keberkesanan ATM kad dalam urusan perbankan. Pada tahun 1996 pula, kad ATM Maybank boleh mula digunakan sebagai kad debit di beberapa pasaraya terkenal. Kalau kad kredit kita berhutang, kad debit ni maksudnya kita dah ada duit dalam kad tu. Cuma tinggal lakukan transaksi sahaja. Pada tahun 2008, barulah kad debit diperkenalkan dan fungsinya boleh menggantikan kad kredit. Had penggunaan kita hanya seberapa banyak yang kita ada di dalam akaun. Tiada bil bulanan yang bank akan hantar kepada kita. Kiranya, asal usul kad ni bermula dengan kad ATM dulu, kemudian fungsinya dinaik taraf seperti kad debit. Tapi akhirnya kad debit diperkenalkan untuk memudahkan urusan. Beza kad ATM ialah tidak semua tempat boleh menggunakan sistem ini dan terhad kepada sesetengah bank yang terlibat sahaja. Kad debit pula boleh digunakan di semua kaunter pembayaran.

Asalnya, saya ingatkan kad yang saya tukar sebentar tadi ialah kad debit sebab terang-terangan ada tertulis perkataan Debit pada kad itu. Tapi bila daftar I-Rakyat, tak boleh juga. Jadi saya tukar jenis kad kepada kad ATM dan baru berjaya. Rupa-rupanya, kad itu berstatus kad ATM. Bermakna, bukan semua tempatlah saya boleh gunakan kad tersebut sebagai kad debit. Bermula tahun 2017 inilah banyak bank yang menyuruh penggunanya menukar kad ATM kepada kad debit untuk memudahkan urusan. Tapi mungkin bukan semua bank.

Berbanding kad ATM, kad debit dan kad kredit, saya rasa kad debitlah yang paling bagus untuk digunakan. Boleh digunakan di semua transaksi pembayaran dan tak perlu berhutang. Itu pun kalau berduit banyaklah. Kalau untuk mahasiswa tu kadang baki dalam akaun tu kalau tengok, terasa nak menangis pun ada.


Apa pun, kepada anda yang berminat untuk mendaftar I-Rakyat, bolehlah lakukannya dengan segera. Untuk sebarang bantuan, boleh hubungi 1300-80-5454 talian Bank Rakyat. Jangan hubungi saya pula ya. Selamat mendaftar!

1 comment: