Pagi itu susana begitu hening sekali diiringi tiupan bayu lembut menyapa wajah Syafiqah yang berkulit sawo matang itu. Batu-batu kecil di sepanjang perjalanan disepak halus gadis itu. Hatinya bergelora kencang sekali. Masalah hadir tanpa diundang. Harapan pergi tanpa diusir.
Ah, hidup!
Gadis itu merungut kesal. Di mana lagi dia boleh mendapatkan sejumlah wang yang sebegitu banyak? Syafiqah mengangkat jari-jemari halusnya dan membuat sedikit pengiraan. Jika dihitung, masih kurang RM 20. Andai sahaja dia berasal daripada keturunan yang berada sudah pastilah masalah itu mendapat solusi yang senang sekali.
"Fuuh..." gadis itu meniup angin. Sengaja mengisi hatinya yang sedang berirama. Irama kesal.
"Eh, Ika! Buat apa di sini?" sapa satu suara dari kejauhan. Suara tersebut halus sekali. Syafiqah mencari-cari suara yang sangat dikenalinya itu. Matanya merenung sayu wajah gadis cina di hadapannya itu. Sekuntum senyuman masih belum diraut dengan sempurna. Mei Lin sedar akan permasalahan rakannya itu. Kakinya perlahan-lahan melangkah menghampirinya.
"Apa lagi masalah awak kali ini?" ujarnya tenang. Ekspresi wajahnya ingin tahu. Persoalan masih menari-nari rancak di mindanya. Seringnya wajah gadis melayu di hadapannya itu ceria sekali, bukan seperti ini. Lazimnya sedikit kerutan juga tidak dapat ditemui di wajahnya.
"Saya masih belum cukup wang, Mei Lin. Bagaimana saya ingin membayar hutang Mak Limah kelak?" akhirnya sebuah jawapan keluar juga dari mulut Syafiqah. Begitu rupanya. Ternyata hatinya runsing kerana masih belum cukup duit untuk membayar hutang Mak Limah.
"Begini sahajalah Ika, awak ambil sahaja duit saya ini," ujar gadis cina itu sambil menghulurkan dua keping not RM 10.
Pandangan Syafiqah tertumpu pula pada wang kertas yang sedang berada dalam genggaman temannya itu. Sudah terlalu banyak jasa yang ditaburnya. Sudah terlalu banyak budi yang dihutangnya. Syafiqah kemudiannya mengalihkan pandangan ke sebuah warung berhampiran. Sengaja.
Mei Lim yang sedari tadi memegang duit tersebut segera menggapai tangan mulus Syafiqah. Duit tersebut sudah beralih tangan. Mei Lin memang berasal daripada keluarga yang kaya, jadi wang sebegitu tidak menjadi masalah buatnya. Dia memang benar-benar berhasrat membantu sesiapa yang sedang berada dalam kesusahan.
"Mei Lin, inikan wang awak," Syafiqah menolak lembut. Tidak mahu lagi hidup dalam banjir belas kasihan.
"Bukankah kita bersahabat? Sahabat itu tidak akan sanggup membiarkan sahabatnya kesusahan."
Syafiqah membisu sebentar. Memang benar kata-kata Mei Lin. Mulia sekali hati gadis berbangsa cina ini. Syafiqah mengukir sekuntum senyuman ikhlas. Wang tersebut dimasukkan perlahan-lahan ke dalam kocek bajunya yang sudah hampir terkoyak itu. Syafiqah berdoa dalam hati. Ya Allah, Kau kurniakanlah rezeki yang melimpah kepada sahabatku yang tulus ini!
likes
ReplyDelete