Friday 6 August 2010

Cerpen: Ketabahan

Senja kian merebut malam. Burung-burung sudah berhenti berkicauan riang. Angin dingin senja menyapu lembut wajah Imran yang berkulit sawo matang itu. Suara kanak-kanak bermain di luar rumah masih ditiup ke telinganya. Gelak tawa Zul mematikan lamunan namun masih tidak dihiraukan. Imran terpaku. Peristiwa siang tadi masih belum luput daripada sanubari. Matanya berkaca-kaca. Air mata kelelakiannya jatuh jua ke pipi.

Zul menyedari kesedihan abangnya itu lantas dia segera mengorak langkah mendekatinya yang sedang temenung di tepi jendela. Komik yang sering mengisi kekosongan waktunya ditinggalkan di atas tilamnya. Zul menepuk bahu Imran. Imran memerhatikan wajah cerah adiknya itu dengan pandangan kosong.

“Sudahlah, jangan dikenangkan lagi peristiwa tadi,” ujar Zul lembut cuba memahami. Alangkah semuanya senang begitu. Imran menahan sebak di dada. Mak Long begitu kejam ke atas mereka berdua. Kubur arwah ayah mereka masih lagi merah. Sekurang-kurangnya mereka perlu diberi masa untuk mengabdikan kenangan bersama arwah ayah di rumah using itu. Imran mengimbas kembali kejadian siang tadi.

Mak Long yang bernawaitu materialistik begitu taksub dengan kelazatan duniawi sehingga bercita-cita untuk mengejar daki dunia. Imran yang cuba meminta sedikit waktu lagi untuk berkemas meninggalkan rumah sewa itu ditampar kencang sekali. Sakit rasanya. Penduduk kampung yang lalu lalang di pertengahan jalan itu berhenti untuk menyaksikan adegan panas itu. Di mana lagi Imran harus menyembunyikan wajahnya itu?

“Abang?” Zul menyoal apabila melihat abangnya sekali lagi berpijak di dunia angan. imran menggeleng lesu lalu membaringkan dirinya di atas tilam. Masa yang diberikan cumalah sehari. Imran ingin meminta pertolongan Cikgu Zakuan yang baik dengannya tetapi khuatir jika pertolongannya tidak disambut. Iskandar Dzulkarnain pernah berkata, tidak ada apa yang mustahil bagi orang-orang yang berani mencuba. Berjayakah dia?

Pagi itu, Imran dan Zul sudah bersiap untuk meninggalkan rumah pusaka itu. Imran memerhatikan foto arwah ibu dan ayahnya. Mereka tersenyum mesra. Senyuman yang tidak pernah hilang. Imran tahu, arwah ibu dan ayahnya pasti tidak mahu dia bersedih dalam kondisi seperti itu. Imran menguatkan diri dan menyeka air matanya. Sejak peristiwa itu, dia sering menumpahkan air mata. Justeru, Imran beridtizam untuk sentiasa tabah.

Imran dan Zul berjalan selangkah demi selangkah. Tiba-tiba nama mereka dipanggil seseorang. Imran menoleh. Cikgu Zakuan? Imran cuba meraut sekuntum senyuman ikhlas tetapi gagal. Cikgu Zakuan mendekati adik-beradik itu lantas mengajak mereka menumpang teduh di rumahnya yang tidak seberapa. Imran pada awalnya ragu-ragu. Cikgu Zakuan menggenggam erat tangan Zul yang membuatkan Imran setuju untuk tinggal bersamanya.

Cikgu Zakuan ibarat penyelamat yang menghulurkan tangan apabila Imran terjatuh. Sungguh indah pekertinya. Sanggup menumpangkan Imran dan adiknya. Setelah tiba di rumah, Cikgu Zakuan meleraikan segugus nafas tenat dari dadanya. Imran dan Zul memerhatikan keadaan sekeliling. Rumahnya penuh dengan lukisan bercorak abstrak. Warna sofa dipadankan dengan langsir yang bertemakan kontemporari. Sebuah rak buku yang dipenuhi bahan bacaan berjaya menarik perhatian Imran. Imran mendekati rak tersebut. Segera dicapai sebuah buku yang bertajuk Sabar dan Tabah. Cikgu Zakuan tersenyum manis. Imran membalasnya ikhlas. Jean Paul pernah menyebut, kegembiraan bukan pemberian fikiran tetapi pemberian hati. Mudah-mudahan Imran begitu.

*************************************

“Imran, karipap tiga,” minta seorang daripada penduduk di situ. Imran segera membawakan dulang berisi kuih dan membungkuskan tiga karipap untuknya. Imran terimbas kembali kata-kata Tun Dr. Mahathir Mohamad yang sering diungkapkan arwah ayahnya. “Bangsa yang berjaya ialah bangsa yang rajin dan sanggup menghadapi cabaran hidup.” Imran menggenggam tekad untuk menyara kehidupannya dan adiknya.

“Kuih! Kuih!” Imran melaung. Dia sudah berjalan hampir setengah jam. Tiba-tiba matanya menangkap figura manusia sedang menangis di tepi jalan. Imran menghampiri wanita itu. Wanita tersebut terkejut melihat kemunculan Imran. “Mak Long?” Imran begitu terperanjat. Keningnya terangkat. Benarkah wanita di hadapan itu Mak Long? Imran mengesat matanya. Ternyata benar.

Mak long terduduk di hadapan Imran seraya meminta maaf kepadanya berkali-kali. Hati Imran sebak. Mak Long menyatakan bahawa semua tanah pusaka serta rumahnya telah digadaikan akibat tidak mampu membayar beban hutang keliling pinggang. Mak Long merintih. Sesal kerana mengusir Imran dan Zul dari rumah sewa mereka dahulu. Mak Long berkali-kali memohon agar Imran memaafkannya.

Imran menunduk sayu memerhatikan Mak Long. “Imran maafkan Mak Long,” ujarnya lembut. Dia terkenang kata-kata Saidina Abu Bakar As-Siddiq yang diajar ustaz, hidup seperti pohon kayu yang lebat buahnya, tumbuh di tepi jalan, dilempar orang dengan batu tetap dibalas dengan buah. Imran membawa Mak Long pulang ke rumahnya. Dia memanjatkan kesyukuran pada Yang Maha Esa kerana Mak Long sudah bertaubat.



No comments:

Post a Comment