Tuesday 8 August 2017

Siapa Dr. Zakir Naik?

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamualaikum.

Mungkin ramai yang pernah mendengar tentang ilmuwan islam ini. Tapi mungkin juga ada yang tertanya-tanya, siapakah yang bergelar Dr. Zakir Naik ni? Beliau merupakan salah seorang tokoh yang saya minat. Beliau mengkaji banyak kitab agama dan boleh berbahas dengan non-muslim melalui kitab-kitab agama mereka sendiri. Dr. Zakir Naik ni kalau sampaikan ceramah, sangat pantas memetik bukti daripada semua kitab yang beliau kaji. Buka sahaja YouTube dan cari Dr. Zakir Naik, saya pasti anda juga akan terkesima dengan kepetahan beliau berbicara dan menyampaikan hujah.

Dr. Zakir Naik atau nama asalnya Zakir Abdul Karim Naik, 52 tahun, dilahirkan pada 18 Oktober 1965 di Mumbai, India. Hasil perkahwinan beliau dengan Farhat Zakir Naik, beliau telah dikurniakan dua cahaya mata. Dr. Naik (ringkasan) merupakan seorang ulama India, pendakwah, penulis, penceramah dengan keutamaan dalam perbandingan agama. Maka sudah sewajarnya beliau menghafaz pelbagai kitab agama. Antara kitab yang dihafalnya ialah al-Quran, Bible, Weda, Tripitaka, Bhagavad gita. Saya sering mendengar beliau memetik hujah dari Bible ketika ingin berdebat dengan penganut Kristian. Beliau ni memang betul-betul hebat. Kalau kita yang Islam ini sendiri pun belum tentu hafaz al-Quran. Kalau dah hafaz pun, belum tentu dapat memetik satu per satu ayat dan dalil al-Quran. Tapi Dr. Naik bukan sahaja boleh memetik ayat al-Quran bahkan banyak lagi kitab lain. Dalam akhbar Indian Express pada tahun 2009, Dr. Naik telah disenaraikan dalam ‘The 100 Most Powerful Indians’.


Satu lagi keistimewaan ilmuwan ini adalah pada gelaran doktor yang dimilikinya. Untuk pengetahuan anda, Dr. Naik merupakan seorang doktor perubatan yang mendapat Sarjana Perubatan dan Bedah (MBBS) dari Universiti Mumbai. Pada tahun 1991, beliau berhenti dari kerjaya doktor perubatan dan beralih kepada bidang dakwah. Sekarang beliau merupakan pengasas dan presiden Islamic Research Foundation (IRF)  yang memiliki siaran Peace TV di Mumbai, India. Patutlah dulu saya cari Peace TV ni tapi tak ada. Cuma ada di India sahaja. Kalau dah jadi presiden syarikat besar ni, beliau ni bolehlah juga dikatakan seorang usahawan, bukan?

Keputusan Dr. Naik untuk menjadi seorang pendakwah adalah kerana terinspirasi daripada Ahmad Deedat. Ahmad Deedat ni juga merupakan juga merupakan seorang cendekiawan Islam dalam bidang perbandingan agama namun telah meninggal dunia pada tahun 2005 yang lepas. Saya mengetahui tentang Ahmad Deedat setelah membaca buku beliau yang berjudul The Choice- Dialog Islam & Kristian yang dihadiahkan oleh kakak saya.

Satu lagi fakta yang perlu diketahui ialah Dr. Naik pernah menerima pelbagai anugerah daripada pemimpin-pemimpin di seluruh dunia. Pada tahun 2013, Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah telah menyampaikan Anugerah Tokoh Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan kepada beliau dalam Majlis Perhimpunan Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan di Putrajaya.

Menurut laman blog The Islamic Research Foundation (IRF), dalam tempoh 20 tahun (sehingga tahun 2014), Dr. Zakir Naik telah mengadakan lebih 2000 sesi ceramah di seluruh dunia. Antaranya ialah Amerika Syarikat, Kanada, United Kingdom, Itali, Perancis, Arab Saudi, Australia, New Zealand, Afrika Selatan, Botswana, Nigeria, Ghana, Indonesia, Malaysia, Singapura, Brunei, Thailand, Hong Kong, China, Mauritius, Sri Lanka dan Maldives. Kalau anda boleh melihat di televisyen atau YouTube, ceramah Dr. Naik selalu dihadiri oleh puluhan ribu jemaah, lebih ramai lagi daripada ceramah Ustaz Azhar Idrus. Dan yang hadir ke ceramah beliau bukan sahaja muslim tetapi juga daripada kalangan penganut Kristian, Hindu, Buddha, Ateis dan sebagainya. Ribuan juga yang telah diislamkan Dr. Naik dengan hidayah daripada Allah SWT.


Fakta yang saya peroleh juga, pada bulan Mac 2012, sesi ceramah beliau di Kishanganj, Bihar, dihadiri lebih daripada sejuta orang, dan menjadi salah satu perhimpunan terbesar di dunia bagi ceramah agama yang hanya dikendalikan oleh seorang penceramah. Masya Allah. Saya kalau hendak berceramah di hadapan sepuluh orang sahaja pun belum tentu mampu.

Pada tahun 2012, Dr. Naik pernah mengadakan ceramah di Malaysia. Ceramah beliau berlangsung di Johor Bahru, Universiti Teknologi MARA, Kuantan dan Pusat Dagangan Dunia Putra di Kuala Lumpur. Namun pada tahun lepas (2016), Dr. Naik telah menggemparkan negara dengan berita kedatangannya untuk menyampaikan ceramah tetapi timbul isu apabila ceramahnya dibatalkan kerana berkaitan dengan sensitiviti agama. 

Tajuk yang ingin disampaikan beliau ialah ‘Persamaan antara Hindu dan Islam’. Saya rasa anda yang membaca ini sudah boleh mengagak kenapa isu itu menjadi sensitif. Pendapat peribadi saya, saya teringin juga hendak mendengar topik itu dari sisi pandang beliau. Mungkin beliau mahu mengaitkan nilai-nilai moral yang ada pada agama Hindu dan Islam dan bukan bertujuan untuk menyamakan Islam dengan agama lain. Wallahu alam. Apa pun, ceramah Dr. Naik dibenarkan untuk diteruskan di Malaysia dengan tajuk yang berbeza. Pada awal tahun ini juga Dr. Naik ada menyampaikan ceramah di UNIMAP.

Kalau anda melihat dan mendengar ceramah beliau, saya yakin anda akan tertarik dengan gaya penyampaian beliau. Dr. Naik selalu memberikan pujian kepada semua soalan yang ditanyakan. Kalau ada penyoal yang tidak faham jawapan beliau, beliau akan mengulang semula sehingga orang itu faham. Namun baru-baru ini, timbul pula isu tentang status Dr. Naik di negara ini. Katanya beliau sekarang dituduh oleh kerajaan India sebab menyebarkan kebencian kaum dan keganasan. TPM kita sudah pun berunding tentang isu itu dengan kerajaan India. Saya tidak tahu maklumat lanjut berkenaan isu ini, tetapi dikatakan juga Dr. Naik mempunyai status penduduk tetap di Malaysia. Jadi janganlah timbulkan isu Malaysia cuba lindungi pengganas dan sebagainya.

Biasalah. Di mana-mana pun kita berada, mesti akan ada dugaan yang tersendiri. Saya pernah mendengar, semakin tinggi ilmu dan kewarakan seseorang itu, semakin tinggi lagi ujian terhadap dirinya. Banyak juga kisah cabaran dan rintangan yang dilalui oleh Dr. Naik, tapi kalau hendak diceritakan panjang lagi artikel ini jadinya. Apa yang boleh saya katakan, Dr. Zakir Naik ialah salah seorang ulama yang wajar dihormati dan dikagumi ramai kerana ilmunya yang cukup tinggi. Saya berharap agar segala urusan beliau di dunia dan akhirat dipermudahkan oleh Allah SWT. Insya Allah. Saya memohon maaf sekiranya terdapat kesilapan dalam mana-mana fakta yang dinyatakan di atas. Kalau ada, mohon dibetulkan ya.  

7 comments: