Faiz Kamal bersujud. Tatkala manusia lain sedang asyik bercanda dan mandi di laut, lelaki itu menyerahkan dirinya sepenuhnya kepada Illahi. Tenggelam dalam kekusyukan. Hanya dia dan Tuhan. Faiz Kamal kemudiannya duduk tahiyyat akhir dan mengakhiri solatnya dengan salam. Bibirnya tidak berhenti berzikir. Teringat betapa kerdilnya diri di sisi Illahi. Tangannya ditadah paras bahu. Faiz Kamal berdoa panjang. Mengharap keredhaan pencipta-Nya.
Seorang wanita berpurdah asyik memerhatikan dari sisi. Indahnya pemandangan di pinggir Pantai Bisikan Bayu yang lebih dikenali sebagai Pantai Dalam Rhu itu. Ternyata kepulangannya sempena cuti semester kali ini berbaloi. Tidak dibazirkan begitu sahaja. Pandangannya dialihkan kepada pengunjung pantai yang sedang bermain dengan ria. Masing-masing tenggelam dalam keriangan sendiri. Langsung tidak mengendahkan sesiapa lagi melainkan kegembiraan hati.
“Jauhnya termenung, sudah sampai di mana?” satu suara menyapa dari tepi. Faiz Kamal. Gadis itu menatap wajah abangnya yang sedang berdiri di sisi. Seraut senyuman diukir di balik purdahnya. Faiz Kamal memerhati wajah adiknya itu. Berdasarkan sepasang matanya dia sudah boleh mengagak yang wanita itu sedang tersenyum indah.
“Farah belum tiba lagi di destinasi!” wanita yang bernama Farah Karmila itu menjawab pertanyaan abangnya tadi.
Faiz Kamal menepuk-nepuk sejadah yang sentiasa dibawanya itu. Faiz Kamal merupakan seorang ustaz di Kota Bharu, Kelantan. Sebenarnya lelaki itu berasal dari Kulim tetapi sengaja dia memilih untuk mengajar di kawasan yang kurang diterapkan ilmu agama. Hatinya nekad membawa semangat. Semangat da'i. Semangat jihad. Kali ini sengaja dibawa sekali Farah Karmila menyusuri kehidupan di sekolah tempatnya mengajar. Kebetulan juga Farah Karmila baru pulang dari Syria.
"Abang tidak mahu mandi laut?" soal Farah Karmila memandang wajah abangnya.
"Ah, malas," ringkas sahaja jawapannya. Farah Karmila tersenyum kecil. Namun, sudah pasti Faiz Kamal tidak melihat senyumannya itu. Farah Karmila dan Faiz Kamal perlahan-lahan mengatur langkah pulang ke rumah datuk mereka yang terletak agak dekat dengan pantai tersebut. Perjalanan sekiranya memandu kereta hanya mengambil masa setengah jam.
***********************
"Adik-adik, hari ini ustaz hendak kenalkan dengan ustazah baru ya, Ustazah Farah," ujar Faiz Kamal yang memang mesra dengan anak-anak muridnya. Faiz Kamal tersenyum. Farah Karmila masuk ke dalam kelas yang dihuni sebanyak dua puluh lima pelajar tahun enam itu.
"Fuyoo.." sayup-sayup kedengaran suara pelajar yang kagum dengan penampilan Farah Karmila. Berpurdah. Mereka belum pernah melihat orang berpurdah sebelumnya. Farah Karmila sedang tersenyum melihat keletah para pelajar. Senang. Ketika ini, ada suatu perasaan luarbiasa menyusup ke dalam kalbunya. Tetapi Farah Karmila tidak mampu menjelaskan perasaan itu.
"Ustaz, ini girlfriend ustaz?" soal Arif, pelajar yang memakai cermin mata. Duduk di barisan paling belakang namun suaranya mampu didengari semua. Faiz Kamal memandang Farah Karmila. Farah Karmila membalas pandangannya. Kemudian Faiz Kamal tertawa.
"Bukanlah, ini adik ustaz!" Faiz Kamal menjawab pertanyaan spontan Arif. Arif mengangguk. Hari itu, Faiz Kamal sengaja menyuruh Farah Karmila mengajar di situ. Semalam dia sudah bersusah payah mendapatkan kebenaran guru besar sekolah. Faiz Kamal kemudiannya mengatur langkah keluar dari kelas. Tidak mahu mengganggu Farah Karmila. Ya, Farah Karmila adiknya. Adik yang sangat dicintai. Tanpa disedari ada sepasang mata yang asyik memerhatikan Farah Karmila dan Faiz Kamal dari kejauhan.
***********************
"Selamat tinggal, ustazah!" teriak para pelajar dari dalam kelas. Ketika itu Farah Karmila sudah keluar dari kelas. Dia menoleh belakang dan melambai-lambai ke arah mereka perlahan-lahan. Farah Karmila tersenyum sendiri. Tiba-tiba, buku di pegangannya terlepas. Farah Karmila terjatuh ke bawah. Ada sedikit rasa sakit di bahunya.
"Maaf!" lelaki di hadapannya itu bersuara. Dia mengutip semula buku-buku latihan yang terjatuh akibat terlanggar tadi. Farah Karmila mengangguk sedikit tanda memaafkan. Lelaki itu tidak sengaja.
"Eh, cikgu barukah?" soalnya kehairanan. Lelaki itu memandang wajah Farah Karmila. Indah sekali. Mata yang menawan sesiapa yang melihat. Farah Karmila hanya menunduk. Tidak mungkin dia akan menatap wajah lelaki yang bukan mahramnya. Dia tidak terus menjawab. Malu. Malu itu adalah cabang iman.
"Cikgu sementara," ringkas sahaja Farah Karmila menjawab sambil bangun. Nada suaranya mendatar sahaja. Tidak terlalu tinggi dan tidak pula terlalu rendah. Allah SWT telah berfirman supaya kaum wanita jangan berbicara dengan suara yang dimanja-manjakan di hadapan kaum lelaki ajnabi, yakni lelaki asing yang bukan mahramnya. Firman Allah itu ada dinyatakan dalam surah Al-Ahzab, ayat ke-32.
"Dan janganlah kamu tunduk di dalam berbicara sehingga berkeinginanlah orang yang ada penyakit dalam hatinya dan ucapkanlah perkataan yang baik."
"Oh, saya Hisyam," ujarnya sambil menghulurkan tangan. Tangan itu tidak mungkin disambut Farah Karmila. Bersentuhan antara wanita dan lelaki yang bukan mahram jelas sekali haram. Kemodenisasian itu ternyata sudah banyak mengaburi mata orang-orang yang lain. Mungkin media massa mahupun novel menggalakkan berpengangan tangan tetapi Farah Karmila tekad dengan matlamatnya. Dia tidak akan mengerjakan larangan Illahi. Tidak!
Menyedari Farah Karmila tidak menyahut tangannya, Hisyam perlahan-lahan menurunkan tangannya. Farah Karmila segera beredar dari situ. Tidak mahu lama-lama. Hisyam tersenyum sendirian. Ada satu perkara yang dia inginkan dari wanita itu. Dia yang sedari tadi memerhatikan Farah Karmila berganjak pergi. Farah Karmila segera menuju ke kereta. Dia hendak segera pulang mengerjakan tugasannya. Faiz Kamal masih belum berada di situ. Mungkin dia keluar lambat sedikit. Farah Karmila sudah mengajar tiga kelas hari ini. Hatinya berkocak ria. Namun keresahan datang melanda apabila Hisyam muncul di tempat letak kenderaan. Adakah Hisyam mengekorinya?
"Siapa nama awak?" soal Hisyam dengan nada selamba. Farah Karmila menunduk. Sangat berharap abangnya segera muncul. Dia tersepit dalam kondisi yang agak sukar.
"Farah Karmila," perlahan sahaja dia menjawab. Hatinya tertanya-tanya apa motif lelaki di hadapannya itu. Hisyam mengangguk gaya mengerti.
"Saya ingin tahu beberapa hal sahaja, kemudian saya akan pergi," ujarnya. Farah Karmila semakin khuatir. Perkara apa? Oh, Allah! Bantulah aku. Oh, abang! Segeralah datang. Farah Karmila terimbas kembali peristiwa silamnya. Peristiwa yang membuatnya trauma. Ketika itu dia baru sahaja berumur 14 tahun. Faiz Kamal pula usianya sekitar 20 tahun.
"Abang, cepatlah!" bentak Farah Karmila sendiri. Dia sudah tidak sabar untuk pulang ke rumah dan memulakan bacaan buku Muslimah Sejati yang baru dibelinya tadi. Farah Karmila mundar-mandir di tempat letak kenderaan pusat beli belah itu. Memang dia keluar lebih awal dari abangnya. Faiz Kamal sedang sibuk menguruskan pembayaran di kaunter sebuah kedai kasut.
Tanpa disedari, ada seorang lelaki yang menghampirinya. Badannya tegap. Kulitnya agak hitam seperti ahli tinju. Perlahan-lahan dia menghampiri. Wajah mulus Farah Karmila ditatap. Farah Karmila tidak menyedari yang tangannya ditarik. Dia menoleh. Sangat terkejut. Hatinya berzikir tidak berhenti. Mengharapkan bantuan hanya dari Illahi. Faiz Kamal yang memerhati Farah Karmila sangat terkejut. Kasut di kaunter ditinggalkan. Langkahnya segera menghampiri Farah Karmila dan lelaki asing itu yang semakin menjauh. Pantas.
"Lepaskan dia!" Faiz Kamal bersuara. Lantang sekali. Pedih melihat adiknya ditarik tanpa perasaan. Lelaki itu menolak Farah Karmila kepada rakannya yang satu lagi. Tiba-tiba sahaja ada seorang lelaki datang tadi. Faiz Kamal membuka langkah silatnya. Meskipun dia tahu peluangnya tipis untuk menang, Faiz Kamal tetap mencuba. Lelaki itu menghadiahkannya sebuah tumbukan sisi tetapi berjaya dihalang. Faiz Kamal menendang kepalanya. Dia memegang kepala kesakitan. Sebuah tumbukan padu dilepaskan ke pipi Faiz Kamal tanpa diduga. Sakit sekali. Mulut Faiz Kamal mulai berdarah.
Faiz Kamal melepaskan penumbuk ke perut lelaki itu. Dia terduduk kesakitan sambil memegang perutnya. Faiz Kamal segera menghampiri rakannya yang satu lagi. Kebetulan orang yang lalu-lalang di situ melihat kejadian tersebut. Ada yang menelefon dan ada yang membantu Faiz Kamal. Faiz Kamal menarik Farah Karmila dari pegangan lelaki yang memakai topi itu. Pengunjung pusat beli-belah itu semakin ramai menyaksikan kejadian tersebut. Mereka membantu tumpaskan penjenayah-penjenayah tersebut.
Farah Karmila memeluk Faiz Kamal. Segera dikeluarkan sapu tangan dan mengesat darah yang mengalir dari mulut abangnya itu. Faiz Kamal tersenyum.
"Lain kali, jangan keluar sendirian. Harus ditemani orang, ya? Seeloknya mahram Farah," Faiz Kamal memberi nasihat. Farah Karmila mengangguk. Hatinya masih berdebar-debar. Tahulah dia betapa abangnya inginkan segala yang terbaik untuknya.
"Ustazah, ustazah belum jawab soalan saya," bicara Hisyam sedikit meninggi menyebabkan Farah Karmila terkejut. Ketika itu, Faiz Kamal sudah menghampiri. Farah Karmila tersenyum di balik purdahnya.
"Oh, Cikgu Hisyam, ada apa ya?" soal Faiz Kamal setelah bersalaman dengan lelaki itu.
"Saya tanya soalan kepada adik ustaz, dia belum jawab lagi," ujarnya sambil memandang Farah Karmila. Farah Karmila langsung tidak mendengar soalan yang diutarakan tadi kerana tenggelam dalam masa silam. Faiz Kamal tertawa. Farah Karmila memandang abangnya. Aneh. Orang sedang resah dia malah tertawa.
"Farah, sebenarnya cikgu memang suka bertanya soalan. Terkenal dengan gelaran Cikgu Ingin Tahu. Apabila ada sesuatu yang merunsingkan hatinya, dia akan bertanya sampai menemukan jawapannya," Faiz Kamal menerangkankan. Farah Karmila menghela nafas lega. Barulah dia tahu mengapa guru itu menghampirinya.
"Soalannya apa?" Faiz Kamal bertanya.
"Bagaimana hendak mendidik anak kita supaya menjadi muslimah sejati?" soalnya yang terpegun dengan ketulusan dan perwatakan Farah Karmila. Faiz Kamal memandang adiknya. Kelihatan dia masih ragu-ragu untuk menjawab.
"Didiklah dia dengan sifat pemalu. Malu itu sebahagian dari iman," ujar Faiz Kamal.
"Malu sebahagian dari iman?" soal Cikgu Hisyam aneh. Tidak pernah didengarnya kalimah itu.
"Nah, itulah yang sering orang tidak ketahui. Rasulullah SAW telah memerintahkan para muslimah mahupun para muslim supaya memelihara diri daripada ketidaksopanan kerana dibenci oleh Allah SWT." Faiz Kamal kemudiannya membacakan firman Allah dari surah al-Baqarah ayat 68-69.
"Wahai sekalian manusia! Makanlah yang halal lagi baik dari apa yang terdapat di bumi dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan kerana sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagimu, sesungguhnya syaitan itu hanyalah menyuruh kamu berbuat jahat dan keji dan mengatakan terhadap Allah apa yang kamu tidak ketahui."
Cikgu Hisyam mengangguk. Dia kemudiannya memandang jam di tangan.
"Ah, sudah lambat untuk kelas! Terima kasih atas penerangannya!" ujar lelaki 40-an itu lantas berlalu pergi. Cikgu Hisyam memang kelihatan misteri. Faiz Kamal tersenyum. Farah Karmila memandang abangnya.
"Seandainya kamu diserang keresahan, dilanda kesusahan, diberi rintangan, berdoalah! Aku akan terus datang atas perintah-Nya untuk membantumu, mendidikmu dan sama-sama menempuhi duri itu!" ujar Faiz Kamal. Farah Karmila tersenyum lebar. Kata-kata abangnya itu sudah berkali-kali diucapkan. Kata-kata yang penuh penghayatan. Kata-kata yang menyedarkan bahawa di dunia ini lebih banyak lagi cabaran yang akan datang. Dan Allah itu selalu ada. Cabaran itu harus dihadapi jua. Cabaran untuk menjadi hamba Allah yang beriman, anak yang taat, isteri yang solehah, adik yang mulia dan muslimah yang sejati!
wah..best la cerpen nurina.
ReplyDeletenurina mmg punyai byk idea. mabruk!
p/s:camne boleh susun post sendiri. post ni kan baru dari post atas..camne blh ada di bwh?
Menarik cerpen kamu . Indah pengisiannya.Teruskan menulis.
ReplyDelete