"Saya pelajar baru kat sini," Shahruddin meraut senyuman lagi. Kelihatannya pemuda itu petah berbicara.
"Maaf, ada kelas sekarang," Nurul Fatini menjawab ringkas lantas berlalu pergi. Hafizah mengekorinya.
"Kenapa anti buat begitu padanya?" soal Hafizah. Dia tahu bahawa Nurul Fatini masih terbayang-bayang wajah arwah Imzad yang menjadi seniornya dahulu. Nurul Fatini segera duduk di bangku berhampiran. Sebenarnya kelas mereka akan bermula lama lagi.
"Hafizah, setiap kali ana tengok wajahnya, ana terbayang arwah Imzad. Ana tak mampu melupakan orang yang telah mengajar ana erti tawaduk."
"Tawaduk?"
"Ya, tawaduk. Ingat tidak masa artikel pertama ana dapat sambutan di radio tahun lepas?"
“Alhamdulillah, kelihatannya artikel anti mendapat sambutan hangat dari pendengar selepas ana hebahkan di radio tadi!" Imzad tersengih-sengih memuji.
"Biasalah senior ana Imzad, lihatlah siapa yang buat," Nurul Fatini bergurau.
"Hati-hati jangan sampai menjadi takabbur," Imzad menegur Nurul Fatini. Sebuah senyuman di wajahnya terkoyak. Ikhlas.
"Hmm, baiklah Imzad. Semua ini lahirnya dari Allah SWT. Kalau tiada Dia, ana tidak mungkin dapat menyiapkan artikel yang sebagus ini. Nah, ana sudah menjadi tawaduk," segera Nurul Fatini menukar bicaranya.
"Boleh ana jelaskan erti tawaduk?" soal Imzad meminta kebenaran. Hafizah yang tadinya diam terus bersuara.
"Apa ertinya tawaduk senior?" soalnya ingin tahu.
"Apabila seseorang itu berasa bahawa dia telah merendahkan dirinya, itu bukan tawaduk," jelas Imzad. Nurul Fatini dan Hafizah semakin bingung. Hafizah menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Imzad tertawa melihat kerenah Hafizah.
"Sebenarnya orang yang bertawaduk ialah apabila dia melakukan sesuatu, dia berasa dirinya masih belum layak mendapat kedudukan itu," jelas Imzad pendek tetapi boleh difahami. Hafizah mengangguk. Nurul Fatini tersenyum. Luas sungguh ilmu yang dituntut pemuda di hadapannya itu.
bnyk mksud yg trsirat..alhmdllah..x sbar mnnti part yg strusnya..truskn usaha anda.nysllah
ReplyDelete