Friday 18 August 2017

Percutian di Pulau Langkawi

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamualaikum.


Lama juga rasanya saya tak update entry travel. Kali terakhir rasanya saya ke Melaka hari itu untuk mengikuti program. Tapi saya tak update di blog sebab tak rasa macam banyak yang boleh diceritakan selain intipati program. Untuk entry kali ini, saya ingin berkongsi tentang percutian saya ke Pulau Langkawi selama tiga hari dua malam. Sebenarnya, percutian saya kali ini memang sama sekali tidak dirancang. 

Atuk dan nenek saudara saya datang untuk mengunjungi kami di Kulim dan memang dah ajak kami untuk pergi ke Langkawi. Tapi maklumlah, semua bekerja. Saya teringin juga nak ikut tapi kena jaga gym. Rancangan asalnya cuma Wan dan adik saya sahaja yang ikut. Jadi hari Selasa baru-baru ini, adik dan Wan pun sudah bersiap untuk pergi ke Langkawi. Kira-kira sepuluh minit sebelum nak bertolak, mak saya tiba-tiba suruh saya pergi. Sebelum tu tak bagi. Maka dalam masa beberapa minit tu, apa lagi, mak tolong saya pack baju dengan kadar ekspres. Dan bagasi saya terus dicampak ke dalam bonet kereta Tok Uncle seolah-olah diusir. Dramatik sikit di situ. Pendek cerita, that was how I ended up having this trip.

Sementara menunggu feri

Sebagai seorang yang bermastautin di Kedah, tak terkira berapa kali dah saya ke Langkawi. Tapi agak lama jugalah tak ke sana. Selalunya orang yang ke Langkawi akan pergi Island Hopping untuk meneroka pulau-pulau di Pulau Langkawi. Maklumlah, Langkawi terkenal dengan 99 buah pulaunya. Kali ini, kami tak pergi Island Hopping, tetapi lebih kepada Island Shopping. Eheh.

Dalam banyak bulan, bulan Ogoslah sebenarnya musim yang tidak berapa sesuai untuk ke Langkawi kerana Ogos merupakan bulan paling lembap disebabkan penerimaan hujan yang tinggi. Hari pertama kami ke sana, memang hujan. Sekejap hujan sekejap berhenti. Tapi ada satu kelebihan pergi ke sana waktu-waktu begini. Tak ramai orang! Cubalah kalau anda pergi waktu cuti sekolah, memang akan ramai orang.

Alhamdulillah, bila tak ramai orang ni, banyak benda jadi murah. Kereta sewa pun boleh didapati dengan harga RM60. Hotel pun dapat murah. Hotel kami adalah hotel budget sahaja, berjimat cermatlah sikit. Kami menginap di De Baron Waterfront Hotel dengan harga RM60 satu malam. Memang murah, bukan? Walaupun murah, alhamdulillah saya boleh tidur dengan selesa. Lokasi hotel juga boleh dikatakan strategik sebab boleh bergambar di tepi laut dan berdekatan dengan restoran dan kedai –kedai.

Jalan sikit depan hotel, ada kedai bernama Rams yang menjual banyak barangan seperti pinggan mangkuk dan coklat. Banyak jugalah pilihan yang menarik di situ. Wan berjaya mendapat baju baby untuk cucu-cucunya dengan diskaun sebanyak 70%. Ada harga baju tu asalnya RM30 lebih tapi selepas diskaun dapatlah dalam RM9. Apa lagi, cucu baby Wan ada 4 orang lelaki. Seorang dapat sehelai. Lawa-lawa pula tu. Baju untuk cucu baby perempuan tak banyak pilihan. Saya carikan di jeti saja. 

Betapa gigihnya Wan dan adik mencari baju baby

Hari pertama, memang kami bershopping sahaja. Wan dapat baju baby, saya dapat coklat. Saya dan adik belikan coklat-coklat yang dikirim oleh orang rumah. Mars, Kinder Bueno, Daim. Saya pula beli M&M dan dapat headphone sebagai free gift. Beli tiga travel pack M&M, boleh dapat satu headphone. Saya coklat-coklat lain tak minat sangat, minat M&M sahaja. Beli tiga pack berlainan perisa tu pun tak pastilah boleh bertahan berapa lama.

Gambar Google

Hari kedua di Langkawi, barulah kami berkesempatan pergi ke tempat-tempat menarik yang boleh bergambar. Kami brunch (breakfast + lunch) di gerai tepi jalan sahaja. Tok Uncle tahu gerai-gerai yang menyediakan makanan sedap. Kemudian kami pergi ke Kamdar. Wan dapat banyak kain. Sayalah tukang mengangkat kainnya tu. Selepas puas bershopping, kami singgah di tepi pantai untuk bergambar. Saya tak pasti nama pantai tu, tapi pantai tersebut bersebelahan dengan lapangan terbang. Terdapat juga gerai-gerai makanan di tepi pantai. Sempat jugalah menikmati ais kacang sambil menghayati pemandangan sekeliling.

Kalau pergi pantai mesti kena bergambar, kan? 

Setelah itu, kami singgah di Perdana Quay untuk membeli roti di The Loaf Bakery & Café. Perdana Quay ni kalau kena dengan musim dia, mesti ramai orang. Selalunya pelancong asinglah yang suka ke situ. Di situ kita boleh melihat kapal-kapal yang banyak. Katanya milik anak Tun Dr. Mahathir. Saya tak pastilah.

The Loaf Bakery & Cafe

Sepanjang deretan Perdana Quay ada banyak bar dan restoran yang tidak halal. Saya jeling-jeling jugalah tempat tu. Banyak menyediakan bir untuk pelancong asing. Tapi jangan risau, banyak kedai yang tutup sebab tak ada pengunjung pun sewaktu saya pergi tu. Macam yang saya katakan, bukan musim. Nasib tidak berapa menyebelahi kami sebab roti-roti di The Loaf banyak sudah habis. Wan pun beli sahaja apa yang ada. Yang menghabiskannya saya. Sebelum beredar, sempat jugalah saya bergambar di situ sebab pemandangannya memang menarik. Sesuai sangat untuk bergambar.

Bakal pemilik kapal-kapal di belakang tu

Sedar tak sedar, hari pun dah lewat petang. Sebelum pulang, kami singgah dulu di Dataran Lang. Kalau pergi Langkawi tapi tak singgah di dataran ini memang tak sah. Gambar saya di Langkawi dulu entah ke mana. Terdelete atau virus rasanya. Jadi kita ambillah gambar yang baru. Seperti yang dijangkakan, di Dataran Lang pun tidak berapa crowded. Waktu kami bergambar tu lebih kurang dalam pukul 7 dan matahari hampir nak terbenam. Memang cantik timing. Kalau ada kamera DSLR tu memang cantik sangat. Kamera Samsung pun jadilah.

Duduk tengah jalan tak apa, jangan makan tepi jalan.

Subhanallah.

Setelah puas bergambar seharian, kami singgah McDonald untuk membeli makan malam dan terus pulang ke hotel. Dua malam jugalah saya tidur awal dalam jam 10-11 lebih sebab tak ada benda nak dilakukan. Hendak tonton televisyen, cuma ada beberapa siaran sahaja. Tak ada rancangan yang menarik. Laptop pun tak dibawa. Tapi baguslah juga, saya dapat tidur dengan tenang tanpa banyak memikirkan benda lain.

Hari ketiga pula, pagi-pagi Wan sudah ajak mencari barangan di kedai Rams depan hotel tu. Katanya nak beli pinggan bertingkat. Dan memang betul, bertingkat-tingkat jugalah yang dibawa pulang. Berkotak-kotak. Disebabkan nak mengurangkan beg, kami sumbat kotak-kotak tersebut dalam bagasi selagi termampu. Tok Uncle complain, katanya datang hari tu beg normal. Bila balik, makin kembung. Eheh.

Selepas check out, masih ada banyak lagi masa sebelum pukul satu. Jadi kami singgah di De Baron Resort untuk akses ke tepi pantai. Masuk pintu resort dan keluar ke pantai. Keistimewaan resort tersebut ialah kolam renangnya yang terletak di sebelah pemandangan laut. Dan dekorasi tamannya juga menarik perhatian. Kalau cuti sekolah, mesti ramai yang akan ke sana. InsyaAllah, nanti saya akan edit vlog percutian ke Langkawi. Dan di tepi resort itulah banyak saya mengambil video. Juga di tepi pantai.

Sebelah ada lagi satu kolam renang tapi ramai budak.

Cantik dan kreatif resort ni

Sebelum ke jeti, kami brunch di sebuah kedai makan ikan bakar. Kedai-kedai makan ni tak ada nama rasanya tapi memang banyak yang menyediakan makanan sedap. Mungkin anda perlu cuba satu per satu untuk tahu kedai makan yang terbaik. Kalau bab makanan ni saya minta maaf, saya tak berapa pandai memberikan rekomendasi kepada orang. Selesai makan, kami terus ke jeti untuk feri pukul 1 petang. Sementara menunggu, sempat saya mencari t-shirt untuk baby Amanda dan ayah. Selepas itu, akhirnya kami pun pulang menuju ke jalan yang lurus.

Dan kini, saya sedang menaip di gym sementara menunggu pelanggan. Berpijak kembali di bumi yang nyata. Eheh. Walaupun percutian saya pendek, alhamdulillah saya dapat juga rasa nikmat bercuti yang singkat. Untuk masa terdekat ni, saya tak ada rancangan untuk travel tapi sekali-sekala travel tanpa dirancang ni bagus juga. Kalau diberi peluang, negeri yang jarang saya teroka ialah Kelantan dan Terengganu. Harapnya satu hari nanti saya berpeluang untuk travel di tempat-tempat menarik negeri tersebut. InsyaAllah.

Gambar banyak tudung asyik kena tiup angin

Terima kasih kepada anda yang membaca dan nantikan vlog saya di youtube.com/nurina24. Jangan lupa subscribe ya!

*Update*

2 comments: